22 January 2009

Perpisahan bukan tanda berakhirnya persahabatan kita.

Kim Ern Ern, (pelajar dalam gambar di atas)murid dari PTAG yang saya kenali sebagai murid yang berfikiran positif dan sentiasa berusaha untuk membaiki kelemahan diri dalam subjek BM. Sejak mengenalinya pada usia 14 tahun hingga kini, walaupun kami hanya berjumpa seminggu sekali atau dua, tetapi saya masih mengingati usahanya yang tidak mengenal penat lelah dalam mempertingkatkan penguasaan subjek BMnya. Saya masih ingat, tahun lalu saya membuka 2 kelas BM di PTAG kerana permintaan daripada pelajar yang semakin meningkat. Ern Ern antara pelajar yang hadir ke kedua-dua kelas walaupun apa-apa yang saya ajar dalam kedua-dua kelas itu sama. Saya memang mengagumi kejayaannya sebagai pelajar.


Minggu lalu, saya menerima panggilan daripada Ern Ern yang mengatakan bahawa dia akan berhijrah ke Australia untuk melangsungkan kehidupan bersama keluarga. Panggilan tersebut telah menjawab persoalan di dalam hati saya yang seringkali bertanya tentang "kenapakah Ern Ern tak masuk kelas tuisyen BM tahun ini" dan "apakah" yang terjadi kepada Ern Ern yang sudah lama tidak saya jumpa. Saya memang tegas dalam soal kerja rumah pelajar, terutamanya karangan. Pada bulan Disember, saya masih sempat menelefon Ern Ern untuk memintanya supaya menghantar karangan tersebut sebelum dia dan keluarga melancong ke Australia.


Ern Ern, selepas ini, anda tidak perlu lagi menulis karangan berbahasa Melayu, namun anda harus ingat bahawa anda dilahirkan di Malaysia. Oleh hal yang demikian, berbanggalah dengan bahasa kebangsaan kita ini. Jika ada kesempatan, saya berharap kita akan berjumpa lagi pada masa yang akan datang. Sepanjang lebih dua tahun setengah saya mengajar anda, jika ada salah dan silap, maafkan saya. Saya akan mendoakan kejayaan anda dalam semua bidang pelajaran yang akan anda ceburi. Jika ada kelapangan, hantarlah e-mel kepada saya.



Semoga anda sukses dalam kehidupan!


Perpisahan Buat Ern Ern


Perjuangan persahabatan ini
Erti kita saling mengasihi
Ranjau dan onak persahabatan
Perlu kita hadapi
Inilah ertinya perpisahan
Satu perasaan yang kubenci
Andai boleh tidak kumahu
Hanya Tuhan yang mengerti maksud perpisahan
Antara murid dengan guru
Nescaya kita akan berjumpa lagi


Bukan lama kukenalnya
Untuk sekian kalinya
Aku sedar gadis itu
Terlalu kukuh dan jitu hatinya


Ern Ern yang kukenali
Rintangan masa depan harus kamu hadapi
Nun di sana kejayaan menanti


Ern Ern yang kuingati
Ratusan ribuan batu memisahkan kita
Nescaya persahabatan kita tiada titik noktah!


CIKGU TAN C L