29 June 2015

INFORMASI BAHASA - “PERLANTIKAN” ATAU “PELANTIKAN”

INFORMASI BAHASA
29.06.2015
“PERLANTIKAN” ATAU “PELANTIKAN”

Untuk membezakan ejaan perlantikan dengan pelantikan perkara pertama yang perlu ditentukan ialah imbuhan yang boleh digunakan pada kata dasar yang bermula dengan huruf “l” seperti lucut, letak, lancar, lanjut, dan lain-lain Permasalahan ini tidak akan timbul pada perkataan yang bermula dengan huruf lain daripada “l”.
Awalan pe- mempunyai dua penanda makna, iaitu penanda makna orang atau benda yang mengalami perbuatan kata dasar atau keadaan. Contoh, petinju. Yang kedua,  penanda makna orang yang melakukan kerja yang terkandung dalam maksud kata dasar. Contohnya, pekebun atau petani . Manakala awalan per- berfungsi sebagai penanda makna alat atau tempat. Contohnya, perasap. Kedua, penanda makna orang yang melakukan kerja. Contohnya,  perburu, iaitu orang yang berburu.
Oleh itu, ejaan yang betul untuk kata "lantik" dan "letak" ialah pelantikan/peletakan.  Kata "pelantikan" ialah orang yang dilantik, manakala kata "peletakan" ialah orang meletakkan jawatan/gelaran dan sebagainya.  Lihat contoh di bawah:
(a)
...... perletakan batu asas (salah)
...... peletakan batu asas (betul)

(b)
......perlantikan pengawas baharu (salah)
......pelantikan pengawas baharu (betul)

Jika perkataan tersebut boleh ditambah imbuhan meN-…-kan, perkataan tersebut dieja dengan peN-…-an iaitu tanpa huruf “r”. Sebagai contoh, perkataan lucut, letak, lancar, lanjut, lepas, laksana boleh ditambah apitan meN-…-kan (me-…-kan) menjadi; melucutkan, meletakkan, melancarkan, melanjutkan, melepaskan, melaksanakan perkataan tersebut dieja sebagai; pelucutan, peletakan, pelancaran, pelanjutan, pelepasan, pelaksanaan. Kata terbitan yang betul ialah "pelantikan" kerana lazimnya daripada kata kerja "melantik" (me + kata dasar)maka terbitlah perkataan pelantikan yang bermaksud perihal melantik. Jika kata kerja ber + kata dasar seperti berjalan, maka terbitlah perkataan perjalanan. Tiada perkataan berlantik jika menggunakan ber= lantik yang akan menerbitkan perlantikan. Perkataan perlantikan tidak ada dalam bahasa Melayu, yang ada ialah pelantikan.

Sebaliknya, jika sesuatu perkataan yang bermula dengan huruf “l” boleh menerima apitan beR-…, seperti berlumba, berlawan, berlaga, perkataan tersebut dieja dengan peR-…-an iaitu dengan huruf r (per-…-an) menjadi; perlumbaan, perlawanan, perlagaan. Lihat contoh di bawah:

(c)
...... pelumbaan haram (salah)
...... perlumbaann haram (betul)

(d)
...... pelawanan bola sepak (salah)
...... perlawanan  bola sepak (betul)

Kaedah ini tidak melibatkan perkataan yang bermula dengan huruf lain, selain huruf “l” seperti gaduh, tambah, damai, tetap dieja sebagai pergaduhan, pertambahan, perdamaian, dan bukan dieja pegaduhan, petambahan, pedekatan, pedamaian. Lihat contoh di bawah:

(e)
...... pegaduhan antara Ali dengan Ah Meng (salah)
...... pergaduhan antara Ali dengan Ah Meng (betul)

(f)
...... petambahan penduduk di Lembah Klang (salah)
...... pertambahan penduduk di Lembah Klang (betul)

(g)
...... pedekatan yang sesuai (salah)
...... pendekatan yang sesuai (betul)

(h)
...... pedamaian antara puak yang bermusuhan (salah)
...... perdamaian antara puak yang bermusuhan (betul)
...... kongres pedamaian sedunia (salah)
...... kongres pendamaian sedunia. (betul)

Sebagai kesimpulannya, keraguan tentang ejaan perkataan yang menggunakan pe-…-an atau per-…-an dapat diatasi dengan menentukan imbuhan yang dapat digunakan dengan kata dasarnya. Rujuklah Tatabahasa Dewan Edisi Baharu untuk mendapatkan panduan yang betul agar kita dapat memartabatkan bahasa kebangsaan kita.



No comments: