6 January 2009

Demam Hari Persekolahan Bermula

Seawal dinihari lagi, deruman enjin kenderaan mula membanjiri jalan-jalan raya di negara kita, semalam sekolah mula dibuka untuk sesi akademik 2009. Yan paling menggementarkan ialah ibu bapa sanggup mengambil cuti tahunan untuk menyelesaikan masalah dan membawa anak-anak ke sekolah untuk membayar yuran dan sebagainya. Pengorbanan ibu bapa zaman ini masih sama seperti zaman persekolahan saya walaupun ibu bapa saya TIDAK pernah ke sekolah saya sejak sekolah rendah lagi.

Saya sentiasa iri hati dengan kawan-kawan lain yang dipimpin tangan oleh ibu bapa mereka. Apalagi yang sama-sama menikmati makanan di kantin sekolah, terutamanya semasa sekolah rendah. Oleh sebab bapa saya bekerja di luar negara manakala ibu saya tidak pandai bercakap dalam mana-mana bahasa tempatan kita pada kala itu. Namun begitu, kakak dan abang serta mak cik sayalah yang menjadi "ibu bapa" kepada saya sejak kecil. Jasa mereka akan saya kenang buat selama-lamanya.
Hari persekolahan pertama juga merupakan pembukaan lembaran buku pengajaran dan pemelajaran yang ulung kali sejak kalendar 2009 membuka tirainya. Guru-guru sekolah mula sibuk merancang jadual pengajaran dan ada pula yang meminta jadual tersebut daripada saya. Saya berpendapat bahawa guru-guru tersebut seyogianya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan dedikasi. Saya sedia menyemak jadual mereka jika ada yang mahu meng-e-melkannya kepada saya.
Semalam, saya menggunakan material daripada salah sebuah buku ulang kaji Bahasa Melayu yang saya percaya berjualan laris dalam pasaran sejak tahun lalu. Dalam karangan jenis syarahannya, ada kesalahan ejaan, tapi tak banyak. Oleh itu, saya berpendapat kesalahan itu bukan kesalahan penulis buku, tapi kesalahan mengedit. Tahun lalu, bulan Mac, saya pernah berhubung e-mel dengan Cikgu Ghalib berhubungan dengan kesalahan tersebut. Beliau mungkin salah faham akan tindakan saya. Cikgu Ghalib, "bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan"?
Secara ikhlas, saya ingin meminta maaf kepada Cikgu Ghalib atas kesilapan dan salah faham yang wujud antara kami sejak tahun lalu. Bak kata peribahasa, "buang yang keruh, ambil yang jernih". Semoga saya dan Cikgu Ghalib akan sama-sama membantu para pelajar meningkatkan penguasaan bahasa dan komponen sastera mereka. Saya meminta maaf secara umum bukan untuk meminta populariti, tetapi berharap agar tiada konflik antara guru yang aktif menulis blog.
Saya percaya dan yakin akan kewibawaan Cikgu Ghalib sebagai guru cemerlang dalam subjek BM. Beliau yang merupakan Munsyi Dewan untuk DBP juga merupakan "role model" dalam memartabatkan bahasa Melayu dan menjadikan tatabahasa melayu lebih kukuh dan utuh dalam arus pembangunan yang mementingkan bahasa Inggeris. Saya percaya, DBP dan Munsyi Dewan akan menggembleng tenaga untuk memperkasakan bahasa kita kerana "hilang bahasa, lenyaplah bangsa"!
Selamat Tahun Baru.
CIKGU TAN

No comments: