17 June 2015

Salam Ramadan al-mubarak

Ramadan ialah bulan kesembilan dalam kalendar Islam. Ibadah puasa merupakan satu daripada lima tiang rukun agama Islam. Sepanjang Ramadan, umat Islam akan berpuasa mulai imsak sehinggalah waktu berbuka puasa. Sepanjang bulan yang suci ini, penganut agama-agama lain dinasihatkan agar menghormati penganut agama Islam dengan tidak makan dan minum di depan mereka sebagai amalan menghormati kesukaran, ketabahan, kecekalan, kesabaran, dan keimanan umat Islam melalui sehari demi sehari dalam bulan yang mulia ini. Selepas berbuka puasa bersama ahli keluarga waima sahabat handai, umat Islam akan menuju ke masjid, surau, dan rumah-rum
ah ibadat Islam mahupun di rumah sendiri untuk menunaikan sembahyang tarawih selepas sembahyang Isyak. Tujuan umat Islam bertarawih adalah untuk menghidupkan Ramadan di samping mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu, para Muslimin dan Muslimat juga dapat mengisi waktu yang sesuai ini untuk menghafaz al-Quran demi memperteguh keimanan dan kekukuhan jati diri. Dengan kerahmatan yang yang diperoleh daripada Allah SWT, umat Islam dapat melalui bulan yang mulia ini dengan penuh keinsafan dan kesedaran.

Saya ingin mengucapkan selamat menjalani Ramadan al-mubarak kepada rakan guru dan murid-murid yang beragama Islam.

Cikgu Tan CL
17 Jun 2015

No comments: