Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

12 July 2016

INFORMASI BAHASA - KATA ADVERBA

INFORMASI BAHASA
KATA ADVERBA

Kata adverba ialah bentuk kata yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa, dan tempat. Kehadiran kata adverba dalam ayat boleh berlaku dalam dua keadaan, iaitu:
(a) dalam frasa di hadapan unsur yang diterangkan.
(b) dalam frasa di belakang unsur yang diterangkan.

Perhatikan kesilapan umum kata adverba yang berlaku dalam ayat-ayat berikut. Kesilapan ini lazimnya diabaikan oleh pengguna bahasa apabila melibatkan kata adverba dalam frasa di hadapan unsur yang diterangkan.

1.
Gunung Kinabalu cantik begitu tetapi rakyat Malaysia masih mengaung-agungkan keindahan gunung di luar negara. (salah)
Gunung Kinabalu begitu cantik tetapi rakyat Malaysia masih mengaung-agungkan keindahan gunung di luar negara. (betul)

2.
Murid yang ke perpustakaan berkali-kali ialah murid Tingkatan 3 Aranda. (salah)
Murid yang berkali-kali ke perpustakaan ialah murid Tingkatan 3 Aranda. (betul)
3.
Ibu saya terjatuh hampir sewaktu menaiki tangga di Batu Caves. (salah)
Ibu saya hampir terjatuh sewaktu menaiki tangga di Batu Caves. (betul)

4.
Kakak dan suaminya gembira betul-betul apabila mendengar berita baik itu. (salah)
Kakak dan suaminya betul-betul gembira apabila mendengar berita baik itu. (betul)

5.
Ibu memperkatakan hal ini acap kali apabila terkenang akan kesan peperangan terhadap penduduk Melaka. (salah)
Ibu acap kali memperkatakan hal ini apabila terkenang akan kesan peperangan terhadap penduduk Melaka. (betul)

Perhatikan kesilapan umum kata adverba yang berlaku dalam ayat-ayat berikut. Kesilapan ini lazimnya diabaikan oleh pengguna bahasa apabila melibatkan kata adverba dalam frasa di belakang unsur yang diterangkan.

1.
Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Polo jauh terletak di bandar raya itu. (salah)
Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Polo terletak jauh di bandar raya itu. (betul)

2.
Nenek akan ke hospital esok hari jika ayah ada kelapangan. (salah)
Nenek akan ke hospital hari esok jika ayah ada kelapangan. (betul)

3.
Ibu cepat-cepat berjalan ke dapur apabila tetamu sampai di depan pintu. (salah)
Ibu berjalan cepat-cepat ke dapur apabila tetamu sampai di depan pintu. (betul)

4.
Kumpulan pengakap itu bermalam-malam sesat di hutan. (salah)
Kumpulan pengakap itu sesat bermalam-malam di hutan. (betul)

5. Hal ini demikian terjadi kerana sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab. (salah)
Hal ini terjadi demikian kerana sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab. (betul)

PERHATIAN:
Terdapat beberapa kata adverba yang boleh hadir pada dua kedudukan, iaitu di hadapan unsur yang diterangkan dan di belakang unsur yang diterangkan. Contohnya:
1.
Saya berdoa agar saudara sentiasa sihat di samping keluarga. (betul)
Saya berdoa agar saudara sihat sentiasa di samping keluarga. (betul)

2.
Usharani berpindah ke bandar dan keluarganya kelak akan ke sana juga. (betul)
Usharani berpindah ke bandar dan keluarganya akan ke sana juga kelak. (betul)
3.
Tren ekspres yang saya naiki segera berlepas ke destinasinya. (betul)
Tren ekspres yang saya naiki berlepas segera ke destinasinya. (betul)

PERHATIAN
Frasa “Hal ini demikian... tidak gramatis kerana seolah-olah kata adverba “demikian” berfungsi sebagai predikat ayat, padahal adverba tidak boleh berfungsi sebagai predikat. Binaan yang betul adalah seperti yang berikut.
(a)  Hal ini terjadi demikian kerana...
(b)  Hal ini berlaku demikian kerana...
(c)  Hal ini dikatakan demikian kerana...

Walau bagaimanapun, perkataan “demikian” boleh juga hadir dalam subjek ayat, contohnya:
(a)  Hal demikian sangat baik.
(b)  usaha demikian amat dialu-alukan.
(c)  Langkah demikian amat tepat pada masanya.

No comments: