Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

7 March 2009

Bahasa Malaysia, Bahasa Perdana!

“Patutlah bahasa Melayu dilayakkan dari selangkah ke selangkah lagi bagi penggunaan yang lebih maju, lebih besar dan lebih tinggi pula.”
Demikianlah petikan kata-kata mutiara Pendeta Za'ba. Bahasa Malaysiaku kini sudah menjadi bahasa antarabangsa dan ternyata penyebarluasannya ke seantero jagatraya. Hal ini dapat diyakini dengan adanya pertandingan bertaraf antarabangsa bertemakan bahasa Melayu seperti yang telah diadakan.
Semalam, pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2009 telah diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan disaksikan oleh penonton dari seluruh dunia apakala siaran ini disalurkan kepada penonton secara langsung. Saksikanlah wahai anak muridku, orang asing sedang berusaha mempelajari bahasa kita, kenapa tidak kita!
Tepuk dada, tanya selera.


Peserta bernama Ayleen O Hanlo (Nur) dari Australia

Peserta Shavira Alaydrus (Shafira) dari Belanda.

Sesungguhnya, harus diingat, bahasa itu jiwa bangsa. Dalam konteks negara Malaysia, penguasaan bahasa asing tidak seharusnya dilihat melunturkan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri. Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjawab mengantarabangsakan dan mengangkasakan bahasa kita, bahasa Malaysia. Jika tidak, hilang bahasa, lenyaplah bangsa! Bahasa Melayu yang mementingkan kesopanan dan kesusilaana haruslah dicintai, dihargai, dan terus dikuasai. Hal ini berlaku demikian kerana bahasa menunjukkan bangsa!

3 March 2009

Kesalahan Ejaan yang Kerap dilakukan oleh Pelajar

Dalam karangan pelajar yang saya semak, rata-rata melakukan kesalahan yang agak sama. Walau bagaimanapun, saya telah membuat satu kajian dan mendapat kesalahan tersebut berpunca daripada:
i) Kesalahan sejak sekolah rendah
ii) Tidak membaca karangan yang telah disemak oleh guru, terutamanya kesalahan ejaan.
iii) Membaca buku berbahasa Melayu yang salah sehingga mudah mempercayai dan menggunakan ejaan tersebut.
iv) Kesalahan sari kata dalam filem, drama , dan rancangan menerusi televisyen yang dibaca dan terus dipercayai.
v) guru subjek Bahasa Melayu sendiri membuat kesalahan sehingga anak murid mereka pun buat salah.


Berikut ialah kesalahan ejaan paling popular yang sering dilakukan oleh pelajar:
KESALAHAN..........................-->PEMBETULAN
i) *Kebanyakkan........................... kebanyakan
ii) *berkerjasama............................bekerjasama
iii) *kadang-kala..............................kadangkala
iv) *penyalah gunaan......................penyalahgunaan
v) * Disamping itu............................Di samping itu
vi) *kerosakkan...............................kerosakan
vii) *anti-merokok...........................antimerokok
viii) *serious...................................... serius
ix) *terguris........................................tergores
x) *seringkali .....................................sering kali
xi) *biadap.........................................biadab
xii) *television....................................televisyen
xiii) *penguatkuasa............................penguat kuasa
xiv) *dairi ............................................diari
xv) *barang kali...................................barangkali
xvi) *mengulangkaji.............................mengulang kaji
xvii) *menyosalsiasat...........................menyoal siasat
xviii) *bersatu-padu............................bersatu padu
xix) *ibu-bapa......................................ibu bapa
xx) *pasca kemerdekaan...................pascakemerdekaan


Kesimpulannya, insaflah wahai pelajarku! Janganlah membuat kesalahan kecil sebegini yang akhirnya menyusahkan adiri anda sendiri kerana setiap kesalahan ejaan dalam karangan akan ditolak markah.

2 March 2009

Peribahasa yang Mempunyai Maksud Pertentangan untuk Kegunaan Menulis Karangan

Sejak akhir-akhir ini, penggunaan peribahasa mekar mengharum semula apabila wangiannya dapat dihidu oleh golongan pelajar, terutamanya dalam tugasan penulisan. Daripada perspektif saya, penggunaan peribahasa dapat dipelbagaikan dan divariasikan dalam karangan untuk menarik perhatian pemeriksa kertas peperiksaan. Hal ini berlaku demikian kerana skema peperiksaan dengan jelas meletakkan kriteria karangan 80 markah ke atas. Adakah anda tidak percaya? Lihat jadual di bawah:



Baiklah, saya tidak akan membuang masa lagi. Kita lihat isi peribahasa yang bertentangan maksudnya dalam petikan karangan contoh di bawah:.


Soalan: Punca kes buli meningkat di sekolah.

Pada pendapat saya, kes buli berlaku di sekolah dan semakin hari semakin leluasa keran kelonggaranan kawalan disiplin di sekolah. Hal ini berlaku demikian kerana peranan pengawas sebagai "polis sekolah" sudah basi dan ketinggalan zaman. Lebih-lebih lagi apabila mereka dikatakan menjalankan tugas secara melepaskan batuk di tangga. Oleh hal yang demikian, pelajar terus bermaharajalela di kawasan sekolah sekali gus menyebabkan kes buli mencatatkan peningkatan bak cendawan tumbuh selepas hujan.


SOALAN: Langkah mengatasi kes buli di sekolah.

Oleh sebab kes buli yang sudah menjadi buah mulut masyarakat yang meniti dari bibir ke bibir, sudah sampai masanya pihak sekolah menjalankan peranan untuk membanterasnya. Hal ini berlaku demikian kerana pihak sekolah harus memegang prinsip genggam bara api, biar sampai jadi abu. Kawalan disiplin yang ketat memang sukar dilaksanakan tetapi tidak mustahil. Oleh sebab itu, badan pengawas dan guru disiplin harus diberi kuasa autoriti untuk menangkap pelajar yang disyaki membuli pelajar yang lain. Jika kerjasama yang utuh antara pihak pentadbir sekolah dengan badan pengawas diimplementasikan, nescaya kita dapat mengurangkan gejala sosial sehingga akar umbinya. Oleh hal yang demikian, usaha ini mestilah dijalankan dengan berpaksikan prinsip di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.


Kini, dengan berpandukan isi contoh di atas, anda boleh membuat latihan sendiri. Karangan anda bolehlah dikirimkan kepada saya melalui e-mel untuk disemak. Tajuk karangan adalah bebas, tetapi mestilah menggunakan kedua-dua peribahasa di bawah:


Senarai Peribahasa yang Berlawanan


i) bagai aur dengan tebing berlawanan dengan peribahasa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

ii) usaha tangga kejayaan berlawanan dengan peribahasa malas bergarit, perut perit

iii) alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan berlawanan dengan peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

iv) bersatu kita teguh, bercerai kita roboh berlawanan dengan maksud jong pecah yu kenyang

v) sediakan payung sebelum hujan berlawanan dengan peribahasa nasi sudah menjadi bubur

Secara tuntas, saya berharap para pelajar dapat belajar menulis karangan dengan baik. Penulisan karangan yang baik akan membantu pelajar mempertingkatkan markah dalam subjek Bahasa Melayu. Ingatlah wahai pelajarku, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain mestilah menjadi prinsip pelajar dalam mempelajari teknik penulisan.

1 March 2009

Kebijaksaan Bermain dengan Kata dan Frasa dalam Karangan

Sebagai seorang pendidik, saya sentiasa berharap agar pelajar saya sukses dalam peperiksaan, terutamanya dalam aspek penulisan. Dalam kajian yang saya jalankan waima pengalaman sebagai guru, karangan pelajar biasanya sama dari segi isi penting. Sebagai contoh, jikalau ada soalan karangan yang meminta pelajar menulis karangan bertajuk langkah-langkah mengurangkan kemalangan jalan raya, maka berikut ialah isi yang biasanya ditulis:


Langkah mengurangkan kasar kemalangan.
(a) Kerajaan - Penguatkuasaan undang-undang lalu lintas
(b) Sekolah - Pendidikan tentang keselamatan lalu lintas disalurkan sejak kecil
(c) Pemandu - Memeriksa keadaan kenderaan secara berjadual atau berkala
(d) Media massa - Menjalankan kempen keselamatan di jalan raya
(e) Pihak Swasta - memperbaik keadaan lebuh raya dan menaik taraf jalan.


Daripada pengalaman saya juga, apabila menulis karangan yang berkaitan dengan masalah sosial, berikut ialah isi pentingnya.


Langkah Mengurangkan Gejala Sosial
(a) Kerajaan - Penguatkuasaan undang-undang juvana
(b) Sekolah - Pendidikan moral dan agama disalurkan sejak kecil
(c) Media massa - Menjalankan kempen bertema antigejala sosial
(d) Ibu bapa - Memberi perhatian dan kasih sayang
(e) Diri sendri - berdisiplin dan mempelihara kekukuhan jati diri.


Cuba anda bayangkan, dalam hampir setiap karangan di dalam satu kelas menulis isi yang sama (perkara biasa), malahan menulis huraian dan contoh sehingga kesimpulan isi yang sama juga. Oleh hal yang demikian, berikut ialah beberapa formula untuk mevariasikan karangan anda supaya menjadi lebih hidup dan bertenaga sehingga menarik perhatian pemeriksa untuk meneruskan pembacaan sehingga penutup karangan lalu memberikan markah yang memuaskan hati anda:


Isi penting dan contoh pewacanaan indah dan berkesan
(a) Kerajaan - Penguatkuasaan undang-undang juvana


Petikan isi contoh 1:
Dalam kerancakan penduduk jagatraya menari bersama bayang-bayang pemodenan, kerajaan diumpamakan jantung sesebuah negara. Kerajaan mestilah mengorak langkah proaktif untuk menguatkuasaan undang-undang juvana. Hal ini berlaku demikian kerana remaja yang umur baru setahun jagung dan darah baru setampuk pinang akan mudah tergelincir daripada landasan keimanan. Yang paling menyedihkan kerajaan ialah mereka alpa dan cuai dibawa arus globalisasi. Oleh hal yang demikian, penguatkuasaan undang-undang tersebut haruslah diikuti pelaksanaan yang efektif. Selain itu, inisiatif kerajaan menggubal rang undang-undang juvana juga dikatakan dapat memberi kesedaran kepada remaja bahawa mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika terlibat dalam jenayah dan gejala sosial yang berat. Saya percaya, mereka akan insaf dan kembali ke jalan hidup yang sebenar.


Dalam petikan isi penting di atas, perkataan "kerancakan" dan "menari" adalah berkaitan antara satu sama yang lain. Daripada perspektif yang berbeza, frasa tersebut (rujuk perkataan yang berwarna ungu) bermakna sibuk dalam menjalani kehidupan pada zaman moden.
Frasa "alpa dan cuai dibawa arus globalisasi" bermakna terlalu ghairah sehingga lupa bahawa mereka semakin lemas dalam peredaran zaman moden berteknologi tinggi ini.

Baiklah, lihat satu lagi isi contoh di bawah:



Petikan isi contoh 2:

(b) Sekolah - Pendidikan moral dan agama disalurkan sejak kecil

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pernah menegaskan bahawa sekolah merupakan kilang yang menghasilkan produk modal insan untuk menghadapi pasaran kerja yang mencabar. Oleh sebab itu, guru berperanan penting memastikan produk tersebut benar-benar berkualiti dan dapat memenuhi permintaan dalam kitaran ekonomi yang tidak begitu berpusing ligat. Walau bagaimanapun, guru sekolah seyogianya menjadi mentor dan sentiasa memberi motivasi kepada pelajar untuk mencerminkan diri dan mengenal jati diri yang sebenar. Sebenarnya, sikap nakal dan kebobrokan pelajar yang semakin keruh boleh dijernihkan lagi dengan perhatian dan kawalan disiplin yang ketat di sekolah. Dengan pelakasanaan Program Sekolah Selamat dan Program Mentor Menti di sekolah, saya yakin anak-anak murid dapat menyelami perasaan dan hati murni yang sentiasa mendambakan mutiara kejayaan daripada pelajar, bukannya catatan imej buruk sekolah dengan gejala sosial.

Dalam Isi di atas, pengaplikasian konsep ekonomi dan akuatik telah saya gunakan.

Buktinya, "kilang", "produk", "pasaran kerja", dan "permintaan" (konsep ekonomi)

Penggunaan "keruh", "jernih", "menyelami", dan "mutiara" (konsep air dan laut)



Bagaimanakah dengan isi penting di bawah? Ada sesiapa yang berani dan bijak "bermain" dengan kata-kata dan meng-e-melkan isi contoh anda kepada saya? Kalau ada, saya akan memasukkan dalam entri blog ini untuk dikongsi bersama pelajar-pelajar lain.



(c) Media massa - Menjalankan kempen bertema antigejala sosial
(d) Ibu bapa - Memberi perhatian dan kasih sayang
(e) Diri sendri - berdisiplin dan mempelihara kekukuhan jati diri.


Sebagai penutup bicara, saya ingin menegaskan bahawa pengalaman menulis karangan memerlukan kesabaran dan ketelitian memilih kata-kata. Dengan prinsip sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain, saya bercaya anda dapat melakukannya.
Ayuh terima cabaran saya!

20 February 2009

Soalan 1: Perbezaan antara Dato' dengan Datuk

Maklumat Atas Permintaan Pengunjung Blog

Dato' ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja manakala Datuk ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Yang Dipertua, seperti Melaka, Sarawak, dan Sabah. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Bahagian Istiadat dan Urus Setia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, atau Bahagian Protokol, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berkenaan. Saudara boleh juga merujuk definisi Dato' dan Datuk dalam Kamus Dewan edisi keempat. Buku Protokol di Malaysia Tradisi dan Amalan, terbitan DBP juga ada memberikan maklumat tentang Darjah-darjah Kebesaran yang dianugerahkan khususnya, oleh Kerajaan Persekutuan.
Dipetik daripada klik DBP, keluaran ke-15, 15 Ogos 2005

19 February 2009

Kata Bilangan

kata bilangan tentusatu, dua, tiga, dan seterusnya

kata bilangan tak tentu
beberapa, segala, seluruh, sekalian, para, setengah-setengah, sesetengah, dan sebagainya

kata bilangan pecahansuku, setengah, separuh, tiga suku, satu per tiga, lima per tujuh, dan sebagainya

kata bilangan pisahan
setiap, masing-masing dan tiap-tiap

kata bilangan himpunan
kedua-dua, ketiga-tiga, berpuluh-puluh, berminggu-minggu, berbulan-bulan, beribu-ribu, ribuan, beratus-ratus, ratusan, berjuta-juta, jutaan, dan sebagainya

kata bilangan tingkat
pertama, kedua, ketiga, dan seterusnya

KESALAHAN UMUM PELAJAR
1. Beberapa pelajar (salah)
Pembetulan: Beberapa orang pelajar
(kata bilangan beberapa MESTI diikuti penjodoh bilangan)

2. Lima setengah jam (salah)
Pembetulan: Lima jam setengah
(kata bilangan pecahan mestilah di letakkan di hujung kata bilangan tentu)

3. Setiap orang pelajar (salah)
Pembetulan: Setiap pelajar
(pelajar sudah menunjukkan "orang", maka TIDAK perlu penjodoh bilangan "orang" lagi.

4. Beribu hadiah, berjuta bintang, (salah)
Pembetulan: Beribu-ribu buah hadiah, berjuta-juta butir bintang, beratus-ratus buah kereta
(beribu bermaksud "mempunyai ibu", berjuta bermaksud "ada juta")

5. Kedua ibu bapa (salah)
Pembetulan: Kedua-dua orang ibu bapa
(kedua bermaksud "tempat kedua" dan kedua-dua bermaksud "dua orang yang terlibat")

6. Setiap-tiap pelajar, tiap pelajar (salah)
Pembetulan: Setiap pelajar, tiap-tiap pelajar
(Dalam BM, hanya ada "setiap" dan "tiap-tiap")

Latih Nahu
Nyatakan sama ada frasa di bawah betul (B) atau salah (S), kemudian berikan jawaban yang betul untuk menggantikan jawaban yang salah.
  1. Kedua-dua orang menteri ( )
  2. Satu suku jam ( )
  3. Dua ringgit setengah ( )
  4. Setengah pelajar ( )
  5. Separuh daripada murid di dalam kelas ( )
  6. tiap peserta pertandingan ( )
  7. beribu-ribu buah komputer ( )
  8. Setengah-setengah remaja ( )
  9. Seluruh buah kampung ( )
  10. tempat keempat belas di dalam kelas ( )
Anda boleh menghantar jawapan anda dalam ruang "ulasan". Pada malam Sabtu, saya akan memasukkan jawabannya.

17 February 2009

Kesalahan Ejaan dan Imbuhan

Soalan Kesalahan Ejaan dan Imbuhan ialah soalan yang wajib dijawab solan calon SPM sejak tahun 2004. Sebenarnya, soalan bentuk ini menawarkan markah kepada pelajar dengan mudah jika para pelajar dapat menguasi ejaan dan penggunaan imbuhan yang baik.
Walau bagaimanapun, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sering membawa kejutan kepada calon SPM. Dalam kertas SPM Ulangan 2008, soalan tatabahasa cabang 3(c) dengan Jelas menyatakan arahan baharu seperti di bawah:


(c) Dalam setiap ayat di bawah terdapat
satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.


Pada kertas SPM November 2008, LPM membuat kejutan sekali lagi apabila menukar arahan daripada kertas SPM Ulangan kepada arahan berikut:


(c) Dalam petikan di bawah terdapat
tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.


Setahu saya, banyak guru sekolah yang masih belum mengetahui perubahan ini. Guru-guru yang tidak mengambil inisiatif untuk mencari maklumat terbaharu seperti kertas SPM Ulangan dan Soalan SPM sebenar ini kebanyakannya masih meminta pelajar menulis jawaban seperti format lama. Oleh itu, berikut ialah beberapa latihan latih tubi yang saya petik daripada akhbar untuk latihan bersama.
Latih Nahu 1 dan 2

Jawaban contoh:

Latihan 1

(i) dinegara - di negara

memenuhkan - memenuhi

Latih Nahu 3


Latih Nahu 4

(c) Dalam petikan di bawah terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

Latih Nahu 5

Sebagaimana kita sedia maklum, remaja yang berusia antara 12 hingga 19 tahun merupakan gulungan yang terhadap proces perubahan dari segi fizikal, mental, gaya hidup dan sebagainya. Malangnya, dada-dada akhbar sering kali terpampang berita mengenai masalah sosial yang berkaitkan golongan remaja yang masih bersekolah. Realitinya, masalah ini amat membimbangkan semua pihak terutamanya ibubapa. Sebenarnya terdapat banyak punca yang disebabkan masalah ini semakin berleluasa.

[ 6 markah ]

Latih Nahu 6
Demi aspirasi tidak mahu melihat rakyat membumbungkan angkasa dan berlantaikan tanah gersang, kerajaan telah mengambil anjakan paradigme dengan melancarkan Kempen Pemilikan Rumah (KPR). Projek ini bertitik tolak daripada hasil kaji selidik kerajaan bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kata Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting yang juga terangkap Presiden MCA, 35 Peratus daripada rakyat tempatan masih menyewa rumah. Golongan yang kaya terus menjadi lebih kaya dalam senareo ini. Oleh hal yang demikian, innisiatif kerajaan ini seyogianya diterima dengan hati dibuka oleh rakyat nusa ini demi kemajuan rakyat.

[ 6 markah ]


Latih Nahu7

Gengsterisme harus berhentikan di sekolah. Seseorang pelajar itu pergi ke sekolah untuk menimpa ilmu pengetahuan dan bukan untuk melaku kegiatan yang tidak bermoral ini. Semua pihak, terutamanya pihak sekolah serta ibu bapa perlu bekerjasama untuk mengatasi masaalah mereka. Ibu bapa juga patut mengambil berat terhadap anak-anak mereka serta mempastikan mereka tidak terlibat dalam kegiatan gengsterisme. Jika semua pihak bekerjasama, sudah pasti kegiatan gengsterisme dapat mengatasi.

[ 6 markah ]

Berikut ialah perkataan yang pernah kerluar dalam soalam SPM sebenar sejak cabang "kesalahan ejaan dan imbuhan" diperkenalkan mulai tahun 2004.

Pelajar yang ingin mendapatkan jawapan untuk soalan latihan di atas, bolehlah meng-emelkan jawaban anda melalui e-mel saya, cikgutancl@hotmail.com untuk saya semak.
Selamat mencuba.

16 February 2009

Karangan Jenis Forum

Karangan Contoh
Tajuk: Rasuah

Pengerusi Forum : Assalamualaikum dan salam sejahtera. Guru-guru dan rakan sekelas. Pada pagi ini kita bersyukur kerana berpeluang membincangkan satu lagi masalah sosial yang saya kira semakin kronik jika tiada usaha langkah yang drastik diambil untuk menanganinya. Tanpa melengahkan masa, izinkan saya memperkenalkan ahli-ahli panel, iaitu di sebelah kiri saya ialah saudara B dan dibelah kanan pula ialah saudara C. Tajuk forum pada pagi ini ialah "masalah rasuah di Negara malaysia". Seterusnya saya mempersilakan ahli panel pertama kita, iaitu saudara B memberi definisi rasuah dan ciri-cirinya.


Saudara B : Assalamualaikum dan terima kasih saudara pengerusi. Berdasarkan laman web suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia (SPRM), rasuah merupakan suatu perbuatan yang melibatkan pemberian dan penerimaan wang atau barangan tertentu dengan niat untuk mengelakkan tindakan diambil atau mendapat keistimewaan. Amalan rasuah ini melibatkan semua lapisan masyarakat sama ada dalam sektor awam ataupun swasta. Antara jenis sokongan pula adalah dalam bentuk material seperti wang, kereta, dan rumah, dan bentuk hiburan seperti wanita, melancong ke luar negeri dan sebahagainya.


Saudara C : Menurut Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan amalan rasuah sebagai barah dan jika dibiarkan akan menyebabkan sesebuah kerajaan runtuh dan sekali gus menjatuhkan imej Negara di mata antarabangsa.
Pengerusi : Kita sudah jelas mengenai isu rasuah. Sekarang apakah pendapat ahli panel kita mengenai punca rasuah?


Saudara B : Saudara pengerusi. Izinkan saya mencelah sedikit. Punca utama ialah pengaruh rakan. Apabila melihat rakan sekerja menerima rasuah dan menikmati pelbagai kemewahan hidup tanpa dikenakan sebarang tindakan, seseorang itu akan terpengaruh untuk menerima rasuah. Tekanan di tempat kerja ini mampu mengganggu perasaan, apatah lagi jika pegawai atasan juga turut terlibat. Tanpa berfikir panjang, seseorang itu akan mudah terpengaruh dan turut mengamalkan rasuah kerana ingin cepat menikmati kemewahan hidup di dunia yang fana ini.

Pengerusi : Mungkin saudara C ingin menambah pendapat mengenai punca rasuah?


Saudara C : Pengerusi, saya bersetuju dengan pendapat saudara B. Selain itu , Undang-undang di Negara kita pula lemah menyebabkan ramai orang tidak takut atas hukuman yang dikenakan. Contohnya, tindakan mahkamah mengenakan hukuman yang dianggap ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah memberikan satu pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman kita untuk menangani isu ini. Di samping itu, Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak-pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana golongan penerima duit kopi ini sedar bahawa mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang diterima oleh mereka itu setelah keluar dari penjara.


Pengerusi : Terima kasih saudara C, saya berharap kita semua boleh berganding bahu untuk mencegah rasuah dan jangan menbiarkannya berakar umbi dalam sanubari rakyat Malaysia. Lagipun, masalah ini semakin serius. Apakah pandangan saudara B berhubung dengan langkah-langkah mengatasinya?


Saudara B : Kerajaan perlu memgubah sikap kakitangan awam dan swata agar lebih amanah dan bertanggungjawab. Slogan “Bersih, Cekap dan Amanah” yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu dihayati oleh semua kakitangan awam dan swasta. Perkhidmatan kaunter telah pun diperkenalkan di kesemua pejabat kerajaan untuk mengelakkan sebarang amalan memberi dan menerima "wang kopi". Kerenah birokrasi juga hendaklah dikurangkan ataupun dihapuskan bagi mewujudkan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan. Hal ini pernah diutarakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika berucap di Parlimen baru-baru ini.


Pengerusi : Terima kasih saudara B. Nampaknya, saudara C ada sesuatu yang hendak diucapkan. Silakan.


Saudara C: Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang agar masyarakat sedar betapa bahaya dan seriusnya masalah rasuah jika tidak dibanteras dan dibendung untuk keselamatan Negara. Dendaan yang lebih berat dan hukuman penjara diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang baru diluluskan di Parlimen baru-baru ini mampu menakutkan gologan berkenaan. Pihak mahkamah juga disarankan agar mengenakan hukuman maksimum. Kuasa yang lebih untuk bertindak terhadap orang ramai yang enggan bekerjasama den pihak SPRM juga boleh mengubah sikap orang rami yang selama ini enggan bekerjasama. Pemberi maklumat juga perlu diberi ganjaran yang lumayan. Mereka juga harus mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa.


Pengerusi : Terima kasih saudara C, dan saya kira kita sudah berada pada penghujung forum. Sebagai rumusannya, saya kira masalah rasuah di Negara kita merupakan masalah yang serius dan perlu ditangani segera. Oleh itu, saya menyeru agar semua pihak dapat menbantu kerajaan menangani masalah ini. Di samping itu, izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih yang setinggi-tinggi kepada ahli-ahli panel. Namun, apakan daya masa tidak mengizinkan kita berbicara dengan lebih lanjut. Sekian, terima kasih.

15 February 2009

Karangan Contoh: Usaha untuk mencorak kecemerlangan akhlak dalam kalangan remaja.

Karangan contoh di bawah ditulis oleh salah seorang pelajar yang gigih belajar menulis daripada saya secara atas talian (online). Di bawah ini ialah hasil karangannya. Anda bolehlah klik karangan untuk memuat turunnya.




Nama: Ah Wen, candywong92@hotmail.com

13 February 2009

CIKGU TAK FAHAM, KENAPA?

Sepanjang minggu lepas hingga minggu ini, banyak karangan telah saya semak. Karangan yang telah saya semak merangkumi karangan pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Saya berpendapat bahawa pelajar pada zaman moden ini menjadikan karangan sebagai satu beban yang berat pada pundak mereka. Mereka sudah lupa akan peperiksaan yang bakal tiba. Saya tahu, ada pelajar yang tidak menyiapkan tugasan kerana faktor kendiri, iaitu malas, tiada masa, sibuk, terlalu banyak soalan perlu disiapkan. Semua alasan tersebut tidak dapat saya terima. Saya berasa amat sedih dan kecewa akan sikap pelajar yang tidak memberikan tumpuan 100% untuk menyiapkan tugasan saya. Pada hari ini, saya berasa amat kecewa dan sedih sehingga timbulnya naluri menulis sajak di bawah:


CIKGU TAK FAHAM


Cikgu itu tak faham
kenapa hari ini hati ini berwalang
hanya bermandikan air mata di relung hati.


Cikgu itu tak faham
apakah silapnya ajarannya.
Kenapa curahan ilmu kurang meresap dalam nurani muridnya.
Adakah kerana murid kini murid globalisasi?
Atau guru ini sudah jauh ke belakang berpaksikan semangat pendidik.


Cikgu itu tak faham
Di mana cahaya semangat untuk meneruskan
perjuangan sebagai pendidik.
Kekalahan muridnya pada ukiran cabaran
bagai melemahkan denyutan rohaniahnya.


Cikgu itu tak faham
Sampai bila dia dapat bertahan
cabaran globalisasi
dugaan hati nurani
kekangan kendiri
halangan meneruskan tinta-tinta harapan


Cikgu itu tak faham
Tapi, jauh di sudut jantungnya,
dia berkata biarkanlah...
Mereka akan faham satu hari nanti
apa itu kejayaan?
apa itu kecemerlangan?
apa itu genggaman kegigihan
apa itu ertinya ajaran guru itu.


Mungkin kini guru itu sudah faham
dia hanya boneka di hati mereka.
Kini,
guru itu
hanya mampu menangis dalam senyumannya
di dalam hatinya yang kehujanan
membasahi nadi hati pendidik.


CIKGU TAN
13.2.09
11:30pm


Saya teringat akan lagu ini secara tiba-tiba. Hal ini berlaku demikian kerana saya teringat akan pelajar yang pernah berjanji kepada saya tetapi tidak mengotakan janji mereka. Oleh sebab itu, janganlah ada dusta antara kita. Jikalau berjanji, tunaikanlah janji itu. Usahlah biar dusta menutup kebenaran di dalam hati.

Salam Santai Minggu.

10 February 2009

Pementasan "DanSing Thru Broadway" oleh pelajar saya.



Tempat: Auditorium Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur
Tarikh: 19 dan 21 Februari 2009
Masa: 8.30pm
Maklumat Tiket (dalam bahasa Inggeris):

Harga tiket: RM200, RM150, RM80, RM50
20% discount for purchase of 4 or more tickets
10% discount for senior citizends (55+)
10% discount for MPO subscribers
Discounts cannot be combined

Tickets are available at:
Box Office, Dewan Filharmonik PETRONAS,
Ground Floor, Tower 2, PETRONAS Twin Towers,
KLCC, 50088 Kuala Lumpur
Tel: 03-2051 7007


Pementasan oleh pelajar saya merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan. Sebagai menyokong Krystle (pelajar saya di PTAG), Saya telah membeli tiket pementasan "Dansing Thru Broadway" yang bertarikh 21 Februari, jam 8:30pm di Auditorium Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur. Tiket saya bernombor "ROW F, 21-22"

Dengan penuh bangga, saya ingin menjemput para pengunjung blog ini supaya melayari http://www.dansingthrubroadway.blogspot.com/ untuk mengetahui perkara yang lebih lanjut tentang pementasan ini sekali gus sama-sama menyaksikannya.

Semoga pementasan ini sukses!
Jom sama-sama ikut saya memberi sokongan kepada rakan pelajar anda!

8 February 2009

Thaipusam - Perayaan Eksklusif di Malaysia

Hari Thaipusam (தைப்பூசம்)merupakan perayaan yang disambut oleh penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Thaipusam dirayakan pada bulan 'Thai' yakni jatuh pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil. Pada hari Thaipusam, bulan penuh melintasi bintang terang, Pusam dalam zodiak Cancer.

Tujuan dan objektif sambutan ini sentiasa menjadi tanda tanya kaum-kaum lain. Oleh sebab itu, saya ingin berkongsi maklumat bahawa Hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun atas dosa-dosa yang telah dilakukan sepanjang tahun. Bukan semua penganut Hindu akan menunaikan nazar. Nazar ialah memohon hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran. Biasanya, murid yang akan menduduki peperiksaan, wanita yang berhajat untuk mengandung tetapi belum mendapat kurniaan Ilahi, lelaki yang meminta nazar semoga ibu bapanya selamat daripada pembedahan waima sakit merupakan antara faktor utama penganut Hindu memohon nazar.

Pada hari itu mereka akan membawa susu yang diisi dalam belanga kerana susu itu dianggap paling suci . Susu ini diisikan dalam belanga tembikar atau kini dalam belanga aluminium. Belanga berisi susu ini akan dihias dengan pelbagai corak, warna, daun dan benang. Belanga ini akan dijunjung di atas kepala dari luar kuil hinggalah ke dalam kuil. Walau bagaimanapun, bukan semua penganut Hindu membawa belanga berisi susu ini. Hal ini demikian kerana pembawaan belanga bukanlah kewajipan dalam meraikan kebesaran Tuhan Murugan.

Ramai juga lelaki Hindu yang mencukur rambut pada hari tersebut dan mewarnakan kepala yang botak itu dengan warna kuning daripada kunyit. Perkhidmatan menggunting rambut ini ada disediakan di luar kuil dengan bayaran tertentu. Amalan ini merupakan satu bentuk melepaskan atau membayar nazar atau melupakan sesuatu peristiwa yang sedih dan menanti hari-hari yang baik yang bakal menjelma.

Bagi yang memohon ampun agar dosa mereka diampunkan, "kavadi" (seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di atas) akan dibawa atau dijunjung di atas bahu atau di atas kepala. Kavadi ini diperbuat daripada beberapa rod besi atau kayu yang di atasnya terletak patung dewa Murugan dengan pelbagai saiz dan bentuk. Antara hiasan utama kavadi ialah bulu burung merak dan bunga-bungaan. Pembawa kavadi ini lazimnya terdiri daripada lelaki, perempuan, tua, muda dan kanak-kanak. Berat dan saiz kavadi ini bergantung pada kemampuan seseorang. Selain itu pembawa kavadi akan diiringi oleh beberapa orang pembantu khas dari tempat masing-masing. Ada yang diiringi dengan kumpulan muzik , mangkuk perasap kemenyan dan lain-lain. Dari semasa ke semasa, pembawa kavadi akan berehat di tangga-tangga tertentu , berehat dan diberi minum.


Pelbagai cara "menyeksa diri" dilakukan bagi menunjukkan mereka memohon ampun. Antaranya ialah berjalan di atas kasut berpaku. Mereka melangkah perlahan-lahan mendaki tangga-tangga kuil hingga tiba ke sisi patung Dewa Murugan di dalam gua Batu Caves. Ada juga dalam kalangan pembazar nazar atau peminta ampun yang mencucuk panah besi pada lidah dan pipi dari kiri ke kanan dengan panah pendek dan panjang. Yang lain pula mencucuk belalang mereka dengan puluhan mata pancing yang bersaiz 10 sentimeter. Perayaan ini bukan sahaja melibatkan penganut agama Hindu di Malaysia, malah pelancong asing dari seantero dunia. Mata pancing itu disangkut dengan buah limau nipis yang teramat pedih rasanya. Ada juga mata pancing itu bertali dan ditarik oleh para pembantu.
Boleh dikatakan semua pembayar nazar berada dalam keadaan separuh sedar kerana telah menggunakan bahan-bahan tertentu. Ada juga yang percaya, dewa yang memberi "kuasa" kepada mereka untuk berbuat demikian dan mereka seolah-olah jalan terumbang-ambing dan berada dalam keadaan separuh sedar. Amalan ini amat dipandang berat dalam perayaan ini. Sebenarnya, Agama Hindu berasal dari India dan dibawa ke Malaysia oleh buruh-buruh ladang pada zaman penjajahan British seawal 1786 di Pulau Pinang. Perayaan Thaipusam pada zaman dahulu disambut di ladang, kuil-kuil Hindu yang dibina dengan pembiayaan beberapa orang penganut Hindu yang berkemampuan. Oleh hal yang demikian saiznya tidaklah begitu besar. Di Malaysia, antara kuil yang bersaiz besar terletak di Sungai Petani, Georgetown, Teluk Intan, Hutan Melintang , Seremban, Johor Baharu , Kuala Lumpur dan lain-lain.


Perayaan Thaipusam lebih meriah di Malaysia jika dibandingkan dengan di India, Hal ini berlaku demikian kerana di India, Pesta Ponggal lebih meriah berbanding dengan Thaipusam. Mengikut kajian, Thaipusam dapat menyatupadukan semua penganut Hindu dari pelbagai ladang dan bandar yang berkumpul di beberapa buah kuil Hindu yang besar sahaja. Selain disambut di Malaysia, negara lain seperti Singapore, Afrika Selatan, Sri Lanka dan lain-lain juga meraikannya.
Sambutan yang juga dipanggil "Kartikeya Thaipusam" yang juga untuk memohan keberkatan dewa Shiva dan Parvati ini juga dikenali sebagai "Kartikeya, Subramaniam, Sanmukha, Shadanana, Skanda and Guha". Kejayaan melawan anasir jahat merupakan kunci utama perayaan ini disambut. Oleh itu, semua rakyat yang diam di Malaysia haruslah bersyukur dengan Malaysia yang hanya merupakan negara kecil tetapi berbilang kaum dan agama. Kita dapat hidup aman dan damai atas payung kedaulatan yang dikurniakan oleh-Nya.


Intihanya, Salam Thaipusam saya ucapkan kepada semua guru dan pelajar yang menyambutnya. Kepada yang tidak menyambut Thaipusam tetapi mendapat cuti pada keesokan hari, isilah cuti ini dengan membuat perkara yang baik supaya diberkati Tuhan. Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa.

Kepentingan Sektor Pertanian

Kepentingan Sektor Pertanian
Karangan Contoh Pelajar

Sektor pertanian pernah menjadi tunjang kekuatan ekonomi negara pada suatu ketika dahulu. Hasil getah, kelapa sawit, padi dan seumpamanya juga pernah menjadi penyumbang terbesar pendapatan negara dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negara ini. Namun, kemajuan arus pembangunan negara yang lebih menjurus kepada sektor perindustrian telah menenggelamkan bidang pertanian sedikit demi sedikit terutamanya dalam dekad terakhir abad kedua puluh. Walau bagaimanapun, keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu pada permulaan awal alaf baharu ini, mengembalikan semula kepentingan bidang pertanian di negara kita.

Peralihan pucuk pimpinan negara pada akhir tahun 2003 mungkin dapat dilihat sebagai permulaan terhadap kebangkitan semula sektor pertanian di negara ini dari zaman suramnya kira-kira dua dekad yang lalu. Kesungguhan kerajaan bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam memajukan bidang pertanian dapat dilihat melalui peruntukan pembangunan yang sangat banyak untuk memajukan bidang ini kita saksikan dalam belanjawan tahun 2005. Langkah ini amat tepat memandangkan negara kita mengimport bahan makanan yang terlalui banyak seperti gula, beras, buah-buahan dan sebagainya sedangkan kita mampu menghasilkan sendiri bahan makanan tersebut. Oleh itu, tumpuan terhadap bidang pertanian mampu mengurangkan pengaliran wang ke luar negara dan sekali gus mengelakkan defisit pada imbangan perdagangan luar negara.

Selain dapat mengukuhkan imbangan perdagangan negara, penumpuan terhadap sektor pertanian berupaya mengelakkan pergantungan negara pada bekalan bahan makanan dari luar negara. Hai ini berlaku demikian kerana kadar pertumbuhan pesat penduduk di negara ini yang sudah pasti akan memerlukan jumlah makanan yang lebih besar. Kebanyakan bahan makanan asas seperti beras, gula dan bijirin yang lain sesuai ditanam di negara ini. Jika kekurangan buruh dijadikan alasan,kita boleh menggunakan buruh-buruh asing yang bekerja di sektor perkilangan, perkhidmatan dan sebagainya untuk bekerja di sektor pertanian. Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat menggunakan khidmat buruh yang murah bahkan dapat mengelakkan buruh-buruh asing ini daripada merampas peluang pekerjaan yang sepatutnya diberikan kepada rakyat tempatan.

Pada hemat saya, keadaan dunia yang kucar-kacir akibat peperangan yang sering tercetus mewajarkan kita menumpukan perhatian untuk membangunkan sektor pertanian secara lebih serius. Dalam masa yang sama, negara kita Malaysia mempunyai tanah-tanih yang subur, bebas daripada bencana alam atau keadaan huru-hara yang boleh memusnahkan sebarang kegiatan ekonomi. Jika kelebihan ini tidak dimanfaatkan, bermakna kita telah mensia-siakan anugerah Allah ke atas bumi kita. Dari satu sudut yang lain pula, kita telah melihat kegagalan banyak syarikat yang berasaskan industri dan perkilangan di negara ini untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Sebaliknya, jika kita menumpukan pengeluaran negara kita dalam menghasilkan produk pertanian, persaingannya di peringkat antarabangsa tidak sehebat persaingan dalam sektor perindustrian terutamanya sektor yang berasaskan teknologi maklumat. Kata orang tua-tua, ukur baju di badan sendiri.

Satu lagi alasan yang mewajarkan negara kita memberi tumpuan semula kepada sektor pertanian ialah bahan-bahan mineral yang ada di negara kita sudah semakin berkurangan. Petroleum dan gas asli dijangka akan habis menjelang tahun 2050 jika telaga yang baharu tidak ditemukan. Bijih timah dan bijih besi pula sudah tinggal sisa-sisanya sahaja sedangkan bahan-bahan ini amat penting untuk menggerakkan sektor perindustrian dan pembinaan. Sementelahan, kerajaan kita mempunyai pelbagai agensi yang dapat membantu meningkatkan kemajuan sektor pertanian seperti Lembaga Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan agensi yang lain yang telah membuktikan keberkesanan peranan mereka. Malah sektor perikanan di negara kita khususnya perikanan laut dalam juga berpotensi untuk dimajukan sebagai sumber ekonomi yang baharu.

Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa sektor pertanian mempunyai asas yang kukuh dan potensi yang baik serta prospek yang cerah untuk dimajukan. Kita harus menggunakan segala kepakaran yang ada untuk memajukan bidang ini demi kestabilan ekonomi negara. Rakyat Malaysia pertu berfikiran terbuka dan positif terhadap potensi sektor ini. Kita juga wajar menjadikan kejayaan negara-negara maju khususnya Jepun yang telah berjaya menguasai sektor perindustrian tetapi dalam masa yang sama terus membangunkan bidang pertanian untuk kesejahteraan hidup rakyatnya. Bak kata peribahasa Melayu, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

5 February 2009

Penggunaan "k" dan "kk" yang mengelirukan.

Kekeliruan tentang 1k dan 2k amat mudah untuk diselesaikan. Ingat, hanya kata kerja sahaja yang berhak mendapat apitan "me-N ...kan" dan "di...kan" seperti jadual di bawah:


Guru-guru bolehlah membina jadual seperti di bawah dan menyuruh para pelajar mencari kata akar yang berakhir dengan konsonan "k" supaya dapat melatih mereke untuk mengenal pasti penggunaan 1k dan 2k.



2 February 2009

"HAL INI DEMIKIAN KERANA" tidak lagi gramatis, kenapa?

Dalam satu perbincangan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang lalu, iaitu semasa sesi pemurnian Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga kali kedua, panel penulis telah membuat persetujuan bahawa ungkapan "Hal ini demikian kerana..." tidak lagi gramatis. Ketidakgramatisan ini berpunca daripada keputusan untuk memasukkan unsur adverba dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.
Oleh sebab adverba dimasukkan sebagai kata tugas, maka adverba tidak boleh menjadi inti dalam frasa subjek atau predikat. Kehadiran adverba hanyalah membawa tugas tertentu dalam ayat.
Oleh itu, ungkapan "Hal ini demikian kerana...” perlulah diubah seperti yang berikut:
(i) Hal ini berlaku demikian kerana....
(ii) Perkara ini terjadi demikian kerana...
(iii) Hal ini dikatakan demikian kerana...
Dengan berdasarkan ayat-ayat di atas, kata adverba `demikian’ bertugas sebagai penerang kepada kata kerja `berlaku’, `terjadi’, `dikatakan’, dan sebagainya. Kepada guru-guru di sekolah, harap terimalah perubahan ini sebagai satu daripada perkembangan bahasa Melayu. Janganlah menghukum pelajar jika mereka masih menggunakan ungkapan `Hal ini demikian kerana...’. Untuk mendidik pelajar dan masyarakat tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul, kita hendaklah menggunakan pendekatan yang bijaksana dan rasional.
Sumber: Munsyi Dewan, Cikgu Ghalib, http://agy7500.blogspot.com/

24 January 2009

Selamat Tahun Baharu Cina 2009


Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua kenalan, guru-guru yang merayakan perayaan ini dan murid-murid yang meraikan kemeriahan sambutan ini serta pengunjung blog ini. Semoga tahun lembu (mengikut kalendar Cina) akan membawa lebih banyak kejayaan dan kelancaran dalam apa-apa jua kerja yang kita lakukan. Lembu melambangkan haiwan yang sanggup bekerja keras di sawah padi untuk jangka masa yang panjang untuk memastikan hasil pertanian menjadi. Oleh hal yang demikian, para pelajar haruslah bekerja keras demi mencapai kejayaan dalam akademik dan kokurikulum.
kepada pengunjung yang ingin mengetahui erti sebenar Tahun Baharu Cina, layari laman http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Tahun_Baru_Cina untuk mendapatkan informasinya.


22 January 2009

Perpisahan bukan tanda berakhirnya persahabatan kita.

Kim Ern Ern, (pelajar dalam gambar di atas)murid dari PTAG yang saya kenali sebagai murid yang berfikiran positif dan sentiasa berusaha untuk membaiki kelemahan diri dalam subjek BM. Sejak mengenalinya pada usia 14 tahun hingga kini, walaupun kami hanya berjumpa seminggu sekali atau dua, tetapi saya masih mengingati usahanya yang tidak mengenal penat lelah dalam mempertingkatkan penguasaan subjek BMnya. Saya masih ingat, tahun lalu saya membuka 2 kelas BM di PTAG kerana permintaan daripada pelajar yang semakin meningkat. Ern Ern antara pelajar yang hadir ke kedua-dua kelas walaupun apa-apa yang saya ajar dalam kedua-dua kelas itu sama. Saya memang mengagumi kejayaannya sebagai pelajar.


Minggu lalu, saya menerima panggilan daripada Ern Ern yang mengatakan bahawa dia akan berhijrah ke Australia untuk melangsungkan kehidupan bersama keluarga. Panggilan tersebut telah menjawab persoalan di dalam hati saya yang seringkali bertanya tentang "kenapakah Ern Ern tak masuk kelas tuisyen BM tahun ini" dan "apakah" yang terjadi kepada Ern Ern yang sudah lama tidak saya jumpa. Saya memang tegas dalam soal kerja rumah pelajar, terutamanya karangan. Pada bulan Disember, saya masih sempat menelefon Ern Ern untuk memintanya supaya menghantar karangan tersebut sebelum dia dan keluarga melancong ke Australia.


Ern Ern, selepas ini, anda tidak perlu lagi menulis karangan berbahasa Melayu, namun anda harus ingat bahawa anda dilahirkan di Malaysia. Oleh hal yang demikian, berbanggalah dengan bahasa kebangsaan kita ini. Jika ada kesempatan, saya berharap kita akan berjumpa lagi pada masa yang akan datang. Sepanjang lebih dua tahun setengah saya mengajar anda, jika ada salah dan silap, maafkan saya. Saya akan mendoakan kejayaan anda dalam semua bidang pelajaran yang akan anda ceburi. Jika ada kelapangan, hantarlah e-mel kepada saya.



Semoga anda sukses dalam kehidupan!


Perpisahan Buat Ern Ern


Perjuangan persahabatan ini
Erti kita saling mengasihi
Ranjau dan onak persahabatan
Perlu kita hadapi
Inilah ertinya perpisahan
Satu perasaan yang kubenci
Andai boleh tidak kumahu
Hanya Tuhan yang mengerti maksud perpisahan
Antara murid dengan guru
Nescaya kita akan berjumpa lagi


Bukan lama kukenalnya
Untuk sekian kalinya
Aku sedar gadis itu
Terlalu kukuh dan jitu hatinya


Ern Ern yang kukenali
Rintangan masa depan harus kamu hadapi
Nun di sana kejayaan menanti


Ern Ern yang kuingati
Ratusan ribuan batu memisahkan kita
Nescaya persahabatan kita tiada titik noktah!


CIKGU TAN C L

20 January 2009

Pembuangan Ruangan "Berbicara Bersam Cikgu Tan"

Salam sejahtera saya ucapkan kepasa semua pengunjung blog ini. Saya telah mengambil keputusan untuk "delete" ruangan "chatbox" kerana beberapa faktor yang berikut:
i) Ada individu tertentu yang menyalahgunakan ruang chatbox untuk kepentingan diri.
ii) Golongan yang tidak bermoral ini telah menyamar sebagai CIKGU TAN lalu memberikan pemerangan yang salah.
iii) Ada juga antara pelajar yang tidak menghargai ruangan tersebut sehingga menaip kata-kata yang tidak senonoh.
Oleh hal yang demikian, saya berharap pengunjung yang ada sebarang masalah bolehlah meng-e-melkan soalan anda ke alamat e-mel saya, cikgutancl@hotmail.com
CIKGU TAN

13 January 2009

Karangan Bergambar SPM 3 - Faedah Menabung Sejak Kecil

FAEDAH MENABUNG SEJAK KECIL

Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik, kita seyogianya memahami kemaslahatan wang. Cendekiawan memfasiqkan bahawa dengan wang, kita dapat melakukan segala-galanya tetapi wang tidak dapat membeli segala-galanya. Oleh hal yang demikian, menabung memang sinonim dengan wang dan masa depan. Orang yang mengabaikan amalan ini diumpamakan orang yang menagak cabaran pada hari muka. Realitinya, peribahasa Melayu ada menjelaskan bahawa “sediakan payung sebelum hujan”.

Dalam marcapada, menabungkan wang dikatakan dapat mendisiplinkan diri kita. kesabaran dan kesanggupan berkorban demi masa depan menjadi titik tolak seseorang menabung. Apabila menabung, prinsip “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit”. Wang tabungan ini dapat mengekang diri kita daripada lalai dalam merancang masa hadapan. Disiplin diri yang terbentuk dalam amalan menabung dapat diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari. Ringkasnya, menabung merupakan rencah untuk mengawal diri daripada memboros.

Walakin begitu, amalan yang dituntut agama ini dapat memupuk pemikiran yang mengapresiasi kesusahan mencari wang. Ibu bapa yang bekerja siang dan malam “bagai lebah mengumpulkan madu” demi membiayai kos kehidupan yang meningkat harus kita sedari. Baki wang saku yang diberi mestilah dimasukkan ke dalam tabung. Apabila kita memerlukannya pada kala kecemasan, pertolongan orang lain tidak diperlukan. Oleh sebab itu, nilai berdikari dapat ditanam di samping mengetahui setiap sen merupakan hasil titik peluh dan keringat yang bermakna.

Ibu bapa memainkan peranan sebagai mencorakkan amalan ini kepada anak-anak sejak kecil lagi kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Anak-anak bagaikan kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkan dan mewarnakan kehidupan mereka dengan amalan murni seperti menabung. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat diajar tentang perancangan masa hadapan. Mereka akan menyedari hakikat kepentingan berjimat cermat. Anak-anak yang pandai berjimat-jimat nescaya dapat berusaha dengan lebih giat untuk menjamin masa hadapan kerana “asal ditugal, adalah benih”.

Wang tabungan yang dikumpulkan acap kali dibawa ke bank untuk disimpan. Di samping menabung, kita juga berpeluang untuk mempelajari perkembangan dunia perbankan. Hal ini secara tidak langsung menjadikan kita warga yang sentitif akan perkembangan ekonomi semasa. Daripada perspektif ekonomi, kita dapat memainkan peranan sebagai penjana virus yang dapat membebaskan negara daripada serangan wabak kemelesetan ekonomi. Tegasnya, simpanan tidak seberapa yang kita laburkan dalam simpanan bank dapat digunakan oleh pihak bank untuk pelaburan mega lain sekali gus menstabilkan ekonomi negara.

Walhasil, sebagai anak bangsa yang bakal dibentuk menjadi modal insan kepada nusa tercinta, kita sewajarnya menjadikan amalan menabung sebagai rutin kehidupan. “Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis merupakan kata-kata mutiara yang mesti kita hayati. Dengan menabung, kualiti kehidupan yang lebih baik dapat kita nikmati. Wang yang ditabung boleh menjadi modal melanjutkan pelajaran demi memberi pulangan kehidupan yang lebih baik kepada ayahanda dan bonda tercinta. Pulangan yang lumayan daripada amalan menabung dapat dirasai bukan sahaja untuk diri justeru kepada seantero jagatraya.


Petunjuk:

kata berwarna merah = peribahasa

kata berwarna ungu = kata atau frasa manarik

kata berwarna hijau = penanda wacana

Karangan Bergambar SPM - Ciri-ciri Sekolah Selamat

Latihan Karangan Bergambar SPM – Ciri-ciri sekolah selamat

Sekolah atau alma mater merupakan tempat kita belajar. Oleh sebab itu, tempat kita menimba ilmu ini mestilah berada dalam keadaan yang selamat dan selesa. Hal ini penting agar sekolah dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikukum. Sebenarnya, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat. Cara-cara berikut mestila kita ketahui demi menjadikan sekolah sebagai tempat anak-anak belajar yang selamat dan selesa.

Pihak sekolah mestilah menyediakan alat kawalan kebakaran di tempat-tempat yang strategik di kawasan sekolah. Langkah ini amat penting supaya kebakaran dapat dielakkan daripada merebak ke bangunan yang lain. Walau bagaimanapun, kebanyakan sekolah di Malaysia mengalami nasib yang sama, yakni alat kawalan kebakaran seperti pili bomba dan alat kawalan kebakaran berbentuk semburan tidak dapat berfungsi dengan normal kerana rosak atau hilang. Sebenarnya, alat kawalan kebakaran yang rosak dan yang telah dicuri mestilah digantikan yang baharu. Pihak sekolah juga haruslah mendidik murid cara-cara menggunakan alat tersebut pada waktu kecemasan. Dengan ini, sekolah akan menjadi tempat belajar yang selamat.

Selain itu, pihak pentadbir sekolah juga haruslah melukis pelan kecemasan yang dapat digunakan pada saat-saat sekolah ditimpa kecemasan. Hal ini demikian kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh sebab itu, pelan tangga kecemasan dan pelan larian ke padang mestilah ditampal di tempat-tempat yang mudah dilihat. Dari semasa ke semasa, latihan kebakaran haruslah dijalankan juga. Hal ini dapat memastikan pelajar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Cara ini pasti dapat mengurangkan kemalangan dan kecederaan dalam kalangan wara sekolah.

Di samping itu, keselamatan pelajar di pintu sekolah juga mestilah dijaga dengan rapi. Setiap pintu sekolah mestilah dijaga oleh beberapa orang pengawal keselamatan. Pondok sekuriti mestilah dibina untuk memastikan para pelajar dapat melaporkan sebarang kejadian yang tidak diingini kepada pihak yang bertugas. Dengan ini, kejadian seperti kes culik dan kes ragut dapat diatasi sekali gus menjamin keselamatan anak-anak yang mahu memasuki pintu sekolah mahupun semasa balik ke rumah. Ibu bapa juga pasti berasa puas hati dengan tahap keselamatan sekolah. Tahap kebimbangan ibu bapa dan keyakinan ibu bapa yang tinggi ini dapat meningkatkan imej sekolah secara tidak langsung.

Sementara itu, keselamatan di jalan-jalan berdekatan dengan kawasan sekolah juga harus ditingkatkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Perhatian harus diberikan oleh pihak kerajaan tempatan dengan menyediakan lampu isyarat di jalan-jalan yang menjadi lintasan pelajar. Penyediaan “lintasan zebra” juga merupakan langkah penting supaya murid-murid dapat melintas jalan ke sekolah dengan selamat. Kawalan trafik oleh pihak pengawal keselamatan sekolah juga amat penting selain memasang papan tanda isyarat “Kurangkan Kelajuan, Kawasan Sekolah”. Hal ini dapat memberi kesedaran kepada para pemandu supaya mengurangkan kelajuan di kawasan sekolah. Apabila langkah di atas dapat diambil, murid-murid akan berasa selamat dan kes kemalangan di kawasan sekolah dapat dikurangkan.

Kesimpulannya, Keselamatan pelajar menjadi tanggungjawab semua pihak. Semua pihak yang terlibat haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menjamin keselamatan anak-anak ke sekolah dan sepanjang berada di sekolah. Para pelajar mestilah dididik mematuhi segala arahan dan peraturan di sekolah. Lebih-lebih lagi, ibu bapa haruslah memastilah anak-anak selamat masuk ke sekolah sebelum beredar ke pejabat. Kempen “Sekolah Selamat” haruslah diuar-uarkan supaya keselamatan anak-anak dapat dijamin. Saya berharap sekolah akan menjadi tempat belajar yang selamat dan kondusif.

12 January 2009

Karangan Bergambar SPM


Karangan Bergambar SPM


Soalan: Punca Fenomena Jerebu

Fenomena cuaca berjerebu merupakan duri dalam daging kepada pihak kerajaan dan rakyat. Fenomena ini seolah-olah tertaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali melanda negara. Realitinya, keadaan negara yang berjerebu ini amat membahayakan kesihatan rakyat.

Punca utama fenomena jerebu melanda negara ialah pembebasan asap daripada kenderaan. Hal ini demikian kerana bilangan kenderaan yang semakin meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Kenderaan seperti lori, trelar, bas dan banyak lagi mengeluarkan asap karbon monoksida sehingga mencemarkan udara.

Selain itu, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka juga menyebabkan keadaan jerebu terjadi-jadi. Oleh sebab sampah sarap dibakar sesuka hati, sikap masyarakat dikatakan bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Natijahnya, kanak-kanak diserang sesak nafas dan penyakit asma.

Pembakaran asap kotor dari kilang juga dikenal pasti sebagai punca fenomena jerebu berlaku. Situasi ini bertambah buruk terutamanya di kawasan perindustrian kerana pihak pengilang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Hujan asid dan penyakit kulit pasti menyerang kita.

Sementara itu, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar sendiri akibat suhu meningkat sehingga menyebabkan jerebu berlaku. Hal ini demikian kerana fenomena pemanasan global. Oleh itu, sudah sampai masanya kita menyelamatkan bumi.

Selain faktor cuaca, kegiatan penebangan hutan yang berlaku dengan leluasa juga menyebabkan keadaan cuaca berjerebu. Pembalak di kawasan hutan membuka hutan dengan jalan mudah ini. Mereka bersikap tidak bertangungjawab sehingga menyebabkan negara-negara jika terpaksa menerima padahnya.

Di samping itu, pembebasan debu daripada letupan gunung berapi juga menyebabkan keadaan cuaca berjerebu. Gunung-gunung yang masih aktif di negara Indonesia tamsilnya mengeluarkan asap tebal sebagai fenomena gunung berapi akan meletus. Hal ini menyebabkan jarak penglihatan terbatas dan penerbangan tergendala.

Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam soal penjagaan alam sekitar. Kualiti udara yang bersih amat penting untuk menjamin kesihatan penduduk di rantau ini. Oleh itu, kita harus memikirkan setiap perbuatan yang melibatkan pembakaran supaya dapat mengelakkan fenomena jerebu.

6 January 2009

Demam Hari Persekolahan Bermula

Seawal dinihari lagi, deruman enjin kenderaan mula membanjiri jalan-jalan raya di negara kita, semalam sekolah mula dibuka untuk sesi akademik 2009. Yan paling menggementarkan ialah ibu bapa sanggup mengambil cuti tahunan untuk menyelesaikan masalah dan membawa anak-anak ke sekolah untuk membayar yuran dan sebagainya. Pengorbanan ibu bapa zaman ini masih sama seperti zaman persekolahan saya walaupun ibu bapa saya TIDAK pernah ke sekolah saya sejak sekolah rendah lagi.

Saya sentiasa iri hati dengan kawan-kawan lain yang dipimpin tangan oleh ibu bapa mereka. Apalagi yang sama-sama menikmati makanan di kantin sekolah, terutamanya semasa sekolah rendah. Oleh sebab bapa saya bekerja di luar negara manakala ibu saya tidak pandai bercakap dalam mana-mana bahasa tempatan kita pada kala itu. Namun begitu, kakak dan abang serta mak cik sayalah yang menjadi "ibu bapa" kepada saya sejak kecil. Jasa mereka akan saya kenang buat selama-lamanya.
Hari persekolahan pertama juga merupakan pembukaan lembaran buku pengajaran dan pemelajaran yang ulung kali sejak kalendar 2009 membuka tirainya. Guru-guru sekolah mula sibuk merancang jadual pengajaran dan ada pula yang meminta jadual tersebut daripada saya. Saya berpendapat bahawa guru-guru tersebut seyogianya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan dedikasi. Saya sedia menyemak jadual mereka jika ada yang mahu meng-e-melkannya kepada saya.
Semalam, saya menggunakan material daripada salah sebuah buku ulang kaji Bahasa Melayu yang saya percaya berjualan laris dalam pasaran sejak tahun lalu. Dalam karangan jenis syarahannya, ada kesalahan ejaan, tapi tak banyak. Oleh itu, saya berpendapat kesalahan itu bukan kesalahan penulis buku, tapi kesalahan mengedit. Tahun lalu, bulan Mac, saya pernah berhubung e-mel dengan Cikgu Ghalib berhubungan dengan kesalahan tersebut. Beliau mungkin salah faham akan tindakan saya. Cikgu Ghalib, "bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan"?
Secara ikhlas, saya ingin meminta maaf kepada Cikgu Ghalib atas kesilapan dan salah faham yang wujud antara kami sejak tahun lalu. Bak kata peribahasa, "buang yang keruh, ambil yang jernih". Semoga saya dan Cikgu Ghalib akan sama-sama membantu para pelajar meningkatkan penguasaan bahasa dan komponen sastera mereka. Saya meminta maaf secara umum bukan untuk meminta populariti, tetapi berharap agar tiada konflik antara guru yang aktif menulis blog.
Saya percaya dan yakin akan kewibawaan Cikgu Ghalib sebagai guru cemerlang dalam subjek BM. Beliau yang merupakan Munsyi Dewan untuk DBP juga merupakan "role model" dalam memartabatkan bahasa Melayu dan menjadikan tatabahasa melayu lebih kukuh dan utuh dalam arus pembangunan yang mementingkan bahasa Inggeris. Saya percaya, DBP dan Munsyi Dewan akan menggembleng tenaga untuk memperkasakan bahasa kita kerana "hilang bahasa, lenyaplah bangsa"!
Selamat Tahun Baru.
CIKGU TAN

25 December 2008

Salam Hari Natal



Kepada semua pengunjung laman blog ini, terutamanya pelajar dan guru-guru, saya dan keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas. Semoga kegembiraan dan keriangan sambutan ini dapat mempererat hubungan antara kaum di Malaysia.


CIKGU TAN dan keluarga

19 December 2008

Sinopsis Novel - Bukit Kepong

Sinopsis Keseluruhan Novel Bukit Kepong


Novel Bukit Kepong mengisahkan peristiwa benar yang berlaku selepas Perang Dunia Kedua. Inggeris telah dating semula ke Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah dan terpaksa berdepan dengan ancaman Pati Komunis Malaya (PKM) yang berleluasa melakukan keganasa dan ugutan. Rakyat diugut dengan seribu ancaman untuk membantu perjuangan komunis. Banyak harta benda musnah dan rakyat yang tidak berdosa menjadi korban. Inggeris bertindak mengharamkan PKM dan pada tahun 1948, Inggeris mengisytiharkan darurat di seluruh negara.
Kesan pengisytiharan darurat bukan sahaja menyekat pergerakan anggota komunis, tetapi juga turut menjejaskan kehidupan rakyat. Perintah berkurung dan kawalan ketat di jalan-jalan raya telah menyulitkan pergerakan anggota komunis untuk mendapat bekalan makanan dan ubat-ubatan. Kejayaan Parti Komunis China telah mendorong PKM melancarkan gerakan perang gerila terhadap Inggeris. Gerakan PKM ini telah mengancam negara dan rakyat. Ramai rakyat terutama kaum Cina yang dianggap menjadi tali barut Inggeris dan enggan bekerjasama dengan PKM diseksa dan dibunuh dengan kejam. Inggeris mula berasa bahang kekejaman komunis apabila banyak ladang milik Inggeris menjadi sasaran serangan anggota komunis.
Keamanan negara yang tergugat menggamit semangat patriotik di kalangan pemuda Melayu. Seruan Inggeris supaya pemuda Melayu memasuki pasukan polis mendapat sambutan hangat di kalangan pemuda Melayu. Othman pemuda dari Kulim, Kedah telah berjaya mengikuti latihan polis selama enam bulan di Kuala Lumpur. Setelah tamat latihan, Othman bertugas di Pagoh, Muar, Johor. Dia membawa Limah, isteri yang baru dikahwininya atas dasar pilihan keluarga, tinggal di rumah kelamin di Rumah Pasung Pagoh.
Seperti daerah-daerah lain di Johor, Muar juga merupakan kawasan hitam yang menjadi sasaran keganasan komunis. Pagoh juga tidak terkecuali daripada perintah berkurung; memudahkan pihak keselamatan mengesan pergerakan komunis. Keadaan keselamatan di Pagoh juga tergugat dengan ancaman pengganas komunis. Penduduk Pagoh menjadi gempar apabila pengganas komunis yang diketuai oleh Lektuan telah membakar bas penumpang yang dalam perjalanan dari Muar ke Pagoh pada suatu petang. Pengganas komunis telah memaksa semua penumpang menyerahkan wang, harta benda, termasuklah barang-barang kemas penumpang-penumpang wanita. Pengganas komunis juga memaksa semua penumpang termasuk wanita menanggalkan pakaian mereka. Antara mangsa yang terlibat dalam kejadian ini ialah beberapa orang isteri anggota polis Pagoh yang dalam perjalanan balik dari Muar. Semua mangsa berjaya diselamatkan oleh anggota polis Pagoh dengan bantuan ketua Kampung Raja. Sejak kejadian itu, tahap keselamatan kompleks rumah pasung dan pangkalan sekatan jalan raya di daerah Pagoh telah diperketatkan. Beberapa cubaan menyeludup barang makanan dan ubat-ubatan oleh tali barut pengganas komunis telah berjaya dibanteras.
Mukim Bukit Kepong yang terletak di hulu Muar yang masih dianggap sebagai kawasan selamat telah mula menerima bahang gangguan kegiatan komunis. Menyedari keadaan mukimnya yang mula terancam, Penghulu Ali selaku ketua kampung telah berusaha berjumpa Pegawai Daerah Muar untuk mendapatkan khidmat anggota polis di Bukit Kepong. Enam anggota polis ditempatkan di sebuah rumah yang dijadikan rumah pasung sementara di Bukit Kepong, sebagai langkah berjaga-jaga. Tetapi, memandangkan keadaan di Bukit Kepong yang masih aman, khidmat anggota polis ini ditamatkan enam bulan kemudian. Kesempatan ini telah diambil oleh PKM untuk menyebarkan dakyah dan pengaruh mereka untuk mendapatkan sokongan penduduk kampung. Keamanan penduduk Bukit Kepong mula terancam, terutama orang-orang Cina yang menjadi sasaran utama komunis. Keadaan ini dilaporkan oleh Penghulu Ali kepada Pegawai Daerah Muar; kerajaan telah bersetuju menempatkan semula sepasukan polis di Bukit Kepong.
Komunis terus berusaha mempengaruhi penduduk Bukit Kepong dengan menghantar komunis Melayu yang bernama Madera untuk memujuk orang-orang Melayu supaya memberi sokongan kepada perjuangan komunis. Penghulu Ali berusaha memberi penerangan kepada penduduk kampung akan dakyah jahat komunis dan kekejaman yang telah dilakukan oleh komunis di tempat-tempat lain. Peristiwa pembunuhan dua pengganas komunis oleh tiga orang penduduk kampung yang terserempak dengan mereka, telah menjadikan keselamatan Bukit Kepong semakin terancam. Penghulu Ali telah berjaya mendapat kebenaran menubuhkan Unit Pengawal Keselamatan Kampung untuk membantu pihak polis berkawal di tempat-tempat strategic dalam mukim Bukit Kepong.
Pada Disember 1949, Rumah Pasung Bukit Kepong telah dinaikkan status, amggotanya ditambah sebanyak 16 orang dengan diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd Shah untuk menghadapi ancaman komunis yang semakin mengganas. Peristiwa pembunuhan ibu, isteri dan anak Saibun ialah misi membalas dendam komunis di atas kematian dua anggotanya. Peristiwa ini sekali lagi menggemparkan penduduk mukim Bukit Kepong dan pasukan polis telah melancarkan gerakan kawalan yang lebih ketat.
Pergerakan komunis semakin sukar akibat daripada tekanan darurat, peningkatan gerakan pasukan keselamatan dan catuan makanan yang dilakukan oleh kerajaan Inggeris. Walaupun begitu, mereka terus mengganas dan menyerang penduduk kampung dan lading-ladang getah. Lamfong, ketua kompeni keempat rejimen ketiga PKM cawangan Muar bermaharajarela menyerang kampung dan pekan. Mereka membunuh dan merampas makanan serta ubat-ubatan. Mereka juga menyerang ladang-ladang getah kepunyaan syarikat Inggeris dan tauke Cina yang dianggap menjadi ‘mata telinga’ kerajaan Inggeris, serta enggan membantu perjuangan komunis; dibunuh dengan kejam.
Peristiwa serangan pos polis di pekan Simpang, pembakaran rumah kongsi di Ladang Getah Palaniapa dan pembunuhan tauke ladang getah di Batu 17, menunjukkan pengganas komunis yang dipimpinoleh Lamfong, Lektuan, dan Madera iaitu ketua pengganas komunis Melayu semakin mengganas di daerah Muar. Sehubungan itu, sekatan jalan raya dan kawalan keselamatan anggota polis dipertingkatkan lagi. Rancangan Chanfei yang bergabung dengan Lamfong untuk menyerang Balai Polis Labis berjaya dikesan oleh perisik polis. Dalam satu operasi sulit, anggota polis yang diketuai oleh Inspektor Chin dan dibantu oleh beberapa pegawai kanan polis Kluang dan Johor Bahru bersama-sama dua platun pasukan jungle squad telah berjaya mematahkan rancangan komunis untuk menyerang Balai Polis Labis. Dalam serangan itu pihak polis telah berjaya membunuh 23 pengganas, menawan 17 komunis yang cedera dan merampas senjata pihak komunis.
Berikutan kejadian di Labis, kedudukan Rumah Pasung Bukit Kepong dan Lenga diperkuatkan bagi menghadapi kemungkinan serangan pengganas komunis yang akan membalas dendam kekalahan mereka di Labis. Lans Koperal Jidin Omar, Othman,Yusuf Rono, EPC Ahmad Khalid, dan EPC Mohd. Top Lazim yang bertugas di Pagoh telah diarah bertukar ke Bukit Kepong. Memandangkan keadaan keselamatan yang tidak selamat, mereka tidak dibenarkan membawa keluarga bersama-sama ke Bukit Kepong. Othman terpaksa menghantar isterinya pulang ke kampung.
Selepas perisitwa di Labis, pihak komunis telah merancang untuk membalas dendam dengan menjadikan Rumah Pasung Bukit Kepong sebagai sasaran. Mereka membuat perancangan teliti untuk memastikan kompleks polis Bukit Kepong dapat ditawan dengan mudah. Gerakan mereka menyerang polis ini sengaja dirancang semasa kesibukan kaum Cina menyambut Tahun Baru Cina iaitu pada 23 Februari 1950. Pada 21 Februari 1950, pihak komunis memulakan derakan menawan Balai Polis Bukit Kepong dengan menghantar anggota-anggota perisik untuk meninjau kedudukan dan kekuatan polis di Rumah Pasung Bukit Kepong. Pada hari yang sama Rumah Pasung Bukit Kepong menerima lawatan OCPD Pagoh , Inspektor J.J Raj Jr. yang membawa bekalan senjata dan peluru untuk memperkuatkan pertahanan Rumah Pasung Bukit Kepong. Kawalan keselamatan di Bukit Kepong diperkuatkan dengan bantuan Pasukan Polis Bantuan (AP) dan pasukan pengawal kampung.
Pihak pengganas komunis seramai 200 orang mula mengatur serangan ke atas kompleks polis Bukit Kepong. Mereka berkumpul dan berkhemah di hutan Lenga berhampiran dengan Bukit Kepong. Di sini mereka mengatur misi memerangkap ketua balai, Sarjan Jamil Mohd. Shah supaya masuk perangkap mereka dengan menghantar dua orang anggota yang menyamar sebagai orang kampung yang dalam kecemasan. Mereka merancang akan membunuh Sarjan Jamil dan memaksa semua anggota polis menyerah kalah. Tetapi rancangan ini tidak berjaya. Kemudian, mereka mula mengatur serangan dari semua arah dan mengepung kompleks polis Bukit Kepong. Dalam kesamaran awal pagi, anggota polis yang membuat kawalan telah melihat baying lembaga tubuh musuh. Dengan arahan Lektuan iaitu ketua pengganas, pihak komunis telah memuntahkan ledakan peluru ke arah Rumah Pasung Bukit Kepong.
Ledakan pertama daripada pihak komunis pada awal subuh 23 Februari 1950 telah mengejutkan seluruh anggota polis. Balasan tembakan awal AP Osman Yahya, EPC Jaafar Arshad, AP Mahmood Saat, Jaafar Hassan, dan Lans Koperal Jidin Omar mengejutkan seluruh anggota polis daripada tidur masing-masing. Dalam serangan awal ini, AP Osman Yahya telah menjadi mangsa pertama peluru pengganas komunis. Seluruh penduduk Bukit Kepong gempar apabila menyedari Rumah Pasung Bukit Kepong diserang komunis. Semua anggota polis yang diketuai oleh Sarjan Jamil bin Mohd. Shah berjuang dengan berani mempertahankan Rumah Pasung Bukit Kepong, walaupun mereka telah dikepung dari segenap penjuru. Mereka tidak boleh berharap kepada bantuan penduduk kampung kerana pihak komunis telah menyekat pergerakan penduduk kampung yang cuba membantu pihak polis. Serangan komunis yang semakin hebat telah mengorbankan sebahagian besar anggota polis dan ahli keluarga polis yang berlindung di rumah kelamin. Anggota polis yang hidup masih tetap gagah dan bersemangat kental mempertahankan maruah negara dan bangsa. Komunis mula menawan berek kelamin, isteri-isteri dan anak-anak polis ditawan sebagai senjata untuk memaksa anggota polis yang masih berjuang mempertahankan Rumah Pasung Bukit Kepong supaya menyerahkan diri. Keengganan pihak polis menyerah diri telah menyebabkan komunis menghebatkan serangan dengan melemparkan bom tangan ke arah kubu pertahanan polis.
Jangkaan pihak komunis dapat menawan kompleks polis dengan mudah ternyata meleset. Pihak polis telah menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi sehingga ke titisan darah yang terakhir untuk mempertahankan tanah air tercinta daripada ancaman musuh negara. Bunyi tembakan dari arah Rumah Pasung Bukit Kepong mengejutkan pengawal-pengawal kampung yang sedang bertugas di kubu-kubu keselamatan pos pertahanan masing-masing. Pada mulanya mereka menyangka bunyi letupan itu ialah bunyi mercun sempena Tahun Baru Cina. Penghulu Ali mengumpul semua AP dan mengatur pasukan penyiasat ke kompleks polis Bukit Kepong. Tetapi cubaan mereka telah dijangka oleh pihak pengganas yang telah membuat sekatan di semua arah yang memungkinkan bantuan sampai ke kompleks polis. Mereka bukan sahaja menyerang pasukan AP yang dipimpin oleh Penghulu Ali, malah telah menangkap beberapa keluarga orang kampung yang tinggal berdekatan dengan kompleks polis sebagai tawanan.
Dua jam pasukan komunis mengepung dan menggempur pertahanan anggota polis, tetapi mereka masih gagal menawan kompleks polis Bukit Kepong. Semua anggota polis yang masih hidup masih gagal bertahan mempertahankan kompleks polis. Ketika anggota polis Bukit Kepong berjuang mempertahankan kompleks polis, Sarjan Ali Bugis, OCS polis Lenga mengarahkan anggota semboyan menghantar berita serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong kepada OCPD Pagoh dan OSPC Muar. Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor juga sudah dimaklumkan. Sepasukan bantuan dihantar ke Bukit Kepong dari Lenga dengan meredah jalan hutan menuju ke Bukit Kepong untuk memberi bantuan.
Berek kelamin sudah ditawan. Anggota polis yang masih ada tetap bertahan. Ramai yang telah terkorban, termasuk Sarjan Jamil Mohd. Shah. Isteri-isteri dan anak-anak polis yang masih hidup ditawan oleh komunis. Berek kelamin dibakar bersama-sama mayat-mayat polis, isteri-isteri dan anak-anak polis yang telah terbunuh. Dalam keadaan genting, setelah melihat ramai rakan seperjuangan gugur, Othman berjaya menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam Sungai Muar. Seluruh kompleks polis sudah hangus terbakar. Jam 8.20 pagi, semua anggota komunis beredar meninggalkan kawasan kompleks polis. Kesempatan ini digunakan oleh isteri-isteri dan anak-anak polis untuk mencari keluarga masing-masing. Pasukan bantuan yang diketuai oleh Penghulu Ali yang berjaya masuk ke kompleks polis memberi bantuan kepada mangsa serangan komunis dan memadamkan api yang masih marak. Suasana pilu menyelubungi seluruh kompleks polis. Orang-orang kampung tidak kira bangsa turut memberi bantuan pakaian dan makanan. Sebuah pondok didirikan untuk menempatkan anggota polis yang cedera dan terkorban. Kehadiran OCPD dan rombongan, telah mempercepatkan proses menyelamat dan memadamkan kebakaran. Mereka mencari anggota polis yang mungkin tertimbus dan terbakar. Othman diberi rawatan kecemasan. Dengan bantuan Othman semua mangsa yang terbunuh dan mayat-mayat yang rentung dapat dikenal pasti.
Pada pukul 3.00 petang, semua anggota polis yang cedera dan keluarga polis yang terselamat dibawa ke Pagoh menaiki bot polis marin. Mereka seterusnya meneruskan perjalanan ke Hospital Muar untuk menerima rawatan. Kerja-kerja pembersihan di Bukit Kepong diteruskan. Pasukan keselamatan yang tiba telah melakukan operasi menjejak dan mengesan pengganas komunis secara besar-besaran di persekitaran Bukit Kepong, Labis, Pagoh, Yong Peng, dan Batu Pahat. Pada 24 Februari 1950, semua anggota polis, AP dan keluarga polis yang terkorban dikebumikan di satu kawasan yang dijadikan sebagai makam pahlawan. Upacara pengebumian yang penuh dengan kepiluan ini turut dihadiri oleh Dato’ Onn Ja’afar, pegawai tinggi polis, anggota polis, dan penduduk Bukit Kepong. Di Muar, anggota polis yang cedera dan dirawat, telah dikunjungi oleh ramai orang kenamaan dan pegawai kanan kerajaan Muar.
Berita utama Radio Malaya memuatkan berita Rumah Pasung Bukit Kepong diserang komunis dan disiarkan ke seluruh negara. Setelah empat minggu dirawat di Hospital Muar, Othman dibenarkan pulang bercuti selama sebulan. Kepulangan Othman disambut dengan rasa terkejut oleh seluruh keluarga kerana sebulan yang lalu mereka diberitahu yang Othman telah terkorban dalam serangan komunis di Bukit Kepong. Kecederaannya masih belum sembuh. Perasaan Othman bertambah kecewa apabila mendapati isteri tercinta, Limah telah menjadi tidak siuman, akibat menerima berita yang tidak benar tentang kematian Othman.
Tamat cuti, Othman kembali bertugas di Muar. Hatinya berat meninggalkan isteri yang masih belum pulih. Malah keadaan Limah semakin teruk. Di Muar, Othman meluahkan semua masalah yang dihadapinya kepada pihak atasan. Memahami tekanan fizikal dan perasaan Othman, pihak atasan telah membenarkan pertukaran Othman ke Alor Setar. Di Alor Setar, Othman telah ditugaskan di Rumah Pasung Kota Sarang Semut. Kecederaan yang dialaminya masih menyeksa hidupnya. Dia sentiasa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Selepas tiga minggu bertugas di Kota Sarang Semut, Othman mengambil keputusan meletak jawatan. Keadaan kesihatannya tidak memungkinkan dia untuk terus kekal dalam tugas yang amat diminatinya. Othman akhirnya akur dengan nasihat doktor supaya kakinya dipotong untuk menyelamatkan nyawanya. Walaupun cacat, Othman masih menyumbangkan tenaganya melatih pasukan sukarelawan kampung.