Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

26 April 2008

Bagaimanakah Modal Insan yang Patriotik Dapat dibentuk Melalui Aktiviti Sukan dan Permainan?



Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia menghadapi cabaran dan tekanan besar dalam mendepani persaingan abad ke-21 ini. Persaingan daripada negara-negara lain menuntut kita melakukan satu anjakan besar untuk melangkah ke peringkat pembangunan seterusnya dan mencapai Wawasan 2020. Oleh sebab itu, Yang amat berhormat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah mencetuskan revolusi idea dalam memberi penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan sebagai satu landasan kecemerlangan generasi hadapan. Generasi hadapan merupakan aset insani Malaysia yang paling penting dalam usaha Kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah Negara Bangsa yang Maju, Cemerlang, Gemilang, dan Terbilang menjelang Wawasan 2020. Pada pendapat saya, modal insan yang patriotik dapat dibentuk melalui aktiviti sukan dan permainan.

Pengaplikasian disiplin dalam permainan dan sukan dapat membentuk generasi yang lebih berdaya tahan demi mencapai cita-cita negara. Wawasan 2020 masih jauh kata sesetengah orang. Walau bagaimanapun, cita-cita negara tidak akan tercapai hanya dengan meningkatkan infrastruktur atau menambah bilangan sumber tenaga murah. Sebaliknya, pencapaian matlamat ini memerlukan satu peningkatan tahap produktiviti dan daya saing negara. Anjakan ini juga memerlukan pembangunan modal insan dari segi keupayaan dan intelek. Oleh itu, Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) telah menetapkan “pembangunan modal insan berminda kelas pertama” sebagai salah satu daripada lima teras utama ke arah mencapai Wawasan 2020. Disiplin semasa kita memainkan suatu permainan atau melakukan aktiviti sukan merupakan platform pembinaan jiwa yang tahan lasak dan cabaran. Dengan cara ini, kita bukan sahaja bersemangat patriotisme untuk membangunkan negara, malah bangsa dan imej nusa tercinta.

Dalam era globalisasi yang mencabar ini, Malaysia memerlukan tenaga kerja yang produktif, berpengetahuan, berkebolehan dan lebih berdaya saing bagi memastikan negara mencapai kemajuan dan pembangunan sosioekonomi yang lebih mapan. Negara memerlukan pekerja-pekerja terlatih, berkemahiran dan produktif dalam berbagai-bagai bidang. Keperluan ini semakin meningkat selaras dengan peralihan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. Oleh hal yang demikian, kesejatian dalam permainan dan sukan diyakini dapat mendidik kita mengenal pasti sebab kita memainkan suatu permainan. Contohnya, dalam sukan lari 4 X 100 meter, kita dapat memupuk semangat bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk memenangi larian. Kerjasama seperti ini perlulah kita amalkan dalam kehidupan seharian sebagai bakal pemimpin akan datang. Setiap nilai murni yang kita pelajari dapat mematangkan pemikiran sekali gus menjadikan generasi muda sebagai golongan yang setia akan negara dan bersedia untuk bersaing untuk memartabatkan nama negara di setiap pelosok negara.

Menurut petikan ucapan Perdana Menteri semasa merasmikan Hari Pekerja; 1 Mei, Tenaga mahir ini juga perlu dilengkapkan dengan jati diri tinggi yang penuh dengan sifat-sifat jujur, amanah, berwawasan demi mengutamakan kualiti pekerjaan. Penekanan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) terhadap pembangunan modal insan khususnya tenaga kerja yang berpengetahuan dan berdaya saing, merupakan satu peralihan yang tepat pada masanya kerana Malaysia tidak boleh terus bergantung pada kos tenaga buruh yang murah. Oleh hal yang demikian, setiap peraturan yang ditetapkan dalam sukan dan permainan sebenarnya mempunyai hubungan yang rapat dengan norma kehidupan kita. Dengan mematuhi peraturan dalam permainan, kita juga dapat mentaati tiang ketiga dan keempat Rukun Negara, yakni “Keluhuran Perlembagaan” dan “Kedaulatan Undang-undang”. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan sentiasa berharap agar generasi baharu akan dapat meyakinkan pihak luar bahawa kita bukan rakyat yang lemah, malah kuat dari segi semangat patriotisme dan sentiasa bersedia memajukan negara sebagai model insan yang cemerlang.

Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Melalui aktiviti sukan dan permainan, saya yakin dan pasti bahawa kita dapat membina golongan remaja yang berketerampilan dan berkewibawaan. Selain dapat mengangkasakan kebudayaan Malaysia dalam usaha mempromosikan permainan tradisional, kita juga dapat mengangkasakan permainan tradisional mahupun sukan rakyat. Jikalau sepak takraw dan sukan badminton yang satu ketika dahulu dianggap permainan kampung, kini permainan ini sudah menjadi acara maslahat dalam Sukan SEA dan Sukan Olimpik. Generasi yang bersedia menyahut cabaran inilah yang dapat membuat sesuatu untuk mempopularkan permainan nenek moyang kita. Semangat inilah perlu ada pada modal insan. Selain memiliki personaliti unggul, merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Keberanian, kecekalan dan kesungguhan yang tidak pernah menemui titik noktah ialah harapan kita.

Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara! Kita mempunyai tanggungjawab berat untuk membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan. Kita juga mesti memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem nilai-nilai murni serta menghargai tradisi dan warisan; dan memperluas dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kita mestilah mula mengorak langkah proaktif agar modal insan yang diimpikan dapat dicanai mengikut acuannya demi membentuk generasi yang patriotik. Dengan ini, sukan dan permainan yang dapat membentuk warga yang cinta akan negara akan memastikan Wawasan 2020 menjadi realiti, bukan fantasi lagi!

23 April 2008

Tsunami Senyap Melanda Dunia



Dalam era pascaglobalisasi ini, dunia menghadapi krisis makanan besar-besaran pertama sejak Perang Dunia Kedua yang dilihat melanda rantau Caribbean, Afrika dan Asia. Masalah sejagat membabitkan peningkatan harga dan kekurangan bekalan makanan kini disifatkan sebagai “tsunami senyap” kerana boleh menyebabkan penduduk dunia berdepan kelaparan, manakala Bank Pembangunan Asia (ADB) di Singapura, pula menegaskan era harga murah makanan sudah pun berlalu. Malah, sekurang-kurangnya 37 negara mengalami krisis makanan serius. Harga makanan meningkat kerana kegunaan sumber yang tertentu dalam "biofuel" bagi memerangi perubahan cuaca, peningkatan jumlah penduduk, permintaan tinggi negara sedang membangun selain kejadian banjir dan kemarau di negara pengeluar utama makanan seperti Australia dan Afrika. Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, sekurang-kurangnya 850 juta penduduk dunia kini kelaparan. Saya sering termenung sendirian apabila melihat pelajar-pelajar di kawasan kafeteria yang menikmati makanan, terutamanya yang tidak menghabiskan makanan yang disediakan oleh pihak asrama universiti. Ingatlah bahawa setiap biji nasi yang kita makan ini perlulah disulami erti kesyukuran dan berterima kasihlah kepada ibu bapa yang bekerja keras demi sesuap nasi dan seteguk air!


Kebanyakan negara di benua Afrika ialah negara miskin. Nigeria, salah satu negara di dalam benua Afrika yang termiskin di dunia. Setiap tahun negara ini akan menghadapi masalah kekurangan makanan dan sekali gus telah mewujudkan kebuluran. Punca utama masalah ini ialah disebabkan oleh cuaca panas yang melampau yang mengakibatkan kekeringan. Tanaman yang telah ditanam semuanya mati akibat ketidakcukupan air dan garam galian. Masalah ini amat dirasai oleh penduduk nomad seperti Perluh dan Taureg. Mereka terpaksa menjual binatang ternakan dengan harga yang murah semata-mata ingin membeli beras yang harganya melambung tinggi. Mereka juga terpaksa mengemis untuk mendapatkan makanan. Menurut lembaga bantuan Oxford, keadaan kaum ini sangat teruk dan tiada harapan lagi untuk hidup. Kanak-kanak yang paling menderita dan ramai yang telah meninggal akibat kebuluran. Mereka terpaksa mengumpulkan daun-daun dan akar-akar pokok untuk dijadikan makanan. Selain itu mereka juga terpaksa berkumpul di hadapan pejabat kerajaan setiap hari kerana ingin mendapatkan sedikit wang dan makanan. Menurut Organisasi Dokter Nir Batas, setiap hari hospital tempatan mesti dipenuhi oleh pesakit kanak-kanak yang kekurangan zat makanan.
Ramai petani yang menggunakan bijih benih untuk dijadikan makanan bukannya untuk disemaikan di ladang-ladang. Kesihatan para petani juga terancam sehingga mereka tidak mampu lagi untuk bekerja di ladang. Lagipun, sebahagian daripada petani terpaksa meninggalkan ladang mereka untuk mencari makanan. Mereka juga terpaksa berhijrah ke negara lain terutamanya Libya dan Aljazair untuk mencari wang dan makanan. Akibat dasar Apartheid yang dilaksanakan juga selama lebih empat dekad. Kebuluran dan kemiskinan dalam kalangan penduduk kulit hitam merupakan masalah paling utama Kerajaan Baharu di Afrika Selatan. Pada akhir tahun 1980-an dianggarkan 2.3 juta orang menghadapi kebuluran dan kekurangan zat makanan terutamanya kanak-kanak. Bayangkan angkanya pada masa ini! Secara tuntas, hargai, apresiasi, dan ingatlah bahawa kita bernasib baik!

16 April 2008

Jalan-jalan Raya Kotaku

Dalam mengharungi arus globalisasi pada masa ini, sistem pengangkutan awam di nusa kita makin hari makin maju dan giat dipertingkatkan oleh pihak kerajaan. Sehubungan dengan itu, penubuhan syarikat pengangkutan awam di negara kita kian banyak, bak cendawan tumbuh selepas hujan. Oleh itu, terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam disediakan oleh pihak kerajaan yang berjiwa rakyat untuk penduduk di Malaysia bagi mengelakkan berlakunya masalah kesesakan lalu lintas seperti teksi, bas, Monorel Kuala Lumpur, Sistem Aliran Ringan (LRT), Komuter dan sebagainya. Walaupun pelbagai jenis pengangkutan disediakan, malangnya, senario kesesakan lalu lintas di nusa kita masih tidak pernah mencapai titik noktah selama ini. Fenomena ini berubah menjadi lebih kronik dan membimbangkan semua pihak terutamanya pada waktu puncak. Masalah ini haruslah dititikberatkan oleh semua pihak dan bersama-samalah kita berganding bahu menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin. Hal yang tidak dapat dinafikan ialah kesesakan dan pengangkutan awam adalah simbiosis. Nescaya, beberapa punca yang menyebabkan kesesakan lalu lintas tetap berlaku saban waktu dalam perjalanan walakin pengangkutan awam disediakan.

Jadual perjalanan yang tidak sistematik merupakan punca utama menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku. Haruslah kita menerima hakikat bahawa jadual perjalanan yang tidak sistematik disebabkan kelemahan pihak pengurusan jadual perjalanan. Hal ini demikian kerana pihak berkenaan tidak memahami keadaan sebenar secara mendalam, mereka menyediakan jadual berdasarkan waktu mereka. Sebagai contohnya, waktu pemandu akan berehat bermula pada pukul satu tengah hari hingga pada pukul dua petang. Waktu rehat mereka merupakan waktu rehat warga kantor dan waktu pelajar pulang dari sekolah. Natijahnya, pelajar yang menaiki bas untuk balik ke rumah atau yang ingin menghadiri kelas tambahan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bas. Secara ringkasnya, kesesakan lalu lintas berlaku kerana kesibukan ibu bapa membawa anak-anak mereka balik ke rumah atau menghadiri kelas tuisyen.

Memang yang tidak dapat dinafikan, tambang yang mahal juga menjadi salah satu faktor kesesakan lalu lintas berlaku. Hal ini demikian kerana kenaikan harga minyak yang disebabkan peningkatan permintaan dalam pasaran dunia dan kejatuhan nilai Dolar Amerika telah menjejaskan taraf hidup dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa minyak petrol akan dinaikkan lagi jika kerajaan tidak mampu menanggung subsidi harga petrol. Jumlah kenaikan harga minyak sebanyak beberapa kali ini telah meningkatkan beban hidup masyarakat. Penataran ini menyebabkan penumpang terpaksa menanggung lagi kos kehidupan yang lebih tinggi. Selain itu, beban ibu bapa juga akan dipertingkatkan kerana sesetengah pelajar menaiki bas ke sekolah atau menghadiri kelas tuisyen. Oleh sebab terpaksa menanggung kos tambang yang tinggi, masyarakat sanggup berkereta sendiri supaya dapat mengurangkan kos perbelanjaan bulanan. Natijahnya, kesesakan lalu lintas terus berlaku.

Tambahan pula, bilangan bas dan teksi yang tidak cukup juga merupakan satu sebab yang sukar dinafikan. Tidaklah menghairankan jika peruntukan belanjawan kerajaan dikatakan kurang untuk kemudahan awam kerana kerajaan lebih mengutamakan pembangunan fizikal negara berbanding dengan meningkatkan kebajikan masyarakat. Hal ini juga disebabkan oleh hanya beberapa bas syarikat yang ditubuhkan seperti Transnasional, Metro, Intrakota dan sebagainya. Dengan itu, bas awam tidak menjadi pilihan utama penumpang dari suatu destinasi ke suatu destinasi yang berdekatan atau sebaliknya. Fenomena ini berlaku kerana golongan muda pada zaman ini tidak mahu membazir masa dengan setakat untuk menunggu ketibaan bas ke suatu tempat Mereka berpendapat bahawa “masa itu emas”. Oleh hal yang, mereka rela memandu sendiri. Impaknya, masalah kesesakan lalu lintas terus membengkak dalam arus pembangunan negara.

Satu lagi punca berlakunya kesesakan lalu lintas ialah perkhidmatan yang kurang berkualiti dan kurang efisien. Pengangkutan awam tidak menjadi pilihan utama generasi kini merupakan perkara yang lumrah. Hal ini demikian kerana terdapat segelintir pemandu teksi dan bas yang biadab terhadap penumpang. Di samping itu, kebanyakan bas berada dalam keadaan yang kotor, panas, busuk, dan kurang selesa. Misalnya, pemandu bas tidak menghormati penumpang dengan memarahi mereka mahupun warga tua hanya kerana mereka membawa makanan ke dalam bas, tertekan loceng di destinasi yang salah dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, pengguna berasa tidak puas hati terhadap pemandu bas. Hal ini juga menyebabkan pengguna tidak yakin akan perkhidmatan pengangkutan awam. Justifikasinya, pengguna terpaksa memiliki kenderaan sendiri. Impak daripada hal ini menyebabkan kesesakan lalu lintas kian hari kian serius.

Pembinaan stesen di lokasi yang tidak strategik juga satu punca yang sukar dinafikan. Hal ini disebabkan kawasan pembinaan stesen Komuter amat jauh dari pusat bandar utama seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Damansara, Ampang, Cheras dan sebagainya. Pembinaan stesen Komuter di kawasan yang jauh malam di dalam hutan menyebabkan pengguna berasa sukar untuk mendapatkan tempat meletak kenderaan di stesen Komuter. Senario ini membuktikan bahawa pengangkutan awam yang disediakan tidak memberi kemudahan secara langsung kepada pengguna. Pengguna terpaksa menukar stesen dari satu stesen ke suatu stesen, Namun begitu, pengguna juga sukar mendapat pengangkutan perantara dari stesen Komuter ke destinasi yang hendak dituju. Untuk menjimatkan masa dan wang untuk bertukar stesen dari satu stesen, pengguna lebih rela menggunakan kenderaan sendiri. Habis, kesesakan lalu lintas di nusa kita terus berlaku dan tidak pernah diselesaikan.

Secara tuntas, walaupun negara kita canggih dalam bidang sains dan teknologi, pelbagai jenis pengangkutan awam giat dipertingkatkan oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, senario kesesakan lalu lintas tidak dapat berjaya dibendung selama ini khasnya di bandar-bandar utama pada waktu bekerja. Hal ini telah membebankan rakyat dari pelbagai segi seperti masa dibazirkan pada waktu kesesakan, kelewatan menguruskan urusan yang penting. Daripada membiarkan masalah ini kronik, pelbagai langkah yang efisien dan praktikal harus diambil dengan serta merta. Oleh itu, kerajaan haruslah sensitif terhadap isu-isu kesesakan dan mengambil tindakan dengan bijak menggunakan peruntukan supaya lalu lintas dilancarkan semula.










13 April 2008

Saya membeli buku macam memborong buku!

Semalam, selepas makan malam di Bangsar bersama kawan, saya terus menuju ke Kedai Buku CzipLee ( http://www.cziplee.com/) yang terletak di Jalan Telawi 3, Bangsar. Saya meluangkan masa lebih satu jam setengah di kedai buku itu. Apakala sampai di sana, saya terus menuju ke tingkat dua tempat buku-buku rujukan disusun di situ. Keadaan di sana kelihatan seperti perpustakaan yang kemas dan bersih, saya terus menuju ke para-para buku bahagian KOMSAS, UPSR, PMR, SPM lalu "memborong" buku. Jurujual yang bertugas juga hairan dengan cara saya membeli buku dengan bilangan yang banyak. Hal ini demikian kerana saya membeli buku yang sama penerbitnya dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Pada waktu yang sama, saya berasa teruja apabila melihat buku teks komsas tingkatan satu hingga lima untuk zon yang lain lalu membelinya agar dapat dipinjamkan kepada pelajar saya yang suka membaca. Selepas itu, saya menuju ke tingkat bawah yang menempatkan alat tulis dan pelbagai jenis bahan yang lain lalu membeli pen "marker" yang baru dikeluarkan oleh "Pilot". Saya bercadang untuk mencubanya di kelas nanti. Semasa membayar bil yang melebihi RM250, saya sedikit pun tidak berasa "sayang" akan duit yang banyak kerana saya berpendapat bahawa buku-buku baharu yang saya beli ini akan membantu saya dalam pengajaran di dalam kelas nanti. Saya tidak mahu dianggap guru yang hanya menggunakan nota dan buku lama. Saya akan membuat revolusi dalam nota bulanan saya mulai bulan November dengan susunan nota yang lebih padat dan saiz tulisan yang lebih besar sekali gus menukar stail cetakan. Tunggu dan lihat!

11 April 2008

Kesibukan Sudah Menjadi Asam Garam Kehidupan Saya

Betapa sibuk sekali, saya berjanji akan meluangkan masa untuk menulis demi meluahkan perasaan saya. Benar kata Yee Sing, saya dapat mengurangkan stres dengan menulis dalam blog ini. Terima kasih kepada Tan Jia Min yang menegur kesilapan saya dalam blog pertama apabila perkataan “mula” telah saya salah tulis menjadi “muda”. Saya juga ingin menyuarakan sekalung terima kasih kepada Shi Ian, bekas pelajar ( SPM 2005) yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Terima kasih kerana masih mengingati guru ini. Saya juga bersetuju dengan kata-kata Ying Zhou (YZ) (maaf kalau saya salah eja nama anda), juga calon SPM 2005 yang cemerlang dalam BM. Dia berkata bahawa sesiapa sahaja yang mengetawakan saya kerana meminati Celine Dion sebenarnya tidak pernah mendengar lagu beliau. YZ juga mencadangkan saya lagu "Bressanone" nyanyian Mathiew Lien. Saya ingin melampirkan video muzik tersebut agar pembaca dapat memberi komen tentang lagu ini. Sebenarnya, saya agak terkejut apabila mengetahui YZ juga meminati penyanyi ini. Hal ini demikian kerana salah seorang kawan saya, KOKO yang tinggal di Taiwan sebenarnya berkawan rapat dengan penyanyi tersebut. Semasa tinggal di rumahnya dalam perjalanan dari Tai Chung ke Hua Lian, saya sempat mendengar cerita daripada beliau tentang penyanyi ini sambil mendengar lagu yang dimainkan di dalam keretanya. Namun, biarlah anda sendiri yang komen tentang Mathiew Lien.

9 April 2008

Komponen sastera (KOMSAS) yang mungkin hanyut di ambang pascagloblisasi.

Cuaca yang tidak menentu pada hari-hari sejak awal minggu lepas menyebabkan hati saya juga mengalami cuaca yang tidak menentu. Selain masih bergelumang dengan selesema yang sudah berlanjutan selama tiga hingga empat hari, saya juga seolah-olah tidak begitu bersemangat dalam banyak hal. Pada minggu kedua KELAS INTENSIF KOMSAS PMR di PTAG, saya dapati ada pelajar yang masih lemah dari segi gaya bahasa dan juga penulisan jawaban novel. Walakin begitu, kefahaman terhadap pantun tingkatan dua dalam kalangan pelajar saya anggap lebih baik daripada kefahaman pantun tingkatan satu. Hal ini mungkin kerana pelajar masih mengingati tajuk komponen sastera (komsas) tersebut. Saya berharap kelas-kelas yang akan datang para pelajar yang saya sayangi akan terus membuktikan pencapaian yang memberangsangkan dalam komsas. Bak kata peribahasa, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Dengan kesungguhan dan kegigihan yang tersemai dalam sanubari, tidak ada apa-apa yang dapat menghalang anda berjaya dalam peperiksaan. Saya masih teringat kata-kata A. Samad Said dalam kenyataannya tentang komsas semasa menghadiri menyuarat di Kota Kinabalu baru-baru ini. Yang paling mengejutkan saya ialah karya Sasterawan Negara A Samad Said, Abdullah Hussain tidak akan dimasukkan dalam teks komsas yang akan digunakan oleh pelajar mulai tahun 2009. Perhatikan petikan "youtube" di bawah. Sekian.

Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Hari ini, saya telah menyemak karangan salah seorang mahasiswa di tempat saya bekerja. Dalam penulisan yang saya semak, terdapat beberapa kesalahan besar ditulis oleh seorang bakal pendidik yang akan menamatkan pelajarannya. Kotak ingatan saya terbentak, “Apakah yang akan terjadi jika bakal pendidik ini mengajarkan tatabahasa yang salah kepada muridnya?” Saya hanya termangu-mangu sebentar, bermusabahah diri tentang kesalahan seperti sebahagian besar negara-negara sepatutnya ditulis sebahagian besar negara, kebanjiran pendatang-pendatang asing sepatutnya ditulis kebanjiran pendatang asing.
Di samping kesalahan hukum DM yang dinyatakan di atas, kesalahan ejaan seperti *acapkali sepatutnya acap kali dan *ransangan sepatutnya rangsangan amat mengecewakan saya. Sempang, jarak, ejaan, satu k, dua k, satu g, dua g...... semuanya masih salah. Apa-apa yang berlaku semasa saya menyemak penulisan pelajar, pastinya memori lama bersama pelajar sekolah menengah terimbas kembali. Saya tidak segan silu dan dengan bangganya akan berkongsi dengan anda gambar salah seorang pelajar saya yang pernah menghasilkan karangan yang cemerlang. Malangnya, namanya sudah saya lupa. Maaf!

8 April 2008

Apakah kesalahan meminati penyanyi Celine Dion?

Semalam, salah seorang murid saya, Tay Sue Ling... salah seorang pelajar SMK BUKIT KEMUNING mengetawakan saya kerana meminati penyanyi Celine Dion. Walau Bagaimanapun, saya tetap bersabar kerana dia belum mengetahui "kuasa" dan "ilmu" daripada Celine Dion.
Saksikan!

Semuanya sudah bermula

Saya sudah mula menulis blog.... Adakah saya belum cukup sibuk?