Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

28 November 2019

BENGKEL PEMBINAAN BLOG PENDIDIKAN

Terima kasih atas kehadiran yang luar biasa pada hari ini. Bengkel blog pendidikan telah dijalankan dengan lancarnya dan jayanya oleh Program Bual Bicara Ilmu Titisan Ilmu Taburan Budi (Bual Bicara Ilmu Titb) di Bilik Mesyuarat Utama, Perpustakaan Raja Tun Uda. Lebih 65 orang guru telah bergelar blogger pendidikan. Syabas dan tahniah saya ucapkan atas kerjasama dan komitmen sepanjang progam ini. Terima kasih juga kepada Penerbit NUSAMAS dan Pustaka MINDEX atas tajaan buku kepada semua peserta di samping Education Intelligence atas tajaan beg kepada semua peserta.



26 November 2019

TITB 16 - BENGKEL PEMBINAAN BLOG PENDIDIKAN


6 November 2019

10 SEBAB CALON SPM 2019 PASTI AKAN SKOR CEMERLANG

10 SEBAB CALON SPM 2019 PASTI AKAN SKOR CEMERLANG 

1. Karangan Bahan Rangsangan, Bahagian A, Kertas 1 BM SPM yang diuji pada tahun 2019 antara soalan yang paling mesra calon peperiksaan. Hal ini dikatakan demikian kerana pusat sumber sekolah ialah tempat yang sangat rapat dengan kehidupan murid. Selain itu, idea yang tersedia ada pada kertas soalan pula amat rapat dengan murid yang banyak menulis karangan, terutamanya topik amalan membaca buku. Oleh sebab hendak seribu saya, tak hendak seribu dalih, murid yang rajin menulis karangan pasti akan menikmati hasilnya pada hari peperiksaan daripada murid yang banyak memberikan alasan untuk tidak menyiapkan tugasan karangan yang diberikan oleh guru. Lebih-lebih lagi, soalan percubaan daripada koleksi soalan percubaan Negeri Sembilan 2017 juga cocok dengan soalan sebenar 2019.

2. Karangan Umum, Bahagian B yang diuji pada tahun 2019 sangat mesra tema buku teks dan menyantuni murid. Soalan berkaitan dengan amalan membaca, pelancongan, kebersihan, industri makanan, dan ekspo pendidikan sangat jelas dipilih daripada subtajuk dalam buku teks tingkatan 4 dan 5. Soalan peranan ibu bapa dan soalan pelancongan dijangka menjadi pilihan utama calon peperiksaan di samping soalan langkah mengatasi masalah sampah. Soalan berbentuk "peranan" dan "langkah" serta "faedah" ialah soalan paling popular dalam SPM setiap tahun. Oleh hal yang demikian, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didiklah anak-anak murid kita dengan arahan yang mesra soalan peperiksaan jika mahu mendapat skor cemerlang dalam BM SPM. Tahun ini, calon SPM 2019 pasti dapat membuktikannya. 

3. Soalan rumusan dalam Kertas 2, BM SPM tahun ini merupakan lubuk emas kepada calon SPM. Maklumlah, soalannya mesra dengan kehidupan murid, yakni soalan berkaitan dengan kata kunci "peranan" yang lazimnya muncul dalam mana-mana buku rujukan, topikal, dan kertas peperiksaan percubaan. Saya bersyukur kepada Tuhan kepada rakan guru di PPD Temerloh sudi berkongsi soalan percubaan daerah untuk kegunaan latih tubi anak-anak murid kita. Oleh sebab genggam bara api, biar sanpai jadi arang, murid yang menyiapkan kesemua 25 set soalan rumusan yang saya kongsikan dalam blog dan laman sesawang Facebook pasti dapat menjawab soalan rumusan ini dengan senyuman yang puas. 

4. Soalan pemahaman tahun ini, iaitu soalan 2(a) tahun ini juga bakal menyaksikan murid mudah menjawab soalan-soalan yang diberikan. Hal ini dikatakan demikian kerana "kata kerja" dan "objek" yang diuji pasti mudah difahami oleh murid yang cemerlang, sederhana, dan sederhana lemah. Maksud rangkai kata yang diuji pada tahun ini amat mesra calon peperiksaan kerana arasnya dikatakan rendah. Saya yakin bahawa calon yang biasa menggunakan perkataan "memandang enteng" dalam penulisan dapat menjawabnya dengan baik. Soalan pemahaman dan pendapat (KBAT) juga mudah tahun ini. Jika skema jawaban dan teknikal penyemakan tidak tegas, calon SPM tahun ini pasti akan memperoleh markah yang tinggi. 

5. Soalan cerpen, prosa tradisional, dan puisi moden yang diuji pada 2019 sememangnya dalat diramalkan oleh pelbagai pihak. Kelahiran banyak Pak Nujum Belalang dalam kalangan guru bukan sahaja dapat membantu murid membuat persediaan rapi, tetapi juga soalan komsas dalam kertas-kertas percubaan se-Malaysia juga memberikan gambaran bahawa populariti tajuk cerpen Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, prosa tradisional Burung Terbang Dipipiskan Lada yang muncul dalam kebanyakan kertas peperiksaan percubaan sekolah, daerah, dan negeri tidak dapat disangkal lagi. Di sebalik itu, soalan puisi moden, iaitu Sajak WWW.SIBERMERDEKA.COM.MY yang turut tersenarai dalam soalan sasaran turut menjadi hidangan mesra kepada murid. Jika murid faham akan erti sediakan payung sebelum hujan, mereka akan membuat persiapan rapi untuk menghadapi soalan puisi kali ini. 

6. Soalan Bina ayat yang keluar pada tahun ini juga tidak mengejutkan calon peperiksaan. Hal ini dikatakan demikian kerana kertas-kertas percubaan tahun 2016, 2017, 2018, 2019 juga banyak menguji calon tentang imbuhan pinjaman. Soalan peperiksaan percubaan SM Chung Hwa, Miri, Sarawak yang mempertaruhkan istilah kata berimbuhan pinjaman pasti tersenyum mesra. Di samping itu, calon SPM 2019 yang menduduki PT3 pada tahun 2017 juga pasti mengenali fungsi imbuhan pinjaman kerana imbuhan pinjaman sudah didedahkan kepada calon PT3 sejak Tingkatan 1 lagi. Demikianlah jelasnya bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Calon SPM 2019 sepatutnya tidak menghadapi apa-apa cabaran untuk menjawab soalan bina ayat kecuali mereka tidak dapat membuktikan makna kata berimbuhan pinjaman itu dengan ayat yang mantap dan gramatis. 

7. Soalan sintaksis kali ini, soalan gabungkan ayat sudah semestinya dijangkakan kerana lama menyepikan diri daripada menjadi soalan sebenar SPM. Murid hanya perlu mengenali kata hubung yang sesuai untuk menghubungkan ayat-ayat dalam petikan yang diberikan. Dengan latih tubi yang mencukupi, saya yakin bahawa calon SPM dapat menjawab soalan ini dengan baiknya. Sebaliknya, calon yang tidak memahami erti kata hubungkan ayat dan penggunaan kata hubung akan menghadapi masalah. Pada masa yang sama, soalan gabungkan ayat adakah antara soalan yang paling popular tahun ini kerana soalan percubaan negeri Melaka, Yayasan Islam Kelantan (YIK), SM Chung Hwa Miri, Sarawak dan Perlis juga mempertaruhkan soalan gabungkan ayat. Dengan menggunakan soalan percubaan sebagai latihan saat-saat akhir, calon yang lemah jika rajin pun dapat menjawabnya dengan cemerlang.

8. Soalan kesalahan ejaan dan imbuhan serta soalan kesalahan penggunaan istilah dan bahawa tahun ini ialah kenangan paling manis buat diri saya. Hal ini dikatakan demikian kerana beberapa hari sehinggalah sehari sebelum peperiksaan sebenar, saya menggagahkan diri membuat analisis soalan sebenar SPM tahun 2005 hingga SPMU 2019 untuk membantu guru-guru dan murid-murid. Firasat saya tentang pengulangan bentuk kesalahan ejaan dan kesalahan bahasa rupa-rupanya berhasil apabila kesemua kesalahan ejaan dan kesalahan bahasa ialah kesalahan yang diuji semula. Kesalahan ejaan BM SPM 2019 ialah "masyhur" yang pernah diuji pada soalan SPMU 2014 manakala ejaan "infrastruktur" pernah diuji dalam kertas soalan SPM 2013. Sementara itu, kesalahan ejaan "kafeteria" pula pernah diuji dalam kertas BM SPM pada tahun 2009. Pada masa yang sama, kesemua kesalahan bahasa dalam soalan 3(d) sebenarnya pernah diuji pada tahun 2005, 2007, 2008, 2013, dan 2014. Bertuah tak calon SPM 2019? Tepuk dada tanyalah selera. 

9. Soalan peribahasa tahun ini juga antara soalan paling mudah jika dibandingkan dengan soalan peperiksaan BM SPM yang lalu. Hal ini dikatakan demikian kerana SPM 2019 menyaksikan peribahasa "sediakan payung sebelum hujan" (Buku Teks Ting 5, Halaman 189), "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri" (Buku Teks Ting 4) dan "seperti ulat lupakan daun"/ "seperti kacang lupakan kulit" pernah diuji dalam kertas BMSPMU 2007, SPMU 2013) dan peribahasa itu ada pada halaman 98, Buku Teks Ting 4. Kesemua analisis peribahasa dan senarainya sudah saya kongsikan kepada umum melalui blog dan laman FB. Jika sempat membuat ulang kaji, calon peperiksaan pasti dapat menjawabnya.

10. Soalan novel yang digubal untuk calon SPM 2019 ialah soalan paling popular dalam saat-saat ulang kaji. Hal ini dikatakan demikian kerana soalan peperiksaan percubaan Yayasan Islam Kelanta, Selangor, JPN Kelantan, Pulau Pinang, MRSM, Melaka, Negeri Sembilan dan soalan percubaan BM SPM daripada SMK Sungai Karangan, Kulim, Kedah berkongsi ramalan atau soalan yang sama, iaitu soalan latar tempat. Di samping itu, soalan peperiksaan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Selangor juga menguji calon dengan soalan peristiwa yang memberikan kesedaran. Oleh hal yang demikian, calon SPM tahun 2019 harus bersyukur kerana dapat menjawab soalan sebenar 2019. Guru-guru BM yang hebat di seluruh negara telah menggubal soalan yang hebat dan menepati soalan sebenar BM SPM 2019. Tahniah, teruskan usaha kalian untuk membantu anak-anak murid dengan soalan peperiksaan yang berkualiti. 

Sekian analisis soalan sebenar BM SPM 2019 dengan 10 alasan calon pasti mendapat keputusan cemerlang.

5 November 2019

ANALISIS SOALAN KESALAHAN EJAAN SPM 2005 – SPMU 2019

ANALISIS SOALAN KESALAHAN EJAAN
SPM 2005 – SPMU 2019
IMBUHAN PINJAMAN
(SPM 2005) eko-pelancongan --> ekopelancongan
(SPM 2005) semalaysia --> se-Malaysia
(SPM 2006) anti-dadah --> antidadah
(SPMU 2009 pro-aktif --> proaktif
(SPMU 2010) otomatik --> automatik
(SPM 2011) wira wati --> wirawati
(SPMU 2012) neokolonialisma --> neokolonialisme
(SPM 2012) multi etnik --> multietnik
(SPMU 2013) eko-sistem --> ekosistem
ISTILAH ASING
(SPM 2005) profesyen --> profesion
(SPM 2006) e-mail --> e-mel
(SPM 2007) prodaknya --> produknya
(SPMU 2009 sinario --> senario)
(SPM 2009) perihatin --> prihatin
(SPM 2009) kafetaria --> kafeteria
(SPM 2009) losyen --> losen
(SPM 2009) eletronik --> elektronik
(SPM 2010) ekspidisi --> ekspedisi
(SPM 2010) ambulan --> ambulans
(SPM 2011) Febuari --> Februari
(SPM 2011) deligasi --> delegasi
(SPM 2011) akedemik --> akademik
(SPMU 2012) petrolium --> petroleum
(SPM 2012) intrepretasi --> interpretasi
(SPMU 2013) pesonaliti --> personaliti
(SPM 2013) insfrastruktur --> infrastruktur
(SPM 2013) rekriasi --> rekreasi
(SPMU 2014) domistik --> domestik
(SPMU 2014) sainstifik --> saintifik
(SPM 2014) dailog - dialog
(SPM 2014) berbillion --> berbilion
(SPM 2014) ekspress --> ekspres
(SPMU 2015) domistik --> domestik
(SPM 2015) tranformasi --> transformasi
(SPM 2015) erobik --> aerobik
(SPM 2016) minerel --> mineral
(SPM 2016) spesis --> spesies
(SPMU 2017) sinareo --> senario
(SPM 2017) tiusyen --> tuisyen
(SPMU 2018) reket --> raket
(SPM 2018) sainstifik --> saintifik
(SPM 2018) komersil --> komersial
(SPMU 2019) intitusi --> institusi
(SPMU 2019) faksimili --> faksimile
(SPMU 2019) profesyen --> profesion
KATA NAMA AM/KHAS
(SPM 2006) Wakil Rakyat --> Wakil rakyat
KESELARASAN VOKAL
(SPM 2007) mendukong --> mendukung
(SPMU 2010) songkit --> songket
(SPMU 2010) tulin --> tulen
(SPM 2010) gemuroh --> gemuruh
(SPM 2011) sesaorang --> seseorang
(SPMU 2016) pasokan --> pasukan
(SPM 2016) tanjong --> tanjung
(SPMU 2017) diklamasi --> deklamasi
(SPM 2017) gelongsuran --> gelongsoran
(SPM 2017) berdidikasi --> berdedikasi
(SPM 2018) warong --> warung
KEKELIRUAN EJAAN BERIMBUHAN UMUM
(SPM 2008) mengembleng --> menggembleng
(SPMU 2009) dicampuradukan --> dicampuradukkan
(SPMU 2014) mahsyur --> masyhur
(SPMU 2015) memberansangkan --> memberangsangkan
(SPM 2015) berkahsiat --> berkhasiat
(SPMU 2016) membenteras --> membanteras
(SPM 2018) diujudkan --> diwujudkan
JARAK/RAPAT
(SPM 2007) di pantau --> dipantau
(SPM 2008) di landa --> dilanda
(SPM 2011) ibubapa --> ibu bapa
(SPMU 2012) melipat gandakan --> melipatgandakan
(SPM 2012) dibandar-bandar --> di bandar-bandar
(SPMU 2013) rekacipta --> reka cipta
(SPM 2013) jawatan kuasa --> jawatankuasa
(SPMU 2015) pasaraya --> pasar raya
(SPMU 2016) menguat kuasakan --> menguatkuasakan
(SPMU 2017) was-was --> waswas
(SPMU 2018) suratkhabar --> surat khabar
Saya berharap agar perkongsian analisis di atas dapat memberikan gambaran awal atau ramalan trend dan paten soalan kesalahan ejaan dalam BM SPM. Saya berdoa agar kejayaan milik semua murid kita.
Salam sukses!
Cikgu Tan CL

2 November 2019

ANALISIS PERIBAHASA 2004 - 2020 (SPMU) (100% DARIPADA BUKU TEKS TINGKATAN 4 & 5)

ANALISIS PERIBAHASA 2004 - 2020 (KEMAS KINI SPM ULANGAN)
(100% DARIPADA BUKU TEKS TINGKATAN 4 & 5)
Untuk membantu murid-murid dalam mengenal pasti peribahasa yang terdapat dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4, yang berikut disenaraikan peribahasa tersebut dengan muka suratnya sekali:
1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. (m/s 10) (SPM 2004)
Dengan adanya kerjasama dalam masyarakat, keadaan masyarakat itu akan menjadi kuat dan sebarang pekerjaan dapat dilaksanakan dengan mudah.
2. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. (m/s 10 & 166) (SPM 2004)
Susah dan senang harus ditanggung bersama-sama.
3. Darah daging. (m/s 10)
Anak yang ada pertalian darah dengan ibu atau bapanya. Adat atau sesuatu kelaziman pada sesuatu kaum ataupun seseorang.
4. Seperti lembu dicucuk hidung. (m/s 166) (SPM 2014)
Orang bodoh yang mengikut perintah sahaja.
5. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. (m/s 166) (SPM 2009)
Generasi pelapis yang akan memikul tanggungjawab terhadap negara pada masa depan dan masing-masing mempunyai peranan yang sama penting.
6. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. (m/s 166)
Seimbang dari segi kedudukan dan sama tarafnya.
7. Jika melentur buluh biarlah dari rebungnya. (m/s 174 & 176)
Jika hendak mendidik anak hendaklah bermula sejak kecil lagi.
8. Tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. (m/s 174)
Hajat atau harapan yang begitu besar.
9. Genggam bara api biar sampai jadi arang. (m/s 174) (SPMU 2016)
Apabila melakukan sesuatu pekerjaan, hendaklah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan diusahakan sehingga berjaya.
10. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. (m/s 174) (SPM 2014)
Sesuatu keputusan bergantung pada diri sendiri untuk melakukannya.
11. Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. (m/s 234)
Sesuatu yang sentiasa dikenang atau diingati dan sukar untuk dilupakan.
Di samping itu, peribahasa yang terdapat dalam buku teks Bahasa Melayu tingkatan 5 pula ialah:
12. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. (m/s 3) (SPM 2016)
Setiap keinginan tentu ada cara untuk mencapainya.
13. Lintah darat. (m/s 15)
Peminjam wang yang mengenakan faedah yang tinggi pada peminjam.
14. Jauh perjalanan luas pengalaman. (m/s 80) (SPM 2009) (SPMU 2018)
banyak berjalan luas pengalaman. (m/s 252)
Semakin banyak pengalaman baru yang diperoleh jika kita pergi ke tempat orang.
15. Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. (m/s 91 & 116) (SPM 2004) (SPM 2012)
Sikap bersatu padu yang mementingkan semangat tolong-menolong antara satu sama lain.
16. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni. (m/s 98) (SPM Ulangan 2007) (SPMU 2015)
Susah dan senang harus ditanggung bersama-sama
17. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. (m/s 15 & 98)
Jika ada perpaduan, rakyat akan menjadi kuat, dan kalau berpecah belah, negara akan hancur.
18. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. (m/s 98) (SPM 2008)
Sikap bersatu padu yang mementingkan semangat tolong-menolong antara satu sama lain.
19. Seperti kacang lupakan kulit. (m/s 98) (SPM Ulangan 2007) (SPMU 2013)
Orang yang tidak tahu mengenang budi.
20. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. (m/s 98) (SPM Ulangan 2007) (SPMU 2017)
Susah dan senang harus ditanggung bersama-sama.
21. Di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. (m/s 99) (SPM 2015)
Perlu mengikut adat dan kepercayaan tempat kita berada pada masa itu.
22. Masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. (m/s 99) (SPMU 2019)
Walau di mana sekalipun kita berada, kita hendaklah mengikut cara hidup masyarakat di mana kita menetap kerana setiap masyarakat mempunyai adat resam serta cara hidup mereka yang tertentu.
23. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua. (m/s 99) (SPM 2017)
Orang yang bermuafakat akan tetap setia antara satu dengan yang lain (jika seorang mendapat kesusahan, yang lain turut sama merasakannya.
24. Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang. (m/s 114, 115, 116 & 216) (SPMU 2008) (SPM 2014)
Seseorang itu perlu berusaha untuk memperoleh sesuatu.
25 Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. (m/s 114)
Kalaulah kita hendakkan sesuatu kejayaan atau kesenangan, kita hendaklah sanggup menempuh kesusahan dan juga bekerja dengan cara yang bersungguh-sungguh.
26. Rajin dan usaha tangga kejayaan. (m/s 114) (SPM 2010)
Kejayaan akan dicapai jika disertai dengan usaha dan kerajinan.
27. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. (m/s 115) (SPM 2012)
Sikap berjimat-cermat akan membolehkan seseorang itu menjadi kaya-raya.
28. Bak cendawan tumbuh selepas hujan. (m/s 115) (SPMU 2019)
Sesuatu perkara yang terlalu banyak pada satu-satu masa.
29. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. (m/s 116) (SPM Ulangan 2007) (SPMU 2017)
Bersusah payah terlebih dahulu supaya dapat mengecap kesenangan pada masa akan datang..
30. Sediakan payung sebelum hujan. (m/s 189)
Hendaklah bersiap sedia dan beringat-ingat sebelum mendapat kesusahan.
31. Memerah otak. (m/s 115)
Memikirkan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh.
32. Genggam bara api, biarlah sampai jadi arang. (m/s 215) (SPMU 2016)
Melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya.
33. Bagai aur dengan tebing. (m/s 115) (SPM 2010)
Saling membantu antara satu sama lain.
34. Mencari jalan. (m/s 115)
Mencari ikhtiar untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
35. Biar mati anak, jangan mati adat. (m/s 179 & 265)
Sikap menghormati dan sayangkan adat tradisi itu lebih daripada menghormati dan menyayangi anak sendiri.
EDISI KEMAS KINI
ANALISIS SENARAI PERIBAHASA BM SPM
YANG PERNAH KELUAR DALAM
SOALAN SEBENAR (SPM 2006) - (SPMU 2019)
Kebanyakan soalan SPM sebenar dan SPM Ulangan menggunakan peribahasa yang ada dalam buku teks. Selain itu, banyak peribahasa yang diulang pakai dalam soalan SPM. Pandai-pandailah apabila membuat ulang kaji.
SPM 2006
(i) bahasa jiwa bangsa / bahasa menunjukkan bangsa / hilang bahasa lenyaplah bangsa
(ii) hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
(iii) mata pena lebih tajam daripada pedang
SPMU 2007
(i) seperti ulat lupakan daun / seperti kacang lupakan kulitnya
(ii) ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni / berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
(iii) berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
SPM 2007
(i) bahasa jiwa bangsa
(ii) bagai dakwat dengan kertas
(iii) seperti air dalam kolam
SPMU 2008
(i) Durian runtuh/ Yang bulat dating bergolek, yang pipih datang melayang/ Tuah ayam Nampak di kaki, tuah ayam siapa yang tahu.
(ii) berani kerana benar, takut kerana salah
(iii) sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
SPM 2008
(i) bagai menatang minyk yang penuh
(ii) benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau
(iii) hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
(SPMU) 2009
(i) tiada rotan, akar pun berguna
(ii) menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri
(iii) kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya
SPM 2009
(i) masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
(ii) pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara
(iii) jauh perjalanan luas pemandangan
SPMU 2010
(i) bagai lebah menghimpun madu
(ii) seperti si buta baru celik
(iii) kemenyan sebesar lutut; jika tidak dibakar, tidak akan berbau
SPM 2010
(i) aur dengan tebing
(ii) usaha tangga kejayaan
(iii) muafakat membawa berkat
SPMU2011
(i) besar pasak daripada tiang
(ii) cepat kaki ringan tangan
(iii) pantang berundur sebelum berjuang
SPM 2011
(i) bagai pinang dibelah dua / bagai cincin dengan permata
(ii) bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi
(iii) seperti belut pulang ke lumpur / seperti ikan pulang ke lubuk
SPMU2012
(i) buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
(ii) jika asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau
(iii) terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya
SPM 2012
(i) membaca jambatan ilmu
(ii) sehari selembar penang, lama-lama menjadi kain
(iii) bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
SPMU2013
(i) harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama
(ii) seperti kacang lupakan kulit / seperti ulat lupakan daun
(iii) hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa
SPM 2013
(i) Tiada beban batu digalas
(ii) dalam tangan
(iii) Belakang parang jika diasah lagikan tajam.
SPMU2014
(i) bagaimana acuan, begitulah kuihnya
(ii) terang hati
(iii) ringan tulang
SPM 2014
(i) Seperti kerbau dicucuk hidung/ Pak turut/ Ikut telunjuk
(ii) Pendayung sudah ditangan, perahu sudah di air.
(iii) Durian runtuh/ Yang bulat dating bergolek, yang pipih datang melayang/ Tuah ayam Nampak di kaki, tuah ayam siapa yang tahu.
SPMU2015
(i) berat sama dipikul, ringan sama dijinjing / ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
(ii) sesal dhulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya / sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan
(iii) rumah sudah pahat berbunyi / rumah siap pahat berbunyi
SPM 2015
(i) Seperti embun di hujung rumput / seperti abu di atas tunggul
(ii) Bagai pinang dibelah dua / bagai cincin dengan permata
(iii) Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak / di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjunjg
SPMU2016
(i) kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan
(ii) enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing
(iii) genggam bara api, biar sampai jadi abu
SPM 2016
(i) di mana ada kemahuan, di situ ada jalan
(ii) indah khabar daripada rupa
(iii) alah bisa tegal biasa
SPMU2017
(i) berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
(ii) berani kerana benar, takut kerana salah
(iii) harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama
SPM 2017
(i) bermuka dua/talam dua muka/ bermuka-muka
(ii) murah hati
(iii) ibarat telur sesangkal , pecah sebiji, pecah semua/seperti telur dua sebandung, pecah satu, pecah keduanya
(iv) kerana nila setitik, rosak susu sebelanga/seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit
SPMU 2018
(i) jauh perjalanan, luas pemandangan
(ii) malu bertanya sesat jalan, malu berkayuh hanyut perahu
(iii) mandi peluh
SPM 2018
(i) belut pulang ke lumpur / ikan pulang ke lubuk / sirih pulang ke gagang / berapa tinggi terbang bangau akhirnya hinggap di belakang kerbau juga / setinggi-tinggi terbang bangau, hinggap ke bubungan juga / pinang pulang ke tampuk
(ii) alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan / alang-alang berdakwat biar hitam / alang-alang berminyak biar licin / genggam bara api biar sampai jadi arang
(iii) bagaimana acuan, begitulah kuihnya / bapa borek, anak rintik semuanya
SPMU 2019
(i) seperti cendawan tumbuh selepas hujan
(ii) ada gula ada semut
(iii) masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak.
SPM 2019
(i) sediakan payung sebelum hujan
(ii) hujan emas di negeri orang, hujan batu (lembing) di negeri sendiri, lebih baik (baik juga/baik lagi) di negeri sendiri
(iii) (seperti) kacang lupakan/melupakan  kulit/syurga di bawah telapak/tapak kaki ibu / seperti ulat lupakan daun
SPMU 2020 
(i) khabar angin
(ii) Usaha tangga kejayaan/genggam
(iii) Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

SPM 2020
(AKAN DATANG PADA 22 FEBRUARI 2021)
Saya berharap agar perkongian ini memanfaatkan semua.

ANALISIS JENIS KESALAHAN BAHASA DALAM SOALAN 3 - TATABAHASA (BAHAGIAN 3(d)) BM SPM 2005 – 2019

ANALISIS JENIS KESALAHAN BAHASA
DALAM SOALAN 3 - TATABAHASA (BAHAGIAN 3(d))
BM SPM 2005 – 2019

KATA SENDI NAMA
(SPM 2005) bergayut di dinding --> bergayut pada dinding
(SPM 2006) Selain daripada --> lain daripada / selain
(SPM 2006) di dalam pelbagai bidang --> dalam pelbagai bidang
(SPM 2007) sebahagian dari pekerja --> sebahagian daripada pekerja
(SPM 2008) lain-lain kawasan --> kawasan-kawasan lain
(SPMU 2009) Selain daripada --> lain daripada / selain
(SPM 2009) di dalam jangka masa panjang --> dalam jangka masa panjang
(SPM 2009) dikenakan pada pegawai --> dikenakan kepada pegawai
(SPMU 2010) di antara matlamat --> antara matlamat
(SPMU 2012) bagi --> kepada
(SPMU 2013) dari merompak --> daripada merompak
(SPM 2013) kerjasama di antara negara --> kerjasama antara negara
(SPM 2014) di suatu masa --> pada suatu masa
(SPMU 2015) berkisar terhadap --> berkisar tentang
(SPM 2016) berpindah di tempat --> berpindah ke tempat
(SPMU 2017) daripada Jepun --> dari Jepun
(SPM 2017) untuk --> kepada
(SPM 2018) di dalam --> ke dalam

KELEWAHAN BAHASA
(SPM 2006) stesen minyak-stesen minyak --> stesen-stesen minyak
(SPM 2007) keseluruhan penduduk-penduduk --> keseluruhan penduduk
(SPMU 2009) kertas kerja-kertas kerja --> kertas-kertas kerja
(SPMU 2010) sejak daripada dulu --> sejak dulu / dari dulu
(SPM 2010) sederetan rumah-rumah --> sederetan rumah
(SPMU 2011) sebahagian peserta-peserta --> sebahagian peserta
(SPMU 2011) menerangkan tentang --> menerangkan
(SPMU 2011) saling bantu-membantu --> saling membantu / bantu-membantu
(SPM 2011) koleksi lagu-lagu --> koleksi lagu
(SPMU 2012) umpama sebagai rumah --> umpama rumah/sebagai rumah
(SPM 2012) kebanyakan murid-murid --> kebanyakan murid
(SPM 2013) ramai murid-murid --> ramai murid
(SPMU 2014) selain daripada --> selain / lain daripada
(SPM 2014) beberapa langkah-langkah --> beberapa langkah
(SPMU 2015) semua murid-murid --> semua murid
(SPM 2015) pelbagai insentif-insentif --> pelbagai insentif
(SPMU 2016) beralaskan dengan surat khabar --> beralaskan surat khabar / beralas dengan surat khabar
(SPM 2016) ketua jabatan-ketua jabatan --> ketua-ketua jabatan
(SPMU 2017) demi untuk --> demi/untuk
(SPM 2017) lain-lain inisiatif --> inisiatif-inisiatif lain
(SPM 2018) antara agensi-agensi --> antara agensi
(SPMU 2018) anak yatim-anak yatim --> anak-anak yatim

FRASA KERJA PASIF
(SPM 2008) diperoleh oleh saya --> saya peroleh
(SPM 2010) pemilik-pemilik rumah alami --> dialami oleh pemilik-pemilik rumah
(SPM 2011) guru mereka berikan --> diberikan (oleh) guru mereka
(SPM 2014) dikagumi oleh saya --> saya kagumi
(SPMU 2016) remaja lakukan --> dilakukan oleh remaja
(SPMU 2018) rakyat kecapi --> dikecapi oleh rakyat
(SPMU 2019) pihak polis panggil --> dipanggil oleh pihak polis

PERIMBANGAN KATA
(SPMU 2014) dari masa ke semasa --> dari semasa ke semasa / dari masa ke masa

KATA GANTI NAMA
(SPMU 2009) mana --> mana-mana
(SPMU 2016) bila --> apabila

KATA HUBUNG
(SPM 2008) Hasrat Aiman supaya menyertai --> Hasrat Aiman untuk menyertai
(SPM 2009) berkesan supaya mencegah --> berkesan untuk mencegah
(SPM 2010) ke tempat kejadian supaya memadamkan api --> ke tempat kejadian untuk memadamkan api
(SPM 2011) sama ada...... dan --> sama ada......atau
(SPMU 2012) yang --> bahawa
(SPMU 2013) supaya --> untuk
(SPMU 2014) yang --> bahawa
(SPM 2015) malahan --> tetapi
(SPMU 2017) yang --> bahawa
(SPM 2017) sama ada...... dan --> sama ada......atau
(SPMU 2018) supaya --> yang
(SPM2018) bahawa --> agar
(SPMU 2019) untuk --> agar

KATA BILANGAN / PENJODOH BILANGAN
(SPM 2005) berbanyak-banyak terima kasih --> berbanyak-banyak terima kasih
(SPM 2007) setengah pihak --> sesetengah pihak
(SPM 2015) berapa --> beberapa
(SPMU 2019) helai stoking --> pasang stoking

KATA PENGUAT
(SPM 2011) paling terindah--> terindah / paling indah

HUKUM DM
(SPMU 2015) rebus ubi --> ubi rebus
(SPM 2016) negara terbit matahari --> negara matahari terbit

KATA NAFI
(SPMU 2013) bukan baik --> tidak baik

KESALAHAN TATABAHASA YANG PALING POPULAR DALAM SPM
(1) UNSUR KELEWAHAN BAHASA
(a) banyak murid-murid --> banyak murid/murid-murid
(b) senarai nama-nama --> senarai nama
(c) mengumpulkan maklumat-maklumat --> mengumpulkan maklumat

(2) kata bilangan
(a) beberapa murid --> beberapa orang murid
(b) kedua-dua ibu bapa --> kedua-dua orang ibu bapa
(c) satu setengah jam --> satu jam setengah

(3) kata sendi nama
(a) di dalam peperiksaan --> dalam peperiksaan
(b) antara Ali dan Abu --> antara Ali dengan Abu
(c) surat dari ibu --> surat daripada ibu

(4) kata hubung
(a) .. sama ada membeli buku dan beg --> sama ada membeli buku atau beg
(b) ... oleh kerana --> kerana / oleh sebab
(c) ... jika sekiranya --> jika / sekiranya

(5) kata kerja pasif diri pertama dan kedua
(a) .... dibaca oleh saya --> saya baca
(b).... diambil oleh kamu --> kamu ambil
(c).... dilaksanakan oleh tuan hamba --> tuan hamba laksanakan

(6)kata kerja pasif diri ketiga
(a)..... mereka laksanakan --> dilaksanakan oleh mereka
(b) .... kerajaan perkenalkan --> diperkenalkan oleh kerajaan
(c)..... ibu masak --> dimasak oleh ibu

(7) Hukum DM
(a) asam laksa --> laksa asam
(b) mini bas --> bas mini
(c) kain sutera batik --> kain batik sutera

(8) perimbangan kata
(a) dari hari ke sehari --> dari hari ke hari / dari sehari ke sehari
(b) memandang ke kiri dan kanan --> memandang ke kiri dan ke kanan
(c) dari masa ke semasa --> dari masa ke masa / dari semasa ke semasa

(9) kata ganti nama diri
(a) .... “kita” dengan “kami”
(b) .... “hamba” dengan “patik”
(c) ....ianya  ia / nya / dia

(10) kata tanya --> kata ganti nama tak tentu
(a) bila --> apabila
(b) di mana --> di mana-mana
(c) berapa --> beberapa

Saya berdoa agar semua calon SPM 2019 akan memperoleh kejayaan!