Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

14 April 2018

PERTANDINGAN FORUM PELAJAR SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH PERSENDIRIAN CINA MALAYSIA KE-27 (ZON C) DI SEKOLAH MENENGAH HIN HUA, KLANG, SELANGOR

BINGKISAN CERITERA DARIPADA PERTANDINGAN FORUM PELAJAR SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH PERSENDIRIAN CINA MALAYSIA KE-27 (ZON C) DI SEKOLAH MENENGAH HIN HUA, KLANG, SELANGOR
Seawal 7.30 pagi lagi, Dewan Auditorium Sekolah Menengah Hin Hua Klang yang boleh memuatkan 588 orang penonton dalam satu majlis ini telah dipenuhi guru bertugas, pengawas, murid-murid, dan peserta daripada 10 buah sekolah di Zon C. (Kuala Lumpur, Selangor, dan Negeri Sembilan) Pertandingan ini bermula tepat pada pukul 8.00 pagi dengan kata alu-aluan daripada tuan pengerusi majlis yang kemudiannya memperkenalkan panel hakim pertandingan dan peraturan pertandingan forum. Pada saat-saat inilah, murid-murid yang menggalas tanggungjawab mewakili sekolah mereka mula menampakkan keyakinan dan kebersediaan untuk menyampaikan forum daripada pasukan masing-masing.
Pertandingan ini membuka tirai dengan pasukan pertama daripada Sekolah Menengah Kuen Cheng, Kuala Lumpur yang mengulas tajuk forum Laman Sosial: Ketagihan Remaja. Penonton-penonton di dewan terpaku sebentar melihat kepetahan anak-anak murid Cikgu Nor Haslida Ramli berbicara tentang impak daripada ketagihan penggunaan laman sosial dalam kalangan remaja. Keberanian panel kedua, putera tunggal daripada pasukan ini yang menjawab soalan daripada ketua hakim dengan gaya tersendiri masih terukir di benak. Saya yakin bahawa anak muda ini bakal menyerlah sebagai seorang pemidato yang cemerlang pada masa depan.
Selepas itu, pasukan kedua pula dijemput ke pentas untuk memperdengarkan forum yang disampaikan oleh tiga orang puteri dan seorang putera, Jeremy namanya. Mereka ternyata mengulas tajuk Demam Telefon Pintar Dalam Kalangan Remaja dengan baiknya. Walau bagaimanapun, anak-anak murid Cikgu Vicky Kaneson dan Ch Lim ini kadangkala gagap dan teragak-agak dalam usaha menjawab soalan daripada ketua hakim pertandingan fokum kali ini, Tuan Haji Razali Che Mat dengan diiringi Azimin Bin Daud dan Puan Roslin daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Namun begitu, peserta tuan rumah tahun ini tampak lebih matang dari segi lontaran hemat dan pendapat yang diiringi peribahasa.
Oleh sebab masalah kerancuan bahasa kian menjadi-jadi dalam kalangan remaja, tajuk forum pasukan ketiga daripada Sekolah Menengah Chung Hua (Persendirian), Klang, yakni Kerancuan Bahasa: Remaja Keliru. Pengerusi forum daripada pasukan ini mencuit hati penonton di dewan dengan frasa bahasa rojak daripada ayat-ayat bahasa yang rancu sehingga penonton mengukir senyum simpul menandakan persetujuan bahawa ayat-ayat yang digunakan oleh pengguna bahasa kebangsaan semakin hari semakin tercemar. Kesedaran tentang masalah kerancuan bahasa ini menyebabkan ketua hakim mengirimkan soalan tentang peranan murid yang dipilih sebagai Duta Bahasa DBP untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.
Pasukan keempat daripada Sekolah Menengah Persendirian Kwang Hua, Klang yang dipimpin oleh rakan guru saya, Cikgu Balan pula membincangkan topik Gotong-royong: Amalan yang semakin dilupakan. Tema ini diulas dengan baiknya oleh ahli-ahli panel forum kecuali soalan yang diajukan oleh ketua hakim yang dijawab dengan isi yang berlainan. Hal ini dijelaskan oleh ketua hakim ketika mengulas persembahan dan penyampaian peserta forum sebelum keputusan diumumkan. Kesilapan menjawab soalan daripada hakim ternyata memberikan impak yang besar kepada peserta forum kerana markah isi terjejas. Walau bagaimanapun, ayat idea yang disampaikan oleh peserta masih lancar dengan kecenderungan memasukkan peribahasa dan ungkapan menarik.
Sebelum berehat untuk sesi kudapan, peserta daripada Sekolah Menengah Tsun Jin memasuki ruang persembahan di tengah-tengah pentas dengan sopannya. Seorang demi seorang menyampaikan idea mereka sewaktu membincangkan tajuk forum Membaca Memerdekakan Minda. Pengerusi forum daripada pasukan ini bukan sahaja berjaya mengawal perbincangan, tetapi juga telah menggunakan bahasa Melayu baku dengan cemerlang. Semua idea yang disampaikan oleh peserta yang bijaksana ini menjawab soalan yang diajukan oleh ketua hakim. Senyuman daripada ketua hakim yang berpuas hati dengan lontaran idea mereka jelas memberikan peluang cerah kepada pasukan ini.
Selepas lima pasukan menyampaikan tajuk forum yang berbeza, pengacara pertandingan, iaitu gadingan mantap murid bersama dengan guru jelas memberikan kelainan. Keserasian dan keharmonian mereka nampak jelas apabila anak gadis Cina berusia 16 tahun itu memakai pakaian tradisional India manakala Cikgu Malar pula memakai baju kurung moden dengan aksesori mutiara yang menarik perhatian penonton di dewan. Persediaan rapi ialah petua kejayaan mereka mengacarakan pertandingan forum kali ini.
Selepas minum pagi, sesi kedua berlangsung dengan penyampaian forum daripada pasukan keenam. Sekolah Menengah (Persendirian) Chong Hwa, Kuala Lumpur membawa penyokong dan guru-guru pengiring untuk memberikan semangat kepada pasukan mereka. Murid perempuan yang berkot hitam dan berseluar panjang menyebabkan saya beranggapan bahawa semuanya peserta lelaki. Maklumlah, semuanya berambut pendek juga. Walau bagaimanapun, keselesaan dan keyakinan mereka jelas kelihatan apabila melontarkan idea sewaktu membincangkan tajuk Remaja dan Aktiviti Kesukarelawanan. Soalan daripada hakim juga dijawab dengan baiknya walaupun ada kesilapan bahasa dan penggunaan peribahasa yang salah dalam kalangan peserta daripada sekolah ini.
Kumpulan ketujuh yang menyampaikan forum ialah pasukan daripada Sekolah Menengah Pin Hwa Klang. Pasukan ini ternyata membuat persediaan yang mencukupi untuk menjawab soalan daripada hakim. Soalan yang berfokuskan "peranan" pada tahun ini dapat dikuasai oleh peserta forum. Banyak idea dan pengetahuan tentang usahawan Internet diperoleh penonton yang hadir memeriahkan pertandingan pada tahun ini. Guru-guru pengirang pasukan ini nampaknya berpuas hati dengan bertepuk tangan dan tersenyum lebar apabila anak-anak murid yang dibimbingnya berjaya menggalas tanggungjawab untuk mewakili sekolah dalam pertandingan forum pada kali ini.
Sekolah Menengah Persendirian Confusion, Kuala Lumpur yang mengulas tajuk Peranan Guru Sebagai Pembina Negara Bangsa telah menampilkan tiga orang puteri dan seorang putera. Penampilan mereka yang nampak kemas dan harmoni menyebabkan penonton di dewan mendengar idea atau pendapat dengan khusyuk. Pada masa yang sama, guru-guru pengiring dan guru bertugas di dewan juga tertarik oleh tajuk forum yang ada kaitannya dengan profesion mereka. Walau bagaimanapun, kesilapan sewaktu menjawab soalan daripada ketua hakim menyebabkan penonton di dewan sedikit kecewa. Kekecewaan daripada pasukan kelapan ini sedikit sebanyak menyebabkan saya teringat oleh kata-kata ketua hakim yang mengingatkan peserta agar mementingkan keseimbangan dari segi penyampaian idea. Selain membuat rumusan idea daripada panel, pengerusi forum tidak boleh memberikan sebarang idea kerana markah tidak diberikan kepada pengerusi yang menjawab soalan daripada hakim. Kata-kata tegas daripada ketua hakim ini menyebabkan guru pengiring sibuk membuat catatan sebelum keputusan pertandingan forum diumumkan.
Pasukan kesembilan daripada Sekolah Tinggu Chung Hua, Seremban, Negeri Sembilan. Dari segi kebersediaan, mereka nampaknya mengecewakan penonton. Dengan kata demi kata yang dilontarkan tanpa kelancaran bahasa, penonton dapat mengagak bahawa mereka tidak membuat persediaan yang mencukupi. Walau bagaimanapun, pasukan sekolah ini nampaknya kental dengan cabaran tajuk yang diberikan kepada mereka, iaitu Melestarikan Kehijauan Alam Kita. Pasukan forum dari sekolah ini masih mendapat tepukan sokongan daripada penonton di dewan walaupun mereka gagal menjawab soalan dengan baiknya. Keberanian dan kecekalan mereka menggalas tanggungjawab ini perlu kita kagumi. Walaupun agak kecewa, semangat mereka untuk menghabiskan perbincangan amat saya kagumi. Jangan lupa untuk bersiap sedia pada tahun depan ya!
Pasukan yang menyampaikan tajuk forum Generasi Muda Cerminan Negara ini daripada Sekolah Menengah Chung Hua Port Dickson, Negeri Sembilan. Perjalanan jauh dari Port Dickson ke Bandar Diraja Klang tahun ini tidak sia-sia. Mereka yang gagal memperoleh apa-apa kemenangan kali ini tetap memberikan komitmen yang baik dan berjaya menyampaikan forum dalam masa 20 minit. Tajuk yang diulas oleh mereka agak tinggi arasnya tetapi masih mampu dijawab dengan lancar. Panel forum kali ini tidak memakai tali leher tetapi tampak segak berkot hitam. Mereka tidak lupa memberikan senyuman kepada penonton sewaktu menyampaikan idea mereka. Senyuman yang menutup kegelisahan dan ketakutan ini berjaya menyelindungkan kelemahan pasukan ini yang juga kurang berjaya menjawab soalan daripada ketua hakim.
Selepas semua pasukan selesai menyampaikan forum mereka. Pengacara bertugas telah mengumumkan bahawa pertandingan forum berehat selama sejam. Murid-murid dan guru berjalan ke kantin untuk menikmati makanan enak yang disediakan oleh pihak sekolah. Rendang ayam, sayur campur, buah-buahan dan lauk tauhu yang disediakan oleh pihak penganjur kali ini tidak menghampakan peserta forum dari dalam dan luar daerah. Sementara itu, tetamu undangan dan juri pertandingan pula menikmati sajian tengah hari di Bilik VIP di luar dewan yang indah dan bersih. Kerusi, meja, sofa, dan perabot mewah di Bilik VIP Sekolah ini memberikan gambaran kesungguhan pihak sekolah menyediakan ruang yang selesa kepada panel hakim dan tetamu undangan.
Tepat pada pukul 2.00 petang, semua peserta, guru, dan penonton memenuhi dewan. Persembahan gendang harmoni daripada tiga kaum ini menyebabkan penonton memberikan tepukan yang gemuruh kepada penganjur. Pengetua sekolah yang bakal bersara pada 21 April ini juga mengukir senyuman kepuasan apabila menonton persembahan tarian daripada anak-anak muda yang gigih membuat latihan. Dengan lagu Desa Tercinta yang dinyanyikan oleh penyanyi popular, Nora yang berkumandang di speaker, murid menari dengan harmoninya apabila menggayakan pakaian tradisional dan pakaian ala kampung dan sawah. Dengan alatan seperti kipas, galah panjang dan senyuman riang anak-anak muda ini, persembahan mereka mendapat tepukan gemuruh daripada penonton di auditorium.
Selepas itu, saya dan Dato Dr. Zurinah Hassan telah menyampaikan puisi. Saya telah menyampaikan sajak Dirgahayu Bahasaku, karya Ahmad Sarju manakala Dato' Dr. Zurinah Hassan telah melagukan syair nan indah yang bertemakan bahasa. Kami berasa amat bangga dan gembira kerana diberi peluang oleh pihak sekolah untuk memeriahkan persembahan dalam pertandingan forum kali ini. Tahniah diucapkan kepada pihak sekolah kerana berjaya menganjurkan pertandingan kali ini dengan jayanya. Semua penonton bersetuju dan memberikan tepukan gemuruh kepada pihak sekolah apabila saya memuji penganjuran yang lancar ini.
Selepas itu, ucapan daripada beberapa orang tetamu kenamaan yang diikuti oleh ketua hakim menambah kegelisahan peserta pertandingan forum. Pengacara bertugas dalam pertandingan forum kali ini berjaya menggalas tanggungjawab dengan cemerlang. Peserta daripada Sekolah Menengah Tsun Jin mengungguli peserta lain apabila mereka berjaya membawa piala kejuaraan Zon C di samping merangkul hadiah panel terbaik, dan pengacara terbaik. Penyokong-penyokong daripada pasukan Sekolah Menengah Tsun Jin menjerit gembira apabila mereka dinobatkan juara tahun ini. Guru-guru pengiring dan peserta naik ke pentas untuk menerima piala berupa sijil, Kamus Dewan, dan buku Tatabahasa Dewan yang disediakan oleh pihak DBP.
Pertandingan ini menutup tirainya dengan sesi bergambar dengan semua peserta. Urus setia, guru-guru, pengawas, dan murid yang bertugas dengan cemerlangnya tahun ini membolehkan Sekolah Menengah Hin Hua menjalankan tugas sebagai penganjur tahun ini dengan cemerlangnya. Sampai jumpa di DBP dalam pertandingan akhir forum, terima kasih kerana membaca tulisan ini.






















































No comments: