Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

5 March 2011

ANALISIS LENGKAP NOVEL TINGKATAN 2 - WIRA PERSONA AVATARI

Wira Persona Avatari
(Ahmad Zaki Abu Bakar)

Sinopsis
Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas, dan dianggotai oleh adiknya Aina serta empat rakannya, iaitu Pauline, Anjali, Adeen, dan Zuriani menyertai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh yang berlangsung di Kompleks Anggun. Tujuan mereka menyertai pertandingan ini adalah untuk mengulangi kejayaan Pasukan Zamrud yang diketuai oleh ayah Anas, Profesor Fitri yang telah menjadi juara pertandingan Avatari sepuluh tahun dahulu. Sebelum pertandingan, mereka telah menjalani beberapa sesi latihan yang keras seperti latihan silat, latihan kecergasan, dan latihan menempuh halangan yang dijalankan oleh Cikgu Nisah.

Pertandingan Avatari ini ialah pertandingan kembara di ruang siber atau adventure game bagi makhluk janaan komputer yang dipanggil avatar. Pertandingan yang menggunakan rangkaian Internet ini dijalankan serentak di seluruh dunia. Terdapat empat peringkat yang perlu dilalui oleh setiap pasukan untuk menjuarai pertandingan yang menawarkan hadiah sebanyak satu juta Ringgit Malaysia ini. Untuk peringkat pertama, seratus pasukan terbaik akan layak ke peringkat kedua. Pada pusingan kedua pula, hanya dua puluh pasukan terbaik yang akan dipilih. Selepas disaring dalam pusingan ketiga, hanya lima pasukan terbaik yang akan meneruskan cabaran ke pusingan yang keempat, iaitu pusingan terakhir.

Pasukan Zamrud II telah berusaha dengan gigih dan berjuang bermati-matian untuk melepasi halangan dan cabaran yang terdapat dalam setiap pusingan. Di samping itu, mereka juga terpaksa menghadapi ancaman dari dalam pasukan sendiri kerana salah seorang ahli pasukan mereka, iaitu Anjali telah mensabotaj pasukan dengan mencuri cip pemecut mesin Avatari. Masalah menjadi rumit apabila Aina cedera parah akibat ditembak oleh penjahat ketika pasukan mereka bersiap sedia untuk ke pusingan akhir. Namun begitu, semua halangan dan masalah dapat diatasi oleh Pasukan Zamrud II, dan akhirnya pasukan mereka telah menjuarai pertandingan tersebut.

TemaKesungguhan dan semangat perjuangan yang tinggi untuk mencapai matlamat. Pasukan Zamrud II yang terdiri daripada Anas, Aina, Adeen, Pauline, Anjali, dan Zuriani berlatih bersungguh-sungguh sebagai persediaan menghadapi pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh. Semasa pertandingan mereka berjuang bermati-matian sehingga mereka berjaya menjuarai pertandingan tersebut.

Persoalan
1. Persoalan persiapan untuk menghadapi sesuatu pertandingan.
Anas dan ahli-ahli kumpulannya berlatih bersungguh-sungguh untuk menyertai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh yang berlangsung di Kompleks Anggun.

2. Persoalan kesabaran dalam menghadapi cabaran hidup.
Keluarga Anas masih sabar dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun ayahnya, Profesor Fitri masih hilang semasa mengikuti ekspedisi rahsia di Lautan Andaman.

3. Persoalan hubungan kekeluargaan yang erat.
Anas amat mengambil berat akan adiknya, Aina.

4. Persoalan sokongan moral ibu bapa untuk memastikan kejayaan anak.
Puan Maizan, Pak Cik Ho dan Mak Cik Angie sentiasa berada di tempat pertandingan
Avatari untuk memberikan sokongan moral kepada anak-anak mereka.

5. Persoalan golongan remaja yang suka menghabiskan masa dengan permainan video.
Anjali dan Sudin bermain permainan Robot War di Pusat Permainan Video Game Star yang
penuh sesak dengan pengunjung yang terdiri daripada golongan remaja.

6. Persoalan hubungan erat antara kaum.
Ahli-ahli Pasukan Zamrud II yang terdiri daripada Anas, Aina, Pauline, Anjali, Adeen, dan
Zuriani dapat bekerjasama tanpa mengira perbezaan kaum.

7. Persoalan perjuangan mempertahankan maruah agama
Anas dan ahli-ahli Pasukan Zamrud II menentang Pasukan Zion dari Rusia yang mahu membunuh Nabi Muhammad secara maya dalam pertandingan Avatari.

Watak dan Perwatakan

Watak Utama
Anas
• Anak sulung kepada Profesor Muhammad Fitri Izzati dan Mazian
• Berumur 17 tahun
• Ketua Pasukan Zamrud II dalam pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh
• Penyayang – amat menyayangi adiknya, Aina
• Berani – sanggup membahayakan diri untuk menghalang pasukan lawan daripada
• memenangi pertandingan
• Bijak – bijak mengatur strategi sehingga dapat menjuarai pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh

Watak Sampingan
Aina
• Adik kepada Anas
• Bertubuh kecil - berumur 12 tahun
• Salah seorang ahli Pasukan Zamrud II
• Pintar - digelar rakan sedarjah “si cili padi”
• Rajin beribadat – berpuasa sunat bulan Rejab
• Gigih – berusaha bersama abangnya untuk menubuhkan Pasukan Zamrud II
• Keras hati – tetap menyertai pertandingan Avatari walaupun dilarang oleh ibunya

Zuriani
• Gadis kacukan Melayu - Inggeris
• Sahabat karib Aina - berumur 12 tahun
• Peserta simpanan Pasukan Zamrud II
• Rendah diri – kurang keyakinan terhadap kemampuan diri ketika diminta menggantikan
• tempat Aina di peringkat akhir pertandingan
• Amanah – tidak memberitahu sesiapa tentang peristiwa kehilangan cip papan litar avatari setelah dipesan oleh Pak Cik Tan

4
Kumar
• Anak bongsu Pak Cik Kuppusamy, jutawan barang kemas
• Panas baran – lekas marah kerana Adeen lewat tiba di Pusat Permainan Video Games
• Star
• Angkuh – tidak mahu menyertai Pasukan Zamrud II kerana tidak yakin akan keupayaan
• komputer Avatari Pak Cik Ho
• Menginsafi kesilapan diri – berasa menyesal kerana telah memperkecil keupayaan Pasukan Zamrud II

Adeen
• Anak Profesor Zakri
• Berumur 18 tahun
• Pengendali komputer Avatari
• Pelajar jurusan kejuruteraan komputer di kolej khas, di Koridor raya Multimedia
• Sangat pintar – mempunyai I.Q yang tinggi/ penggodam komputer yang cekap
• Sabar – tidak bertindak terburu-buru dengan tindakan biadap Kumar

Pauline
• Anak tunggal Pak Cik Ho
• Berumur 17 tahun
• Salah seorang ahli Pasukan Zamrud II
• Menaruh hati terhadap Anas
• Manja dengan ayahnya, Pak Cik Ho
• Berani – sanggup menegakkan pendiriannya semasa bertengkar dengan Kumar

Anjali
• Adik kepada Muthu, iaitu seorang ketua kongsi gelap
• Anak yatim - tinggal dengan abangnya setelah ibunya meninggal dunia dan bapanya
meninggalkan mereka
• Kasar – dipengaruhi oleh didikan abangnya
• Pembelot – sanggup mengkhianati Pasukan Zamrud II setelah diarahkan berbuat demikian oleh abangnya
• Pandai bermain permainan video – mengalahkan Sudin dalam permainan Robot War

PlotTidak mengikut kronologi – Bab pertama (Poster Misteri) didahului dengan puncak (klimaks)
cerita.

Binaan Plot

Permulaan
Aina mengajak abangnya, Anas untuk mengambil bahagian dalam Pertandingan Avatari
Kebangsaan Kali Kesepuluh yang berlangsung di Kompleks Anggun. Mereka menubuhkan
Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas, dan dianggotai oleh adiknya Aina serta empat
rakan mereka, iaitu Pauline, Anjali, Adeen, dan Zuriani.

Perkembangan
Pasukan Zamrud II menjalani latihan sebagai persediaan untuk pertandingan. Berkat kegigihan
dan kerjasama berpasukan, mereka berjaya melepasi halangan dan cabaran dalam pusingan
pertama, pusingan kedua, dan pusingan ketiga. Anjali telah mensabotaj Pasukan Zamrud II
dengan mencuri cip pemecut mesin Avatari.

Puncak
Semasa Pasukan Zamrud II bersedia ke peringkat keempat, iaitu pusingan akhir pertandingan,
Aina cedera ditembak di bahu oleh penjahat yang cuba mencuri baju-baju khas pertandingan
Avatari di bilik persalinan. Aina dibawa ke hospital dan tempatnya digantikan oleh Zuriani.

Peleraian
Pasukan Zamrud II menjuarai menyertai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh dan
memenangi hadiah sebanyak hadiah sebanyak satu juta Ringgit Malaysia. Aina yang masih
dirawat di hospital mendapat berita gembira bahawa ayahnya, iaitu Profesor Muhammad Fitri
dan kumpulan penyelidik yang hilang di Lautan Andaman telah dijumpai.

Teknik Plot

1. Dialog
Contoh: “Kenapa Abang Adeen lambat?” tanya Aina lagi.
“Maaf, terlepas komuter tadi,” jawab Adeen.

2. Suspens
Contoh: Pak Cik Tan bersembunyi di dalam bilik persalinan untuk mengetahui orang yang mencuri cip pemecut mesin Avatari.

3. Kejutan
Contoh: Adeen ternampak dua orang lelaki yang mencurigakan di bilik persalinan.

4. Imbas kembali
Contoh: Anas teringat akan kata-kata ayahnya yang mahu Anas dan Aina menjadi juara pertandingan Avatari seperti yang pernah dicapai oleh ayahnya dan Pasukan Zamrud sepuluh tahun lalu.

5. Monolog
Contoh: “Tak sangka Aina pandai tulis sajak, walaupun perlu diperbaiki lagi,” kata Anas
sendirian.


Gaya Bahasa
 Diksi
• Istilah Komputer
Contoh: browser, CPU, kayu ria, kamar bicara, papan litar
• Slanga
Contoh: amoi cantik, hei tambi
 Peribahasa
Contoh: nasi sudah menjadi bubur;
kalau tidak ada rotan, akar pun berguna juga
hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
macam enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing

 Pembinaan Ayat
• Bahasa mudah dan menarik
• Ada ayat pendek
Contoh: Samy semakin nekad
• Ada ayat panjang
Contoh: Pengalamannya sebagai banduan cukup mengajarnya supaya menghargai kebebasan

 Personifikasi
Contoh: Petang semakin tua

 Simile
Contoh: …seperti semut merah menghurung lipas mati
…seperti halilintar membelah bumi

 Hiperbola
Contoh: …mata yang tajam
...berjalan di atas kepulan awan

LatarLatar Masa
 Zaman sekarang – golongan remaja bermain permainan komputer dan menggunakan
Internet
 Zaman prasejarah – setiap pasukan dikehendaki ke zaman prasejarah secara maya dalam peringkat pertama pertandingan Avatari
 _ Zaman Mesir kuno – pasukan yang layak ke peringkat kedua pertandingan Avatari
mengembara secara maya ke zaman Mesir kuno untuk mencari pelbagai objek harta
karun berdasarkan petunjuk yang akan diperoleh daripada teka silang kata yang
diselesaikan oleh peserta.
 Zaman Kesultanan Melayu Melaka – Pasukan Zamrud II memilih untuk ke zaman Kesultanan Melayu Melaka secara maya untuk menghalang Portugis daripada menawan Melaka.

Latar Tempat
 Kompleks Beli-belah Anggun – tempat pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh dilangsungkan
 Rumah Profesor Fitri – tempat tinggal Anas dan Aina
 Pusat Permainan Game Star – Anjali dan Sudin bertanding dalam permainan Robot War
 Pangsapuri Pak Cik Ho – Anas dan Aina berkunjung ke pangsapuri Pak Cik Ho untuk berbincang tentang penubuhan Pasukan Zamrud II.
 Kawasan bukit di Batu Layar – tempat Cikgu Pasukan Zamrud II menjalani latihan kembara

Latar Masyarakat
 Masyarakat bandar yang celik komputer
Contoh: Anas dan Aina melayari Internet untuk mencari maklumat tentang pertandingan
Avatari
 Masyarakat remaja yang meminati permainan komputer
Contoh: Pusat Permainan Video Game Star sentiasa sesak dengan pengunjung yang
terdiri daripada golongan remaja.
 Masyarakat elit
Contoh: Anas, Aina, Pauline, Adeen, dan Kumar datang daripada keluarga elit kerana
ayah mereka merupakan jutawan, ahli perniagaan, dan profesor.

 Masyarakat bandar yang miskin
Contoh: Anjali ialah anak yatim yang dibesarkan dalam keadaan yang amat daif lagi
mencabar.
 Masyarakat yang gemar melakukan jenayah
Contoh: Abang Anjali, iaitu Muthu merupakan ketua samseng yang diarahkan untuk
menimbulkan huru-hara di Pusat Permainan Video Game Star.

NILAI1. Nilai bertanggungjawab
Anas berasa bertanggungjawab mengambil alih peranan sebagai orang lelaki di rumah selepas ayahnya hilang semasa menjalankan ekspedisi misteri di Laut Andaman.

2. Nilai kasih sayang
Anas sangat menyayangi adiknya, Aina.

3. Nilai keberanian
Anas membahayakan dirinya dalam usaha untuk memastikan kejayaan Pasukan Zamrud II dalam pertandingan Avatari.

4. Nilai kesabaran
Adeen sabar dengan karenah Kumar yang angkuh.

5. Nilai keinsafan
Kumar menyesal kerana telah memperkecil keupayaan Pasukan Zamrud II.

6. Nilai kegigihan
Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas gigih berlatih sehingga menjuarai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.

Pengajaran1. Kita hendaklah berani berjuang untuk mencapai matlamat
Contoh: Anas membahayakan dirinya untuk memastikan Pasukan Zamrud II menjuarai
Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.
2. Kita perlulah mengetepikan kepentingan diri sekiranya ingin mencapai kejayaan dalam pasukan
Contoh: Cikgu Nisah menasihati Pauline supaya mengubah sikapnya yang cemburu terhadap Anjali.
3. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai matlamat
Contoh: Ahli kumpulan Pasukan Zamrud II gigih berlatih sehingga menjuarai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.

4. Kita haruslah sanggup berjuang untuk mempertahankan agama
Contoh: Anas sanggup menentang Pasukan Zion dari Rusia yang mahu membunuh Nabi Muhammad semasa peringkat akhir pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh dengan dibantu oleh ahli Pasukan.

5. Kita tidak harus mengkhianati kepercayaan orang terhadap kita
Contoh: Anjali mensabotaj Pasukan Zamrud II sehingga pasukan itu hampir-hampir tewas dalam pertandingan Avatari.

6. Kita mesti bekerjasama dan mengamalkan semangat berpasukan untuk menjamin
kejayaan sesuatu pasukan dalam pertandingan
Contoh: Semua ahli Pasukan Zamrud II mempunyai semangat berpasukan yang tinggi sehingga berjaya menjuarai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh.

28 February 2011

Karangan Cemerlang SPM - ISU TABIAT MEROKOK

Dalam menongkah era dunia tanpa sempadan, pelbagai masalah timbul selaras dengan kemajuan Malaysia di persada global. Masyarakat masih disogokkan dengan gejala merokok yang membimbangkan. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2000 dalam Modul Berhenti Merokok (2001) membuktikan 20 peratus perokok di Malaysia terdiri daripada golongan remaja dan statistik ini meningkat setiap tahun. Dianggarkan 50 hingga 60 orang remaja di Malaysia memulakan tabiat merokok setiap hari. Siapakah yang perlu dipersalahkan apabila generasi pewaris kepimpinan negara terlibat dengan gejala merokok? Tidak sedarkah para remaja bahawa merokok ibarat perjalanan bahaya menempah maut? Sesungguhnya, gejala merokok yang kian kronik perlu diberi perhatian serius oleh segenap lapisan masyarakat agar rakyat Malaysia kekal sihat dan berupaya menyumbangkan tenaga ke arah kecemerlangan negara.

Hari Tanpa Tembakau merupakan inisiatif proaktif Pertubuhan Kesihatan Sedunia secara global, bertujuan mengingatkan masyarakat tentang wabak tembakau yang meracuni gaya hidup masyarakat sedunia serta membunuh empat juta penduduk dunia setiap tahun. Angka ini dijangka meningkat kepada 10 juta orang pada tahun 2030. Statistik daripada Sufean (2004) menunjukkan 49 peratus lelaki dewasa di Malaysia, merokok, dan jumlah ini melebihi peratusan perokok di negara maju, iaitu 38% di Britain, 35% di Amerika Syarikat dan 30% di Sweden. Setiap hari, antara 14,000 hingga 15,000 remaja mula menjadi penagih tembakau di negara maju. Di negara-negara membangun dan di negara mundur, perokok remaja meningkat antara 68,000 hingga 84,000 orang. Tegasnya, masyarakat perlu sedar akan bahaya merokok agar tidak menjerumuskan diri sendiri ke lembah maut.


Sebatang rokok yang dinyalakan oleh perokok mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang boleh membawa maut. Bahan kimia dalam asap rokok termasuklah ammonia (pencuci lantai dan tandas), arsenik (racun tikus), aseton (peluntur warna kuku), asid asetik (cuka), asid stearik (lilin), butana (cecair pemetik api), DDT (racun serangga), etanol (alkohol), heksamin (pencucuh barbeku), hidrogen sianida (gas beracun yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati), karbon monoksida (asap kenderaan bermotor), metana (gas paya), metanol (minyak roket), naftalena (ubat gegat dan kapur barus), nikotin (dadah yang menagihkan), tar, toluena (pelarut industri) dan vinil klorida (bahan untuk membuat PVC). Sekiranya perokok benar-benar menyayangi dirinya, mengapakah dia sanggup membinasakan dirinya sendiri dengan merokok? Hargailah kesihatan dan nyawa, kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.


Racun paling berbahaya dalam sebatang rokok ialah tar, karbon monoksida dan nikotin. Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia penyebab kanser. Kajian perubatan mengesahkan "benzopyrene" iaitu sejenis "polycyclic aromatic hydrocarbon" merupakan agen yang memulakan proses kejadian kanser. Justeru, tidak hairanlah, statistik di Malaysia membuktikan merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kes kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan oleh 10 jenis kanser, iaitu kanser paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. 50 peratus kematian pula berpunca daripada sakit jantung dan strok. Setiap tahun, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat kanser, sakit jantung dan penyakit sekatan pulmonari kronik. Hampir satu per empat mangsa pesakit jantung berpunca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan penyebab utama kematian perokok, manakala strok merupakan pembunuh keempat. Lebih menyedihkan, negara kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan penyakit akibat gejala merokok. "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna."

Karbon monoksida di dalam rokok pula, merupakan gas beracun yang dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas tersebut menjejaskan bekalan oksigen ke tisu-tisu sehingga tisu-tisu terencat dan akhirnya mengakibatkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok memasuki tubuh manusia, racun berkenaan menyebabkan kerosakan pada setiap organ di sepanjang laluannya, bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, sehingga menyebabkan bronkitis di bahagian paru-paru. Racun rokok turut merosakkan pundi udara dalam paru-paru dan menyebabkan penyakit emfisima.


Selain mendatangkan implikasi kronik terhadap diri perokok, asap rokok yang dihembus oleh perokok, atau asap rokok basi (istilah saintifiknya, merokok secara pasif) turut menjejaskan kesihatan orang di sekelilingnya. Profesor Dato' Dzulkifli Abd. Razak, mantan naib canselor Universiti Sains Malaysia dalam rencananya, "Asap Rokok Basi: Dedahkan Faktanya" menjelaskan, asap rokok basi mengandungi lebih banyak bahan beracun seperti nikotin, formaldehid dan benzene, berbanding asap rokok yang disedut oleh perokok. Asap ini lebih berbahaya kerana asap berkenaan terapung di udara beberapa ketika.


Asap rokok yang dihidu akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, serta menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas. Racun dalam asap rokok yang larut air, akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin bukan sahaja mendatangkan ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Nikotin turut merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ-organ yang berkaitan. Kesan ini, dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, kebas pada jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki dan serangan penyakit jantung. Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan menerusi air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing. Tegasnya, sudah terang lagikan bersuluh, perbuatan merokok membawa beratus-ratus masalah kesihatan yang tiada noktah penghujung.


Tuntasnya, semua pihak perlu bekerjasama "bagai aur dengan tebing" memperkasakan usaha untuk menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan merokok akan mendatangkan implikasi negatif kepada diri sendiri, masyarakat sekeliling dan juga negara. Ibu bapa wajar menjadi teladan terbaik bagi anak-anak dan menasihati anak-anak agar menghindari tabiat merokok. Kementerian Kesihatan, pihak sekolah dan pihak media massa juga perlu memainkan peranan signifikan untuk memastikan bilangan perokok dapat dikurangkan, bak kata peribahasa, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Aktiviti bersempena Kempen Antimerokok wajar diteruskan dengan berkesan agar maklumat tentang bahaya merokok berupaya menginsafkan masyarakat. "Rokok Tiada, Kehidupan Bahagia." Bersama-samalah kita berpadu tenaga mewujudkan suasana Satu Malaysia yang lebih sihat dan ceria, bebas daripada kepulan asap rokok yang menjerumuskan kita ke lembah maut. "Kesihatan Cemerlang, Masyarakat Gemilang, Negara Terbilang."

20 February 2011

Karangan SPM 2011 "DISIPLIN ASAS KEJAYAAN"

Disiplin Asas Kejayaan
oleh: Lim Siew Feng
Pada era globalisasi ini , pencapaian yang cemerlang dan seimbang dalam bidang akademik serta kokurikulum oleh anak anak merupakan harapan ibu bapa sebagai langkah untuk menjamin masa depan anak-anak yang cerah . Hal ini menyebabkan ramai anak yang mengalami tekanan kerana ingin memuaskan kehendak ibu bapa mereka .Oleh itu , remaja yang terlibat dalam masalah disiplin ibarat cendawan tumbuh selepas hujan .Hal ini menyebabkan remaja mencari jalan untuk menghilangkan stress. Contohnya, membuli , merokok dan berlumba haram. Akhirnya , masalah disiplin pelajar menjadi lebih serius dan mereka terjebak ke dalam kancah kebinasaan .Oleh itu , pelajar harus belajar untuk menjadi disiplin kerana disiplin asas kejayaan .

Sebagaimana yang kita tahu, seseorang yang mempunyai disiplin diri dapat membina jati diri .Remaja sekarang mempunyai jati diri yang lemah .Hal ini disebabkan oleh pengaruh media massa dan pengaruh kawan yang kuat. Kesannya , remaja tidak berminat dalam pelajaran kerana terlalu berminat dalam pelajaran dan menumpukkan perhatian dan masa kepada media massa atau kawan . Sekolah harus mengadakan kelas intensif untuk membantu pelajar yang lemah dan membaiki kelemahan pelajar. Dengan itu , pencapaian akademik pelajar akan meningkat . Apabila pemikiran pelajar menjadi matang , jati diri pelajar akan turut meningkat .

Selain itu , sikap disiplin dalam seseorang dapat meningkatkan kesedaran remaja dalam pelbagai perkara .Remaja kini tidak menyedari kepentingan akademik dan suka hidup dalam mimpi .Mereka suka melepak ,merokok dan hidup dalam alam fantasi mereka .Akhirnya , mereka lupa daratan dan hilang arah tuju.Oleh itu, para guru disiplin sekolah harus sentiasa tegas dalam mengatasi masalah disiplin pelajar dan menguatkuasakan peraturan sekolah sebelum nasi menjadi bubur. Sebuah sekolah yang berada dalam keadaan yang erkawal akan dapat melahirkan tempat yang kondusif kepada pelajar-pelajar .

Seterusnya , disiplin yang ada pada seseorang remaja dapat menetapkan masa depan seorang remaja .Remaja alaf baharu ini mudah hilang arah tujuan kerna mereka tiada motivasi diri .Contohnya , mereka tidak membuat jadual belajar dan mereka malas untuk berusaha . Oleh itu , guru sekolah harus mendidik murid untuk menjadi disiplin .Dengan teknik pembelajaran yang disiplin . remaja dapat mengetahui perkara yang sedang dibuatnya dengan jelas dan tahu mencari cara untuk memajukan diri mereka .Dengan itu , remaja akan menghargai masa dan mereka akan sentiasa melakukan aktiviti yang berfaedah .

Sementara itu, sikap disiplin yang ada pada seseorang dapat meningkatkan imej diri .Pada masa ini , masalah remaja seperti berpakaian selekeh dan berambut panjang sudah menjadi perkara yang umum . Budaya Punk dan Barat dipraktikkan dalam kehidupan mereka.Contohnya , mereka mewarnakan rambut dan berseluar ketat . Pepatah Melayu pernah mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungya ,ibu bapa harus menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan menjadi suri telada kepada anak sejak kecil kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.Sebagaimana yang kita tahu , anak-anak yang dididik dengan baik dari rumah sentiasa mempunyai sikap disiplin dan perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka tidak menconteng arang di muka ibu bapa.

Di samping itu , disiplin merupakan kunci kejayaan diri . Anak muda pada masa kini antikokurikulum dan antipeperiksaan kerana mereka tidak dapat mencari keseronokan yang mereka kira seronok . Misalnya , mereka ponteng sekolah semasa dikehendaki untuk menghadiri aktiviti kokurikulum dan hanya hadir pada hari peperiksaan sahaja. Pengetua sekolah haruslah memberikan nasihat dan teguran untuk menyedarkan remaja bahawa pentingnya kokurikulum dan akademik dalam dunia ini . Pengetua juga harus member kata-kata yang dapat memotivasikan pelajar supaya pelajar lebih yakin akan diri sendiri . Pelajar haruslah menunjukkan muhasabah disiplin diri yang tinggi dan harus memperbaik sikap yang buruk kerana buang yang keruh , ambil yang jernih .


Tuntasnya , masalah disiplin pelajar dapat dikawal tetapi memerlukan usaha yang pragmatik dan kerjasama bagai aur dengan tebing oleh semua pihak . Pepatah Melayu sentiasa berbunyi ‘pemuda harapan bangsa , pemudi tiang negara , remaja harus diasuh untuk menjadi pemimpim negara yang berketerampilan dan berwibawa .Kesimpulannya ,sikap disiplin merupakan penentu kejayaan untuk memastikan masa depan negara cerah dan sejahtera . Saya yakin bahawa remaja ialah aset negara dan mereka akan menerajui dan mendukung cita-cita negara pada masa depan dengan sikap disiplin yang utuh dalam diri mereka .

18 February 2011

Karangan bergambar PMR

TINGKATAN 2
KARANGAN BERGAMBAR 9

Kitar semula merupakan satu kempen yang dijalankan setiap tahun. Kempen ini banyak memberikan faedah kepada kita.

Amalan mengitar semula dapat mengurangkan pencemaran. Hal ini dikatakan demikian kerana kita dapat menggunakan semula sampah. Dengan ini,tahap kesihatan rakyat dapat dijamin.
Selain itu, amalan ini dapat melindungi hutan. Hal ini dikatakan demikian kerana kepupusan hutan sering dikaitkan dengan keengganan penduduk bumi mengamalkan konsep mengitar semula. Oleh sebab itu, kita haruslah menghargai alam semula jadi.

Di samping itu, amalan ini turut dapat mengurangkan kawasan pelupusan sampah. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak sampah yang telah diguna semula untuk menghasilkan barangan yang baharu. Oleh sebab itu, kita turut dapat mengurangkan sumber alam dan menjimatkan tenaga.

Kesimpulannya, amalan ini mesti disuburkan dalam sanubari kita. Janganlah kita menyesal selepas bumi musnah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

27 January 2011

KEPUTUSAN RASMI MENTERI PELAJARAN BERKAITAN DENGAN NOVEL INTERLOK

Interlok diteruskan dengan pindaan: Muhyiddin
Berita Harian Online , pada 2011/01/27

KUALA LUMPUR: Novel Interlok akan diteruskan sebagai teks komponen sastera (KOMSAS) bagi pelajar tingkatan lima tetapi dengan pindaan di bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan yang sesuai dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, panel itu akan dianggotai oleh pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta wakil masyarakat India. "Saya menjangkakan pindaan ini akan dapat dibuat dalam masa yang terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden MIC, Datuk G Palanivel dipetik berkata, isu perkataan pariah digugur dalam Interlok perlu ditutup.

Memandangkan ia bukan isu politik, ia bagaimanapun, suatu yang sensitif kepada kaum India di negara ini, Palavivel berkata, parti itu tidak akan berganjak supaya perkataan itu digugurkan daripada novel itu.

Muhyiddin berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Palanivel dan Timbalannya, Datuk Dr S Subramaniam semalam mengenai isu novel berkenaan.
"Pagi ini, saya, Palanivel dan Subramaniam sudah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri untuk mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan isu ini.

"Dalam semangat muafakat Barisan Nasional (BN), kita sudah bersetuju bahawa novel Interlok akan terus digunakan sebagai teks KOMSAS bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid tingkatan lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sementara pindaan itu disiapkan, Kementerian Pelajaran akan mengarahkan guru-guru untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dengan menggunakan silibus yang sedia ada untuk tidak menjejaskan pembelajaran murid.

Katanya, novel Interlok hanya akan digunakan selepas pindaan disiapkan dan diedar ke sekolah-sekolah.

"Saya percaya kita mempunyai masa yang cukup untuk membuat pindaan secara teliti supaya tidak timbul lagi sebarang pertikaian mengenai novel Interlok selepas ini.

"Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini diambil dengan mengambilkira pandangan semua pihak bahawa novel Interlok adalah sebuah karya yang amat baik demi memupuk dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

"Oleh itu, keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian yang terbaik.

"Pada masa yang sama, kita akan memastikan sebarang pindaan yang dibuat pada novel ini tidak akan menjejaskan jalan cerita dan juga mesej murni yang ingin disampaikan oleh Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain melalui karyanya," katanya.

26 January 2011

Polemik Novel Interlok - Murid-muridku menjadi mangsa!

Sejak Polemik novel Interlok hangat diperbualkan oleh ahli akademik, ahli politik mahupun Menteri Pelajaran, saya berpendapat bahawa isu ini sepatutnya sudah mempunyai jalan penyelesaiannya. Pada pendapat saya, keputusan kerajaan tidak harus bertangguh lagi. Secara peribadi, pembacaan novel ini sebenarnya harus diteruskan oleh pihak sekolah. Novel Interlok masih perlu dikaji oleh pelajar sebagai persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan. Hal ini dikatakan demikian kerana setakat ini, belum ada surat pekeliling dari Kementerian Pelajaran yang mengumumkan bahawa pembacaan novel ini perlu dihentikan. Selain itu, belum ada surat kenyataan rasmi mahupun surat pekeliling daripada Kementerian Pelajaran untuk pihak sekolah mengumpulkan buku teks ini daripada murid-murid semula.
Walau bagaimanapun, saya berasa terkilan akan sikap banyak guru sekolah yang bertindak untuk menganaktirikan kajian novel ini dan belum lagi memulakan pembentangan, penganalisian novel, dan latihan perbandingan dengan novel Papa. Adakah kerana guru-guru tersebut berpendapat bahawa usaha mereka hanyalah mencurahkan air ke pasir sekiranya kerajaan berkeputusan untuk menarik balik novel ini. Sebagai guru, saya berpendapat bahawa saat-saat inilah para guru subjek Bahasa Malaysia haruslah mula menggalakkan para pelajar menjadikannya sebagai sumber bacaan. Hal ini dikatakan demikian kerana persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun perlu dilakukan sejak awal lagi.
Di samping itu, saya berpendapat bahawa sekiranya adanya unsur perkauman dalam novel ini, kita haruslah melihatnya dari sudut positif. Karya sasterawan negara yang pernah meraih penghargaan dunia penulisan ini tidak harus dieksploitasi untuk tujuan berpolitik. Propaganda politik ini cuma akan mengeruhkan keadaan kerana murid-murid yang belum pernah membaca novel ini sehingga akhir plot sudah pun dikatakan mula menjadikannya sebagai topik perbualan hangat di kantin dan di kawasan sekolah. Perkembangan ini jelas satu anjakan paradigma kepada dunia kesusasteraan kerana keprihatinan pembaca terhadap suatu hasil tulisan sasterawan ulung negara. Pembaca mula mengenali wajah Datuk Abdullah Hussain, berusia 91 tahun dan hasilnya dicabar oleh pihak-pihak yang mungkin belum pernah mengkajinya.
Novel yang bertemakan perpaduan ini bakal menjadi sejarah kepada dunia kesusasteraan. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat umum seperti penjual surat khabar, pembaca akhbar, penulis mahupun peniaga kedai buku turut mula mendampingi dunia kesusasteraan dengan membaca novel Interlok. Tepuk dada, tanya selera. Adakah novel ini akan lenyap dalam ingatan kita sekiranya ditarik balik sebagai buku teks komsas pelajar? Hal ini ternyata tidak kerana sebelum ini, sudah berpuluh-puluh ribu mahupun beratus-ratus ribu buah novel edisi lama sudah pun dibaca oleh umum, termasuk peminat sastera, penulis sastera. Adakah fenomena penarikan novel ini membuktikan bahawa buku sastera karya tempatan sahaja akan dikaji semula penggunaannya sekiranya dianggap tidak sesuai hanya kerana beberapa patah perkataan yang masih dianggap "sensitif" dalam dunia moden ini? Saya yakin, novel ini akan terus berkubur dalam khazanah ilmu para sasterawan dan peminat novel dan pembaca hasil sastera kerana unsur keindahan bahasa dan unsur estetika yang terkandung dalam novel ini.
Para murid mengkaji tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot, teknik plot, gaya bahasa, latar masa, latar tempat, latar masyarakat, dan nilai murni serta pengajaran yang dibawa oleh jalan cerita novel ini. Adakah hal ini bermakna murid-murid akan bergaduh di sekolah kerana perkataan "PARIA"? Adakah murid-murid akan berkonflik dengan perkataan "BODOH"? Sekiranya para akademik mengkaji novel ini secara dalam-dalam, saya yakin anda akan membaca isi hati Datuk Abdullah Hussain yang sebenar. Semangat patriotik dan semangat bersatu padu yang diutarakan dalam novel ini bagaikan jantung kepada tema cerita. Usahlah membuang masa untuk membiarkan novel ini terus dipinggirkan oleh calon SPM 2011.
Saya yakin novel ini amat sesuai untuk rakyat Malaysia.
Cikgu Tan

16 January 2011

Novel "Interlok" tidak rendahkan martabat sesiapa

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Majlis Belia Malaysia (MBM) merumuskan bahawa novel Interlok hasil karya sasterawan Abdullah Hussein tidak mempunyai motif untuk menghina atau merendahkan martabat mana-mana individu atau kumpulan kaum dalam negara.

Perbincangan meja bulat MBM dari Perspektif Belia Malaysia mengenai novel berkenaan hari ini turut merumuskan bahawa ia merupakan satu karya yang jujur serta sarat dengan pengajaran untuk menjadikan pembaca lebih kritis dan menerima peristiwa-peristiwa sejarah yang mengiringi proses pembentukan negara.

Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee semasa menyampaikan resolusi meja bulat itu kepada pemberita di sini, turut merumuskan bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan penggunaan novel ini perlu diberi perhatian serius agar tidak terjadi sebarang kekeliruan tafsiran sehingga boleh menyinggung mana-mana pihak.

Panel meja bulat itu terdiri daripada pakar sastera Dr. Fatimah Busu, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ambigapathy Pandian dan Presiden Persatuan Penulis Malaysia (Pena), Mohamad Saleeh Rahamad, dengan Mohamed Maliki bertindak sebagai pengerusinya.

Perbincangan meja bulat itu turut menyelar tindakan individu serta pemimpin politik yang dilihat semakin berani memainkan isu perkauman dan agama demi meraih sokongan serta pengaruh daripada rakyat.

Dr. Ambigapathy ketika ditemui pemberita pula berkata teks Interlok yang diajar dalam subjek Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas) untuk pelajar tingkatan lima perlu diajar oleh guru-guru yang berpengalaman serta memahami maksud sebenar konteks teks itu secara keseluruhannya.

"Sebagai seorang ahli akademik, saya berpendapat teks itu sangat bagus, tetapi bagaimana cara ia diintrepretasikan di dalam kelas adalah penting supaya maksud sebenar sampai dan ia tidak disalah erti oleh para pelajar,” katanya. - Bernama

KOMSAS BAHARU - DIRGAHAYU BAHASAKU DAN HARGA REMAJA

Banyak e-mel yang saya terima untuk meminta saya memuat naik nota eksklusif dan latihan untuk kedua-dua antologi tersebut. Walau bagaimanapun, saya berpendapat bahawa usaha saya dan kerja keras saya akan diambil oleh pihak-pihak tertentu untuk pengajaran mereka tanpa kebenaran saya. Saya masih berasa serba salah dalam hal ini. Saya meminta para pelawat blog berikan komen sama ada saya WAJAR memuat naik latihan untuk antologi ANAK REMAJA dan DIRGAHAYU BAHASAKU untuk kegunaan bersama penduduk 1Malaysia?
Keputusan akan saya umumkan pada 20 Januari 2010.

Sila komen: WAJAR atau TIDAK WAJAR.

Terima Kasih.

23 November 2010

SELAMAT MENDUDUKI SPM 2010

Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM tahun 2010, terutamanya pelajar-pelajar yang saya sayangi dan pengunjung blog. Semoga anda memperoleh keyakinan diri yang tinggi untuk menduduki peperiksaan kali ini.

CIKGU TAN

15 September 2010

Bahasa Melayu bukan penghalang kemajuan di Malaysia

BESUT 15 Sept — Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan tidak menghalang kemajuan, malah penggunaannya sebagai bahasa ilmu lebih 30 tahun lalu membawa banyak kejayaan kepada negara, kata Penyandang Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Professor Emeritus Awang Sariyan.

“Tidak mustahil dengan ilmu yang diperoleh daripada sumber bahasa Melayu, Malaysia satu hari nanti akan mampu mengatasi negara-negara lain termasuk Singapura dalam beberapa hal termasuk ekonomi,” katanya menerusi kiriman e-mel kepada Bernama hari ini.

Beliau mengulas kritikan mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam temu bual di New York Times baru-baru ini, kononnya bahasa Melayu sebagai bahasa sekolah, tidak dapat membantu dalam memperoleh pengetahuan moden. — Bernama

9 September 2010

Salam Syawal dan AidilFitri

Kepada semua guru, kawan, bekas pelajar, pelajar, dan pengunjung blog, salam aidilfitri saya ucapkan. Semoga perayaan bulan Syawal ini disambut dengan penuh nikmat dan hikmah. Salam Aidilfitri 1Malaysia.

PANTUN RAYA 1MALAYSIA
Penat sungguh membuat sekaya,
Tepung pelita tolong hidangkan;
Merdu sungguh takbir raya,
Marilah kita ke rumah Tuhan.

Pasang pelita belakang almari,
Janganlah lupa memasang tangkalnya,
Sambil kita memuji Ilahi,
Panjatkan doa pada yang tiada.

Makan akak bersama toyol,
Buah pala di panah petir,
Bila memasak kuih dan dodol,
Jangan pula kita membazir,

Kuih raya banyak jenisnya,
Silap cekau perut merana,
Jangan hanya bersalam saja,
Duit dan angpau turutlah serta.

Budak-budak main mercun,
Jangan sampai terbakar tangan,
Di Aidilfitri kita berhimpun,
Hulurkan tangan meminta ampun.

Anak zirafah dimakan buaya,
Buaya Tain makan kelapa,
Bila makan juadah raya,
Yang miskin jangan dilupa.

Ayam togel masak lemang,
Itik serati masak ketupat,
Hari raya hampir menjelang,
Kunjung-mengunjung menjadi adat.

Air cuka tumpah dianjung,
Anak sembilang buat hiasan,
Rumah terbuka mari berkunjung,
Makanan terhidang tolong habiskan.

Buah kedudu dibuat tepung,
Untuk berjimat di hari raya,
Bila memandu pulang ke kampung,
Sentiasa berhemat di jalan raya.

Sudah tiba Hari Raya,
Setelah kita sebulan berpuasa,
Hari Raya di sambut gembira,
Jangan pula ada yang berduka.

Pagi raya semua gembira,
Berjalan bersama rakan dan taulan,
Ketika enak menjamu selera,
Orang yang tiada jangan dilupakan.

Makan roti cecah kelapa,
Kelapa dibeli dari buana,
Resah di hati gundah gulana,
Duit raya saya bagaimana?

Anak gorila gagah perkasa,
Amat terkenal di Kampung Sentosa,
Maaf andai terkasar bahasa,
Saya ucapkan Selamat Hari Raya.

Salam 1Malaysia,
CIKGU TAN

17 August 2010

Peranan ibu bapa mengatasi masalah makanan segera dalam kalangan anak







HASIL PELAJAR SMK USJ12,
TAN SUE MAY



Karangan - Usaha Memupuk Perpaduan Rakyat

USAHA-USAHA MEMPERKUKUH PERPADUAN KAUM RAKYAT MALAYSIA

Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain , namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memegang pada kekuatan jata negara, yakni Bersekutu Bertambah Mutu”untuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum di Malaysia seyogianya menjadi kebanggaan Negara kita.


Sebenarnya, kita bolehlah mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah menegaskan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; perpaduan merupakan kekuatan negara. Oleh sebab itu, saya percaya bahawa jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati pembangunan nusa tercinta ini bersama-sama.


Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakan-rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kebudayaan antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman dan membina masyarakat yang saling menghormati. Amalan rumah terbuka juga boleh dipraktikkan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia dengan amalan saling memaafkan sesama insan. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata mampu menjalinhubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.


Seterusnya, pihak kerajaan sentiasa membuat anjakan paradigma demi memperkuat jalinan kemesraan rakyat dengan mengadakan banyak aktiviti pada peringkat taman-taman perumahan. Dengan langkah bestari itu, kita dapat memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia. Misalnya, sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan penduduk tempatan. Selain dapat mendengar rintihan hati rakyat, pemimpin turut dapat menjadi suri teladan sebagai agen perpaduan. Saya yakin, orang ramai yang berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara kaum.

Di samping itu, kita juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaa . Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan pemuda-pemuda yang tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara kaum yang berlainan. Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalin ini sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh pada Rukun Negara. Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia dalam sanubari anak-anak sejak bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua kekangan untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil.

Tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih lancar bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Ingatlah wahai rakyatku bahawa semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata.
Hasil karangan murid
Tai Wen Liang, SMK USJ12

10 August 2010

Tajuk KOMSAS 2011 untuk Pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 5

Mulai tahun 2011, semua pelajar tingkatan 2 dan 5 akan meneruskan penggunaan teks antologi dan novel terbaharu bagi kumpulan pertama teks Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat menengah rendah (PMR) dan menengah atas (SPM). Sepanjang tahun 2010, mereka telah pun menggunakan teks antologi Kesusasteraan Melayu dan novel terbaharu semasa di tingkatan 1 dan 4.

Pelajar di tingkatan 1 sebelum ini menggunakan antologi Kasut Kelopak Jantung di samping novel yang ditetapkan mengikut zon masing-masing. Pada tahun 2011, mereka akan menggunakan antologi baharu berjudul Gema Sepi Gadis Genius. Bagi zon Melaka, Pahang, Terengganu, dan Kelantan, pelajar-pelajar tingkatan 2 akan menggunakan novel berjudul Lestari Bukit Menghijau, karya Syed Mahdzir, terbitan Star Trading Sdn. Bhd.

Sementara itu, bagi pelajar tingkatan 5 tahun 2011 pula, mereka akan menggunakan teks antologi baharu berjudul Dirgahayu Bahasaku selain Harga Remaja yang digunakan semasa di tingkatan 4. Bagi zon Melaka, Pahang, Terengganu, dan Kelantan, pelajar-pelajar tingkatan 5 akan menggunakan novel berjudul Sutera Dalam Lukisan, karya Abd. Talib Hassan, terbitan ABM SMAZ Creative.
Terima Kasih kepada http://munsyibm.blogspot.com/ atas maklumat berguna ini.

7 August 2010

Bina Ayat SPM (Soalan 3a)

Apabila anda membina ayat, pastikan anda menggunakan formula:

a) Bila + Siapa + buat apa
b) Siapa + buat apa + di mana
c) Siapa + buat apa + kenapa

Contoh:
1. Prasyarat
ayat: Kakak berjaya memasuki pertandingan itu kerana lulus prasyarat yang ditetapkan oleh penganjur pertandingan.

2. Propaganda
ayat: Pendedahan akuan palsu yang dilakukan oleh pemimpin negara itu merupakan propaganda politik yang mungkin akan menarik perhatian media massa.

3. Pascamerdeka
ayat: Pada zaman pascamerdeka, anak-anak bangsa harus mengisi kemerdekaan dengan mempertahankan kemerdekaan negara daripada dijajah semula oleh anasir luar.

4. Dwibahasa
ayat: Ayah menggunakan kamus dwibahasa untuk mencari makna perkataan yang tidak difahaminya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

5. Anti-Israel
ayat: Satu perarakan anti-Israel telah diadakan di Dataran Merdeka oleh penuntut-penuntut universiti kerana mereka mengetahui kekejaman Israel terhadap keamanan dunia.

6. Antirasuah
ayat: Kerajaan Malaysia menjalankan kempen antirasuah untuk menghapuskan gejala ini sehingga akar umbi.

7. Interaksi
ayat: Pakar psikologi perpendapat bahawa kekurangan interaksi antara anak dengan ibu bapa akan menyebabkan jiwa anak kosong.

8. Insentif
ayat: Pihak sekolah akan memberi wang insentif sebanyak RM100 kepada pelajar yang mewakili sekolah dalam acara sukan.

9. Integrasi
ayat: Pihak kerajaan melancarkan kempen 1Malaysia untuk memupuk integrasi kaum dan membina perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

10. Intensif
ayat: Pihak sekolah akan menjalankan kelas intensif untuk pelajar yang lemah dalam subjek Sains dan Matematik.

11. Inisiatif
ayat: Kerajaan berharap agar pihak sekolah akan mengambil inisiatif untuk memastikan kebersihan persekitaran sekolah supaya murid-murid tidak diserang wabak demam denggi.

12. tentatif
ayat: Buat sementara waktu, beberapa langkah tentatif diambil untuk memasukkan sains sepenuhnya ke dalam skop sosiologi ilmu pengetahuan.

13. senget
ayat: Ayah mengetawakan adik yang memakai seluarnya senget sebelah.

14. sengit
ayat: Pengumuman semua calon SPM yang mendapat keputusan 9A+ dijanjikan biasiswa JPA akan menimbulkan persaingan yang sengit antara calon SPM.

4 August 2010

SOALAN KARANGAN RAMALAN PMR 2010 (1)

Tajuk :
Warga tua sering tidak diendahkan oleh golongan remaja. Huraikan cara yang terbaik untuk mendidik remaja agar menyayangi warga

Pendahuluan
- Warga tua merupakan sebahagian daripada masyarakat dan
tidak harus diabaikan atau dilupakan.
- Warga tua merupakan golongan yang pernah berjaya kepada
keluarga dan negara.
- Namun begitu tidak semua warga tua bernasib baik dan
mengalami pelbagai masalah seperti uzur, nyanyuk dan
penyakit yang berbahaya.

Isi 1
- Ibu bapa harus memainkan peranan penting mendidik anak-anak
- Ibu bapa perlu menitikberatkan sikap kasih sayang terhadap
orang tua kepada anak-anak mereka.
- Secara tidak langsung, anak-anak akan menghormati dan
menyayangi warga tua.

Isi 2
- Budaya kunjung-mengunjung keluarga perlu diamalkan bukan
sahaja pada hari raya.
- Dapat mempereratkan hubungan antara remaja dan warga tua.
- Warga tua akan berasa terhibur apabila anak dan cucu mereka
pulang menziarahi mereka.
- Remaja akan sedar kepayahan serta kesunyian warga tua.

Isi 3
- Mengada dan memperbanyak kempen untuk menyedarkan
generasi muda tentang pentingnya menghargai warga tua.
- Adakan kempen melalui Hari Ibu dan Hari Bapa, generasi muda
akan membawa ibu bapa mereka berjalan dan sebagainya.
- Melalui kempen ini akan timbul perasaan simpati, kasih sayang
dan hormat golongan tua.

Isi 4
- Tanamkan sikap kasih sayang dan hormat-menghormati dalam
jiwa generasi muda.
- Mereka tidak seharusnya melawan cakap orang tua sebaliknya
mendengar rungutan warga tua.
- Dengan adanya sikap begini, mereka dapat mengasihi dan
menjaga keperluan warga tua dengan baik.

Isi 5
- Pihak sekolah perlu mengadakan Hari Keluarga.
- Hubungan antara murid dengan ibu bapa dan guru dapat dieratkan.
- Melalui cara ini juga para murid dapat belajar bagaimana untuk
memenangi dan menghormati warga tua.
- Secara tidak langsung, mereka akn mengamalkan sikap begini
walaupun mereka sudah deawsa.

Isi 6
- Peranan pihak media massa cetak dan elektronik mendidik
remaja.
- Banyakkan cerita-cerita berunsurkan masyarakat penyayang.
- Contoh Majalah Wanita, Televisyen dan radio.
- Menyedarkan remaja akan pentingnya menghormati warga tua.
- Beri pengajaran agar mereka tidak mengabaikan warga tua jika
tidak mahu diabaikan apabila tua nanti.

Penutup
- Warga tua perlu diberikan penghormatan yang sewajarnya.
- Kita tidak seharusnya melupakan jasa mereka kepada keluarga
dan negara.
- Kita perlu sedar bahawa suatu masa nanti kita juga akan
menjadi tua seperti mereka.
- Adalah kita mahu dilakukan sedemikian rupa? Jawapannya
tepuk dada tanyalah selera.

27 June 2010

KERTAS PEPERIKSAAN SPM ULANGAN 2010 KERTAS BAHASA MELAYU


Berikut ialah pautan untuk memuat turun kertas peperiksaan SPM(U) yang baru di dijalankan.


klik pada gambar untuk memuat turun kertas soalan

klik pada gambar untuk memuat turun kertas soalan



Terima Kasih Cikgu Razak atas usaha anda.

9 May 2010

Syurga Terletak di Tapak Kaki Ibu




Detik demi detik terus berlalu tanpa menanti sesiapa. Sehari demi sehari umur kita pun akan meningkat bersama peredaran masa. Kita semua dilahirkan di dunia ini melalui insan yang bernama ibu. Begitu besar peranan dan jasa insan yang bernama ibu kita. Oleh itu renungkanlah sejenak apakah yang telah kita lakukan untuk membalas segala budi ibu ini. Sekurang-kurangnya ucapkanlah Selamat Hari Ibu kepada ibu masing-masing yang dapat berjumpa atau sekurang-kurangnya telefonlah ibu bagi mereka yang tinggal berjauhan.

Bersempena dengan hari ibu 9 Mei 2010. Berikut, dipaparkan beberapa koleksi sajak yang ditujukan kepada ibu. Sajak-sajak ini telah diperoleh daripada internet yang mungkin dapat membantu pelajar yang menulis karangan bertemakan IBU.





Gugurnya Kelopak Itu...

Tunas itu mula bercambah,
Sekian lama tertanam di pelosok gentian,
Menjalar robek sinar mentar,
Walau halangan datang menerpa.

Tunas itu mula berkembang,
Kembangnya sekuntum mawar,
Bagai si puteri bangkit beradu,
Walau saingan menyerang tiba.

Si mawar mula mewangi,
Semerbak harum menusuk kalbu,
Ayuan merah kelopak menawan,
Lambaian hijau daunan menenang.

Lembut tubuh bersalut duri,
Membangkit cemburu iri sang flora,
Menzahir gerun takut sang fauna,
Hanya si kumbang gagah tiada gentar.

Ibu dikaulah mawar itu,
Yang kupujai tiap waktu,
Yang kurindui wajahmu,
Yang kukagumi ketabahanmu.

Cekal hati mendidik daku,
Sabar murni melayan kerenah anakmu,
Tiada kedengaran sepatah keluhan,
Tiada kelihatan setitip kemarahan.

Kini mawar itu kian layu,
Perlahan dimamah arus usia,
Gugur sudah si ayu kelopaknya,
Hilang sudah lambaian daunannya.

Segamit memori ku kenangi,
Setulus kasih ku dambai,
Potret wajahmu ku tatapi,
Sebuah kehilangan yang tiada ganti.

khas buat ibu tersayang..al-fatihah

~tinta lughahwi~






Ingatlah kepada Ibumu

Orang kata aku lahir dari perut ibu..
Bila dahaga, yang susukan aku.. ibu
Bila lapar, yang suapkan aku..ibu
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ibu
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut.. Bu!
Bila bangun tidur, aku cari.. ibu
Bila nangis, orang pertama yang datang ..ibu
Bila nak bermanja… aku dekati ibu
Bila nak bergesel… aku duduk sebelah ibu
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya ibu
Bila nakal, yang memarahi aku… ibu
Bila merajuk… yang memujukku cuma..ibu
Bila melakukan kesalahan… yang paling cepat
marah..ibu
Bila takut… yang tenangkan aku.. ibu
Bila nak peluk… yang aku suka peluk..ibu

Aku selalu teringatkan ..Ibu
Bila sedih, aku mesti talipon… Ibu
Bila seronok… orang pertama aku nak beritahu… Ibu
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila takut, aku selalu panggil.. “ibuuuuuuuuuuuuu! “
Bila sakit, orang paling risau adalah ..Ibu
Bila nak exam, orang palin g sibuk juga Ibu
Bila buat hal, yang marah aku dulu..Ibu
Bila ada masalah, yang paling risau.. Ibu
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. Ibu
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . Ibu
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, Ibu
Yang selalu berleter kat aku.. Ibu
Yang selalu puji aku.. Ibu
Yang selalu nasihat aku.. Ibu
Bila nak kahwin..
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk… Ibu

Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok… aku cari pasanganku
Bila sedih… aku cari Ibu
Bila berjaya… aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal… aku ceritakan pada Ibu
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat Ibuku
Bila nak bercuti… aku bawa pasanganku
Bila sibuk… aku hantar anak ke rumah Ibu
Bila sambut valentine… Aku hadiahi bunga pada
pasanganku
Bila sambut hari ibu… aku cuma dapat ucapkan Selamat
Hari Ibu
Selalu… aku ingat pasanganku
Selalu… Ibu ingat kat aku
Bila..bila… aku akan talipon pasanganku
Entah bila.. aku nak talipon Ibu
Selalu… aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila…. aku nak belikan hadiah untuk Ibuku

Renungkan:

Dulu Ibu kata: “Kalau kamu sudah habis belajar dan
berkerja… bolehkah kamu kirim wang untuk Ibu? Ibu
bukan nak banyak… lima puluh ringgit sebulan pun
cukuplah”.

Berderai air mata. Hari ini kalau Ibu mahu lima ratus
sebulan pun aku mampu. Aku boleh kirimkan. Tapi Ibu
sudah tiada.

ingatlah pengorbanan ibuuuuu….





Ibuku

Ibu
Setiap deras degupan jantungku
Engkau mampu merasanya
Ketika aku:
Sedih
Gembira
Gelisah
Naluri ibumu
Bagaikan sebati dalam diriku

Ketika aku sedih
Kaulah ubat kepada duka laraku
Menceriakan dan menghakis
Perasaan yang melunturkan
Semangatku

Ketika aku gembira
Engkau juga turut berkongsi
Kegembiraan yang menyinari saat
Aku hidup di muka bumi ini
Sebagai manusia

Pabila gelisah menyelubungi jiwaku
Engkau masih bersamaku
Menolong menyelesaikan
Masalah yang tak sudah-sudah mengusutkan
Perjalanan hidupku

Ibu
Selagi hayat dikandung badan
Aku akan sentiasa mendampingimu
Membelai dan menjagamu hingga ke hari tua

Ibu
Aku tahu kasih sayang yang kucurahkan kepadamu
Tak setanding kasih sayang ibu kepada anaknya
Namun, terimalah keikhklasanku
Untuk menyayangi
Insan yang mulia ini

~Muhammad Syafiq~


Sajak untuk Ibu

Siapalah daku tanpa dirimu
Walaupun kau sering memarahiku
Daku tidak pernah kecewa
Kata-katamu bak mutiara
Kerana ku tahu disebalik kekatamu itu
Terselindung secebis kasih seorang Ibu terhadap anaknya...
ku pasti setiap nasihat itu adalah untuk
kebaikan diriku...
Mengajarku erti sebuah kehidupan

Ibu….
Daku telah banyak berdosa kepadamu
Dapatkah daku membalas jasa baktimu
Yang laksana pepasir di pantai
Yang telah menyabung nyawa demi melahirkan diriku
Yang tidak jemu-jemu mendengar tangisanku semasa kecil
Dan menatap wajahku yang hina ini...

Sempena Hari Ibu
Daku berdoa ke atas kesejahteraan dirimu
Agar dipanjangkan umur dan sentiasa bahagia
Disamping keluarga tercinta...

~Sulaiman~


Aku Masih Ingat

Aku masih ingat
dan akan terus ingat
sehingga akhir hayat
dulu engkau banyak menderita

aku masih ingat
dulu engkau banyak menangis
aku masih ingat
dulu engkau banyak berkorban
apa saja

aku masih ingat
dulu engkau berbalut ketabahan
membesarkan aku mengenal kemanusiaan
aku masih ingat
dulu engkau berlantaikan semangat
mengasuh aku menjadi insan beriman

aku masih ingat
dulu engkau berdinding kegigihan
mendidik aku menjadi anak soleh

aku masih ingat
dulu engkau merumahkan setia
memelihara aku dengan kasih sayang
menjadi manusia berguna

aku masih ingat….
aku masih ingat….
tak kan mudah aku lupa
karena jasamu tak terbalas semuanya
karena tak terenang sepenuhnya
di laut budimu

ibu……..!!!!
aku masih ingat
mengucapkan terima kasih
dan akan terus ingat melafazkannya
sehingga akhir hayat
aku masih ingat
segala yang murni itu…

28 April 2010

Karangan Bergambar PMR - Remaja Berakhlak Mulia

Remaja yang berakhlak mulia pastinya disayangi dan mudah diterima oleh kawan. Oleh sebab itu, berikut ialah kriteria remaja yang berakhlak mulia.
Remaja yang berakhlak mulia mestilah pandai menjaga kekemasan diri. Oleh sebab itu, remaja mestilah berpakaian kemas. Dengan cara ini, mudahlah kita berkawa dengan sesiapa.
Selain itu, remaja juga mestilah mengamalkan sikap bersopan santun. Sebagai contoh, apabila melihat nenek tua melintas jalan yang sibuk, kita mestilah memimpin tangannya. Dengan ini, kita dapat menjadi remaja yang berakhlak mulia dan berjiwa penyayang.
Di samping itu, remaja mestilah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Pada masa yang sama, remaja mestilah menghormati ibu bapa dan sesiapa sahaja yang lebih tua daripada kita. Dengan cara ini, kita dalam menjadi modan insan yang berdisiplin.
Kesimpulannya, remaja yang berakhlak mulia memainkan peranan penting untuk memimpin negara kelak. Oleh sebab itu, nilai-nilai murni mestilah diamalkan sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

22 March 2010

Persamaan Perwatakan antara Watak Utama dalam Novel Tingkatan 1,2,3 Zon 1

Adakah Nazar (watak utama novel Meniti Kaca), Deli (watak utama novel Pahlawan Pasir Salak) dan Zulkifli (watak utama novel Panas Salju) mempunyai perwatakan yang sama? Lihat jadual di bawah.



21 March 2010

Persoalan yang Sama Dalam Semua Novel PMR Zon 1

Berikut ialah perbandingan dari segi lima persoalan dalam ketiga-tiga buah novel PMR Zon 1

Tema Novel Tingkatan 1, 2, 3 Zon 1

Tema memainkan peranan penting dalam novel. Tema novel tingkatan 1 (Meniti Kaca), tingkatan 2 (Pahlawan Pasir Salak), dan tingkatan 3 (Panas Salju) adalah seperti yang tertera dalam jadual di bawah:
Jadual Perbandingan Tema
Petunjuk dalam jadual:
5K bermaksud kegigihan, kecekalan, ketabahan, kesabaran, dan kesungguhan

18 March 2010

Pascapengumuman Keputusan Peperiksaan SPM

Sudah Seminggu berlalu, keputusan SPM diumumkan. Pelbagai reaksi daripada bekas calon SPM dapat saya lihat. Walau bagaimanapun, segala-galanya sudah berlaku. Secara tuntas, keputusan pelajar merupakan bayaran usaha yang telah dilaburkan oleh mereka sepanjang tingkatan 4 dan 5. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang mendapat keputusan SPM khasnya A+, A, dan A- dalam subjek Bahasa Malaysia 1103.
Ilustrasi Gred Baharu
Walau bagaimanapun, bagi pelajar yang berkeputusan A+, A, dan A-, Tahniah dan syabas atas kejayaan anda. Saya amat berbangga akan usaha yang telah anda curahkan demi menggapai keputusan yang cemerlang. Sesungguhnya, anda telah membuktikan kepada orang lain bahawa anda dapat menguasai subjek Bahasa Malaysia dengan baik dan cemerlang. Saya juga amat berbangga kerana banyak pelajar saya yang memperoleh keputusan yang cemerlang.
Bagi pelajar yang mendapat kredit dalam subjek Bahasa Malaysia pula, anda haruslah bersyukur kerana tidak perlu mengambil kertas ulangan Bahasa Malaysia untuk memperbaik keputusan sekali gus dapat memasuki IPTS dengan mudah. Lagipun, keputusan kepujian ini menunjukkan penguasaan bahasa anda masih baik dan anda dapat bertutur dan menulis dalam Bahasa Malaysia dengan baik.
Kepada calon SPM 2010, kuatkan iltizam dan kesungguhan. Semoga anda mendapat keputusan yang lebih membanggakan. Ingatlah bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

8 March 2010

Cerpen Kasut Kelopak Jantung


Saya baru memuat naik analisis cerpen KASUT KELOPAK JANTUNG. Untuk mendapatkan nota lengkap analisis tersebut, anda boleh melayari laman blog saya, iaitu http://antologikasutkelopakjantung.blogspot.com/2010/03/cerpen-kasut-kelopak-jantung.html

4 March 2010

Keputusan SPM, STPM dan STAM akan diumumkan pada 11.3.2010, Khamis.

KUALA LUMPUR 4 Mac - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 akan diumum pada Khamis ini. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, keputusan akan dikeluarkan di sekolah-sekolah mulai pukul 10 pagi. Calon persendirian pula akan menerima keputusan masing-masing melalui pos yang dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. Sejumlah 165,853 calon menduduki peperiksaan bertulis SPM di 3,569 pusat peperiksaan di seluruh negara yang bermula pada 18 November hingga 16 Disember lepas, katanya. Seramai 6,920 calon pula menduduki peperiksaan STAM di 98 buah pusat peperiksaan yang berlangsung dari 19 hingga 27 Oktober lepas. - Bernama

2 March 2010

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah mengatasi permasalahan sosial dan kesan gejala sosial kepada masyarakat. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Walaupun pelbagai kisah gemilang mewarnai pencapaian negara terutamanya dalam bidang ekonomi dan politik, namun dalam bidang sosial lebih banyak lakaran suram yang terpahat lantaran meningkatnya pelbagai kes jenayah dan gejala sosial yang cukup rencam sifatnya. Fenomena ini mendorong pelbagai pihak ber-usaha bersungguh-sungguh untuk merangka dasar, strategi dan tindakan untuk menanganinya. Antara tindakan jangka panjang kerajaan dalam usaha ini ialah memperkenalkan semula mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (FSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Dalam usaha memerangi kemelut sosial yang kian meruncing terutamanya di bandar-bandar, ada pihak yang mencadangkan pewujudan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini mampu menjadikan sesebuah bandar itu bebas daripada sebarang ancaman fizikal, sosial dan mental yang boleh mengganggu kesejahteraan penduduk setempat. Konsep ini berkemungkinan dapat dilaksanakan apabila mendapat restu kerajaan. Di samping itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Sosial Negara (DSN) dijangka dapat menggerakkan tenaga pelbagai sektor dalam menangani isu sosial. Dasar strategik ini bukan sahaja disasarkan kepada golongan remaja tetapi meliputi semua peringkat usia.
Selain usaha pencegahan melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada, faktor hukuman juga seharusnya diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Hal ini demikian kerana hukuman yang lebih berat menjadikan mereka yang ingin melakukan kesalahan “berfikir dua kali” sebelum melakukannya. Faktor yang tidak kurang pentingnya, yang seharusnya diberikan perhatian ialah peningkatan penduduk bandar yang berterusan yang dianggap boleh mengundang lebih banyak masalah jenayah dan sosial. Oleh yang demikian pihak berkuasa mesti merangka dasar pengurusan bandar di negara ini secara bijaksana termasuklah melaksanakan sepenuhnya konsep bandar selamat. Apabila terlaksanannya konsep ini bandar akan bebas daripada keganasan yang merosakkan harta benda dan nyawa, bebas daripada kemusnahan dan malapetaka dan penduduk bebas daripada kemerosotan sosial dan moral.
Jenayah dan kemelut sosial juga amat sinonim dengan kemiskinan dan setinggan. Oleh hal yang demikian kerajaan perlu mengawal pertambahan penduduk bandar secara mendadak yang boleh menyumbang kepada masalah setinggan dan kemiskinan bandar. Dengan cara ini, diharapkan tidak akan ada kelompok yang akan terpinggir daripada arus perdana pembangunan negara kerana kelompok yang terpinggir inilah yang selalunya cenderung untuk bertingkah laku secara negatif. Selain itu, komitmen ahli masyarakat untuk sekurang-kurangnya melaporkan kegiatan jenayah dan gejala sosial di persekitaran mereka merupakan satu usaha yang patut disanjung tinggi.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
rencanaMenggalas Cabaran Sosial Negara,
oleh Zamri Misman,Dewan Masyarakat, Januari 2005)
Soalan 2 (a): Pemahaman Petikan Umum
Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan berikutnyadengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)Jelaskan maksud lakaran suram yang terpahat dalam petikan tersebut. [2 markah]

(ii)Apakah kebaikan-kebaikan daripada pelaksanaan konsep bandar selamat? [3 markah]

(iii)Pada pendapat anda, mengapakah undang-undang yang sedia ada tidak berupaya mengurangkan perlakuan jenayah dan gejala sosial di negara ini? [4 markah]

13 February 2010

Selamat Tahun Baharu Cina 2010


Hari besar diraikan bersama,
Jangan lupa ucapan disampaikan;
Tahun harimau menjelang tiba,
Inilah masanya kita raikan,

Salam Tahun Baharu Cina daripada saya dan sekeluarga

CIKGU TAN

9 February 2010

Latihan Karangan Bergambar PMR



Pendahuluan
Akhbar-akhbar utama – menyiarkan kejadian buli dalam kalangan pelajar – menjadi semakin hari semakin serius – langkah-langkah drastik harus diambil untuk mengatasinya.


Isi 1
Pihak sekolah – memastikan sekolah kekal aman sebagai tempat belajar – mendisiplinkan pelajar sejak kecil – menghukum pelajar yang terlibat dalam gejala buli.

Isi 2
Para guru – sensitif terhadap perubahan pelajar – menerima aduan pelajar secara serius – mengenal pasti pelajar yang terlibat dan mengenakan tindakan disiplin

Isi 3
Murid-murid – mengelakkan diri daripada bersendirian – murid junior haruslah dilindungi oleh murid senior, bukannya dibuli – memastikan pelajar selamat berada di sekolah
Penutup
Masalah buli dalam kalangan pelajar – dapat diatasi jika semua pihak bekerjasama bagai aur dengan tebing – sekolah menjadi tempat menuntut ilmu yang kondusif.

Pendahuluan
Rakyat Malaysia – terdiri daripada berbilang-bilang bangsa – meraikan pelbagai perayaan – majlis rumah terbuka diadakan pada setiap perayaan utama.
Isi 1
Majlis rumah terbuka – mengeratkan silaturahim antara kaum – berkunjung-kunjungan antara satu sama yang lain – membina bangsa yang bersatu padu
Isi 2
Dalam majlis rumah terbuka – dapat menikmati pelbagai jenis juadah yang dihidangkan – berbual-bual mesra dan bergurau senda – hidup bagai aur dengan tebing.
Isi 3
Penganjuran majlis rumah terbuka – membuka minda rakyat dan pelancong asing – memahami kebudayaan yang unik di Malaysia – tak kenal maka tak cinta
Penutup
Sebagai rakyat Malaysia – bertuah menjadi rakyat di bumi gemilang ini – bersama-sama menjayakan matlamat “Satu Malaysia” – membangunkan negara tercinta ini.
Pendahuluan
Pihak sekolah – mengadakan latihan sukan – musim pertandingan sukan banyak memberikan kebaikan

Isi 1
Latihan sukan – meningkatkan stamina pelajar – bersiap sedia bertanding – membawa pulang kejayaan – membanggakan sekolah

Isi 2
Apabila berlatih – mengeluarkan peluh – menyingkirkan sisa-sisa toksik – badan menjadi cergas, otak menjadi cerdas

Isi 3
Dalam setiap latihan sukan – semangat bekerjasama dalam pasukan dapat dipupuk – membina kekuatan ikatan persahabatan – bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

Penutup
Setiap pelajar – wajar menyertai latihan sukan – membina semangat kesukanan yang tinggi – meraih kejayaan demi bangsa dan negara pada masa depan