17 July 2017

INFORMASI BAHASA - Pasangan Kata Sendi Nama "ke" dan "kepada"

INFORMASI BAHASA
Pasangan Kata Sendi Nama "ke" dan "kepada"

✍️Kata sendi nama "ke" yang digunakan untuk sesuatu tempat atau masa perlu berpasangan dengan kata sendi nama "dari" yang digunakan untuk maksud arah. Kata sendi nama "kepada" tidak boleh digunakan bagi merujuk tempat. Sebaliknya, kata sendi nama "kepada" berpasangan dengan kata sendi nama "daripada".

PRINSIP:
๐Ÿ“Œke ๐Ÿ‘‰ boleh dipasangkan dengan "dari"๐Ÿ“Œ
๐Ÿ“Œkepada ๐Ÿ‘‰ boleh dipasangkan dengan "daripada"๐Ÿ“Œ

Lihat contoh di bawah:
1. Bungkusan ini dari ❌Cikgu Faiz ke ❌Puan Nasifah.
2. Harga beras semakin meningkat dari ❌RM25 ke ❌RM40.
3. Cikgu Mat telah bertukar bidang dari ❌ahli politik pada ❌penulis buku.
4. Mereka perlu berubah dari ❌tabiat buruk ke ❌berakhlak mulia.
5. Nilai mata wang makin menurun dari ❌90 sen ke ❌ 50 sen untuk satu dolar.
6. Motosikal yang dilanggar oleh kereta itu dari Taiping kepada ❌ Kota Kemuning.
7. Daniel meneliti ayat dari perenggan kepada ❌ perenggan yang lain.
8. Hutangnya semakin meningkat dari bulan kepada ❌bulan.
9. Zalipah berbasikal daripada ❌rumahnya ke Taman Tengku Anis.
10. Haji Saiful baru berpindah dari Kluang kepada ❌Machang.

Pembetulannya:
1. Bungkusan ini daripada✅ Cikgu Faiz kepada ✅Puan Nasifah.
2. Harga beras semakin meningkat daripada RM25 kepada ✅RM40.
3. Cikgu Mat telah bertukar bidang daripada ✅ahli politik kepada ✅ penulis buku.
4. Mereka perlu berubah daripada ✅tabiat buruk kepada✅ berakhlak mulia.
5. Nilai mata wang makin menurun daripada ✅90 sen kepada ✅ 50 sen untuk satu dolar.
6. Motosikal yang dilanggar oleh kereta itu dari Taiping ke ✅Kota Kemuning.
7. Daniel meneliti ayat dari perenggan ke ✅ perenggan yang lain.
8. Hutangnya semakin meningkat dari bulan ke  ✅ bulan.
9. Zalipah berbasikal dari ✅ rumahnya ke Taman Tengku Anis.
10. Haji Saiful baru berpindah dari Kluang ke ✅ Machang.

UJI BAHASA 1
Nyatakan penggunaan kata sendi nama atau frasa sendi nama dalam ayat yang berikut, sama ada betul (✔️) ataupun salah (❌).
1. Aku sempat memandang ke halaman belakang rumahku dari pintu belakang yang terbuka. (_____)
2. Fazri mengelakkan tikaman keris itu dari kiri kepada kanan dengan cepatnya. (_____)
3. Puak Han bergerak dari satu tempat kepada satu tempat untuk mencari sumber makanan. (_____)
4. Daripada Timur ke Barat, cerita tentang kehebatan Raja Monyet itu tersebar dengan luasnya. (_____)
5. Mereka diajar oleh Haji Zakaria cara ukiran awan larat dari cara tradisi kepada moden. (_____)
6. Harga minyak dalam pasaran semakin turun dari RM90 setong RM50 setong pada tahun ini. (_____)
7. Saintis yang mengkaji pergerakan bulan sentiasa memerhatikan fenomena yang ganjil itu daripada masa ke masa. (_____)
8. Encik Abdul Hasleem dari Arab Saudi itu menjadi ketua pengurus projek kepada mereka yang lebih berusia darinya. (_____)

UJI BAHASA 2
Isi tempat kosong dengan kata sendi nama yang sesuai.

1. Kami telah berpindah pada tahun 2010 ______ Kuala Kangsar ______ Bintulu.
2. Hutang Ameng yang berjumlah RM90 ribu itu akan ditambah masa bayarannya ______ lima tahun ______ 10 tahun.
3. Surat itu ______ Pejabat Perdana Menteri yang menyokong usaha pendamaian ______ pihak editor syarikat itu.
4. Cincin berusia 100 tahun itu berpindah tangan ______ Haji Mat Sabu ______ pemilik baharu, iaitu Mohd Imran.
5. Negara itu mengalami kemerosotan ekonomi yang teruk sebagai akibat ______ serangan spekulator saham itu yang harus diseret ______ kerajaan untuk diadili.
6. Kaedah pemberitahuan ______ sistem aplikasi Internet itu akan diperluas ______ agensi lain.
7. Jumlah pendatang asing ke Malaysia semakin bertambah ______ masa ______ masa berikutan pembangunan yang pesat di beberapa buah negeri khususnya.
8. Konsep pembelajaran terancang ini adalah ______ yang paling mudah ______ yang paling sukar.

SUMBER:
RUMUS TATABAHASA BAHASA MELAYU (GOLONGAN KATA) DBP

2 comments:

myzeedah musa said...

Salam cikgu, bolehkah penggunaan kata sendi nama digunakan di hadapan ayat? terima kasih.

CIKGU TAN CL said...

Boleh, kata sendi nama yang berada di depan ayat dikenali sebagai pendepanan frasa sendi nama dalam ayat bersusunan songsang.

Contoh:

Ali membaca buku di bawah pokok. (Ayat bersusunan biasa)

Di bawah pokok Ali membaca buku. (Ayat bersusunan songsang)