6 May 2015

PERBEZAAN "BANYAK" DAN "RAMAI"

INFO BAHASA 06.05.2015
PERBEZAAN PERKATAAN "BANYAK" DAN "RAMAI"
Banyak pengguna bahasa yang mengalami kekeliruan tentang penggunaan perkataan “banyak” dan “ramai” dalam ayat. Lihat penggunaan perkataan “ banyak” dan “ramai” dalam ayat yang di bawah ini.
1. Ramai orang di stadium yang menonton perlawanan itu.
2. Banyak orang di stadium yang menonton perlawanan itu.
Persoalan yang hendak dikemukakan di sini ialah ayat manakah yang betul dan tepat. Oleh sebab kedua-dua perkataan ini kelihatan hampir sama, kedua-dua perkataan tersebut seakan-akan dapat bertukar ganti tanpa mengubah maksud.
Namun demikian, kedua-dua perkataan itu membawa makna yang berbeza apabila menerima apitan ke-....-an. Perkataan yang terbentuk, iaitu keramaian dan kebanyakan sungguh berbeza makna dan penggunaannya dalam ayat.
Sebagai contohnya, frasa “majlis keramaian” tidak boleh digantikan dengan frasa “majlis kebanyakan”.
Lihat ayat yang di bawah ini:
3(a). Penyanyi lagu asli itu sering diundang untuk membuat persembahan di majlis keramaian. [Betul]
3(b). Penyanyi lagu asli itu sering diundang untuk membuat persembahan di majlis kebanyakan. [Salah]
Dalam hal ini, frasa nama “majlis keramaian” menunjukkan suasana sama ada rasmi atau tidak rasmi. Oleh itu, frasa nama “majlis kebanyakan” tidak tepat.
Frasa “orang kebanyakan” pula tidak boleh bertukar ganti dengan frasa `orang keramaian”.
Lihat ayat contoh yang di bawah ini:
4(a). Putera raja negeri itu berkahwin dengan orang kebanyakan. [Betul]
4(b). Putera raja negeri itu berkahwin dengan orang keramaian. [Salah]
Selain itu, perkataan “kebanyakan” dan “keramaian” memperlihatkan perbezaan yang nyata seperti yang terdapat dalam ayat yang di bawah ini:
5(a). Kebanyakan murid sekolah ini berasal dari kawasan pedalaman. [ Betul]
5(b). Keramaian murid sekolah ini berasal dari kawasan pedalaman. [Salah]
Ayat (3) hingga (5) di atas membuktikan bahawa maksud dan pengunaan perkataa “ramai” dengan “banyak” berbeza. Sila lihat pantun dua kerat yang di bawah ini pula:
Banyak udang, banyak garam.
Banyak orang, banyak ragam.
Sila lihat pantun tersebut apabila menggunakan perkataan “ramai”:
Ramai udang, ramai garam.
Ramai orang, ramai ragam.
Hal ini juga menunjukkan bahawa perkataan “banyak” dan `ramai” berbeza maksud dan penggunaannya.
Hal ini membuktikan bahawa perkataan”ramai” lebih sesuai digunakan untuk menggambarkan suasana. Jika suasana di stadium itu riuh rendah, perkataan atau frasa yang sesuai ialah “ramai orang”.
Jika suasananya senyap sunyi (contohnya, semua orang di dalam stadium sedang bertafakur), perkataan atau frasa yang sesuai digunakan ialah “ramai orang” juga.
Walaupun keadaannya sunyi, perkataan “ramai” juga digunakan. Penggunaan perkataan “banyak” memerlukan kita ingin mengetahui jumlahnya.
Sebagai contohnya:
6. Banyak penyokong Kelantan yang akan menyaksikan perlawanan pada malam ini.
Namun demikian, Kamus Dewan Edisi Keempat pula tidak membezakan penggunaan perkataan “ramai” dengan `banyak”. Semua pengguna bahasa perlulah memahami bahawa Kamus Dewan merakamkan apa-apa sahaja yang dituturkan oleh pengguna termasuk bahasa yang baku dengan bahasa yang tidak baku. Maksud yang baku bagi perkataan “banyak” ialah jumlah yang merujuk bilangan yang melebihi satu atau seorang. Jumlahnya dapat diketahui jika dibilang atau dikira.
Ayat contoh:
7. Banyak murid yang ponteng sekolah pada hari ini.
8. Saya telah menyemak banyak buku latihan murid pada hari ini.
9. Murid itu membeli pelbagai barang kerana banyak duit.
10.Guru bahasa Melayu itu bimbang kerana masih banyak murid di kelasnya yang lemah dalam penulisan karangan.
11. Kita mestilah banyak membaca buku atau majalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri.
Maksud yang baku bagi perkataan “ramai” pula ialah jumlah yang melebihi seorang berdasarkan suasana. Jumlahnya pula tidak perlu diketahui.
Ayat contoh:
12. Ramai penonton yang memenuihi stadium ketika Selangor menentang pasukan Kelantan pada malam tadi.
13. Pada pagi itu, ramai orang yang bersesak-sesak di stesen komuter itu untuk pergi ke tempat kerja.
14. Semasa perhimpunan itu, ramai orang yang bertempiaran lari apabila pihak polis menyemburkan gas pemedih mata.
15. Dalam kejohanan olahraga sekolah itu, ramai ibu bapa yang hadir untuk menyaksikan anak masing-masing mengambil bahagian.
16. Semasa pertunjukan akrobatik itu, ramai penonton yang hadir bersama-sama anak kecil mereka.
Sila teliti ayat yang di bawah ini:
17(a). Keramaian murid yang ponteng sekolah pada hari ini daripada kelas tingkatan 5.[Salah]
17(b). Kebanyakan murid yang ponteng sekolah pada hari ini daripada kelas tingkatan 5.[Betul]
18(a). Ramai kasut diletakkan di halaman rumah.[Salah]
18(b). Banyak kasut diletakkan di halaman rumah.[Betul]
Apakah perbezaan antara frasa `ramai orang” dengan “orang ramai”?
Frasa `ramai orang” menunjukkan suasana, iaitu orang yang berada di sesuatu tempat kerana sesuatu aktiviti, program atau kejadian.
Ayat contoh:
19.Ramai orang yang menyaksikan kemalangan ngeri itu.
Frasa nama “orang ramai” pula bermaksud masyarakat atau orang awam.
20. Perdana Menteri mempersilakan orang ramai untuk menghadiri majlis rumah terbuka bersempena dengan sambutan Aidifitri.
Berkaitan dengan hal ini pula, banyak pelajar yang mengalami kekeliruan tentang ejaan perkataan “kebanyakan sama ada ditulis dengan satu `k”(kebanyakan) atau dua `k” (kebanyakkan).
Oleh sebab perkataan “kebanyakan” kata nama, perkataan ini hendaklah ditulis dengan satu `k”. Bagi perkataan yang digolongkan sebagai kata kerja seperti “membanyakkan”, dua `k” diperlukan.
Persoalan lain yang timbul tentang isu ini ialah bolehkah kata bilangan tak tentu seperti banyak, sedikit, ramai, sebilangan, dan sebagainya digunakan untuk orang ramai?
Jika anda telah memahami penggunaan perkataan `banyak” dan `ramai”, sila kenal pasti penggunaan perkataan `banyak” dan `ramai” yang tepat di bawah ini:
21. Banyak kasut yang hilang di masjid pada setiap hari Jumaat.
22. Ramai bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan sekolah kita.
23. Ramai orang yang menyaksikan pertunjukan itu.
24. Orang banyak dinasihati supaya menjimatkan penggunaan air.
25. Majlis keramaian itu diadakan bersempena dengan pelantikan beliau sebagai Menteri Pelajaran.
26. Orang kebanyakan menjadi pilihan putera raja itu sebagai isteri.
Sila teliti ayat yang di bawah ini pula:
27. Tidak ramai orang yang hadir menyaksikan pertunjukan itu.(Berdasarkan majlis/aktiviti pada masa tersebut)
28. Tidak banyak orang yang akan hadir menyaksikan pertunjukan itu.(Berdasarkan senarai pengunjung)
29. Sedikit orang yang hadir menyaksikan pertunjukkan itu.(suasana)
30. Hanya sebilangan orang yang tidak makan makanan ini. (Bilangan yang kecil jumlahnya)
Secara tuntas, perkataan “banyak” dan “ramai” memperlihatkan pelbagai penggunaan sama ada pembentukan frasa atau pengimbuhan seperti banyak orang, ramai orang, majlis keramaian dan juga keramaian dan kebanyakan. Perkataan “ramai” hanya digunakan untuk merujuk manusia dan menunjukkan suasana. Perkataan “banyak” pula digunakan untuk merujuk manusia dan bukan manusia dari segi bilangan atau jumlah.

2 comments:

Anonymous said...

Terima kasih cikgu! Nota cikgu sangat membantu dan amat dihargai. :)

MOHD AFIF BIN ZAKARIA said...

Nota yang amat membantu.terima kasih