26 January 2011

Polemik Novel Interlok - Murid-muridku menjadi mangsa!

Sejak Polemik novel Interlok hangat diperbualkan oleh ahli akademik, ahli politik mahupun Menteri Pelajaran, saya berpendapat bahawa isu ini sepatutnya sudah mempunyai jalan penyelesaiannya. Pada pendapat saya, keputusan kerajaan tidak harus bertangguh lagi. Secara peribadi, pembacaan novel ini sebenarnya harus diteruskan oleh pihak sekolah. Novel Interlok masih perlu dikaji oleh pelajar sebagai persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan. Hal ini dikatakan demikian kerana setakat ini, belum ada surat pekeliling dari Kementerian Pelajaran yang mengumumkan bahawa pembacaan novel ini perlu dihentikan. Selain itu, belum ada surat kenyataan rasmi mahupun surat pekeliling daripada Kementerian Pelajaran untuk pihak sekolah mengumpulkan buku teks ini daripada murid-murid semula.
Walau bagaimanapun, saya berasa terkilan akan sikap banyak guru sekolah yang bertindak untuk menganaktirikan kajian novel ini dan belum lagi memulakan pembentangan, penganalisian novel, dan latihan perbandingan dengan novel Papa. Adakah kerana guru-guru tersebut berpendapat bahawa usaha mereka hanyalah mencurahkan air ke pasir sekiranya kerajaan berkeputusan untuk menarik balik novel ini. Sebagai guru, saya berpendapat bahawa saat-saat inilah para guru subjek Bahasa Malaysia haruslah mula menggalakkan para pelajar menjadikannya sebagai sumber bacaan. Hal ini dikatakan demikian kerana persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun perlu dilakukan sejak awal lagi.
Di samping itu, saya berpendapat bahawa sekiranya adanya unsur perkauman dalam novel ini, kita haruslah melihatnya dari sudut positif. Karya sasterawan negara yang pernah meraih penghargaan dunia penulisan ini tidak harus dieksploitasi untuk tujuan berpolitik. Propaganda politik ini cuma akan mengeruhkan keadaan kerana murid-murid yang belum pernah membaca novel ini sehingga akhir plot sudah pun dikatakan mula menjadikannya sebagai topik perbualan hangat di kantin dan di kawasan sekolah. Perkembangan ini jelas satu anjakan paradigma kepada dunia kesusasteraan kerana keprihatinan pembaca terhadap suatu hasil tulisan sasterawan ulung negara. Pembaca mula mengenali wajah Datuk Abdullah Hussain, berusia 91 tahun dan hasilnya dicabar oleh pihak-pihak yang mungkin belum pernah mengkajinya.
Novel yang bertemakan perpaduan ini bakal menjadi sejarah kepada dunia kesusasteraan. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat umum seperti penjual surat khabar, pembaca akhbar, penulis mahupun peniaga kedai buku turut mula mendampingi dunia kesusasteraan dengan membaca novel Interlok. Tepuk dada, tanya selera. Adakah novel ini akan lenyap dalam ingatan kita sekiranya ditarik balik sebagai buku teks komsas pelajar? Hal ini ternyata tidak kerana sebelum ini, sudah berpuluh-puluh ribu mahupun beratus-ratus ribu buah novel edisi lama sudah pun dibaca oleh umum, termasuk peminat sastera, penulis sastera. Adakah fenomena penarikan novel ini membuktikan bahawa buku sastera karya tempatan sahaja akan dikaji semula penggunaannya sekiranya dianggap tidak sesuai hanya kerana beberapa patah perkataan yang masih dianggap "sensitif" dalam dunia moden ini? Saya yakin, novel ini akan terus berkubur dalam khazanah ilmu para sasterawan dan peminat novel dan pembaca hasil sastera kerana unsur keindahan bahasa dan unsur estetika yang terkandung dalam novel ini.
Para murid mengkaji tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot, teknik plot, gaya bahasa, latar masa, latar tempat, latar masyarakat, dan nilai murni serta pengajaran yang dibawa oleh jalan cerita novel ini. Adakah hal ini bermakna murid-murid akan bergaduh di sekolah kerana perkataan "PARIA"? Adakah murid-murid akan berkonflik dengan perkataan "BODOH"? Sekiranya para akademik mengkaji novel ini secara dalam-dalam, saya yakin anda akan membaca isi hati Datuk Abdullah Hussain yang sebenar. Semangat patriotik dan semangat bersatu padu yang diutarakan dalam novel ini bagaikan jantung kepada tema cerita. Usahlah membuang masa untuk membiarkan novel ini terus dipinggirkan oleh calon SPM 2011.
Saya yakin novel ini amat sesuai untuk rakyat Malaysia.
Cikgu Tan

No comments: