14 May 2015

KATA MAJMUK PISAH YANG DIDEKATKAN OLEH PENGGUNA BAHASA YANG DEGIL

INFO BAHASA
KATA MAJMUK PISAH YANG DIDEKATKAN OLEH PENGGUNA BAHASA YANG DEGIL
Banyak kesilapan bahasa yang melibatkan kata majmuk. Pengguna bahasa Melayu memang pelik. Mereka tahu mengeja "hari raya" tetapi mengeja "pasaraya" dengan mendekatkan kedua-dua perkataan tersebut ambil membuang aksara "r" pada salah satu perkataan tersebut sewenang-wenangnya.
Antara kesalahan yang lazim kita lihat adalah seperti yang berikut:
1.
pasaraya (salah)
pasar raya (betul)
2.
gambarajah (salah)
gambar rajah (betul)
3.
alat siaraya (salah)
alat siar raya (betul)
4.
keretapi (salah)
kereta api (betul)
5.
urusetia (salah)
urus setia (betul)
6.
lebuhraya (salah)
lebuh raya (betul)
7.
alatulis (salah)
alat tulis (betul)
8.
ulangkaji (salah)
ulang kaji (betul)
9.
penguatkuasa (salah)
penguat kuasa (betul)
10.
matapelajaran (salah)
mata pelajaran (betul)
11.
bandaraya (salah)
bandar raya (betul)
Ada lagi? Sila cadangkan
Bagaimanakah pula keadaannya dengan kata nama khas berikut?
(a) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
(b) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
(c) Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)
Ejaan yang betul ialah bandar raya kecuali Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah diwartakan sebelum tahun 1972. Bagi ejaan yang diwartakan, bandaraya dieja rapat seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan lain-lain. Namun begitu, selepas tahun 1972, kita hendaklah menggunakan Sistem Ejaan Baharu yang telah diselaraskan termasuklah ejaan bandar raya.
Walau bagaimanapun, penamaan beberapa dewan bandar raya dan majlis bandar raya selepas tahun 1972 masih mewartakan ejaan lama. Hal ini amat mengecewakan saya sebagai pencinta bahasa kebangsaan. Begitu juga dengan papan-papan tanda di tempat awam. Papan-papan tanda tersebut dinamakan dan dibetulkan bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan yang mungkin kurang arif dalam bidang bahasa.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) biasanya akan memantau dan membuat teguran kepada pihak yang melakukan kesalahan. Di samping itu, pihak berkuasa tempatan akan menguatkuasakan undang-undang atau peraturan yang ada pada mereka untuk mempertingkatkan kualiti bahasa pada papan tanda di negara kita.
Sebenarnya, bahasa Melayu amat mudah. Kita yang merumitkannya dengan mengingati perkara yang salah. Oleh sebab itu, kita haruslah betulkan yang salah, biasakan yang betul.
Selamat belajar!

No comments: