8 May 2015

PERBEZAAN ANTARA SEBAB, OLEH SEBAB, KERANA, dan OLEH KERANA

INFO BAHASA
07.05.2015
PERBEZAAN ANTARA SEBAB, OLEH SEBAB, KERANA, dan OLEH KERANA
"Oleh" merupakan kata sendi dan mengikut hukum tatabahasa bahasa Melayu, apabila digunakan dalam frasa atau ayat, kata sendi itu haruslah diikuti oleh kata nama.
Contohnya:
1. Majlis Bicara Bahasa itu dirasmikan oleh Tun Ismail.
2. Pokok bunga mawar itu dirosakkan oleh budak-budak nakal itu.
3. Lukisan itu dilukis olehnya.
Sebenarnya, perkataan "sebab" dan "kerana" berbeza dari segi golongan katanya. Perkataan "sebab" ialah kata nama, manakala perkataan "kerana" ialah kata hubung pancangan keterangan.
Perkataan "sebab" boleh dijadikan kata hubung dengan syarat disertakan kata sendi nama "oleh" untuk menjadi frasa sendi nama "oleh sebab" yang membawa maksud "kerana".
Oleh itu, frasa yang betul ialah "oleh sebab" dan bukannya "oleh kerana".
Lihat beberapa contoh yang berikut:
1.
Ayah tidak hadir ke pejabat kerana demam. (betul)
Ayah tidak hadir ke pejabat oleh kerana demam. (salah)
Ayah tidak hadir ke pejabat sebab demam. (salah)
Ayah tidak hadir ke pejabat oleh sebab demam. (betul)
2.
Oleh sebab tidak mempunyai wang, dia tidak mengikuti wisata ilmu ke Thailand. (betul)
Oleh kerana tidak mempunyai wang, dia tidak mengikuti wisata ilmu ke Thailand. (salah)
Kerana tidak mempunyai wang, dia tidak mengikuti wisata ilmu ke Thailand. (betul)
Sebab tidak mempunyai wang, dia tidak mengikuti wisata ilmu ke Thailand. (salah)
3.
Oleh sebab sering berlaku kemalangan, jalan itu dijadikan jalan sehala. (betul)
Oleh kerana sering berlaku kemalangan, jalan itu dijadikan jalan sehala. (salah)
Kerana sering berlaku kemalangan, jalan itu dijadikan jalan sehala. (betul)
Sebab sering berlaku kemalangan, jalan itu dijadikan jalan sehala. (salah)
4.
Jonathan tidak mengikuti latihan bola sepak oleh sebab hujan.(betul)
Jonathan tidak mengikuti latihan bola sepak oleh kerana hujan.(salah)
Jonathan tidak mengikuti latihan bola sepak kerana hujan.(betul)
Jonathan tidak mengikuti latihan bola sepak sebab hujan.(salah)
5.
Pemain skuasy itu tewas oleh sebab kurang latihan.(betul)
Pemain skuasy itu tewas oleh kerana kurang latihan.(salah)
Pemain skuasy itu tewas kerana kurang latihan.(betul)
Pemain skuasy itu tewas sebab kurang latihan.(salah)
6.
Dia mendapat keputusan yang cemerlang oleh sebab ketekunannya.(betul)
Dia mendapat keputusan yang cemerlang oleh kerana ketekunannya.(salah)
Dia mendapat keputusan yang cemerlang kerana ketekunannya.(betul)
Dia mendapat keputusan yang cemerlang sebab ketekunannya.(salah)
Saya berharap agar pengguna bahasa tidak menggunakan "oleh kerana" dalam ayat, wacana, waima bicara.
Selamat bertugas!
Selamat belajar!

No comments: