13 Januari 2009

Karangan Bergambar SPM - Ciri-ciri Sekolah Selamat

Latihan Karangan Bergambar SPM – Ciri-ciri sekolah selamat

Sekolah atau alma mater merupakan tempat kita belajar. Oleh sebab itu, tempat kita menimba ilmu ini mestilah berada dalam keadaan yang selamat dan selesa. Hal ini penting agar sekolah dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikukum. Sebenarnya, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat. Cara-cara berikut mestila kita ketahui demi menjadikan sekolah sebagai tempat anak-anak belajar yang selamat dan selesa.

Pihak sekolah mestilah menyediakan alat kawalan kebakaran di tempat-tempat yang strategik di kawasan sekolah. Langkah ini amat penting supaya kebakaran dapat dielakkan daripada merebak ke bangunan yang lain. Walau bagaimanapun, kebanyakan sekolah di Malaysia mengalami nasib yang sama, yakni alat kawalan kebakaran seperti pili bomba dan alat kawalan kebakaran berbentuk semburan tidak dapat berfungsi dengan normal kerana rosak atau hilang. Sebenarnya, alat kawalan kebakaran yang rosak dan yang telah dicuri mestilah digantikan yang baharu. Pihak sekolah juga haruslah mendidik murid cara-cara menggunakan alat tersebut pada waktu kecemasan. Dengan ini, sekolah akan menjadi tempat belajar yang selamat.

Selain itu, pihak pentadbir sekolah juga haruslah melukis pelan kecemasan yang dapat digunakan pada saat-saat sekolah ditimpa kecemasan. Hal ini demikian kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh sebab itu, pelan tangga kecemasan dan pelan larian ke padang mestilah ditampal di tempat-tempat yang mudah dilihat. Dari semasa ke semasa, latihan kebakaran haruslah dijalankan juga. Hal ini dapat memastikan pelajar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Cara ini pasti dapat mengurangkan kemalangan dan kecederaan dalam kalangan wara sekolah.

Di samping itu, keselamatan pelajar di pintu sekolah juga mestilah dijaga dengan rapi. Setiap pintu sekolah mestilah dijaga oleh beberapa orang pengawal keselamatan. Pondok sekuriti mestilah dibina untuk memastikan para pelajar dapat melaporkan sebarang kejadian yang tidak diingini kepada pihak yang bertugas. Dengan ini, kejadian seperti kes culik dan kes ragut dapat diatasi sekali gus menjamin keselamatan anak-anak yang mahu memasuki pintu sekolah mahupun semasa balik ke rumah. Ibu bapa juga pasti berasa puas hati dengan tahap keselamatan sekolah. Tahap kebimbangan ibu bapa dan keyakinan ibu bapa yang tinggi ini dapat meningkatkan imej sekolah secara tidak langsung.

Sementara itu, keselamatan di jalan-jalan berdekatan dengan kawasan sekolah juga harus ditingkatkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Perhatian harus diberikan oleh pihak kerajaan tempatan dengan menyediakan lampu isyarat di jalan-jalan yang menjadi lintasan pelajar. Penyediaan “lintasan zebra” juga merupakan langkah penting supaya murid-murid dapat melintas jalan ke sekolah dengan selamat. Kawalan trafik oleh pihak pengawal keselamatan sekolah juga amat penting selain memasang papan tanda isyarat “Kurangkan Kelajuan, Kawasan Sekolah”. Hal ini dapat memberi kesedaran kepada para pemandu supaya mengurangkan kelajuan di kawasan sekolah. Apabila langkah di atas dapat diambil, murid-murid akan berasa selamat dan kes kemalangan di kawasan sekolah dapat dikurangkan.

Kesimpulannya, Keselamatan pelajar menjadi tanggungjawab semua pihak. Semua pihak yang terlibat haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menjamin keselamatan anak-anak ke sekolah dan sepanjang berada di sekolah. Para pelajar mestilah dididik mematuhi segala arahan dan peraturan di sekolah. Lebih-lebih lagi, ibu bapa haruslah memastilah anak-anak selamat masuk ke sekolah sebelum beredar ke pejabat. Kempen “Sekolah Selamat” haruslah diuar-uarkan supaya keselamatan anak-anak dapat dijamin. Saya berharap sekolah akan menjadi tempat belajar yang selamat dan kondusif.

6 ulasan:

Chole berkata...

di mana cikgu mendapatkan soalan ini???????????? (:

Tanpa Nama berkata...

terima kasih cikgu. dapat saya berkongsi dengan rakan rakan saya

Tanpa Nama berkata...

diharapkan cikgu dapat mempelbagaikan lagi skop perbincangan sekolah selamat...

>airyone165<

Tanpa Nama berkata...

klau bleh adakan lg krangan yg menarik

Tanpa Nama berkata...

em... ok tu..

Tanpa Nama berkata...

hahaa...