Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

1 March 2009

Kebijaksaan Bermain dengan Kata dan Frasa dalam Karangan

Sebagai seorang pendidik, saya sentiasa berharap agar pelajar saya sukses dalam peperiksaan, terutamanya dalam aspek penulisan. Dalam kajian yang saya jalankan waima pengalaman sebagai guru, karangan pelajar biasanya sama dari segi isi penting. Sebagai contoh, jikalau ada soalan karangan yang meminta pelajar menulis karangan bertajuk langkah-langkah mengurangkan kemalangan jalan raya, maka berikut ialah isi yang biasanya ditulis:


Langkah mengurangkan kasar kemalangan.
(a) Kerajaan - Penguatkuasaan undang-undang lalu lintas
(b) Sekolah - Pendidikan tentang keselamatan lalu lintas disalurkan sejak kecil
(c) Pemandu - Memeriksa keadaan kenderaan secara berjadual atau berkala
(d) Media massa - Menjalankan kempen keselamatan di jalan raya
(e) Pihak Swasta - memperbaik keadaan lebuh raya dan menaik taraf jalan.


Daripada pengalaman saya juga, apabila menulis karangan yang berkaitan dengan masalah sosial, berikut ialah isi pentingnya.


Langkah Mengurangkan Gejala Sosial
(a) Kerajaan - Penguatkuasaan undang-undang juvana
(b) Sekolah - Pendidikan moral dan agama disalurkan sejak kecil
(c) Media massa - Menjalankan kempen bertema antigejala sosial
(d) Ibu bapa - Memberi perhatian dan kasih sayang
(e) Diri sendri - berdisiplin dan mempelihara kekukuhan jati diri.


Cuba anda bayangkan, dalam hampir setiap karangan di dalam satu kelas menulis isi yang sama (perkara biasa), malahan menulis huraian dan contoh sehingga kesimpulan isi yang sama juga. Oleh hal yang demikian, berikut ialah beberapa formula untuk mevariasikan karangan anda supaya menjadi lebih hidup dan bertenaga sehingga menarik perhatian pemeriksa untuk meneruskan pembacaan sehingga penutup karangan lalu memberikan markah yang memuaskan hati anda:


Isi penting dan contoh pewacanaan indah dan berkesan
(a) Kerajaan - Penguatkuasaan undang-undang juvana


Petikan isi contoh 1:
Dalam kerancakan penduduk jagatraya menari bersama bayang-bayang pemodenan, kerajaan diumpamakan jantung sesebuah negara. Kerajaan mestilah mengorak langkah proaktif untuk menguatkuasaan undang-undang juvana. Hal ini berlaku demikian kerana remaja yang umur baru setahun jagung dan darah baru setampuk pinang akan mudah tergelincir daripada landasan keimanan. Yang paling menyedihkan kerajaan ialah mereka alpa dan cuai dibawa arus globalisasi. Oleh hal yang demikian, penguatkuasaan undang-undang tersebut haruslah diikuti pelaksanaan yang efektif. Selain itu, inisiatif kerajaan menggubal rang undang-undang juvana juga dikatakan dapat memberi kesedaran kepada remaja bahawa mereka akan dikenakan tindakan undang-undang jika terlibat dalam jenayah dan gejala sosial yang berat. Saya percaya, mereka akan insaf dan kembali ke jalan hidup yang sebenar.


Dalam petikan isi penting di atas, perkataan "kerancakan" dan "menari" adalah berkaitan antara satu sama yang lain. Daripada perspektif yang berbeza, frasa tersebut (rujuk perkataan yang berwarna ungu) bermakna sibuk dalam menjalani kehidupan pada zaman moden.
Frasa "alpa dan cuai dibawa arus globalisasi" bermakna terlalu ghairah sehingga lupa bahawa mereka semakin lemas dalam peredaran zaman moden berteknologi tinggi ini.

Baiklah, lihat satu lagi isi contoh di bawah:



Petikan isi contoh 2:

(b) Sekolah - Pendidikan moral dan agama disalurkan sejak kecil

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pernah menegaskan bahawa sekolah merupakan kilang yang menghasilkan produk modal insan untuk menghadapi pasaran kerja yang mencabar. Oleh sebab itu, guru berperanan penting memastikan produk tersebut benar-benar berkualiti dan dapat memenuhi permintaan dalam kitaran ekonomi yang tidak begitu berpusing ligat. Walau bagaimanapun, guru sekolah seyogianya menjadi mentor dan sentiasa memberi motivasi kepada pelajar untuk mencerminkan diri dan mengenal jati diri yang sebenar. Sebenarnya, sikap nakal dan kebobrokan pelajar yang semakin keruh boleh dijernihkan lagi dengan perhatian dan kawalan disiplin yang ketat di sekolah. Dengan pelakasanaan Program Sekolah Selamat dan Program Mentor Menti di sekolah, saya yakin anak-anak murid dapat menyelami perasaan dan hati murni yang sentiasa mendambakan mutiara kejayaan daripada pelajar, bukannya catatan imej buruk sekolah dengan gejala sosial.

Dalam Isi di atas, pengaplikasian konsep ekonomi dan akuatik telah saya gunakan.

Buktinya, "kilang", "produk", "pasaran kerja", dan "permintaan" (konsep ekonomi)

Penggunaan "keruh", "jernih", "menyelami", dan "mutiara" (konsep air dan laut)



Bagaimanakah dengan isi penting di bawah? Ada sesiapa yang berani dan bijak "bermain" dengan kata-kata dan meng-e-melkan isi contoh anda kepada saya? Kalau ada, saya akan memasukkan dalam entri blog ini untuk dikongsi bersama pelajar-pelajar lain.



(c) Media massa - Menjalankan kempen bertema antigejala sosial
(d) Ibu bapa - Memberi perhatian dan kasih sayang
(e) Diri sendri - berdisiplin dan mempelihara kekukuhan jati diri.


Sebagai penutup bicara, saya ingin menegaskan bahawa pengalaman menulis karangan memerlukan kesabaran dan ketelitian memilih kata-kata. Dengan prinsip sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain, saya bercaya anda dapat melakukannya.
Ayuh terima cabaran saya!

5 comments:

Nur Izni said...

cikgu,
apakah perbezaan antara
orang tua-tua dgn
orang-orang tua?
dan bagaimanakah cara menggunakannya?

CIKGU TAN CL said...

"orang tua-tua" bermaksud golongan yang sudah tua.

"orang-orang tua" bermaksud kebanyakan penduduk yang berusia.

"orang tua-tua" bolehlah digunakan secara umum untuk "rumah orang tua-tua" dan "kemudahan orang tua-tua" manakala "orang-orang tua" bolehlah menerangkan unsur jamak menggantikan manusia yang tua.

Contohnya, lihat ayat di bawah:
i) Ayah akan membawa kami ke rumah orang tua-tua yang terletak di Jalan Klang Lama untuk menziarahi nenek yang tinggal di situ.

ii) Orang-orang tua dalam kampung ini buta huruf kerana tidak diberi pendidikan pada zaman penjajahan.

Faham?

Nur Izni said...

terima kasih cikgu

Lim Kai Xiang said...

cikgu,
apa kata pula dengan
"kata orang tua-tua"
dan "kata orang-orang tua" dalam konteks untuk memasukkan kata hikmah dalam esei?
Mana satukah yang betul?

Unknown said...

Cikgu.. boley bagi saya frasa menarik lagi.. ??