Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

4 June 2015

KATA TANYA "BILA" YANG MENGALAMI PROSES PENERBITAN KATA

INFORMASI BAHASA
KATA TANYA "BILA" YANG MENGALAMI PROSES PENERBITAN KATA

Banyak pengguna bahasa yang beranggapan "bila" dan "apabila" mempunyai makna yang sama. Sebenarnya, banyak perbezaan antara "bila" dengan "apabila".

Bila ialah kata tanya yang berkaitan dengan waktu.
Jika ingin ditulis pada awal ayat, partikel "-kah" perlu digunakan.
Jika ingin ditulis pada akhir ayat, partikel "-kah" tidak perlu ditulis.
Contohnya:
1.
Bila adik akan bertunang? (salah)
Adik akan bertunang bilakah? (salah)
Bilakah adik akan bertunang? (betul)
Adik akan bertunang bila? (betul)

Apabila ialah kata penghubung ayat yang bererti "pada ketika" atau "semasa".
Satu lagi perkataan yang boleh bertukar ganti dengan perkataan "apabila" ialah "apakala".
Contohnya:
2.
Ayah hanya berdiam diri bila kami menegurnya. (salah)
Ayah hanya berdiam diri apabila kami menegurnya. (betul)

3.
Atikah duduk di hujung dewan bila majlis bermula. (salah)
Atikah duduk di hujung dewan apabila majlis bermula. (betul)
Bila-bila pula membawa maksud "sebarang masa" atau "masa atau waktu yang tidak ditentukan".
Contohnya:

4.
Encik Meganathan akan masuk ke pejabat pada bila masa. (salah)
Encik Meganathan akan masuk ke pejabat pada bila-bila masa. (betul)

5.
Husni akan membentangkan kertas kerjanya pada bila masa pagi nanti. (salah)
Husni akan membentangkan kertas kerjanya pada bila-bila masa pagi nanti, (betul)


Kesimpulannya. "bila" dan bilakah" hanya boleh digunakan untuk menanyakan sesuatu. Sementara itu, "bila-bila" menerangkan "sebarang masa" atau "whenever" dalam bahasa Inggeris.
Selamat belajar!

No comments: