Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

15 October 2008

RAMALAN SPM 1 - PROSA TRADISIONAL - PEMINANGAN PUTERI GUNUNG LEDANG.

SILA MUAT TURUN SOALAN PADA BAHAGIAN "SOALAN PERCUBAAN NEGERI-NEGERI DI MALAYSIA".

Jawaban Cadangan untuk Prosa Tradisional Soalan Percubaan Negeri Pahang 2008

(i) Maksud “merupakan dirinya seperti orang tua” ialah menjelmakan keadaan fizikalnya menjadi seorang insan yang amat uzur.

(ii) Selepas turun dari Gunung Ledang, Tun Mamat terus kembali ke Istana Melaka. Selepas itu, Tun Mamat pun menghadap Sultan Melaka. Dalam majlis penghadapan itu, Tun Mamat menyampaikan semua syarat peminangan kepada Sultan Melaka.

(iii) Sultan Mahmud tidak sampai hati untuk membunuh anaknya kerana baginda amat sayang akan anaknya. Selain itu, baginda tidak sanggup bertindak mementingkan diri sendiri dengan mengorbankan darah anaknya. Lebih-lebih lagi, baginda tidak mahu anaknya terkorban hanya kerana memenuhi keinginan baginda untuk meminang Tuan Puteri Gunung Ledang.

Jawaban Cadangan untuk Prosa Tradisional Soalan Negeri Johor 2008

(i) Maksud “biar hamba persembahkan” ialah Dang Raya Rani memberitahu Tun Mamat bahawa dia akan mewakili Tun Mamat untuk memberitahu tujuan kedatangannya ke Gunung Ledang.

(ii) Tun Mamat ialah Penghulu Orang Inderagiri. Oleh sebab itu, beliau mempunyai pengalaman dan stamina untuk menaiki Gunung Ledang yang amat mencabar. Selain itu, Tun Mamat seorang pesuruh raja yang setia. Beliau menjalankan tanggungjawab dengan baik sehingga sanggup membahayakan dirinya demi meminang Tuan Puteri Gunung Ledang. Tun Mamat juga seorang lelaki yang berani. Beliau berani menemui Tuan Puteri Gunung Ledang seorang diri dan menghadapi perjalanan yang sukar.

(iii) Pada pendapat saya, Sultan Mahmud memilih Tuan Puteri Gunung Ledang sebagai isteri baginda kerana permaisuri baginda sudah mangkat dan puteranya Raja Ahmad memerlukan kasih sayang seorang ibu. Selain itu, baginda mahu membuktikan bahawa baginda mempunyai kedaulatan dan kekuasaan yang istimewa untuk memiliki Tuan Puteri Gunung Ledang sebagai isteri sekali gus mendapat sanjungan dan penghormatan daripada raja-raja yang lain. Di samping itu, baginda memang mempunyai keinginan yang istimewa iaitu mahu memperisteri seorang gadis yang istimewa, bukannya seperti raja-raja lain yang memperisteri kerabat diraja sahaja.

Jawaban Cadangan untuk Prosa Tradisional Soalan Perak 2008.

(i) Maksud “jikalau Raja Melaka hendakkan aku” ialah sekiranya Sultan Melaka ingin mengahwininya.

(ii) Tun Mamat berasal dari Melaka, iaitu daerah Inderagiri. Beliau menjadi wakil Sultan Melaka dalam rombongan peminangan Tuan Puteri Gunung Ledang. Selain itu, beliau jugalah yang menggantikan Laksamana dan Sang Setia yang gagal mendaki Gunung Ledang sekali gus bercakap dengan wakil Tuan Puteri Gunung Ledang berkaitan tujuan kedatangannya ke Gunung Ledang.

(iii) Pada pendapat saya, alasan Puteri Gunung Ledang mengenakan syarat yang luar biasa adalah untuk menguji keikhlasan Sultan Melaka. Selain itu, Puteri Gunung Ledang mahu membuktikan kepada Sultan Melaka Bahawa martabatnya lebih tinggi daripada Sultan Melaka dan dirinya tidak mudah dipinang. Lebih- lebih lagi, syarat yang luar biasa ini sebenarnya bertujuan untuk menolak peminangan secara sopan. Antara alasan yang lain ialah Puteri Gunung Ledang mahu menghina dan memalukan Sultan Melaka kerana tidak dapat memenuhi syarat perkahwinan daripada seorang puteri.

2 comments:

Anonymous said...

hello,i am wiliam tang thankyou for esei about peranan ibubapa and hari guru as example to make my esei more active did you have msn just add me webletyh@hotmail.com

fazly_cool said...

sape yang tahu pengajaran pasir salak????????