PELANGI PAPA
“Kelas, bapa saya baru meninggal dunia,” kataku dengan
penuh sayu kepada murid kelas tuisyen tingkatan 5 yang bakal menduduki
peperiksaan awam itu dalam masa 50 hari lagi. Pada saat itu, seorang murid yang
mendekatiku lalu menenangkan perasaanku. Pada ketika itu, hatiku bagai dirasuk
pesakit mental yang hilang kompas hidup.
“Apakah yang harus saya lakukan?” getus hati kecilku.
“Adakah harus kuteruskan pelajaran yang hanya tinggal
satu kelas lagi pukul 8:30 hingga 10:00 malam?” tanya lagi hatiku dengan
bertalu-talu ke kotak fikiranku. Saat-saat itu tidak akan aku lupakan seumur
hidup. 29 September 2010 sudah mencatatkan satu memori hitam dalam air mataku
yang masih kutahan daripada mengalir.
Mujur, aku
mempunyai seorang majikan yang benar-benar memahami dan menerima keadaan aku
yang nanar dan hilang semangat mengajar. Aku hanya mampu bersyukur kerana
menjadi pendidik di pusat tuisyen yang mula menjadi topik perbualan penduduk
Kota Kemuning. Bandar ini tidak pernah lekang daripada pandanganku sejak tujuh
tahun yang lalu, namun bapaku belum sempat mengunjungiku sehinggalah saat-saat
mendiang bapaku, juga dikenali sebagai Uncle Mok, akhirnya meninggalkanku.
Sepanjang perjalanan ke hospital, aku hanya mampu membuka
rakaman sejarah kehidupan aku. Pemandangan kota kemuning yang disirami hujan
renyai-renyai seolah-olah memahami perasaan di lubuk hatiku ini. Aku akhirnya
mengalah kepada perasaanku. Dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur, air
mataku mengalir tanpa dijemput. Entah mengapa terjadi begini. Aku mula merasai
kehilangannya.
Kehilangan bapa aku paling dirasai ketika aku membuka
kain putih berlabel HKL yang menutup badan dan mukanya yang pucat. Mayat itu
tidak sanggup kutatap lebih dua kali. Hal ini dikatakan demikian kerana aku
masih gagal mengawal emosiku yang kalah kepada air mata yang masih mengalir ke
pipiku. Entah mengapa, kekalahan pada perasaan ini lebih sakit daripada
kesakitan pembedahan otot kaki dan hidup yang pernah aku jalani beberapa tahun
yang lalu.
Dengan rasa nanar lagi, aku mengikuti rombongan pembantu
pegawai perubatan yang menyorong troli mayat yang membawa mayat bapaku hingga
ke bilik mayat. Keadaan sekeliling agak hambar, dengan kesunyian sekeliling
yang gelap dan bunyi perbualan antara kakakku dengan mak cikku yang masih kuat
semangat. Aku sempat memegang kaki kaku bapaku yang sejuk. Sejuknya seolah-olah
mendiang bapaku sudah sampai di pintu syurga. Di dalam hati kecilku, aku ingin
memohon maaf kepadanya. Banyak lagi perkara yang ingin aku lakukan bersamanya.
Namun, Tuhan lebih menyayanginya. Tuhan lebih awal
merampasnya daripada aku. Benakku masih segar, 13 jam yang lalu bapaku ada
menelefonku. Katanya, “Papa akan menduduki penerbangan selama 4 jam setengah
tidak lama lagi. Penerbangan ini amat membosankan kerana berlepas tiga kali
seminggu. Aku yang memahami erti penerbangan yang dimaksudkannya. Bapanya
menjalani dialisis pada setiap Isnin, Rabu, dan Jumaat. Dari pukul 8 hingga
12:30 tengah hari. Sudah lima tahun lamanya mendiang melalui kehidupan sebagai
pesakit rosak buah pinggang.
Andainya aku mampu, aku ingin menebus kesalahan aku kepada
bapaku kerana jarang menemaninya. Andainya aku mampu, akan kuberikan lebih
daripada yang pernah aku berikan. Akan kulukis sebuah lukisan dan kutulis novel
kasih antara aku dengan bapaku. Kini, aku hanya mampu menyelimutkan perasaan
rindu aku kepadanya, terutamanya ketika insan-insan lain di dunia ini yang
masih dapat meraikan Hari Bapa bersama ayah mereka. Aku tidak pernah terharu,
tidak pernah mengecewakannya dengan pencapaian akademik aku waima pencapaian
aku dalam dunia pendidikan.
Walau bagaimanapun, aku kecewa akan diri ini kerana tidak
mampu meluangkan lebih masa bersamanya kecuali hari minggu tatkala aku tidak
terikat dengan seminar dan ceramah. Aku juga seolah-olah menyalahkan diri ini
kerana tidak berada di samping ayahku sewaktu dia benar-benar memerlukan aku.
Wayar berwarna-warni bagai pelangi memenuhi kakinya, lehernya, tangannya, dan
dadanya. Aku hanya mampu bermonolog kepadanya 5 jam sebelum dia meninggalkan
aku buat selama-lamanya. Sepanjang 5 tahun ini, aku hanya pernah mengunjunginya
SEKALI sahaja di bilik dialisis. Adakah aku anak yang taat? Soalan demi soalan
bertemakan ketaataan menyerang dan membedil kotak fikiran aku.
Papa...... sebagaimana yang aku janji padamu, akan
kutunaikannya. Papa harus merestui keputusanku ini. Papa harus memberkati
keputusan aku untuk tidak memperbesar pemergianmu sebagaimana sifatmu yang
rendah diri. Pada hari pengebumian papaku, aku masih teringat. Cuaca yang panas
memancar dari pagi, tiba-tiba mendung dan gerimis mula mengundang. Adakah itu
tanda papaku menangis kerana akan meninggalkan aku dengan jasatnya yang masih
ada di dalam keranda coklat itu? Aku sempat menatap wajahnya untuk sekian kali.
Aku tidak mahu menyesal nanti jika mayat bapaku diusung untuk proses
pembakaran.
Papa seorang jurulatih renang yang aktif mengajar.
Kegigihannya mengajar anak-anak kecil berenang seolah-olah mendorong aku
mendekati anak-anak murid yang mahu belajar. Walaupun mulutku tidak semanisnya,
aku kadangkala menang dalam berdebat dalam topik-topik yang pernah kami bincang
di dalam kereta. Imbasan memori indah ini sekali gus mengajar aku erti
ketabahan menghadapi kehilangan. Suatu kehilangan yang akan kuratapi seumur
hidupku. Pemergian papa aku menjadikan hujung-hujung mingguku kurang ceria
meskipun pemergiannya membolehkan aku tidur sedikit lama pada hari dia
menjalani dialisis. Biasanya, telefon aku akan berbunyi pada jam 7:10 pagi
sebelum penerbangan papa berlepas dari lapangan dialisisnya. Penerbangan kali
ini benar-benar sudah membawa papaku jauh...... jauh meninggalkan aku.
“Semoga ombak laluku, bukan gelombang masa depanmu,”
mutiara kata papaku amat berkesan.
Aku akan mengikut dan mengingati nasihat dan amanatmu.
Akan kujaga Ammi dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Aku akan membayar
semua hutang kasih sayangmu kepadanya. Aku akan membayar semua hutang cintamu
kepadanya sehingga akhir hayat aku. Mayat bapaku masih segar walaupun sudah
tiga hari mendiami keranda sederhana mahal itu. Pada saat-saat akhir papa
memasuki alam abu, hanya Tuhan yang tahu betapa air mataku mengalir bagai
telaga tujuh milik Mahsuri di Langkawi. Aku hanya mampu berdoa. Doaku semoga
semangat dan ketulusan hati papa akan terus berasa di sampingku, walaupun aku lebih
merindui jasatnya yang sebenar. Pelangi muncul di langit ungu. Kemunculan
pelangi itu seolah-olah membawa mesej akhir papa kepada aku. Kini, aku sudah
faham. Air mata yang pernah papa titiskan di bahuku dulu kini sudah mengundang
gerimis yang turut mempersilakan pelangi muncul di depan mataku.
Papa...... kini sudah hampir dua tahun. Lebih 500 hari
sudah berlalu. Aku masih merindui kata-katamu, celotehmu, gurau sendamu, malah
amarahmu. Papa...... saya berjanji akan terus melangkah ke depan dengan penuh
semangat, suri teladan yang kautujukkan akan kufantasikan pada pelangi yang
muncul acap kali hujan berhenti. Pelangi papaku? Kamu di mana?
CIKGU TAN CL
14.6.2012
3 comments:
cerita yang ringkas tapi bermakna..
abah..aku juga selalu jarang menemannimu..
maafkanaku..
abah aku juga jarang berkesempatan
menyediakan makanan kegemaran ku..
im sorry..
anda sibuk untuk memuat naikkan / update maklumat terutamanya yang online...
http://helpkeydata.blogspot.com/
layari blog kami. lihat apa yang menarik buat anda..
http://helpkeydata.blogspot.com/
tq..:)
Kisah yang menyayat hati, menggetar jiwa dan menyentuh perasaan. Gaya penulisan yang kreatif membuatkan saya benar-benar hanyut dalam dunia penulis. Terima kasih, saya berjanji untuk lebih menghargai insan yang bergelar papa..
terima kasih anis!
Post a Comment