Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

4 April 2009

Selamat Bertugas Perdana Menteri Baharu Malaysia!

Semalam, hari yang sibuk bagi kebanyakan warga kota, terutamanya yang bekerja di Istana Negara dan Putrajaya. Hal ini dikatakan demikian kerana upacara pelantikan Perdana Menteri yang ke-6 dijalankan. Walau bagaimanapun, pelantikan kali ini berjalan dengan penuh sederhana lagi bermakna seiring kelembapan ekonomi yang dirasai seluruh rakyat rantau ini. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa gema "RAHMAN" sudahpun terbukti kebenarannya. Buktinya, lihat nama-nama Perdana Menteri yang dilantik pascamekerdekaan:

1) Tunku Rahman Putra Al-Haj,
2) Tun Abdul Razak
3) Tun Hussein Onn
4) Tun Dr. Mahathir Mohammed
5) Tun Abdullah Ahmad Badawi
6) Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada Perdana Menteri kita. Semoga pembaharuan demi pembaharuan akan dibawa oleh beliau demi bangsa dan negara sebagaimana yang diucapkan oleh beliau dalam ucaptama Perdana Menteri semalam.

Tanku Mizan Zainal Abidin bersalaman dengan Najib Tun Razak selepas Seri Paduka mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, semalam. Sebaik mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri keenam semalam, beliau sekali lagi mencatat sejarah tersendiri apabila muncul sebagai anak bekas Perdana Menteri yang pertama mengikut jejak langkah bapanya memegang jawatan eksekutif tertinggi negara.

Pasangan Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah Mansur kelihatan bersedia memikul tanggungjawab berat yang bakal memenuhi kehidupan mereka berdua. Sebagai Perdana Menteri dan Wanita Pertama Malaysia, mereka dilihat calon paling sesuai oleh kebanyakan pihak. Secara peribadi, saya berharap mereka dapat membuktikan tugas dan kepercayaan yang diberikan kepada mereka adalah betul. Semoga dengan pelantikan ini, mereka akan berkhidmat demi bangsa dan negara tercinta.


Datuk Seri Najib berdiri dengan penuh keyakinan sambil membaca ikrar pelantikan tugas menteri yang paling utama di negara ini, yakni Perdana Menteri. istiadat ini dihadiri dif-dif kehormat dan berjalan dengan lancar di Istana Negara.



Kesyukuran dan ketenangan terus menyelubungi perasaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam apabila dianugerahkan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun. Isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah pula menerima anugerah Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM), yang juga membawa gelaran Tun.



Selepas bergelar "Tun" , Datuk Seri Najib terus mengucapkan tahniah kepada Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi. Beliau dianugerahkan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun, sebaik-baik saja melepaskan jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya selama lima tahun lima bulan.


Selepas istiadat pelantikan selesai dijalankan, Tun Rahah (bonda tersayang Datuk Seri Najib) berjalan dengan dipegang erat oleh Tun Dr. Siti Hasmah (Ibu Malaysia Moden) dan kelihatan juga gaya bersahaja oleh Tun Dr. Mahathir yang berjalan sambil ketawa. Keeratan hubungan antara Tun Rahah dengan keluarga Tun Dr. Mahathir terbukti pemilihan Datuk Seri Najib akan mendapat restu daripada kebanyakan pihak. Sebagai ibu, Tun Rahah berharap Datu Seri Najib akan mengikut jejak bapanya (Perdana Menteri Malaysia ke-2), Tun Abdul Razak.



Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah bersama Perdana Menteri berjalan seiring keluar dari Balairung Seri Istana Negara selepas istiadat pelantikan selesai dijalankan. Setiap langkah menuju luar pekarangan istana ini pasti meninggalkan seribu kenangan manis kepada mereka berdua. Hubungan baik antara mereka diharap berterusan sampai bila-bila. Tun Abdullah Ahmad Badawi kelihatan tenang dan tidak begitu stress selepas memikul tugasan yang penuh kontroversi, terutamanya pernah dianngap sebagai "bukan pilihan utama" oleh tun Dr. Mahathir. Walau bagaimanapun, saya yakin beliau sudah pun membuat yang terbaik untuk negara.



Begitulah lambaian pertama sebagai Perdana Menteri kepada semua petugas media dan kakitangan istana yang terlibat dalam tugasan istiadat pelantikan Perdana Menteri di Istana Negara. Datuk Seri Najib dan isteri tercinta, Datik seri Rosmah Mansur kelihatan tenang dan berkeyakinan dengan lambaian senyuman mereka. Semoga Perdana Menteri yang baharu akan terus membawa kejayaan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang kepada kita.


Gambar di atas menunjukkan upacara rasmi pengambilalihan portfolio sebagai Perdana Menteri. Dalam keadaan tenang, Tun Abdullah menyerahkan beban besar negara kepada Datuk Seri Najib dalam satu sesi ringkas lagi bermakna di Putrajaya.
SELAMAT BERTUGAS PERDANA MENTERI!

No comments: