Sememangnya tidak
dapat dinafikan bahawa bangunan-bangunan pencakar
langit yang megah berdiri
di Malaysia telah berjaya mengangkat nama Malaysia, iaitu sebuah negara
membangun di persada antarabangsa. Tempias arus deras globalisasi yang
melanda dunia pada hari ini turut dirasai oleh masyarakat pascamoden di
Malaysia, sehingga rata-rata daripada komuniti kita bersifat lebih mementingkan
kejayaan dan kecemerlangan berbanding kesihatan diri kita sendiri. Harus
diingat bahawa kesihatan merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya,
malahan pepatah Inggeris ada mengungkapkan bahawa kesihatan adalah kekayaan kerana seandainya kita jatuh sakit,
kita tidak dapat merasai nikmat dunia. Menyedari hakikat ini, kita
haruslah mengambil langkah-langkah pragmatik bagi menjalani kehidupan yang
sihat.
Kunci utama kepada kesihatan tubuh badan ialah kita seharusnyamengamalkan
pemakanan secara seimbang berlandaskan
piramid makanan yang disarankan oleh pakar-pakar kesihatan . Hal ini
demikian kerana kuantiti atau kadar makanan yang kita ambil sehari-hari akan
mempengaruhi tahap kesihatan kita pada masa hadapan. Setiap
makanan mengandungi gizi atau khasiat yang berbeza-beza, penting untuk tubuh
badan dan harus diambil secara seimbang. Biar saya mengemukakan contoh,
karbohidrat perlu diambil dalam kuantiti yang banyak kerana nutrien ini
membekalkan tenaga kepada tubuh badan kita. Sementelahan itu, sayur-sayuran
dan buah-buahan wajar diambil dalam kuantiti yang agak banyak kerana makanan
tersebut merupakan sumber fiber atau serat dan vitamin yang merupakan
elemen-elemen penting dalam mengekalkan kesihatan badan. Sehubungan
dengan itu, kita juga disarankan agar minum air sekurang-kurangnya 8 gelas
sehari kerana proses biokimia dalam tubuh kita memerlukan air bagi
melancarkannya. Protein dan lemak sepatutnya dikawal atau dihadkan
pengambilannya bagi mengelakkan masalah kesihatan yang kronik seperti obesiti,
penyakit kardiovaskular dan diabetes. Tegasnya, amalan pemakanan
secara seimbang dapat menyihatkan tubuh badan kita.
Selain itu, kita harus menjalani kehidupan yang sihat dengan bersenam dan bersukan sekurang-kurangnya selama 30 minit dan
dilakukan tiga kali seminggu. Aktiviti riadah seperti bermain badminton,
bersenam di taman rekreasi bersama dengan keluarga dan berenang dapat
meningkatkan stamina dan ketahanan fizikal seseorang. Sejajar dengan isu
ini, Nabi Muhammad SAW
sendiri pernah bersabda, “ajarlah anakmu berenang, memanah dan menunggang
kuda”, yang secara izharnya menunjukkansignifikan atau peri pentingnya aktiviti riadah
ini. Setelah bersukan, kita akan mendapati bahawa kita mengalami
perpeluhan serta berasa lebih sihat dan cergas. Badan kita semestinya
akan menjadi lebih aktif setelah mengeluarkan toksin dari dalam badan melalui
proses perkumuhan tersebut. Pada waktu malam, kita akan berasa letih
serta ingin mendapatkan rehat
yang secukupnya melalui tidur. Impaknya, kita tentunya akan dapat
tidur dengan nyenyak dan tidaklah mengalami penyakit insomnia, iaitu sejenis
penyakit yang menyebabkan pesakitnya sukar tidur malam. Justifikasinya, melalui gaya
hidup sihat seperti bersenam dan berehat dengan secukupnya, kita dapat
menghindarkan diri daripada menghidapi pelbagai jenis penyakit.
Cara-cara menjalani kehidupan yang sihat tidak sekadar berhenti di situ.
Bagi memastikan tubuh badan kita sihat, kita perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya tiga
bulan sekali. Pendekatan ini adalah sangat penting bagi mengesan dan
mengenal pasti sebarang penyakit yang kita hadapi sama ada kita sedar ataupun
tidak. Langkah ini merupakan langkah awal yang sinonim dengan memoir peribahasa
Melayu yang berbunyi sediakan
payung sebelum hujan. Sebelum penyakit berbahaya bersarang dan
bermaharajalela dalam tubuh badan kita, doktor dapat mencegah penyakit itu
daripada terus membelenggu diri kita. Sesungguhnya, bijak pandai
ada mengungkapkan bahawa mencegah
adalah lebih baik daripada mengubati. Deduksinya, pemeriksaan
kesihatan secara berkala mampu menjamin kesihatan tubuh badan kita.
Sebagai intihanya,
setiap lapisan masyarakat di Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup yang sihat
dalam kehidupan seharian mereka. Sesungguhnya, kita harus sedar bahawa
kesihatan tidak dapat dibeli oleh emas dan permata. Dalam kesibukan dan
keghairahan kita mengejar kemewahan dunia, aspek kesihatan perlu
dititikberatkan dan diambil kira bagi menjamin kebahagiaan hidup kita di bumi
yang fanaini.
Peribahasa Melayu ada menyebut bahawa sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya, yang cuba menyedarkan
masyarakat supaya lebih mengutamakan kesihatan diri sebelum penyakit datang
menyinggah agar tidak menyesal pada hari kemudian. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur,
baru amalan gaya hidup sihat mahu dipraktikkan. Harus kita sedar bahawa
penjagaan kesihatan merupakan pelaburan yang menguntungkan bagi menjamin
kehidupan hari esok yang lebih sejahtera.
No comments:
Post a Comment