12 Januari 2009

Karangan Bergambar SPM


Karangan Bergambar SPM


Soalan: Punca Fenomena Jerebu

Fenomena cuaca berjerebu merupakan duri dalam daging kepada pihak kerajaan dan rakyat. Fenomena ini seolah-olah tertaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali melanda negara. Realitinya, keadaan negara yang berjerebu ini amat membahayakan kesihatan rakyat.

Punca utama fenomena jerebu melanda negara ialah pembebasan asap daripada kenderaan. Hal ini demikian kerana bilangan kenderaan yang semakin meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan. Kenderaan seperti lori, trelar, bas dan banyak lagi mengeluarkan asap karbon monoksida sehingga mencemarkan udara.

Selain itu, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka juga menyebabkan keadaan jerebu terjadi-jadi. Oleh sebab sampah sarap dibakar sesuka hati, sikap masyarakat dikatakan bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Natijahnya, kanak-kanak diserang sesak nafas dan penyakit asma.

Pembakaran asap kotor dari kilang juga dikenal pasti sebagai punca fenomena jerebu berlaku. Situasi ini bertambah buruk terutamanya di kawasan perindustrian kerana pihak pengilang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Hujan asid dan penyakit kulit pasti menyerang kita.

Sementara itu, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar sendiri akibat suhu meningkat sehingga menyebabkan jerebu berlaku. Hal ini demikian kerana fenomena pemanasan global. Oleh itu, sudah sampai masanya kita menyelamatkan bumi.

Selain faktor cuaca, kegiatan penebangan hutan yang berlaku dengan leluasa juga menyebabkan keadaan cuaca berjerebu. Pembalak di kawasan hutan membuka hutan dengan jalan mudah ini. Mereka bersikap tidak bertangungjawab sehingga menyebabkan negara-negara jika terpaksa menerima padahnya.

Di samping itu, pembebasan debu daripada letupan gunung berapi juga menyebabkan keadaan cuaca berjerebu. Gunung-gunung yang masih aktif di negara Indonesia tamsilnya mengeluarkan asap tebal sebagai fenomena gunung berapi akan meletus. Hal ini menyebabkan jarak penglihatan terbatas dan penerbangan tergendala.

Kesimpulannya, semua pihak mestilah bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam soal penjagaan alam sekitar. Kualiti udara yang bersih amat penting untuk menjamin kesihatan penduduk di rantau ini. Oleh itu, kita harus memikirkan setiap perbuatan yang melibatkan pembakaran supaya dapat mengelakkan fenomena jerebu.

Tiada ulasan: