Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

25 June 2008

Indahnya Bumi Kenyalang

Sarawak yang terkenal dengan nama jolokannya Negeri Bumi Kenyalang mempunyai rakyat yang terdiri daripada pelbagai suku kaum. Terdapat kira-kira 30 kumpulan etnik di Sarawak. Kaum Iban merupakan suku kaum yang terbesar di Sarawak, diikuti oleh kaum Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan kaum-kaum etnik yang lain. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai pelbagai bangsa dan suku kaum, sudah pasti terdapat pelbagai kebudayaan dan adat resam yang diamalkan.



Bagi masyarakat Sarawak, adat resam merupakan satu warisan tradisi yang begitu dititikberatkan dan telah sebati dengan kehidupan seharian mereka. Bagi Etnik Sarawak flora dan fauna adalah sebahagian daripada keperluan asas penyediaan pakaian untuk kegunaan harian. Apabila berkata tentang busana Sarawak, keindahan pakaian kaum etnik dari Sarawak terserlah dengan ragam hias yang mempamerkan kemahiran tangan yang menghasilkannya. Ragam hias pasa pakaian membentuk motif-motif etnik sama ada daripada tenunan, jalinan manik dan labuci. Perhiasan diri daripada perak dan manik yang sarat melambangkan status dan kekayaan bagi pemakainya. Baju Melayu Cekak Musang merupakan pakaian tradisional lelaki Melayu. Baju ini dipadankan dengan samping songket tenunan Sarawak. Wanita Melayu pula memakai Baju Kurung dan kain sarung songket serta tudung kerengkam. Lelaki Melanau pula memakai baju satin hitam yang digandingkan dengan samping Broked dan hiasan kepala kopiah Jawa. Wanitanya memakai Bajau Baban lengan lebar berwarna hitam dan kain songket Sarawak serta hiasan diri daripada emas dan daripada perak juga.


Pakaian Istiadat suku kaum Iban. Biasanya. Kaum lelaki memakai Baju Burung dan sirat serta tali pinggang lampit dan manik-manik. Pada bahagian kepala, hiasannya ialah pemakaian setapok tunjang dan bulu kenyalang. Wanita memakai bidang berhias syiling dan loceng serta selampai dan marek empang. Perhiasan diri daripada perak seperti ringgit gobeng, gelang kelunchong dan sugu tinggi. Kuching merupakan tempat yang sangat sesuai untuk mendapatkan lukisan, ukiran, kraf tangan dan barang-barangan Borneo. Antara barang istimewa di sini adalah seperti Pua Kumbu kaum Iban, ukiran kayu kenyalang yang digunakan dalam upacara-upacara, dan barang-barang perhiasan daripada perak, anyaman bakul kaum Bidayuh, kraf tangan manik dan ukiran kayu Orang Ulu, dan tikar dan sumpit kaum Penan.


Setiap masyarakat semestinya mempunyai sistem masyarakat tradisional. Kini, kebanyakan sistem masyarakat telah mengalami banyak pembaharuan. Fenomena ini merupakan satu kemajuan dan ketamadunan yang dicapai ekoran dan pembaharuan kemajuan masyarakat itu sendiri. Namun, sesetengah sistem masyarakat tradisional masih diamalkan dalam kalangan masyarakat pada hari ini, terutamanya dalam aspek kebudayaan dan agama bagi penduduk Sabah dan Sarawak. Perubahan sistem masyarakat ekoran campur tangan orang luar terutamanya penjajah yang meninggalkan sistem masyarakatnya atas negeri jajahan. Ada juga disebabkan hubungan ekonomi. Penduduk tempatan akan meniru unsur-unsur luar yang dibawa masuk oleh pedagang-pedagang yang datang ke Borneo. Namun begitu, tidak semua perubahan sistem masyarakat ini mendatangkan kesan negatif. Sesetengah perkara memberikan kesan positif contohnya, ke atas sistem ekonomi dan politik. Masyarakat dapat menyusun sistem politik dengan lebih teratur, serta memajukan sektor ekonomi. Masyarakat di Sabah dan di Sarawak juga akan hidup bersatu padu dan tidak terikat dengan satu kaum sahaja.

Masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak memang patuh akan adat dan mempercayai adat resam dengan mendalam. Setiap kaum mempunyai adat masing-masing. Di Sarawak juga mengamalkan adat-adat tertentu. Bagi kaum Malanau yang ingin mendirikan rumah terlebih dahulu tapak tanah perlu disemah (jamuan kepada hantu atau orang halus). Caranya ialah menggali sebuah lubang dan memasukkan seorang perempuan serta dengan hiasan manik yang berharga untuk dijadikan korban. Barulah boleh ditanam tiang, tujuannya untuk menghalau hantu daripada mengganggu penghuninya. Bagi orang Iban pula, seseorang pemuda yang ingin berkahwin perlu melakukan “pekerjaan” sebelum masuk meminang. Kerjanya ialah menyembelih kepala orang dan kepala tersebut diberikan kepada bakal mertua ataupun bakal isteri, barulah pinangan akan diterima. Tujuan adat dan kepercayaan ini adalah untuk menunjukkan keberanian dan kegagahan seseorang pemuda. Adat sangat penting dalam kaum Iban sebagai jaminan kaum lelaki itu mampu menjaga keselamatan keluarganya.


Sebagai penutup wacana, sehingga sekarang sesetengah adat dan kepercayaan dalam kalangan kaum bumiputera di Sarawak masih kekal. Namun, adat-adat yang melibatkan kematian jarang berlaku dan tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun, adat yang berbentuk pemujaan dan patang larang tertentu masih diamalkan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
Sepanjang lima hari di Bumi Kenyalang, saya banyak mempelajari dan menimba ilmu di sana. Semoga suatu hari nanti, saya dapat bercuti, bukan bekerja di sana. Bagi saya, bercuti di sana menjanjikan pemandangan asmaraloka dan kehidupan yang kurang stress pasti didambakan oleh semua penduduk jagatraya. Percutian di Sarawak seyogianya lebih diberi perhatian oleh masyarakat di semenanjung Malaysia kerana banyak lagi kehijauan bumi yang belum dieksploitasi dan dicemari.
Secara keseluruhan, peribahasa "tak kenal maka tak cinta" menjelaskan segala-galanya. Jom ke Sarawak!

17 June 2008

Perbezaan antara "menasihat", "menasihati" dengan "menasihatkan".

Salam sejahtera Xiao Shuang, terima kasih dan syabas diucapkan kerana anda memiliki inisiatif untuk mengetahui perbezaan antara "menasihat", "menasihati" dengan "menasihatkan". Mari kita lihat maksud untuk kata-kata tersebut.

Perkataan "nasihat" bermaksud "ajaran, petunjuk yang baik, peringatan". Walau bagaimanapun, kata "menasihat" tidak wujud dalam bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana "nasihat" memerlukan dua atau lebih pihak.

Sementara itu, "menasihati" bermaksud:
1. memberi nasihat (ajaran, tunjuk ajar dan lain-lain) kepada;
2. mengesyorkan kepada, menganjurkan kepada, mengusulkan kepada:

Contoh ayat:
1. Saloma sentiasa menasihati anak-anaknya supaya tidak meninggalkan sembahyang.
2. Doktor Tan menasihatinya supaya berhenti menghisap rokok dan meminum minuman arak.

Jika kita membaca ayat-ayat di atas dengan teliti, perkataan "menasihati" disambut oleh manusia sama ada nama orang atau kata nama waima kata ganti nama diri, yakni "anak-anak" dan "-nya".

Seterusnya, "menasihatkan" bermaksud memberikan sesuatu sebagai nasihat atau sebagai tunjuk ajar.
Contoh ayat:
1. Cikgu Tan menasihatkan agar pelajar tidak menggunakan virus bahasa dalam penulisan karangan.
2. Emak menasihatkan supaya saya tidak bergaul dengan orang yang tidak dikenali.

Jika kita membaca ayat-ayat di atas dengan teliti, perkataan "menasihatkan" disambut oleh kata hubung, yakni "agar" dan "supaya".

Secara tuntas, kata "menasihati" perlu disambut oleh kata nama manakala "menasihatkan" sewajarnya disambut oleh kata hubung.

Saya berharap anda memahami penerangan saya.

16 June 2008

AWAS!!!! Virus Bahasa....Pembunuh Utama Markah BM Pelajar!

Banyak pelajar berbincang dengan saya tentang tatabahasa dan masalah untuk mengatasinya. Ada antara mereka yang sudah tingkatan 5 tetapi masih melakukan kesalahan seperti pelajar sekolah rendah. Faktor yang mengakibatkan pelajar menghadapi masalah mendapatkan markah karangan yang baik ialah kesalahan bahasa. Kesalahan umum seperti ini dikatakan dapat menjadi "virus" yang sentiasa ada dalam kotak fikiran pelajar sehingga virus itu akan sentiasa muncul dalam karangan dan ayat-ayat yang dibina oleh pelajar. Antara faktor masalah di atas berlaku ialah:

(a) faktor kesalahan daripada guru bahasa di sekolah rendah
Guru bahasa yang mengajar murid sekolah rendah memainkan peranan penting. Dengan berprinsipkan peribahasa "melentur buluh, biarlah daripada rebungnya", saya berani mengatakan bahawa kebanyakan pelajar membuat kesalahan kerana guru sekolah membuat kesalahan. Contohnya, baru-baru ini, seorang pelajar sekolah rendah memberitahu saya bahawa guru bahasa Melayu di sekolahnya masih menggunakan frasa "di kalangan". Pada hal frasa "di kalangan" sudah pun dibaiki menjadi "dalam kalangan" oleh Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 2005 lagi. Kecetekan ilmu dan ketidakrajinan guru sekolah merujuk kepada DBP mahupun makalah keluaran DBP merupakan punca mereka terus mengajar murid-murid menggunakan kata, frasa, klausa, dan ayat yang salah. Amat memilukan. Hal ini demikian kerana.... saya tiada komen.

(b) faktor media massa
Media massa, tidak kira media elektronik mahupun media cetak semakin mendapat perhatian masyarakat. Media massa sudah menjadi satu keperluan yang maslahat kepada rakyat sesebuah negara. Walau bagaimanapun, media cetak seperti surat khabar yang sering membuat kesalahan menyebabkan pembacanya terus mempelajari gaya bahasa dan tatabahasa yang digunakan oleh wartawan yang bertugas. Senario ini diburukkan lagi dengan kesalahan media elektronik melalui sari kata (sub-title) yang menjadi tontonan kita. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa pelajar mudah terpengaruh dengan media. Oleh itu, segala berita yang dibaca dan iklan yang ditatap akan melekat dalam fikiran mereka. Natijahnya, mereka akan menggunakan frasa seperti "ianya", "merbahaya", "sejak dari", "demi untuk" dan banyak lagi. Realitinya, "ia" dan "nya" ialah kata ganti nama diri manusia ketiga yang bermaksud "dia". Maka, "ianya" bermaksud "dia dia". Merbahaya pula salah, ejaan yang betul ialah "marabahaya" (jarang digunakan) atau "berbahaya". Kata sendi "sejak" dan "dari" masing-masing memiliki maksud yang sama sekali gus menjadi "dari dari". Hal ini juga sama dengan kata sendi "demi untuk" yang sama maksudnya sekali gua menjadi "demi demi" atau "untuk untuk". Oleh hal yang demikian, kata "demi" tidak boleh hadir bersama kata "untuk".

(c) kedegilan pelajar
Kebanyakan pelajar enggan menukar kesalahan mereka walakin telah dibaiki oleh guru, justeru mereka tidak mempercayai kemapanan guru bahasa yang baik. Keadaan ini wujud dalam kalangan pelajar yang egonya tinggi ditambah pula kecetekan ilmu dan kekurangan sumber bacaan berbahasa Melayu. Keegoan mereka akhirnya akan merosakkan diri sendiri. Antara kesalahan pelajar yang ego ialah:
  • Pelajar dikehendaki memulangkan semula buku cerita kepada perpustakaan sekolah.
Ayat di atas salah kerana frasa "memulangkan semula" yang meniru gaya bahasa Inggeris, walhal ayat yang betul ialah "Pelajar dikehendaki memulangkan buku cerita kepada perpustakaan sekolah semula." Frasa "memulangkan haruslah disambut oleh objek kata kerja.

(d) Pengaruh bahasa Cina dan bahasa Inggeris.
Banyak pelajar yang lemah dalam subjek bahasa Melayu ialah pelajar Cina dan India. Hal ini tidak dapat disangkal kerana mereka mengaplikasikan penggunaan tatabahasa Cina dan tatabahasa Inggeris kepada tatabahasa Melayu. Sebagai contoh, lihat frasa di bawah:
  • Video cakera padat ( salah )
  • Cakera padat video ( betul )
  • *Video yang mengandungi cakera padat adalah salah manakala cakera padat yang mengandungi video adalah betul.
  • Mini bas ( salah )
  • Bas mini ( betul )
  • *kecil bas adalah salah tetapi bas kecil adalah betul.
  • anti-penjajah ( salah )
  • antipenjajah ( betul )
  • pra bayar ( salah )
  • prabayar (betul)
  • pro Melayu ( salah )
  • pro-Melayu ( betul )
  • anti rokok ( salah )
  • antirokok ( betul )
  • *imbuhan pinjaman seperti juru, pra, pasca, anti, pro, eka, dwi, maha, dan sebagainya tidak boleh disempangkan "-" apabila kata yang disambutnya bukan kata nama khas.
Secara total, pelajar perlu banyak membuat latih tubi. Untuk mengatasi masalah ini, anda bolehlah membuat latihan di bawah dan kita akan membincangkan jawapannya dalam masa terdekat.
SEMOGA BERJAYA!
Baca setiap ayat di bawah dengan teliti, kemudian perhatikan satu kesalahan tatabahasa yang terdapat dalam ayat berikut dan gariskannya. Seterusnya, baiki kesalahan tatabahasa tersebut.

1. Kami sekeluarga akan terangkat ke London malam ini.
2. Gadis itu nampak cantik apabila berselendangkan dengan kain kasa.
3. Pembahas itu sedang menghujahkan tentang isi kepentingan bahasa.
4. Rumah itu tidak besar tetapi cantik.
5. Dalam perbincangan kali ini, para pelajar saling bertukar-tukar pendapat tentang kempen antimerokok.
6. Rumah Rhysson dinaik air selepas hujan turun selama 3 jam.
7. Sejak tadi, dia belum makan apa-apa sebab belum lapar.
8. Damon dikenalpasti sebagai penjenayah yang paling dikehendaki oleh pihak polis.
9. Sikap ketidakbertanggungjawaban menyebabkan dia di denda oleh pihak sekolah.
10. Oleh kerana tidak sihat, Marcus tidak pergi ke sekolah.
11. Mesin faks yang dibeli oleh majikan itu tidak berfungsi lagi.
12. Qau Shaun tidak dapat menggunakan telefon bimbit baharunya sebab belum didaftarkan.
13. Kerajaan berjanji akan memilih anggota kabinet yang berketrampilan.
14. Hujan renyai-renyai turun sejak dari semalam.
15. Selain daripada bercucuk tanam, petani itu juga menternak ayam dan itik.
16. Untuk menghadapi peperiksaan yang semakin hampir, Edwin sibuk mengulangkaji pelajaran.
17. Cermin mata yang digunakan oleh ibu adalah untuk melihat benda yang dekat.
18. Semua penduduk kampung sedang berkerjasama membina semula jambatan yang rosak.
19. Senarai nama-nama pelajar yang disyaki merokok akan diserahkan kepada pengetua tidak lama lagi.
20. Kejayaan kerajaan membangunkan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak telah menyakinkan penduduk peribumi di situ.

14 June 2008

"Pertama Kali" dan "Kali Pertama" yang memeningkan kepala!

Dalam kesibukan menyediakan bahan ceramah saya di Kuching selama 5 hari bermula 18 Jun hingga 23 Jun, saya tidak pernah melupakan tanggungjawab untuk menyemak karangan yang ditulis oleh pelajar. Dalam karangan yang anda tulis, saya dapati beberapa orang pelajar menyalahgunakan frasa "pertama kali" dan "kali pertama". Tahukah anda perbezaannya? Mari kita lihat perbezaan maksud dan penggunaannya seperti di bawah:

Pertama kali bermakna "mula-mula sekali" manakala kali pertama bermakna "membuat perkara yang belum bernah dibuat sebelum ini". Oleh itu, perhatikan ayat di bawah:

*1. Lavania tidak segan bertanya soalan walaupun pertama kali memasuki kelas Cikgu Tan.


Ayat di atas bermaksud Lavania tidak segan bertanya soalan walaupun mula-mula sekali memasuki kelas Cikgu Tan. Oleh hal yang demikian, ayat di atas sudah lain maksudnya.

Pembetulannya:
1. Lavania tidak segan bertanya soalan walaupun kali pertama memasuki kelas Cikgu Tan.


Seterusnya, baca ayat di bawah pula:


*2. Dengan perasaan malu, Der Chuan memberitahu Jing Tian bahawa dia kali pertama menyimpan hati terhadapnya sejak tingkatan satu.


Ayat di atas salah kerana bermakna Der Chuan memberitahu Jing Tian bahawa dia mempunyai perasaan cinta yang paling awal dengan menyimpan perasaan terhadap Jing Tian.


Oleh hal yang demikian, pembetulannya adalah seperti berikut:


2. Dengan perasaan malu, Der Chuan memberitahu Jing Tian bahawa dia pertama kali menyimpan hati terhadapnya sejak tingkatan satu.


Ayat di atas bermaksud Der Chuan memberitahu Jing Tian bahawa dia mempunyai perasaan cinta yang pertama dengan menyimpan perasaan terhadap Jing Tian sejak tingkatan satu.


Secara tuntas, jangan menyalahgunakan kata majmuk yang akan memberikan makna yang berbeza. Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan salah faham antara satu sama yang lain. Kepada Der Chuan dan Jing Tian, jadikanlah persahabatan kamu berdua sebagai kenangan indah dalam seumur hidup. Tontonlah klip video di bawah dan dengarkanlah liriknya yang puitis. Satu rahsia yang telah saya kongsi bersama Der Chuan baru-baru ini ialah ... Der Chuan beranggapan bahawa Li Mei merupakan kawan yang paling rapat dengannya dan sangat peramah. Opps! maafkan saya Der Chuan!

12 June 2008

Pelajar Lari ke Sekolah dan Berjalan Pulang ke Rumah! - Mulai 2010!

"Transformasi pendidikan bermula 2010"

KUALA LUMPUR 12 Jun –Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi sistem pendidikan bermula 2010 bagi meningkatkan kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, transformasi tersebut akan melibatkan beberapa perubahan dari segi kurikulum dan sistem peperiksaan sekolah.

"Kami akan buat perubahan dari segi kandungan kurikulum supaya menjadi lebih menarik dan seronok serta tidak membebankan pelajar." "Kita nak wujudkan konsep ‘pelajar berlari ke sekolah dan berjalan pulang ke rumah’ sebagai menunjukkan betapa mereka seronok dan teruja untuk menimba ilmu di sekolah," katanya ketika berucap merasmikan sambutan hari guru peringkat daerah Hulu Langat di sini hari ini.

Alimuddin berkata, selain kurikulum, transformasi tersebut juga akan melibatkan perubahan kepada sistem penilaian supaya tidak hanya berasaskan peperiksaan. Menurutnya, melalui sistem penilaian baru itu, prestasi para pelajar akan dinilai sejak mereka berada di tahun satu lagi. "Hal ini bermakna ketika pelajar-pelajar itu menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), peperiksaan mereka melibatkan silibus yang kecil sahaja kerana mereka telah dinilai sejak awal lagi," jelasnya. Beliau memberitahu, sistem yang bakal dilaksanakan itu akan menggunakan sistem pengumpulan mata seperti dilaksanakan di universiti.

Menurut Alimuddin lagi, tahun ini sebanyak 50 sekolah telah dipilih sebagai perintis bagi melaksanakan transformasi tersebut sekali gus akan diteruskan kepada 500 buah lagi pada tahun hadapan serta ke seluruh negara menjelang 2010. Beliau berharap, melalui mekanisme transformasi itu, lebih ramai pelajar yang bermutu, berilmu pengetahuan, dan berdisiplin dapat dilahirkan menjelang tahun 2020. "Pelajar-pelajar yang berada di peringkat sekolah sekarang ini akan berusia antara 20 hingga 30 tahun menjelang 2020 dan produktiviti mereka sangat diperlukan untuk memajukan negara,’’ katanya.

Remaja sekarang "TAK NAK" atau mereka waswas "NAK TAK"? Fikirkan?

Sekiranya kita merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, semakin banyak rakyat Malaysia yang merokok setiap tahun terutamanya lelaki. Malah, golongan wanita juga mula menunjukkan peningkatan yang mendadak. Pelajar sekolah juga tidak terkecuali. Sejak November 2004, didapati golongan belia terutamanya pelajar sekolah menengah menyumbang dua pulu peratus daripada statistik tersebut. Persoalannya, adakah mereka tidak mengetahui bahawa merokok membahayakan kesihatan setelah banyak kempen telah dilancarkan? Atau mereka memang sengaja menempah maut?

Banyak faktor yang menyebabkan fenomena ini berlaku. Antara faktor yang mendorong remaja sekarang merokok kerana pengaruh rakan sebaya. Rakan menunjukkan diri mereka yang sebenar. Sekiranya mereka memilih rakan yang salah, secara tidak langsung mereka juga terlibat dalam perkara yang tidak baik. Faktor kedua kerana ingin menunjukkan kematangan diri. Mereka berpendapat, apabila mereka merokok, maka mereka telah dewasa. Tanggapan ini salah sama sekali. Faktor ketiga ialah pengaruh bapa atau abang mereka. Pada hemat mereka, sekiranya bapa atau abang mereka boleh merokok, kenapa mereka tidak boleh? Tanggapan-tanggapan inilah yang perlu kita betulkan agar tidak banyak rakyat Malaysia yang akan merokok pada masa akan datang.

Sebagaimana kita sedia maklum, terlalu banyak risiko kesihatan akan wujud sekiranya kita merokok. Di dalam sebatang rokok terdapat lebih kurang dua puluh lima bahan kimia yang telah diuji boleh menyebabkan kanser. Antaranya ialah karbon monoksida, nikotin, tembakau, dan tar. Antara penyakit yang mungkin dihidapi oleh perokok ialah pereputan alveolus dalam paru-paru, Parkinson, kanser paru-paru, kanser rahim, katarak mata dan kanser gusi.

Setiap kekusutan boleh dileraikan, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Pelancaran Kempen Katakan Tak Nak kepada Rokok. Walakin begitu, bilangan perokok makin bertambah. Kalau pendekatan tersebut tidak berkesan, eloklah kiranya perokok dikenakan denda yang tinggi. Namun begitu, ada juga golongan kaya yang mampu membayar denda yang dikenakan.Atau kerajaan boleh mengharamkan sahaja rakyatnya daripada merokok. Sesiapa yang didapati merokok sama ada di tempat awam atau persendirian akan dikenakan hukuman yang berat. Walau bagaimanapun, cara yang telah dicadangkan memerlukan kecekalan hati dan ketabahan diri sendiri untuk menghindari rokok.

Konklusinya,merokok secara terang, jelas dan nyatanya tidak membawa apa-apa kebaikan kepada manusia malah merosakkan serta mendatangkan bahaya kepada kita. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Sekiranya ingin membanteras gejala merokok, banteraslah hingga ke akar umbi. Nescaya, rakyat Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Elaklah kita sama-sama melaungkan “TAN NAK” kepada rokok. Ingatlah bahawa “setiap sedutan membawa maut”!



11 June 2008

MINYAK NAIK, NAIK MINYAK

Belakangan ini, saya sering kali mengingatkan diri ini supaya jangan mudah “naik minyak” walaupun harga “minyak naik”. Walakin begitu, pelajar yang saya kasihi kini nampaknya mula hilang motivasi diri dan tidak bersungguh-sungguh dalam penulisan saya. Sebenarnya, diri ini memang seorang yang penyabar. Saya berharap maklumat berikut akan dapat membantu anda.

Petua kejayaan dalam penulisan
Kesungguhan merupakan kunci kejayaan pelajar menghasilkan karangan atau hasil penulisan yang baik. Hal ini demikian kerana seseorang pelajar yang serius dalam menyiapkan tugasan penulisannya akan sungguh-sungguh dan swadaya dalam usaha mempertingkatkan penulisan. Oleh hal yang demikian, saya berharap anda bermonolog sambil memberi motivasi diri, “Saya menulis karangan ini untuk skor dalam peperiksaan, bukan sekadar menyiapkan tugasan sahaja”. Apa kala otak kita dirangsang dengan kata-kata mutiara ini, nescaya impuls yang dihantar ke saraf kreatif akan menjana satu kuasa dan idea menulis yang mapan. Anda akan berusaha untuk mengingati nasihat saya sekali gus mengelakkan kesalahan yang remeh-temeh.

Konsep penulisan yang konsisten perlulah diasuh sejak kecil, persis melentur buluh biarlah dari rebungnya. Konsep “Tema, Inti, dan Soalan” (pendahuluan) dan “I-H-C-H-K” (isi penting) serta “Harapan, Kesan, Kesimpulan” (penutup karangan) yang selalu saya ajarkan perlulah sentiasa dijadikan ikutan dan pedoman. Janganlah buat hanya di dalam kelas dan apabila di rumah, konsep ini hanya tinggal kenangan. Lihat contoh di bawah.

Soalan karangan
Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.
Jelaskan langkah-langkah yang patut kita lakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

Pendahuluan
Tema
- pembangunan – pesat
Inti
- sektor perindustrian – tercalar
- alam sekitar – terjejas
Soalan
- peranan kita - langkah

Belakangan ini, pembangunan tanpa limitasi kini (Tema) merupakan perubahan kian pesat berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian (Inti) telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab ini. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan (Soalan) kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Jadi, alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita dan langkah-langkah (Soalan) yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Isi penting 1
I - mengurangkan bahan kimia
H - mendatangkan pencemaran - impak kapada alam
C - rasun serangga, pendingin hawa
H - CFC - berbahaya
K - dikawal oleh kerajaan

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah kebersihan alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran. Hal ini jelas akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibatnya, penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) amat berbahaya kepada masyarakat di jagatraya. Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawalkan oleh kerajaan dan pihak swasta supaya dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang (I) berkaitan aspen penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini penting sebagai langkah menjaga alam sekitar(H) kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang (C) yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan? Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang (C) dan pembuang sisa toksik(C) ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat (H) lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam (K) sekitar.

Dalam pada itu, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh dijadikan sebagai tisu.Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air” Melalui cara ini, sumber manusia dan negara dapat menjimatkan kos mereka sekali gus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijagakan melalui kempen kesedaran sivik supaya rakyat dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru tentang kesedaran untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Jadi, kempen kesedaran ini dapat diatasi apabila semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar.

Secara tuntas, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan sewajarnya untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh meletakkan masalah ini di atas bahu kerajaan dengan semata-matanya. Kerjasama bagai aur dengan tebing yang erat antara rakyat Malaysia dengan kerajaan tentunya akan lebih bermakna. Hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini inomin dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”

Nampak tak? Semua isi dan huraian serta contoh dan kesimpulan haruslah mempunyai kesinambungan. Dengan ini, calon peperiksaan akan dapat menulis dengan penuh keyakinan. Saya pasti anda akan berjaya. Secara tuntas, kejayaan tidak datang dengan mudah. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Oleh itu, kemahuan hati untuk mendapat kejayaan merupakan tiket memperoleh kejayaan dalam kehidupan selagi anda bergelar pelajar.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya guru dan masih belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

8 June 2008

Penggunaan Teknik Tranformasi untuk Menyelesaikan Masalah Tatabahasa


Sejak akhir-akhir ini, timbul kekeliruan penggunaan ungkapan “salah satu” yang telah digunakan sekian lama. Ada pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan ungkapan tersebut tidak tepat kerana wujud perkataan "salah" dalam rangkai kata tersebut. Katanya, rangkai kata yang tepat ialah "Satu daripada". Untuk menyelesaikan masalah ini, pengguna bahasa hendaklah menggunakan teknik transformasi. Teknik tranformasi ialah satu teknik yang menukarkan bentuk tatabahasa kepada bentuk yang lain, tetapi masih sama dari segi maksud dan tujuan ayat itu diungkapkan.
Terdapat 5 jenis transformasi yang dapat digunakan oleh pengguna bahasa untuk menyelesaikan masalah tatabahasa ini. Teknik transformasi tersebut ialah :

Tranformasi kata
Tranformasi struktur
Tranformasi makna
Transformasi pengguguran
Tranformasi jenis ayat

Untuk menyelesaikan masalah yang dikemukan tadi, kita hendaklah menggunakan teknik tranformasi makna. Dengan menggunakan teknik tranformasi makna, kita akan mengetahui bahawa aspek sesuatu bahasa itu betul atau salah. Dalam artikel ini, aspek kesalahan bahasa yang ditumpukan ialah aspek kelewahan bahasa. Untuk itu, marilah kita merujuki Kamus Dewan Edisi Keempat pada halaman 1372. Menurut Kamus Dewan, salah satu (sebuah, seorang) bermaksud satu antara dua atau banyak (orang, buah, dan lain-lain).
___________________________________________________________
Lihat penggunaan rangkai kata tersebut dalam ayat yang di bawah ini:

Salah satu punca murid ponteng sekolah ialah mereka malas belajar atau bosan berada di sekolah.
Salah seorang murid sekolah ini telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.
Salah sebuah kereta yang terbabit dalam kemalangan itu telah terbakar.
Dengan berdasarkan maksud yang dikemukakan oleh Kamus Dewan tersebut, ayat 1 hingga 3 di atas, dapat juga ditulis seperti yang berikut:
1a. Satu daripada punca murid ponteng sekolah ialah mereka malas belajar atau bosan berada di sekolah.
2a. Seorang daripada murid sekolah ini telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.
3a. Sebuah daripada kereta yang terbabit dalam kemalangan itu telah terbakar.
Seterusnya, ayat 1 hingga 3 di atas dianggap lewah jika ditulis seperti yang di bawah ini:
1b. *Salah satu daripada punca murid ponteng sekolah ialah mereka malas belajar atau bosan berada di sekolah.
2b. *Salah seorang daripada murid sekolah ini telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.
3b. *Salah sebuah daripada kereta yang terbabit dalam kemalangan itu telah terbakar.

Kelewahan bahasa ayat 1a. hingga 1c di atas dapat dilihat apabila transformasi makna dilakukan pada ungkapan salah satu seperti yang di bawah ini:

1c. *Satu daripada daripada punca murid ponteng sekolah ialah mereka malas belajar atau bosan berada di sekolah.
2c. *Seorang daripada daripada murid sekolah ini telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.
3c. *Sebuah daripada daripada kereta yang terbabit dalam kemangan itu telah terbakar.
___________________________________________________________
Teknik tranformasi juga dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah kelewahan bahasa yang terdapat dalam ayat-ayat di bawah ini:

Ahli saintis negara kita telah berjaya menghasilkan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit selesema burung.
Ayat 4 di atas tidak tepat kerana rangkai kata ahli saintis ada unsur kelewahan bahasa. Dalam bahasa Melayu, saintis bermaksud ahli sains. Jika makna rangkai kata tersebut ditransformasikan, kita dapat melihat kelewahan bahasa dalam rangkai kata tersebut dengan jelas seperti yang di bawah ini.

4a. Ahli ahli sains negara kita telah berjaya menghasilkan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit selesema burung.

Ayat 4b. di atas sepatutnya seperti yang berikut:
4b. Ahli sains negara kita telah berjaya menghasilkan ubat yang dapat menyembuhkanpenyakit selesema burung, atau;
4c. Saintis negara kita telah berjaya menghasilkan ubat yang dapat menyembuhkan penyakit selesema burung.
___________________________________________________________
Lihat ayat 5 di bawah ini pula.
*Murid sekolah itu saling tolak-menolak ketika menaiki bas.
Ayat 5a di atas juga mempunyai unsur kelewahan bahasa. Dalam ayat tersebut, kata ganda tolak-menolak membawa maksud saling. Oleh itu, perkataan yang tepat ialah saling menolak atau tolak-menolak. Lihat proses transformasinya di bawah ini:
5a. *Murid sekolah itu saling saling-menolak ketika menaiki bas.
Oleh hal yang demikian, ayat yang betul ialah:
5b. Murid sekolah itu saling menolak ketika menaiki bas.
5c. Murid sekolah itu tolak-menolak ketika menaiki bas.
___________________________________________________________
Penggunaan rangkai kata “pada masa kini” juga memperlihatkan unsur kelewahan bahasa. Lihat penggunaan ungkapan tersebut dalam ayat yang di bawah ini:

Pada masa kini, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.

Dalam bahasa Melayu, kini bermaksud pada masa ini atau sekarang. Apabila makna perkataan kini ditranformasikan kepada pada masa ini, kita dapat melihat unsur kelewahan bahasa dalam rangka kata tersebut. Lihat ayat 6a di bawah ini:

6a. Pada masa pada masa ini, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.

6b. Sekarang sekarang, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.

Oleh hal yang demikian, ayat yang betul ialah:
6c. Pada masa ini, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.
6d. Sekarang, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.
6e. Kini, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.
Seterusnya, lihat penggunaan rangkai kata sejak kebelakangan ini dalam ayat 7 di bawah ini;

*Sejak kebelakangan ini, kejadian banjir kita semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Menurut Dewan Edisi Keempat, rangkai kata kebelakangan ini atau belakangan ini bermaksud sejak akhir-akhir. Oleh hal yang demikian ini, rangkai kata kebelakangan ini atau belakangan ini dapat bertukar ganti dengan rangkai kata sejak akhir-akhir ini. Jadi, penggunaan rangkai kata *sejak kebelakangan ini atau *sejak belakangan ini dianggap lewah. Lihat rangkai kata tersebut di bawah ini apabila ditransformasikan mengikut maksud kamus:

7a. *Sejak sejak akhir-akhir ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Ayat yang betul adalah seperti yang di bawah ini:
7b. Kebelakangan ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

7c. Belakangan ini, kejadian banjir kilat semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Shah Alam.
___________________________________________________________
Bagaimanakah pula ayat yang di bawah ini? Adakah frasa adjektif "terkenal sekali" dalam ayat 8 di bawah ini betul?

8. Penyanyi yang terkenal sekali di negara kita ialah Siti Nurhaliza.

Frasa adjektif terkenal sekali dalam ayat 8 di atas adalah betul. Hal ini demikian kerana frasa tersebut tidak menunjukkan kelewahan bahasa. Awalan ter- dalam perkataan terkenal tidak membawa maksud paling. Jika kita membuat transformasi makna ter- sebagai paling seperti ayat 8a di bawah ini, ayat tersebut kelihatan janggal.

8a. Penyanyi yang paling kenal sekali di negara kita ialah Siti Nurhaliza.
___________________________________________________________
Lihat ayat 9 yang di bawah ini pula.

9. *Kerajaan telah menyediakan kemudahan infrastruktur yang lengkap di kawasan luar bandar.

Dalam bahasa Melayu, infrastruktur bermaksud kemudahan atau perkhidmatan asas. Oleh itu, jika kita menulis rangkai kata kemudahan infrastruktur, kita telah menggunakan bahasa yang lewah. Oleh hal yang demikian, ayat tersebut mestilah menggunakan rangkai kata “menyediakan infrastruktur” seperti yang di bawah ini:

9a. Kerajaan telah menyediakan infrastruktur yang lengkap di kawasan luar bandar.
___________________________________________________________
Ayat 10 di bawah ini pula kelihatan salah. Sebenarnya, ayat tersebut gramatis. Hal ini demikian kerana penanda "–kan" dalam ayat tersebut ialah benefaktif, iaitu membuat pekerjaan untuk orang lain.

10. Ibu sedang menjahitkan adik pakaian seragam sekolah.

Ayat 10 tersebut dapat dibuktikan betul dengan cara membuat transformasi makna seperti ayat 10a. di bawah ini:

10a. Ibu sedang menjahit pakaian seragam sekolah untuk adik.

Dengan berdasarkan tranformasi di atas, frasa kerja transitif menjahitkan adik pakaian seragam sekolah bermaksud menjahit pakaian seragam sekolah untuk adik.

Kesimpulannya, penggunaan teknik transformasi dapat meningkatkan pemahaman murid tentang aspek kelewahan bahasa dalam bahasa Melayu dan juga kekeliruan yang timbul dalam bahasa Melayu. Cara ini didapati lebih berkesan kerana pengguna bahasa, khususnya murid dapat melihat sebab-sebab kelewahan bahasa tersebut dengan jelas . Oleh hal yang demikian, guru mata pelajaran Bahasa Melayu digalakkan untuk menggunakan teknik ini dalam pengajaran, khususnya untuk menerangkan aspek kelewahan bahasa.
DARIPADA MUNSYI DEWAN,
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP)

3 June 2008

Soal Jawab Topik Tatabahasa

Soalan:
1. Cikgu, perkataan "klik" perlu dibubuh imbuhan "menge-" menjadi "mengeklik"? atau "menklik" ? atau "mengklik"?

Jawapan:
Klik ialah kata pinjaman daripada bahasa Inggeris. Oleh itu, kata ini dikecualikan daripada rumus PTKS. Dalam hal ini, apabila awalan me(N)- diimbuhkan kepada kata pinjaman, ejaan untuk kata pinjaman tersebut kekal. Sebagai contohnya, kata kritik apabila menerima awalan meng- akan menjadi mengkritik. Begitu jugalah halnya dengan kata klik. Apabila kata klik menerima awalan meng-, kata itu akan menjadi mengklik, bukan mengeklik. Selain itu, rumus bahasa Melayu juga menetapkan bahawa kata yang bermula dengan huruf "k" seperti katalog, kategori, dan sebagainya akan menerima awalan meng-, bukan men-. Oleh itu, ejaan menklik tidak tepat.

2. Apakah perbezaan penggunaan "marabahaya" dan "berbahaya" mengikut pendapat Cikgu?

Jawapan:
Marabahaya bermaksud bermacam-macam-macam bahaya atau bencana, manakala berbahaya bermaksud ada bahaya atau boleh mendatangkan bahaya. Merbahaya pula ialah variasi berbahaya yang tidak baku.

3.Ayat "Kanak-kanak yang comel-comel itu duduk di tempat masing-masing" betul tak? Bolehkah dalam satu ayat wujudnya 2 atau 3 kata ganda?

Jawapan:
Ayat "Kanak-kanak yang comel-comel itu duduk di tempat masing-masing" betul. Hal ini demikian kerana dalam bahasa Melayu perkataan "kanak" dan "masing" tidak boleh berdiri dengan sendiri.

4. Cikgu, huraikan perbezaan antara "patriotik", "patriotisme" "nasionalis", "nasionalisme". Terima kasih.

Jawapan:
Patriot bermaksud orang yang mencintai atau mempertahankan kedaulatan negaranya. Patriotik bermaksud orang yang mempunyai sifat cinta akan negaranya.
Patriotisme pula ialah semangat cinta yang kuat akan negaranya.

Nasionalis ialah pencinta bahasa atau orang yang mencintai nusa dan bangsanya. Nasionalisme pula ialah perasaan cinta akan bangsa dan negara sendiri yang mendalam. Selain itu, nasionalisme bermaksud pergerakan untuk mencapai kebebasan dari segi ekonomi dan politik daripada kuasa asing.

Kesimpulannya, patriot, patriotik dan patriotisme lebih menjurus kepada negara. Nasionalis dan nasionalisme pula lebih menjurus kepada bahasa, bangsa dan negara.

5. Cikgu, "jawapan" ialah variasi kata kepada "jawaban", maka adakah "biadap" merupakan variasi kepada "biadab"?

Jawapan:
Biadab bermaksud tidak ada budi bahasa, tidak beradab. Biadab juga bermaksud tidak bertamadun atau belum maju. Dari segi variasi, biadap bukan variasai biadab. Dalam bahasa Melayu tiada perkataan biadap.

6. Manakah yang betul? "murtabak" atau "martabak"? Kenapa banyak pengguna bahasa masih menggunakan "MURTABAK"?

Jawapan:
Perkataan yang tepat ialah martabak, iaitu sejenis makanan seperti roti canai tetapi berlapis, dibubuh daging cencang, telur, rempah, bawang, dan sebagainya. Banyak pengguna yang masih menggunakan perkataan “murtabak” tidaklah saya ketahui sebab-sebabnya.
7. JUSTERU ITU banyak digunakan oleh pengguna bahasa pada pangkal ayat, mengapakah kesalahan ini seperti virus bahasa yang sukar dirawat?

Jawaban:
Pengguna bahasa masih menggunakan rangkai kata “Justeru itu” kerana menganggap bentuk itu sebagai betul. Bukan itu sahaja, masih banyak pengguna yang menggunakan perkataan “Justeru” sebagai penanda wacana, sedangkan perkataan itu ialah kata hubung.

8. Apakah perbezaan antara "Oleh yang demikian" , "Oleh hal yang demikian" , "Oleh hal demikian"? Kenapa lain penulis lain penanda wacana? Yang mana BETUL?

Jawapan:
Demikian bermaksud begitu, begini, seperti itu atau seperti ini. Demikianlah halnya bermaksud beginilah halnya atau begitulah halnya. "Oleh hal yang demikian" pula bermaksud oleh hal yang begitu. "Dalam demikian itu" bermaksud ketika itu, dan tak demikian mahal bermaksud tidak begitu mahal;

Berdasarkan trasformasi pengguguran dalam ayat, “Oleh hal yang demikian” akan menjadi “ Oleh yang demikian”. Dengan berdasarkan transformasi ini, ungkapan “Oleh hal demikian” merupakan bentuk yang tidak baku atau tidak standard.

9. Kamus Dewan Edisi Keempat (KDE4) cenderung menggunakan bentuk "jawaban" dan "kewajiban" dalam ayat contohnya berbanding bentuk "jawapan" dan "kewajipan". Apakah komen pihak tuan tentang hal ini.?

Jawapan:
Bentuk standard sesuatu perkataan dengan ejaannya yang diiktiraf sebagai betul dan rasmi ialah sebagaimana yang terdapat pada perkataan yang ditakrifkan. Perkataan yang diturunkan di akhir takrif bentuk standard ini, atau sebagai muatan rujuk silang, merupakan variasi kepada bentuk standard dan terdiri daripada variasi kata, dan dalam hal-hal tertentu sahaja variasi ejaan. Variasi kata diperturunkan, terutamanya untuk kepentingan kajian bahasa. Di samping itu, ada juga kemungkinannya seseorang pengguna bahasa Melayu yang menemukan sesuatu variasi kata dan tidak dapat mengenal pasti atau mengesani bentuk standardnya akan mendapat manfaat daripada rujuk silang yang diberikan dalam kamus ini. Oleh itu, bentuk standardnya ialah jawaban dan kewajiban. Variasi kata pula ialah jawapan dan kewajipan.
Sekian, terima kasih.

27 May 2008

Jom Kita ke Rumah Kebajikan Padmasambhava, Klang.

(gambar di atas telah saya ambil daripada laman web Rumah Kebajikan Padmasambhava)
"Berat Mata Memandang,
Berat Lagi Bahu yang Memikulnya"

Demikianlah kata mutiara yang sinonim dengan penghuni rumah kebajikan. Rumah kebajikan yang semakin banyak dibina bak cendawan tumbuh selepas hujan merupakan femonena yang lumrah sebagai impak kebobrokan dan ketidakberperikemanusiaan insan bumi ini. Kita melihat dan bersimpati dengan mereka, namun merekalah yang benar-benar merasai segala kekurangan yang ada di persekitaran hidup yang penuh pancaroba ini.
Penghuni rumah kebajikan yang akan saya lawat bersama pihak PTAG kali ini bernama Rumah Pengasih Padmasambhava (Padmasambhava Children Loving Association.) yang terletak di Klang. Jika tidak mengenali mereka, anda boleh melayari laman web rumah kebajikan ini dengan mengeklik http://www.childrenlovinghome.org/index.html untuk memahami keperluan mereka. Mengikut catatan dalam laman web tersebut, kebanyakan kanak-kanak yang menumpang kasih di situ tinggal sehelai sepinggang dan hidup sebatang kara tanpa ibu bapa.
Dengan hati nurani yang bersih dan suci, pihak yang berhati murni telah menubuhkan rumah kebajikan ini. Daripada membiarkan anak-anak kecil hidup berbumbungkan langit biru dan berlantaikan tanah gersang, anak-anak yang tidak berdosa perlu diberi pendidikan demi masa depan yang terjamin. Ada antara mereka yang terpaksa mendiami panti asuhan ini gara-gara menjadi mangsa keganasan dan penderaan manusia yang berhati binatang.
Oleh hal yang demikian, destinasi yang dipilih oleh Cikgu Lee dan Cikgu Pua dari PTAG amat sesuai dengan emosi dan rohani pelajar di PTAG. Lihatlah sendiri betapa bernasib baiknya kita semua berbanding insan malang dan terbiar tanpa penjagaan rapi. Oleh itu, Tepuk dada, tanya selera. Bukankah insan yang hidup di bumi ini perlu memegang resmi "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing"? Hidup di dunia ini sementara sahaja, janganlah kita berpeluk tubuh tanpa membuat sesuatu pada kala penghuni rumah kebajikan memerlukan ikhsan kita.
Wahai murid-muridku, saya berharap dengan lawatan ke tempat yang bermakna ini, nilai keinsafan dan kesyukuran akan terbit dalam sanubari kita. Bak kata peribahasa, "hari ini hari orang, mungkin esok hari kita". Sebagai manusia di alam fana ini, eloklah kita menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Janganlah nanti ada ahli masyarakat menuding jari kepada golongan murid dan pelajar yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang, terutamanya remaja atau belum remaja lagi sebagai golongan yang lemah.
Sebagaimana saya sedia maklum, ada antara yang setia mendiami rumah kebajikan itu terdiri daripada remaja perempuan yang terlanjur dan hilang arah tuju selepas mengandungkan bayi tanpa dirancang. Hal ini membuktikan bahawa kancah sosial dalam kalangan masyarakat sudah bisul jadi nanah. Daripada rancangan lawatan ini, nescaya kita dapat berkongsi-kongsi pendapat dengan mereka yang pernah tergelincir dalam norma kehidupan. Namun, mereka masih bernasih baik kerana kita masih berhati nurani kudus dengan menerima mereka seadanya.
Secara total, lawatan ini saya anggap sebagai "sambil menyelam, minum air". Kita dapat mempelajari erti kehidupan sebenar di samping mengetahui warna-warna insani di luar kepompong persekitaran kita. Nescaya, jumlah ahli rombongan adalah terhad mengikut prinsip "siapa cepat, dia dapat".
Sesiapa yang berminat, daftarkan diri anda secepat mungkin dengan menghubungi PTAG dalam talian 03-51212558. Hubungi (Wei Le) untuk keterangan lanjut. Setahu saya, yuran pendaftaran hanya RM10 berserta hidangan tengah hari.
"BUAT BAIK BERPADA-PADA,
BUAT JAHAT JANGAN SEKALI"

26 May 2008

Karangan panjang SPM - Surat Kiriman Tidak Rasmi

Saya telah selesai menyemak karangan pelajar PTAG minggu lalu, sebelum 19 Mei 2008. Dalam karangan kali ini, saya dapati kematangan pelajar semakin meningkat selaras dengan peningkatan kualiti penulisan. Dalam penulisan karangan jenis surat kiriman tidak rasmi, lima elemen penting yang harus diberi perhatian, yakni

(a) Format
(b)Tema
(c)Isi
(d)hubungan antara pengirim dan penerima
(e)bahasa
(a) Format
Format memainkan peranan penting dalam semua jenis penulisan. Untuk surat kiriman rasmi, empat markah untuk format mestilah dikuasai oleh pelajar. Antaranya ialah alamat pengirim, tarikh, kata sapaan, tandatangan dan penggunaan kata ganti nama diri yang sesuai. Kesalahan yang terdapat dalam surat akan menyebabkan markah dipotong. Lihat contoh soalan dan contoh petikan karangan di bawah:

Soalan:
Tulis sepucuk surat kepada sahabat dari negeri lain dan ceritakan keadaan sekolah anda yang serius dengan masalah vandalisme. Terangkan kesan vandalisme kepada diri anda, pelajar lain, guru dan pihak sekolah.
Tulis surat itu selengkapnya.
[ 100 markah ]

Pendahuluan
Ke hadapan saudara Alex Oh yang berada di Kuantan. Semoga kamu dan keluarga sihat sejahtera. ( kamu sepatutnya ditulis saudara)

Penutup
Semoga saudara Alex dan saya berjumpa lagi dalam warkah telah datang. Kirimkan salam saya kepada keluarga saudara. Semoga dengan keizinan Tuhan, persahabatan kami akan sentiasa bertaut erat. ( kami sepatutnya ditulis kita)


(b) Tema
Tema merupakan persoalan utama yang perlu ditulis oleh calon peperiksaan. Dalam karangan di atas, kebanyakan pelajar hanya menulis tentang vandalisme. Tiga elemen penting yang berkaitan dengan tema karangan tersebut ialah:
i) harta benda awam
ii) isu kerosakan harta benda di sekolah
iii) kecintaan dan kesyukuran terhadap harta benda awam.

Tema bukanlah pendahuluan. Tema perlulah dimasukkan dalam setiap pelosok karangan tidak mengira pendahuluan, isi, dan penutup surat. Sebagai contoh, lihat petikan ayat yang berkaitan:

i) Harta benda awam sebenarnya titik peluh ibu bapa kita juga. Harta kerajaan sebenarnya harta rakyat juga. Walakin begitu, rasional ini tidak pernah terbit dalam sanubari pelajar sekolah saya.

ii) Media massa tidak pernah gersang daripada menyiarkan isu kerosakan harta benda di sekolah. Menurut kajian, kerosakan yang mencecah berjuta-juta ringgit ini merupakan pembaziran yang tidak perlu. Kebanyakan pelajar lupa bahawa “ingat sebelum kena, jimat sebelum habis”. Mereka bermaharajalela di sekolah dengan merosakkan kerusi meja sesuka hati tanpa memikirkan impaknya.

iii) Kesyukuran merupakan elemen penting yang perlu diaplikasikan dalam jiwa murid-murid. Dengan hati yang sentiasa bersyukur, saya yakin kesalahan vandalisme dapat dibendung daripada terus leluasa di alma mater.

(c) Isi
Isi penting memainkan peranan penting kerana suku daripada keseluruhan markah penulisan merupakan sumbangan isi. Setiap isi penting yang diutarakan oleh calon haruslah menepati soalan dan menjawab soalan. Formula [ ISI – HURAIAN – HURAIAN – CONTOH – HURAIAN – HURAIAN – KESIMPULAN ] ( I H H C H H K ) bolehlah digunakan sebagai panduan. Lihat tamsilannya:

Isi 1 Kesan vandalisme kepada diri
I - kesulitan
H - menyusahkan
H - menyukarkan
C - telefon awam rosak
H - gagang terputus
H - tidak dapat menghubungi
K - terpaksa meminjam telefon sekolah

Contoh perenggan

Saudari Alex,
Gejala vandalisme yang merupakan duri dalam daging di sekolah amat menyusahkan saya. Pernah sekali, saya tidak berasa sihat dan mahu menghubungi ibu bapa untuk membawa saya ke klinik. Malangnya, kebobrokan sikap pelajar telah menyusahkan saya untuk menghubungi ibu bapa saya. Situasi pada waktu itu memang tidak dapat saudara gambarkan kerana semua telefon awam di sekolah telah rosak sehingga menyukarkan pihak sekolah yang sudah pun sibuk dengan hal ehwal pentadbiran sekolah. Pelajar di sekolah saya semakin berani sehingga merosakkan telefon awam yang terletak di luar pejabat sekolah. Gagangnya terputus dan wayarnya terbiar tanpa diselenggarakan waima dibaiki. Hal ini menyebabkan saya tidak dapat menghubungi ibu bapa saya dan terus terseksa demam panas dan pening kepala. Akhirnya, saya terpaksa meminjam telefon sekolah sebagai jalan penyelesaian. Lihatlah saudara, betapa susahnya apabila kemudahan awam dirosakkan!

(d) hubungan antara pengirim dan penerima
Saudara Alex,
Dalam surat yang lalu, saudara pernah berceritakan kerosakan taman permainan kanak-kanak di taman perumahan yang saudara diami. Rupa-rupanya kejadian yang sama juga berlaku di sini. Harta benda sekolah saya mengalami nasib yang sama. Aduhai, kita ini sama-sama tingkatan empat, sama-sama menjadi mangsa kerosakan harta benda. Saya berpendapat bahawa kempen antivandalisme yang dijalankan oleh kerajaan tidak mencapai objektifnya. Adakah saudara pernah menyertai aktiviti seumpama ini? Jikalau tidak keberatan, saya berharap agar saudara dapat berkongsi idea dan pengalaman dengan saya. Maklumlah, hubungan kita yang erat bagai isi dengan kuku mestilah hidup bagai aur dengan tebing. Masih ingat nasihat bapa saya dalam surat yang lepas? Ha, jangan lupa!


(e) bahasa
Bahasa memainkan peranan yang penting kerana hampir separuh ( 45%) daripada markah penulisan ialah aspek bahasa. Oleh sebab itu, saya sentiasa berharap pelajar mematuhi tatabahasa dan hukum-hakamnya agar cemerlang dalam penulisan karangan. Kesalahan seperti berikut mestilah dielakkan.

* vandalisme berlaku di mana sahaja. ( kesalahan istilah)
vandalisme berlaku di mana-mana sahaja.

* Kesalahan vandelisme semakin leluasa. ( kesalahan ejaan)
Kesalahan vandalisme semakin leluasa.

Dengan menguasai dan memahami penjelasan di atas, saya yakin anda akan skor dalam penulisan karangan. Kejayaan dalam penulisan akan meyakinkan anda untuk terus cemerlang dalam bidang yang lain. Harus diingati, kejayaan mencapai kematangan dala karangan bukannya usaha sehari, kejayaan tersebut memerlukan 5K, yakni:

KERJASAMA antara pelajar dengan guru!
KOMITMEN dalam kerja rumah yang diberikan!
KOPERASI antara nota, latihan, dan penyemakan!
KESUNGGUHAN membaiki kesalahan dan kesilapan!
KETABAHAN menghadapi komen negatif dan teguran guru!

23 May 2008

Malaysia gagal mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Putih (Batu Puteh)


Pulau Batu Puteh (bahasa Inggeris: Pedra Branca) merupakan sebuah pulau tunggul sebesar dua padang bola sepak, yang terletak di luar pantai tenggara Pengerang, Johor, Malaysia. Luasnya 0.2 hektar, berbatu-batu dan kira-kira 12.8 kilometer dari Pengerang dan 64 kilometer ke timur Singapura. Hanya 20 minit dengan bot laju dari Teluk Ramunia, Pengerang, Johor. Pulau ini merupakan satu subjek pertikaian antara Malaysia dengan Singapura yang membawa kepada kes tuntutan Mahkamah Antarabangsa di Belanda.


Dengan Majoriti 12 - 4, Pulau Batu Putih milik Singapura. Pada 23 Mei 2008, bertempat di The Hague, Belanda, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan kes tuntutan bertindih atas Pulau Batu Putih yang menjadi pertikaian antara Malaysia dengan Singapura sejak 1980 terbukti menjadi milik Singapura. Namun ICJ memutuskan Pulau Middle Rocks diberi kedaulatan dan menjadi milik Malaysia sementara South Ledge pula tertakluk kepada wilayah perairan lokasinya.





Dalam keputusan majoriti 12 - 4, penghakiman bertulis yang dibacakan Naib Presiden ICJ, Awn Shawkat Al-Khasawneh, mengikut pendapat para hakim keputusan itu. Kata sepakat dan pengadilan dicapai berdasarkan fakta sejarah, perundangan antarabangsa serta kesan-kesan pertindihan berkaitan tuntutan tersebut. Awn Shawkat mula membacakan penghakiman tersebut tepat pukul empat petang waktu Malaysia dan berakhir dua jam kemudian.
Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tuntutan atas Pulau Batu Putih bermula sejak 28 tahun lalu iaitu selepas Malaysia melakukan pemetaan sempadan maritim yang meliputi Pulau Batu Putih sebagai wilayahnya pada tahun 1979.






Tuntutan terhadap Middle Rock yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Putih dan South Ledge, yang berada 1.7 batu nautika dari Middle Rock, dibuat Singapura pada 1993. Secara rasminya Singapura (yang mengendalikan Rumah Api Horsburgh di atas Pulau Batu Putih) mempertikaikan pulau tersebut milik Malaysia menerusi nota bantahan yang bertarikh 14 Februari 1980.


Tuntutan terhadap Middle Rock ( sila klik gambar untuk membesarkan saiznya agar anda dapat melihatnya dengan lebih jelas) yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Putih dan South Ledge, yang berada 1.7 batu nautika dari Middle Rock, dibuat Singapura pada 1993. Pada 1994, Malaysia dan Singapura bersetuju membawa pertikaian ke ICJ melalui Perjanjian Khas untuk memuktamadkan kedaulatan Pulau Batu Putih. Perjanjian Khas yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih; Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura".







Proses demi proses telah dilalui oleh kedua-dua negara selepas perjanjian khas itu dimeterai untuk menyempurnakan tuntutan terhadap ketiga-tiga bentuk maritim itu. Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim; Duta Tugas-Tugas Khasnya, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Agen Bersama, Datuk Noor Farida Ariffin. Secara tuntas, Malaysia yang bersikap “berdiam diri” dan “memandang enteng” pulau ini menyebabkan hak milik pulau terpaksa diserahkan kepada Singapura yang masih memantau dan menjaga keselamatan rumah api yang memainkan peranan penting kepada laluan trafik di perairan Laut China Selatan. Syabas Singapura yang “diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat”. Syabas juga kepada Malaysia, persis kata peribahasa, “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”. Saya berpendapat bahawa situasi keputusan menang – menang ini ada hikmah di sebaliknya. Untuk keterangan lanjut, layarilah laman web http://ms.wikipedia.org/wiki/Pulau_Batu_Puteh, untuk mengetahui butirannya.

16 May 2008

Di sini "RUMAHKU" - Artis Malaysia Menyumbang untuk Perpaduan!

Pada 20 hingga 23 Mei, saya akan menghadiri Pertandingan Debat Perpaduan antara Univerisiti yang akan berlangsung di utara negara. Saya diberi tugasan berat, yakni hakim dari segi bahasa dan keindahan ayat pendebat. Pertandingan ini dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). JPNIN merupakan sebuah agensi bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan (kekkwa) yang ditubuhkan bertujuan untuk memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar Kerajaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Di bawah ini, saya sertakan hasil tangan salah seorang kawan saya yang bekerja sebagai editor dan penari bebas yang bekerja dengan Akademi Seni Kebangsaan. Tajuk klip video dan liriknya amat sesuai dengan kehendak semasa, yakni perpaduan nasional. saksikan!




15 May 2008

GURU CEMERLANG, NEGARA TERBILANG


Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari dan pada bulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


LOGO HARI GURU


Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.

Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.

Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.

Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.

Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.Biru : Menunjukkan perpaduan muhibah.



Demikianlah tema Hari Guru Tahun ini. Saya yakin banyak pelajar yang mahu menyampaikan ucapan, hadiah, dan kad kepada guru. Walau bagaimanapun, anda harus sedar bahawa mutiara kejayaan merupakan hadiah yang paling bermakna kepada guru.


IKRAR HARI GURU
Bahawasanya kami Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami

Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung Perlembagaan negara
Kami mengamalkan Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

(klik tajuk di atas untuk memuat turun lagu ini)

"GURU CEMERLANG NEGARA TERBILANG"
Guru cemerlang mengasih dan menyayang
Mendidik anak bangsa seikhlas jiwa
Gigih terus bakti hidup penuh berbudi
Maruah profesional disanjung tinggi
C/O
Guru berjasa berkhidmat dengan setia
Menjulang nama bangsa di mata dunia
Hebat tidak bermegah waja dan berkarisma
Realisasi visi dan sejati
Guru cemerlang Negara terbilang
Keunggulan dan pendidikan di mata bangsa
Guru cemerlang Negara terbilang
Kesejahteraan Malaysia berkibaran


Lagu & Lirik : Rosli Ahmad, BTP




7 May 2008

Demam Peperiksaan Bermula!

Menjadi tanggungjawab setiap pelajar untuk belajar sepanjang masa, sekiranya ingin mendapatkan kejayaan. Kebolehan sepanjang persekolahan diuji di dalam peperiksaan. Oleh itu, hadapilah peperiksaan dengan persediaan yang rapi supaya kejayaan yang diraih dapat mengukur usaha anda selama ini.
JENIS-JENIS PERSEDIAAN
1. Persediaan Akademik
2. Persediaan Mental
3. Memulakan Peperiksaan
4. Menjawab Soalan

PERSEDIAAN AKADEMIK
Persediaan Akademik terbahagi kepada 3 peringkat yang penting iaitu :
Persediaan Peringkat Awal, iaitu persediaan sepanjang waktu persekolahan. Hal Ini termasuklah tumpuan semasa di dalam kelas, melengkapkan nota-nota, membaca semua mata pelajaran dan membuat nota. Fahami apa-apa yang dipelajari dan rujuk kepada guru jika ada masalah.
Persediaan Peringkat Pertengahan, iaitu kira-kira 2 bulan sebelum peperiksaan. Elok sekiranya pelajar membaca semua nota ringkas semula dan cuba meringkaskan nota kepada fakta-fakta yang penting sahaja. Buatlah kata-kata kunci untuk setiap nota. Untuk memastikan pelajar mengingati apa-apa yang telah dipelajari, tuliskan kembali nota yang diingati. Pastikan pelajar faham akan pengajaran setiap mata pelajaran. Untuk menguatkan ingatan, cuba berbincang dengan kawan-kawan. Buat latihan untuk soalan-soalan peperiksaan sebenar yang lepas bagi membiasakan diri dengan format soalan peperiksaan.
Persediaan Akhir, iaitu seminggu sebelum peperiksaan. Baca kembali semua nota ringkas. Pastikan anda mengingati semua mata pelajaran peperiksaan. Nota ringkas seharusnya mengandungi kata-kata kunci sahaja. Semak nota sekerap yang boleh sehingga anda dapat menulis kembali isi sesuatu mata pelajaran dengan lengkap.
PERSEDIAAN MENTAL

Malam Peperiksaan
-Pastikan anda tidur secukupnya untuk memberi kesegaran pada esoknya.
-Kumpulkan keperluan teknikal untuk peperiksaan seperti pen, pensel, pemadam, pembaris, kad pengenalan dan lain-lain. Letakkan di tempat yang senang diambil dan mudah diingati.
-Kuatkan azam dan tekad untuk BERJAYA.


Pagi Sebelum Peperiksaan
-Jangan lupa ambil sarapan pagi
-Datang awal ke tempat peperiksaan iaitu sekurang-kurangnya 15 minit sebelum peperiksaan. Langkah ini bertujuan memberi ketenangan kepada anda.
-Sebaik-baiknya jangan berbincang lagi tentang pelajaran dengan rakan-rakan sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Perbincangan seperti ini boleh merunsingkan fikiran anda.
-Berdoalah agar anda tenang menghadapi peperiksaan dan mendapat kejayaan yang cemerlang.
-Masuklah ke dewan peperiksaan dengan disiplin dan keyakinan.
-Pastikan tempat duduk anda selesa. Duduk dan tenangkan fikiran anda.

MEMULAKAN PEPERIKSAAN
-Dengar arahan pengawas peperiksaan.
-Pastikan kertas soalan anda itu lengkap.
-Lihat semua soalan.
-Tandakan semua soalan yang hendak dijawab (untuk soalan esei).
-Tuliskan isi-isi soalan yang hendak dijawab supaya tidak lupa.
-Mulakan soalan esei dengan membuat rangka kasar terlebih dahulu.

MENJAWAB SOALAN
Soalan Objektif
-Bahagikan masa untuk setiap soalan. Contohnya Bahasa Melayu Kertas 1 BM PMR (bilangan soalan ialah 40, masa diperuntukkan 1 jam).
-Baca soalan dengan teliti. Kesankan perkataan BENAR, TIDAK BENAR, MELAINKAN, KECUALI dan sebagainya.
-Lihat semua pilihan jawaban. Tandakan (x) untuk jawaban yang anda pasti salah. Jawaban yang tinggal ialah jawabannya.
-Pastikan jawaban ditandai pada petak yang betul.
-Jawab soalan yang mudah dahulu. Tandakan soalan yang belum dijawab. Setelah siap, kembali semula kepada soalan susah yang ditinggalkan. Jika masih tidak dapat menjawabnya, tandakan jawaban yang anda rasa yakin.
-Jika ingin mengubah jawaban, padamkan dengan bersih dan tandakan jawapan baharu dengan elok. Jangan menandakan dua jawaban pada satu soalan.

Soalan Esei
-Pilih soalan yang paling banyak isi
-Kenal pasti bentuk soalan seperti :


Mulai menjawab dengan tenang
-Jawab semua soalan yang ditetapkan.
-Panjang jawapan adalah berdasarkan isi dan masa yang ditetapkan. Jawaban tidak dinilai berdasarkan panjang atau pendek esei tersebut tetapi isi dan hujah yang bernas.
-Jawab soalan mengikut masa yang ditetapkan. Setiap soalan mestilah seimbang dengan gaya bahasa.
-Selalu merujuk kepada soalan ketika menjawab supaya jawapan anda tidak keluar atau menyimpang atau terpesong daripada tajuk.
-Setelah selesai menjawab, luangkan sedikit masa untuk menyemak. Pastikan nombor soalan yang ditulis adalah betul. Semak ejaan, ayat dan maklumat lain yang tidak jelas.
-Tulisan mestilah jelas, kemas dan mudah dibaca.
-Tulisan yang jelas membantu menaikkan 'impresion' markah.
-Persediaan yang rapi serta ketenangan fikiran amat penting dalam menghadapi peperiksaan.

Jadikanlah peperiksaan sebagai kayu pengukur atas persediaan yang anda buat selama ini dan bukanlah sesuatu yang menyeksa dan membebankan. Oleh itu, bertawakallah kepada Tuhan, nescaya anda pasti berjaya. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

4 May 2008

Betulkan yang salah, biasakan yang betul, wahai DBKL!


Sekiranya anda pernah berkunjung ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur, anda mungkin pernah terpandang papan tanda ini. Papan tanda ini didirikan berhampiran dengan Dataran Merdeka, dan salah satu daripada tujuannya adalah untuk menunjukkan arah atau letaknya “Kelab Di Raja Selangor”, iaitu di tepi Dataran Merdeka. Dari segi penggunaan bahasa, papan tanda ini sememangnya telah menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Walau bagaimanapun, dari segi kualitinya kurang memuaskan.

Dalam papan tanda tersebut, ejaan kata “Di Raja” yang digunakan dalam frasa “Kelab Di Raja Selangor” sebenarnya tidak tepat. Kata “Di Raja” sepatutnya dieja “Diraja”, kerana “Di” pada kata tersebut bukanlah awalan ataupun kata sendi nama, tetapi merupakan sebahagian daripada kata dasar. Kata “diraja” sebenarnya merupakan kependekan daripada kata “adiraja”, dan dalam bidang linguistik, proses pembentukan kata tersebut dikenali dengan istilah “aferesis”. Aferesis iaitu pengguguran atau penghilangan satu huruf di awal kata, seperti hujung menjadi ujung dan hulu menjadi ulu. Jadi, ejaan frasa “Kelab Di Raja Selangor” sepatutnya diubah menjadi “Kelab Diraja Selangor”. Begitu juga dengan ejaan untuk frasa-frasa lain yang turut menggunakan kata “Diraja”, seperti Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Papan iklan di atas salah mengeja perkataan "pasaraya". Ejaan yang betul ialah "pasar raya".

Papan tanda di atas sudah salah mengeja perkataan "LEBUHRAYA".
Ejaan yang betul ialah "LEBUH RAYA"
Secara tuntas, Saya berharap kerajaan tempatan dapat mengambil iktibar untuk membaiki kesalahan mereka meremeh-remehkan kesalahan tatabahasa Melayu dalam papan iklan. Jika pihak kerajaan tempatan sentiasa menyeru pihak peniaga dan pemilik kedai membetulkan kesalahan papan iklan mereka dengan menggunakan khidmat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bagaimana pula dengan mereka sendiri? Saya berharap para pelajar yang dikasihi dapat sama-sama berjuang bersama saya untuk memfoto papan iklan yang salah dari segi bahasa dan meng-e-melkan foto tersebut kepada saya di alamat wgq4990@hotmail.com supaya kita sama-sama belajar memantau bahasa kebangsaan yang kita sayangi!


Bahasa Jiwa Bangsa!
Bahasa Menunjukkan Bangsa!
Hilang Bahasa Lenyaplah Bangsa!

3 May 2008

Kegagalan Formula RAHMAN


Sejak beberapa hari yang lalu, Tun Dr. Mahathir yang kita kasihi dan hormati mula menulis blog seperti yang dilakukan oleh para pemimpin yang lain. Saya juga tidak terkecuali menghantar komen dan sebuah sajak untuk menghiasi laman blognya dalam ulasan. Berikut ialah sajak tersebut:



Kegagalan Formula RAHMAN


Mungkin ada benarnya formula

RAHMAN ada kecundangnya.


Rahman membapakan dirinya kepada tanah gersang terjajah

Abdul Razak membangunkan nusa tercinta

Hussein Onn Membudayakan isi negara

Mahathir memacu kejayaan bermakna

Abdullah yang "cemerlang, gemilang, dan terbilang" kononnya

Namun, hanya tinggal laungan semata-mata!


R Rahmat yang Tuhan kurniakan

A Amat bermakna untuk kita

H Hanya semangat jitu dan membara

M Mengorbankan diri demi tanah air

A Andainya Pak Lah gagal tertahan

N Najib usah hanya berangan!




T Tokoh bangun dan diguling


U Undi kotor, bersih atau rosak


N Namun "burung tua" ini tetap bergaya!






D Daripada PM hingga menjadi "Blogger"


R Ranjau kehidupan penuh warna






M Mahathir mahaguru Malaysia


A Akhiri pentadbiran dengan jaya dan gaya


H Hanya senyuman mengukir jiwa nurani


A Akhirulkalam rakyat sejahtera semuanya


T Tun digelar, masih gagah perwira


H Harum budi dan jasanya


I Istimewa darah Melayu berdaulat


R rakyat berbangga dengan personalitinya!






Sekian, nukilan ikhlas.


Tiada makna lain selain mengapresiasi kegagahan Blogger seperti Tun Dr. Mahathir!
Semoga Tun Dr. Mahathir terus gagah, sihat, dan mempunyai idea yang bernas dalam kata-kata beliau yang pedas lagi tidak kompleks!
Saya bangga akan Tun Dr. M!

1 May 2008

Adakah Perlunya Saya Mengajar Subjek Sejarah di PTAG?



Acap kali menatap gambar yang diambil dengan bekas pelajar, sejarah lama sering mengelus-ngelus jiwa ini. Kebanyakan daripada mereka sudah sukses dengan keputusan yang cemerlang sekali gus melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Memori lama, kenangan silam dan sejarah bersama pelajar seperti dalam gambar lampiran ini benar-benar menyentuh perasaan saya. Nama-nama besar di dalam kelas itu seperti Yee Peng, Kak Gee, Hee Soon, Pek Jin, Huei Kim, Heng Kian, dan banyak lagi yang tidak dapat saya berikan benar-benar menggembira dan membanggakan saya. Sejarah..... Hmm.... Saya seolah-olah terpanggil untuk membuat sesuatu berkaitan dengan sejarah. Subjek sejarah!
Di menara gading, mata pelajaran Sejarah merupakan satu subjek yang luas konsepnya. Mahasiswa yang mempelajari sosiologi, manusiawi, dan duniawi dalam konteks memperkuat dan memperkasakan bahasa Melayu. Sebagai pensyarah, saya juga ditugaskan menyampaikan asal usul kewujudan satu-satu perkataan, kenapa orang dahulu kala menggunakan perkataan aatau istilah tersebut. Oleh hal yang demikian, saya berpendapat bahawa pengetahuan saya dalam subjek Sejarah sebenarnya boleh digunakan untuk membantu pelajar yang saya kasihi, terutama yang berada di PTAG. Walakin begitu, perlunya atau tidak perlunya saya mengajar anda terpulang kepada anda untuk memberi komen yang ikhlas. Saya akan mewujudkan bahagian undian "pool" pada sebelah kiri muka surat ini <-- untuk anda undi. Saya akan bertindak mengikut jawaban undian dan mula mengajar mulai Oktober atau November ini.




Sila undi atau komen.