Masyarakat Malaysia kini mula sedar akan kepentingan mengamalkan gaya
hidup sihat dalam usaha menjaga kesihatan diri.
Jelaskan amalan gaya hidup sihat ini.
[30 markah ]
Gaya hidup sihat dikaitkan dengan konsep mengamalkan satu corak
kehidupan yang baik dalam diri seseorang itu. Antara contoh gaya hidup sihat
ini meliputi aspek pemakanan yang betul dan mengamalkan senaman yang berkala.
Media massa telah banyak kali menyiarkan berita tentang gaya hidup sihat ini
kerana sudah ada kajian yang menyatakan bahawa kadar obesiti dalam kalangan
rakyat Malaysia semakin bertambah. Jelaslah, ada banyak gaya hidup sihat yang
boleh diamalkan oleh masyarakat Malaysia.
Aspek pemakanan yang seimbang menjadi penentu dalam menjalani satu
kehidupan yang sihat. Rakyat telah banyak kali diingatkan bahawa mereka
hendaklah mengambil diet yang betul terutama mengutamakan sayur-sayuran dan
buah-buahan dalam diet mereka itu. Pemakanan yang seimbang memastikan tubuh
badan menerima semua khasiat yang diperlukan untuk menangkis kehidupan zaman
moden yang penuh dengan masalah ini. Jadi, diet yang baik menjadikan kehidupan
seseorang manusia itu lebih sihat untuk jangka masa yang panjang.
Selain itu, pemeriksaan doktor yang berkala untuk menjamin satu
kehidupan yang sihat. Langkah ini baik untuk diamalkan agar pemeriksaan
yang dijalankan oleh pihak doktor itu mampu untuk mengesan sebarang simpton
awal penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia pula. Kejayaan mengesan
penyakit berbahaya pada peringkat awal memastikan cara pencegahan dan rawatan
yang terperinci mendatangkan impak yang positif kepada kesihatan seseorang itu.
Sesungguhnya, sikap suka bertemu dengan doktor menjadi satu ciri utama untuk
menjalani kehidupan yang sihat.
Bukan sahaja diet yang seimbang dan pemeriksaan doktor tetapi senaman
yang berjadual juga memainkan peranan utama dalam kehidupan yang sihat. Senaman
setiap pagi atau petting menjamin peluh keluar daripada badan dengan banyaknya.
Keadaan ini menyebabkan semua toksik badan keluar dan tekanan stres yang
dialami terus dapat dihilangkan jua. Oleh itu, senaman menjadi aktiviti yang
paling baik untuk memiliki satu gaya hidup yang baik buat manusia.
Sementara itu, rehat yang cukup juga memainkan peranan penting dalam
gaya hidup yang sihat ini. Manusia perlulah berehat antara 6-8 jam sehari
dengan tidur yang berkualiti dan juga kaedah rehat yang lainnya. Manusia
memerlukan rehat kerana ketika rehat inilah seluruh sistem badan manusia akan
mampu memulihkan tenaganya untuk meneruskan kehidupan pada esok harinya. Jadi,
rehat yang meliputi tindakan yang berbeza daripada kebiasaan yang dilakukan
oleh seseorang itu boleh memberi pemulihan tenaga yang amat diperlukan oleh
badan manusia.
Aspek pemikiran minda juga hendaklah positif jika manusia ingin memiliki
gaya hidup yang sihat ini. Pemikiran positif ini penting kerana kehidupan zaman
modern begitu banyak tekanan baik di pejabat dan juga di rumah bersama-sama
alam kebendaan yang begitu ketara itu. Mereka yang memahami diri sendiri dan
melihat sesuatu peristiwa itu dengan persepsi yang positif sudah pasti akan
mampu menerima cabaran hidup dengan lebih matang lagi rasional. Sesungguhnya,
minda yang positif sahaja mampu mengatasi tekanan kehidupan moden yang begitu
mendesak ini.
Kesimpulannya, semua langkah tadi membuktikan satu gaya hidup yang sihat
boleh dicapai oleh manusia. Kerjasama semua amat diperlukan terutama kesedaran
diri sendiri agar kesihatan menjadi keutamaan dalam hidup semua pihak. Kegagalan
untuk bertindak dengan segera bakal menyaksikan masyarakat kita searing dilanda
penyakit demi penyakit yang boleh membawa impak buruk pula. Slogan badan cergas
otak cerdas membuktikan betapa pentingnya aspek kesihatan dalam diri manusia
yang ingin sejahtera kehidupannya.
4 comments:
minta izin kongsi karangan ni bersama pelajar.terima kasih
Terima kasih..kerana share karangan ini..saya dapat siap kan kerja sekolah saya
Makasihh
๐๐๐
Post a Comment