14 June 2012

SELAMAT HARI BAPA - CERPEN PELANGI PAPA


PELANGI PAPA

“Kelas, bapa saya baru meninggal dunia,” kataku dengan penuh sayu kepada murid kelas tuisyen tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan awam itu dalam masa 50 hari lagi. Pada saat itu, seorang murid yang mendekatiku lalu menenangkan perasaanku. Pada ketika itu, hatiku bagai dirasuk pesakit mental yang hilang kompas hidup.

“Apakah yang harus saya lakukan?” getus hati kecilku.

“Adakah harus kuteruskan pelajaran yang hanya tinggal satu kelas lagi pukul 8:30 hingga 10:00 malam?” tanya lagi hatiku dengan bertalu-talu ke kotak fikiranku. Saat-saat itu tidak akan aku lupakan seumur hidup. 29 September 2010 sudah mencatatkan satu memori hitam dalam air mataku yang masih kutahan daripada mengalir.

 Mujur, aku mempunyai seorang majikan yang benar-benar memahami dan menerima keadaan aku yang nanar dan hilang semangat mengajar. Aku hanya mampu bersyukur kerana menjadi pendidik di pusat tuisyen yang mula menjadi topik perbualan penduduk Kota Kemuning. Bandar ini tidak pernah lekang daripada pandanganku sejak tujuh tahun yang lalu, namun bapaku belum sempat mengunjungiku sehinggalah saat-saat mendiang bapaku, juga dikenali sebagai Uncle Mok, akhirnya meninggalkanku.

Sepanjang perjalanan ke hospital, aku hanya mampu membuka rakaman sejarah kehidupan aku. Pemandangan kota kemuning yang disirami hujan renyai-renyai seolah-olah memahami perasaan di lubuk hatiku ini. Aku akhirnya mengalah kepada perasaanku. Dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur, air mataku mengalir tanpa dijemput. Entah mengapa terjadi begini. Aku mula merasai kehilangannya.

Kehilangan bapa aku paling dirasai ketika aku membuka kain putih berlabel HKL yang menutup badan dan mukanya yang pucat. Mayat itu tidak sanggup kutatap lebih dua kali. Hal ini dikatakan demikian kerana aku masih gagal mengawal emosiku yang kalah kepada air mata yang masih mengalir ke pipiku. Entah mengapa, kekalahan pada perasaan ini lebih sakit daripada kesakitan pembedahan otot kaki dan hidup yang pernah aku jalani beberapa tahun yang lalu.

Dengan rasa nanar lagi, aku mengikuti rombongan pembantu pegawai perubatan yang menyorong troli mayat yang membawa mayat bapaku hingga ke bilik mayat. Keadaan sekeliling agak hambar, dengan kesunyian sekeliling yang gelap dan bunyi perbualan antara kakakku dengan mak cikku yang masih kuat semangat. Aku sempat memegang kaki kaku bapaku yang sejuk. Sejuknya seolah-olah mendiang bapaku sudah sampai di pintu syurga. Di dalam hati kecilku, aku ingin memohon maaf kepadanya. Banyak lagi perkara yang ingin aku lakukan bersamanya.

Namun, Tuhan lebih menyayanginya. Tuhan lebih awal merampasnya daripada aku. Benakku masih segar, 13 jam yang lalu bapaku ada menelefonku. Katanya, “Papa akan menduduki penerbangan selama 4 jam setengah tidak lama lagi. Penerbangan ini amat membosankan kerana berlepas tiga kali seminggu. Aku yang memahami erti penerbangan yang dimaksudkannya. Bapanya menjalani dialisis pada setiap Isnin, Rabu, dan Jumaat. Dari pukul 8 hingga 12:30 tengah hari. Sudah lima tahun lamanya mendiang melalui kehidupan sebagai pesakit rosak buah pinggang.

Andainya aku mampu, aku ingin menebus kesalahan aku kepada bapaku kerana jarang menemaninya. Andainya aku mampu, akan kuberikan lebih daripada yang pernah aku berikan. Akan kulukis sebuah lukisan dan kutulis novel kasih antara aku dengan bapaku. Kini, aku hanya mampu menyelimutkan perasaan rindu aku kepadanya, terutamanya ketika insan-insan lain di dunia ini yang masih dapat meraikan Hari Bapa bersama ayah mereka. Aku tidak pernah terharu, tidak pernah mengecewakannya dengan pencapaian akademik aku waima pencapaian aku dalam dunia pendidikan.

Walau bagaimanapun, aku kecewa akan diri ini kerana tidak mampu meluangkan lebih masa bersamanya kecuali hari minggu tatkala aku tidak terikat dengan seminar dan ceramah. Aku juga seolah-olah menyalahkan diri ini kerana tidak berada di samping ayahku sewaktu dia benar-benar memerlukan aku. Wayar berwarna-warni bagai pelangi memenuhi kakinya, lehernya, tangannya, dan dadanya. Aku hanya mampu bermonolog kepadanya 5 jam sebelum dia meninggalkan aku buat selama-lamanya. Sepanjang 5 tahun ini, aku hanya pernah mengunjunginya SEKALI sahaja di bilik dialisis. Adakah aku anak yang taat? Soalan demi soalan bertemakan ketaataan menyerang dan membedil kotak fikiran aku.

Papa...... sebagaimana yang aku janji padamu, akan kutunaikannya. Papa harus merestui keputusanku ini. Papa harus memberkati keputusan aku untuk tidak memperbesar pemergianmu sebagaimana sifatmu yang rendah diri. Pada hari pengebumian papaku, aku masih teringat. Cuaca yang panas memancar dari pagi, tiba-tiba mendung dan gerimis mula mengundang. Adakah itu tanda papaku menangis kerana akan meninggalkan aku dengan jasatnya yang masih ada di dalam keranda coklat itu? Aku sempat menatap wajahnya untuk sekian kali. Aku tidak mahu menyesal nanti jika mayat bapaku diusung untuk proses pembakaran.

Papa seorang jurulatih renang yang aktif mengajar. Kegigihannya mengajar anak-anak kecil berenang seolah-olah mendorong aku mendekati anak-anak murid yang mahu belajar. Walaupun mulutku tidak semanisnya, aku kadangkala menang dalam berdebat dalam topik-topik yang pernah kami bincang di dalam kereta. Imbasan memori indah ini sekali gus mengajar aku erti ketabahan menghadapi kehilangan. Suatu kehilangan yang akan kuratapi seumur hidupku. Pemergian papa aku menjadikan hujung-hujung mingguku kurang ceria meskipun pemergiannya membolehkan aku tidur sedikit lama pada hari dia menjalani dialisis. Biasanya, telefon aku akan berbunyi pada jam 7:10 pagi sebelum penerbangan papa berlepas dari lapangan dialisisnya. Penerbangan kali ini benar-benar sudah membawa papaku jauh...... jauh meninggalkan aku.

“Semoga ombak laluku, bukan gelombang masa depanmu,” mutiara kata papaku amat berkesan.

Aku akan mengikut dan mengingati nasihat dan amanatmu. Akan kujaga Ammi dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Aku akan membayar semua hutang kasih sayangmu kepadanya. Aku akan membayar semua hutang cintamu kepadanya sehingga akhir hayat aku. Mayat bapaku masih segar walaupun sudah tiga hari mendiami keranda sederhana mahal itu. Pada saat-saat akhir papa memasuki alam abu, hanya Tuhan yang tahu betapa air mataku mengalir bagai telaga tujuh milik Mahsuri di Langkawi. Aku hanya mampu berdoa. Doaku semoga semangat dan ketulusan hati papa akan terus berasa di sampingku, walaupun aku lebih merindui jasatnya yang sebenar. Pelangi muncul di langit ungu. Kemunculan pelangi itu seolah-olah membawa mesej akhir papa kepada aku. Kini, aku sudah faham. Air mata yang pernah papa titiskan di bahuku dulu kini sudah mengundang gerimis yang turut mempersilakan pelangi muncul di depan mataku.

Papa...... kini sudah hampir dua tahun. Lebih 500 hari sudah berlalu. Aku masih merindui kata-katamu, celotehmu, gurau sendamu, malah amarahmu. Papa...... saya berjanji akan terus melangkah ke depan dengan penuh semangat, suri teladan yang kautujukkan akan kufantasikan pada pelangi yang muncul acap kali hujan berhenti. Pelangi papaku? Kamu di mana?

CIKGU TAN CL

14.6.2012

3 comments:

ain_narina said...

cerita yang ringkas tapi bermakna..
abah..aku juga selalu jarang menemannimu..
maafkanaku..

abah aku juga jarang berkesempatan
menyediakan makanan kegemaran ku..
im sorry..


anda sibuk untuk memuat naikkan / update maklumat terutamanya yang online...

http://helpkeydata.blogspot.com/

layari blog kami. lihat apa yang menarik buat anda..

http://helpkeydata.blogspot.com/
tq..:)

Anis Izzati Mohd Asri said...

Kisah yang menyayat hati, menggetar jiwa dan menyentuh perasaan. Gaya penulisan yang kreatif membuatkan saya benar-benar hanyut dalam dunia penulis. Terima kasih, saya berjanji untuk lebih menghargai insan yang bergelar papa..

CIKGU TAN CL said...

terima kasih anis!