Semoga anda semua dapat skor dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012 ini.
LATIHAN 1 :
SEKOLAH BERASRAMA PENUH
(b) Pisahkan ayat-ayat
majmuk di bawah menjadi enam ayat tunggal tanpa mengubah struktur
dan maksud asalnya.
Golongan
remaja yang terlalu asyik melayari Internet sering kali menghabiskan masa
berjam-jam di hadapan komputer. Keadaan ini mengakibatkan remaja tersebut
mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan pelajaran. Mereka memberikan
alasan hendak mencari maklumat tetapi sebenarnya melayari laman-laman yang
tidak berfaedah.
[ 6 markah]
LATIHAN 2 :
MRSM
(b) Kenal pasti jenis
ayat-ayat pasif di bawah. Tentukan sama ada ayat-ayat tersebut ialah ayat
pasif dengan ganti nama diri pertama, ayat pasif dengan ganti
nama diri kedua, ayat pasif dengan ganti nama diri ketiga atau
ayat pasif songsang.
(i) Makanan itu belum aku rasai lagi sejak pagi tadi.
(ii) Hutang itu perlu kaujelaskan selewat-lewatnya esok. (iii) Bahagian tepi bangunan kedai itu dicat oleh Pak Samad.
(iv) Saya tendang bola itu sekuat hati sehingga luar pagar sekolah.
(v) Ladang tebu itu telah dibersihkan oleh mereka pagi semalam.
(vi) Perkara tersebut belum awak putuskan sehingga hari ini.
[6 markah]
LATIHAN 3 : MPSM MELAKA
(b) Tukarkan ayat pasif di bawah kepada ayat aktif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Masalah alam sekitar perlu ditangani dengan segera oleh
pihak berkuasa.
(ii) Kasut sekolah yang kotor itu telah saya cuci semalam.(iii) Sajak-sajak yang baik itu telah ditulis oleh kumpulan penyajak yang masih muda.
[6 markah]
LATIHAN 4 : MPSM JOHOR
(b) Tukarkan ayat pasif di bawah kepada ayat aktif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak boleh
diselesaikan oleh ibu bapa sekiranya mereka mengambil langkah pencegahan awal.
(ii) Kursus perhubungan awam telah ditawarkan oleh kebanyakan
kolej dan universiti di negara kita. (iii) lsu pembuangan bayi perlu kita tangani dengan segera demi menjaga imej negara.
[6 markah]
LATIHAN 5 :MPSM PERLIS
(b) Nyatakan jenis ayat di bawah ini sama ada ayat penyata, ayat perintah, ayat seruan, atau ayat tanya.
(i) Menerusi komunikasi, pelbagai maklumat disebarkan dari
sebuah negara ke sebuah negara lain dengan mudah dan cepat.
(ii) “Siapakah namakau?” soal seorang pemuda berwajah garang
sambil mendekati diriku. (iii) Bangunan yang tinggi itu direka bentuk oleh seorang arkitek dari luar negara.
(iv) Syabas, kamu telah berjaya menjuarai kejohanan yang berprestij itu!
(v) “Mazwin, tolong hantar buku-buku ini ke bilik guru dan letakkan di atas meja saya,” kata Puan Geetha kepada Mazwin dengan lembut.
(vi) Sampai bilakah Pak Dol akan menangisi kematian isteri kesayangannya itu?
[6 markah]
LATIHAN 6 : MPSM SABAH
(b) Nyatakan jenis-jenis ayat yang disenaraikan di bawah ini.
(i) Wah, besarnya sungguh rumah kontraktor yang terkenal itu!
(ii) Ayahnya baru sahaja pulih daripada penyakit paru-paru
berair. (iii) Apakah punca yang menyebabkan pelajar-pelajar suka ponteng sekolah?
(iv) Jangan berkawan dengan budak-budak yang menghisap rokok.
(v) Silakan duduk, saya hendak pergi ke dapur dahulu.
(vi) Tolong bersihkan bilik tidur kamu sebelum ibu pulang.
[6 markah]
LATIHAN 7 : MPSM SARAWAK
(b) Cerakinkan ayat majmuk dalam perenggan di bawah kepada enam ayat tunggal tanpa mengubah maksud asalnya.
Di Malaysia hampir dua pertiga sumber air kita digunakan oleh sektor
pertanian dan sektor ini adalah antara sektor yang banyak mencemar dan
membazirkan air namun tiada sistem pengurusan permintaan air bagi sektor ini.
Ladang-ladang penternakan haiwan dan penternakan hidupan akuatik dalam sangkar
juga menjadi punca pencemaran.
[6 markah]
LATIHAN 8 : MPSM SELANGOR
(b) Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian anda dikehendaki menggabungkan ayat-ayat berikut menjadi tiga ayat.
Malaysia menjadi destinasi tarikan pelancong. Malaysia mempunyai beberapa buah pulau yang indah. Malaysia mempunyai kawasan rekreasi hutan yang menarik. Kerajaan telah berusaha dengan gigih untuk mempromosikan Malaysia. Kerajaan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia. Kerajaan Malaysia juga menganjurkan pertandingan sukan bertaraf antarabangsa. Ekonomi Malaysia meningkat. Peluang pekerjaan juga terbuka luas. Banyak pelancong datang ke Malaysia.
[6 markah]
LATIHAN 9 : MPSM TERENGGANU
(b) Tukar ayat susunan songsang di bawah kepada ayat bersusunan biasa tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Tersusun kemas alat-alat pertukangan di dalam bengkel itu.
(ii) Perlu kita tamatkan sahaja perlawanan ini kerana hujan semakin lebat.
(iii) Akan menerima hadiah utama sesiapa sahaja yang meneka kedudukan bola dengan tepat.
[6 markah]
LATIHAN 10 : MPSM PULAU PINANG
(b) Baca dan teliti ayat-ayat di bawah, kemudian gabungkan setiap dua ayat tersebut dengan kata hubung yang sesuai.
(i) Atiqah menyiapkan tugasan yang diberikan oleh gurunya
dengan segera.
(ii) Ibunya membenarkan dia turut serta dalam perkhemahan
pengakap itu. (iii) Puan Haliza berjanji akan memenuhi permintaan anak kesayangannya itu
(iv) Anaknya itu menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.
(v) Orang lain sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
(vi) Pelajar-pelajar tingkatan tiga terpaksa mengulang kaji pelajaran
[6 markah]
LATIHAN 11 : MPSM NEGERI SEMBILAN
(b) Kenal pasti jenis-jenis ayat perintah yang berikut. Tentukan sama ada ayat tersebut ialah ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan atau ayat permintaan.
(i) Sila buat laporan tentang kes meniru itu.
(ii) Usahlah dikenangkan lagi perkara yang lalu. (iii) Awak siapkan tugasan ini sekarang.
(iv) Awak tidak usahlah datang ke sini lagi.
(v) Pujuklah budak yang menangis itu.
(vi) Tolong hantarkan karangan ini sebelum hari Khamis.
[6 markah]
LATIHAN 12 : MPSM PAHANG
(b) Tulis petikan di bawah ini semula dalam bentuk cakap pindah. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan ini.
MAN :Tuk ...
tuk ..., orang jumpa mayat lagi. Orang jumpa mayat. Mayat itu besar, tuk.
PAK MAN :Di
mana Man? MAN :Tepi pantailah, tuk. Marilah tengok mayat tu. Mari tuk.
PAK MAN :Mayat orang Melayu atau orang Cina?
MAN :Bukan, tuk.
PAK MAN :Kalau bukan, mayat siapa? India kot?
MAN :Bukanlah, tuk. Ini mayat ikan dugong besar, tuk.
[6 markah]
LATIHAN 13 : MPSM KEDAH
(b) Baca ayat-ayat di bawah dan nyatakan golongan atau jenis kata bagi setiap kata yang berhuruf tebal dalam ayat tersebut. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
[6 markah]
LATIHAN 14 : MPSM PERAK
(b) Tukar ayat susunan biasa yang berikut kepada ayat bersusunan songsang.
(i) Ingatan Pak Hamid yang berusia 80 tahun itu masih kuat.
(ii) Kehebatan pemidato itu terletak pada kekuatan hujahnya. (iii) Zaid telah ditukarkan ke ibu pejabat sebagai langkah penstrukturan syarikat itu semula.
[6 markah]
LATIHAN 15 : MPSM KELANTAN
(b) Nyatakan pola ayat dasar di bawah ini sama ada Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK), Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA), atau Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN + FS)
(i) Dia masih tidur.
(ii) Bas itu dari Seremban. (iii) Kucing itu kurus kering.
(iv) Rakannya gadis Filipina.
(v) Puan Ramziah guru di sekolah itu.
(vi) Merokok membahayakan kesihatan.
[6 markah]

