Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

10 May 2012

LATIHAN RUMUSAN SPM - SBP 2011

UNTUK SKEMA JAWAPAN, SILA E-MEL SAYA.
Latihan rumusan penting untuk skor markah yang tinggi dalam SPM.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan!

CIKGU TAN

SOALAN SEBENAR SPM PERCUBAAN 2011 - SEKOLAH BERASRAMA PENUH
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan berekreasi dalam kalangan remaja dan kekangan yang dihadapi bagi melaksanakannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

          Berekreasi sememangnya digalakkan bagi setiap orang. Kepentingan menjaga kesihatan ialah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang mudah dan kita perlu melakukannya bagi memastikan kesihatan tubuh dan kecerdasan minda tidak terganggu. Berekreasi merupakan terapi fizikal semula jadi untuk mengekalkan kecergasan fizikal dan kecerdasan minda. Persekitaran hari ini yang serba moden dan canggih menyaksikan kegiatan rekreasi bagi tujuan mengeluarkan peluh tidak lagi tertumpu di taman permainan, sebaliknya boleh dilakukan di pusat kesihatan yang menyediakan pelbagai peralatan senaman moden. Hampir di setiap kawasan perumahan, ada disediakan taman untuk berekreasi.

Bagi golongan remaja, rekreasi yang dilakukan secara teratur, sama ada dilakukan secara berseorangan ataupun berkumpulan, mampu mengelakkan remaja daripada terjebak dalam aktiviti tidak sihat yang boleh merosakkan masa hadapan mereka. Berekreasi, selain berfungsi menyihatkan badan dan memberikan kesihatan yang baik, minda yang cerdas dan menjauhkan diri daripada gejala sosial yang tidak sihat, juga mampu mendidik remaja untuk lebih terbuka dari segi minda dan pergaulan. Kesempatan bertemu dengan rakan baharu dapat membantu membentuk sahsiah diri remaja yang baik, seperti belajar untuk bergaul, menghormati sesama rakan, dan yang paling penting, mengajar mereka untuk tidak mementingkan diri sendiri.

Rekreasi yang dilakukan secara teratur mampu membentuk golongan remaja menjadi lebih matang, berketerampilan, dan mempunyai keyakinan dalam pergaulan. Pergaulan yang sihat membolehkan remaja berkongsi pengalaman dan semua ini penting sebagai persediaan untuk menempuh alam dewasa yang lebih mencabar. Program rekreasi secara berkumpulan mendedahkan remaja kepada aspek kerohanian. Secara tidak langsung akan membantu meningkatkan motivasi diri dan menilai diri serta menghargai usia remaja dengan sebaik-baiknya. Remaja yang suka berekreasi bukan sahaja mempunyai minda yang sihat serta terbuka dalam pergaulan, tetapi juga lebih terarah dalam soal kehidupan berbanding dengan mereka yang tidak melakukan aktiviti rekreasi.

Berekreasi membantu perkembangan psikologi remaja. Sebagai remaja yang menuju alam kedewasaan dan perlu membuat pilihan untuk menentukan masa hadapan, biasanya mereka telah ada arah tuju atau pilihan. Berekreasi memudahkan remaja mencari hala tuju dalam kehidupan mereka tanpa terpengaruh oleh persekitaran yang tidak sihat. Mereka akan mudah membuat keputusan kerana memiliki badan yang sihat dan minda yang cerdas. Remaja yang membuat pilihan bijak akan mengecap kejayaan dan mereka yang tersilap langkah akan berdepan dengan kehancuran dan dihimpit masalah. Oleh itu, bagi menggalakkan remaja aktif berekreasi, kerajaan telah membina banyak pusat sukan tertutup bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang sihat dan cerdas.

(Dipetik dan diubah suai daripada rencana `Ayuh Berekreasi’,

Dewan Siswa, Januari 2010)

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

    (i)          Berikan maksud rangkai kata menuju alam kedewasaan .

[2 markah]

  (ii)          Apakah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan swasta untuk menggalakkan rakyat berekreasi?

[ 3 markah]

(iii)          Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah untuk menggalakkan para pelajar berekreasi.
Berikan tiga cadangan.
[4 markah]


4 comments:

yatimushahar said...

cikgu..terima kasih..mohon hantar jawapan ke yatimushahar@gmail.com

mysoalan said...

Salam. Maaf jika mengganggu. Kami sedang menjalankan satu kaji selidik khas untuk guru-guru sekolah rendah dan menengah. Kaji selidik ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai proses penggubalan kertas soalan samada untuk kerja sekolah, ujian bulanan atau peperiksaan besar. Kaji selidik ini hanya mengandungi 14 soalan mudah dan mengambil masa kurang dari 5 minit untuk menjawab. Jika berminat boleh layari laman web di bawah:




Saya juga berharap agar anda dapat menyebarkan kaji selidik ini kepada rakan-rakan guru yang lain. Terima kasih!

Anonymous said...

terima kasih cg, mohon untuk jawapan latihan ,kheirez@yahoo.com

CIKGU TAN CL said...

Sesiapa yang ingin mendapatkan jawapan untuk latihan ini, e-mel permintaan anda kepada cikgutancl@hotmail.com. Sila nyatakan perkara berikut:
1. Nama
2. Tempat tinggal
3. Pelajar atau guru atau tutor atau ibu bapa
4. Jawapan permintaan untuk catatan bertarikh _______


Terima kasih atas sokongan anda.


Cikgu Tan