25 June 2008

Indahnya Bumi Kenyalang

Sarawak yang terkenal dengan nama jolokannya Negeri Bumi Kenyalang mempunyai rakyat yang terdiri daripada pelbagai suku kaum. Terdapat kira-kira 30 kumpulan etnik di Sarawak. Kaum Iban merupakan suku kaum yang terbesar di Sarawak, diikuti oleh kaum Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan kaum-kaum etnik yang lain. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai pelbagai bangsa dan suku kaum, sudah pasti terdapat pelbagai kebudayaan dan adat resam yang diamalkan.



Bagi masyarakat Sarawak, adat resam merupakan satu warisan tradisi yang begitu dititikberatkan dan telah sebati dengan kehidupan seharian mereka. Bagi Etnik Sarawak flora dan fauna adalah sebahagian daripada keperluan asas penyediaan pakaian untuk kegunaan harian. Apabila berkata tentang busana Sarawak, keindahan pakaian kaum etnik dari Sarawak terserlah dengan ragam hias yang mempamerkan kemahiran tangan yang menghasilkannya. Ragam hias pasa pakaian membentuk motif-motif etnik sama ada daripada tenunan, jalinan manik dan labuci. Perhiasan diri daripada perak dan manik yang sarat melambangkan status dan kekayaan bagi pemakainya. Baju Melayu Cekak Musang merupakan pakaian tradisional lelaki Melayu. Baju ini dipadankan dengan samping songket tenunan Sarawak. Wanita Melayu pula memakai Baju Kurung dan kain sarung songket serta tudung kerengkam. Lelaki Melanau pula memakai baju satin hitam yang digandingkan dengan samping Broked dan hiasan kepala kopiah Jawa. Wanitanya memakai Bajau Baban lengan lebar berwarna hitam dan kain songket Sarawak serta hiasan diri daripada emas dan daripada perak juga.


Pakaian Istiadat suku kaum Iban. Biasanya. Kaum lelaki memakai Baju Burung dan sirat serta tali pinggang lampit dan manik-manik. Pada bahagian kepala, hiasannya ialah pemakaian setapok tunjang dan bulu kenyalang. Wanita memakai bidang berhias syiling dan loceng serta selampai dan marek empang. Perhiasan diri daripada perak seperti ringgit gobeng, gelang kelunchong dan sugu tinggi. Kuching merupakan tempat yang sangat sesuai untuk mendapatkan lukisan, ukiran, kraf tangan dan barang-barangan Borneo. Antara barang istimewa di sini adalah seperti Pua Kumbu kaum Iban, ukiran kayu kenyalang yang digunakan dalam upacara-upacara, dan barang-barang perhiasan daripada perak, anyaman bakul kaum Bidayuh, kraf tangan manik dan ukiran kayu Orang Ulu, dan tikar dan sumpit kaum Penan.


Setiap masyarakat semestinya mempunyai sistem masyarakat tradisional. Kini, kebanyakan sistem masyarakat telah mengalami banyak pembaharuan. Fenomena ini merupakan satu kemajuan dan ketamadunan yang dicapai ekoran dan pembaharuan kemajuan masyarakat itu sendiri. Namun, sesetengah sistem masyarakat tradisional masih diamalkan dalam kalangan masyarakat pada hari ini, terutamanya dalam aspek kebudayaan dan agama bagi penduduk Sabah dan Sarawak. Perubahan sistem masyarakat ekoran campur tangan orang luar terutamanya penjajah yang meninggalkan sistem masyarakatnya atas negeri jajahan. Ada juga disebabkan hubungan ekonomi. Penduduk tempatan akan meniru unsur-unsur luar yang dibawa masuk oleh pedagang-pedagang yang datang ke Borneo. Namun begitu, tidak semua perubahan sistem masyarakat ini mendatangkan kesan negatif. Sesetengah perkara memberikan kesan positif contohnya, ke atas sistem ekonomi dan politik. Masyarakat dapat menyusun sistem politik dengan lebih teratur, serta memajukan sektor ekonomi. Masyarakat di Sabah dan di Sarawak juga akan hidup bersatu padu dan tidak terikat dengan satu kaum sahaja.

Masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak memang patuh akan adat dan mempercayai adat resam dengan mendalam. Setiap kaum mempunyai adat masing-masing. Di Sarawak juga mengamalkan adat-adat tertentu. Bagi kaum Malanau yang ingin mendirikan rumah terlebih dahulu tapak tanah perlu disemah (jamuan kepada hantu atau orang halus). Caranya ialah menggali sebuah lubang dan memasukkan seorang perempuan serta dengan hiasan manik yang berharga untuk dijadikan korban. Barulah boleh ditanam tiang, tujuannya untuk menghalau hantu daripada mengganggu penghuninya. Bagi orang Iban pula, seseorang pemuda yang ingin berkahwin perlu melakukan “pekerjaan” sebelum masuk meminang. Kerjanya ialah menyembelih kepala orang dan kepala tersebut diberikan kepada bakal mertua ataupun bakal isteri, barulah pinangan akan diterima. Tujuan adat dan kepercayaan ini adalah untuk menunjukkan keberanian dan kegagahan seseorang pemuda. Adat sangat penting dalam kaum Iban sebagai jaminan kaum lelaki itu mampu menjaga keselamatan keluarganya.


Sebagai penutup wacana, sehingga sekarang sesetengah adat dan kepercayaan dalam kalangan kaum bumiputera di Sarawak masih kekal. Namun, adat-adat yang melibatkan kematian jarang berlaku dan tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun, adat yang berbentuk pemujaan dan patang larang tertentu masih diamalkan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
Sepanjang lima hari di Bumi Kenyalang, saya banyak mempelajari dan menimba ilmu di sana. Semoga suatu hari nanti, saya dapat bercuti, bukan bekerja di sana. Bagi saya, bercuti di sana menjanjikan pemandangan asmaraloka dan kehidupan yang kurang stress pasti didambakan oleh semua penduduk jagatraya. Percutian di Sarawak seyogianya lebih diberi perhatian oleh masyarakat di semenanjung Malaysia kerana banyak lagi kehijauan bumi yang belum dieksploitasi dan dicemari.
Secara keseluruhan, peribahasa "tak kenal maka tak cinta" menjelaskan segala-galanya. Jom ke Sarawak!

2 comments:

Anonymous said...

Salam Sejahtera Cikgu Tan.
saya ingin bertanyakan,
apakah yang menyebabkab Burng Kenyalang menjadi Lambang Negeri Sarawak?
apakah keunikan yang terdapat pada burung kenyalang?

Anonymous said...

berdasarkan gambar yang ditunjukkan saya memohon maaf kerana gambar tersebut adalah gambar untuk kaum orang ulu dan bukannya kaum iban sebagaimana yang saudara ceritakan dalam blog saudara harap maklum. terima kasih