18 September 2008

Pertama kali mendengar azan berkumandang di angkasa raya!

Selasa, 17 September 2008, saya diberi satu tanggungjawab berat oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk melaksanakan tugasan ceramah bahasa BM SPM di negeri di bawah bayu, Sabah. Perjalanan program ini berlangsung dengan lancar dan segala yang saya rancang dan harapkan praceramah ini sememangnya terjadi. Penerbangan pascaceramah ini merupakan pengalaman baharu buat saya kerana terdengar azan sembahyang waktu Maghrib yang berkumandang di corong-corong pembesar suara di dalam pesawat. Pramugara dan pramugari Muslim yang bertugas tetap berdedikasi melaksanakan tugas sebelum meneguk secangkir air untuk membasahkan tekak yang kemarau seharian ditambah pula dalam keadaan cuaca yang kurang menentu kebelakangan ini. Saya berpendapat bahawa pengorbanan demi tugas seperti inilah yang benar-benar menguji kesabaran dan keimanan para Muslim sepanjang bulan ramadan. Selepas melihat kalendar, baru saya sedar sudah 17 hari muslimin dan muslimat menunaikan tiang agama keempat (menurut salah seorang pramugara yang bertugas). Saya masih jahil dalam hal-hal Islam, maklumlah saya bukan beragama Islam mahupun pernah mempelajari ajaran Islam. Walau bagaimanapun, saya juga dikejutkan dengan tarikh 17 September yang mengingatkan saya tentang ulang tahun kelahiran bonda tercinta saya. Penerbangan saya dijangka mendarat di lapangan terbang kira-kira jam 9:30 malam, pada masa itu, ibu saya sudahpun menutup tirai hariannya di dalam kamar tidur. Tarikh ini juga mengingatkan saya betapa dekatnya PMR dan SPM yang bakal menjelang dalam masa beberapa minggu sahaja. Alamak, ramalan saya belum dimuat naik lagi!
Calon PMR tahun ini memang berbeza dengan calon-calon lepas. Hal ini demikian kerana mereka terpaksa menduduki PMR seiring meraikan Hari Raya Aidilfitri yang saya jangka akan diraikan dan dan dirayakan dalam situasi sederhana kerana kelembapan ekonomi yang disulami kenaikan harga siling barangan keperluan. Sudah lama saya tidak berkesempatan sama-sama merayakan Hari Raya Aidilfitri kerana sibuk dengan tugasan membuat ramalan PMR dan SPM. Kendatipun begitu, saya berharap pelajar-pelajar saya akan bersiap sedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi dua musim kebesaran ini, yakni perayaan dan peperiksaan. Sebagai penghias bicara akhir, ingatlah kata-kata motivasi saya kepada pelajar, jangan mudah berputus asa kerana Tuhan tidak pernah melahirkan penduduk bumi yang bodoh, cuma penduduk bumi memperbodoh diri sendiri. Oleh sebab itu, "manusia punya asa, Tuhan punya kuasa".
Calon pasca-UPSR yang masih dalam mood ceria selepas UPSR, jangan lupa singgah-singgah di laman blog saya untuk menimba ilmu baharu kerana cabaran menghadapi sekolah menengah semestinya lebih tinggi tahapnya. Janganlah leka meraikan “kemerdekaan” daripada UPSR yang hanya merupakan ujian pertama dalam kehidupan pelajar, masih ada dua atau tiga peperiksaan umum menanti anda.
Kepada guru-guru lain yang melawati laman blog saya, terima kasih saya ucapkan atas inisiatif anda. Sokongan yang diberikan kepada saya amat saya apresiasi dan sanjungi. Jika ada apa-apa kekurangan dan kecacatan dalam laman ini, pastikan anda meng-e-melkan cadangan dan syor-syor membina agar kita sama-sama dapat melahirkan banyak calon peperiksaan yang cemerlang dalam kertas BM. Saya boleh, Guru Malaysia Boleh!

2 comments:

Anonymous said...

Cikgu, saya ingin bertanya... selepas perkataan "antara", adakah perkataan selepas itu kata ganda ataupun berdiri dengan sendirinya?
Contoh:
1. Antara objek-objek berikut, yang manakah betul penggunaannya?
2. Antara objek berikut, yang manakah betul penggunaannya?

Terima kasih cikgu.

CIKGU TAN C L said...

"antara" sudah pun bermaksud jamak atau banyak, maka tidak perlu digandakan lagi perkataan selepasnya. Oleh itu, perkataan "antara faktor-faktor" adalah salah.