Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

13 February 2010

Selamat Tahun Baharu Cina 2010


Hari besar diraikan bersama,
Jangan lupa ucapan disampaikan;
Tahun harimau menjelang tiba,
Inilah masanya kita raikan,

Salam Tahun Baharu Cina daripada saya dan sekeluarga

CIKGU TAN

9 February 2010

Latihan Karangan Bergambar PMR



Pendahuluan
Akhbar-akhbar utama – menyiarkan kejadian buli dalam kalangan pelajar – menjadi semakin hari semakin serius – langkah-langkah drastik harus diambil untuk mengatasinya.


Isi 1
Pihak sekolah – memastikan sekolah kekal aman sebagai tempat belajar – mendisiplinkan pelajar sejak kecil – menghukum pelajar yang terlibat dalam gejala buli.

Isi 2
Para guru – sensitif terhadap perubahan pelajar – menerima aduan pelajar secara serius – mengenal pasti pelajar yang terlibat dan mengenakan tindakan disiplin

Isi 3
Murid-murid – mengelakkan diri daripada bersendirian – murid junior haruslah dilindungi oleh murid senior, bukannya dibuli – memastikan pelajar selamat berada di sekolah
Penutup
Masalah buli dalam kalangan pelajar – dapat diatasi jika semua pihak bekerjasama bagai aur dengan tebing – sekolah menjadi tempat menuntut ilmu yang kondusif.

Pendahuluan
Rakyat Malaysia – terdiri daripada berbilang-bilang bangsa – meraikan pelbagai perayaan – majlis rumah terbuka diadakan pada setiap perayaan utama.
Isi 1
Majlis rumah terbuka – mengeratkan silaturahim antara kaum – berkunjung-kunjungan antara satu sama yang lain – membina bangsa yang bersatu padu
Isi 2
Dalam majlis rumah terbuka – dapat menikmati pelbagai jenis juadah yang dihidangkan – berbual-bual mesra dan bergurau senda – hidup bagai aur dengan tebing.
Isi 3
Penganjuran majlis rumah terbuka – membuka minda rakyat dan pelancong asing – memahami kebudayaan yang unik di Malaysia – tak kenal maka tak cinta
Penutup
Sebagai rakyat Malaysia – bertuah menjadi rakyat di bumi gemilang ini – bersama-sama menjayakan matlamat “Satu Malaysia” – membangunkan negara tercinta ini.
Pendahuluan
Pihak sekolah – mengadakan latihan sukan – musim pertandingan sukan banyak memberikan kebaikan

Isi 1
Latihan sukan – meningkatkan stamina pelajar – bersiap sedia bertanding – membawa pulang kejayaan – membanggakan sekolah

Isi 2
Apabila berlatih – mengeluarkan peluh – menyingkirkan sisa-sisa toksik – badan menjadi cergas, otak menjadi cerdas

Isi 3
Dalam setiap latihan sukan – semangat bekerjasama dalam pasukan dapat dipupuk – membina kekuatan ikatan persahabatan – bersatu kita teguh, bercerai kita roboh

Penutup
Setiap pelajar – wajar menyertai latihan sukan – membina semangat kesukanan yang tinggi – meraih kejayaan demi bangsa dan negara pada masa depan

31 January 2010

Cerpen Hasil Ikhlas Bekas Pelajar

Tajuk Cerpen: Marsya Aiza
Penulis: Reenisha Thyagarajan
(bekas murid Cikgu Tan C L)


Marsya Aiza baru saja habis mencuci pinggan dan mangkuk serta mengemas bilik dapur yang bersepah itu. Penat buatnya. Kedengaran keluhan berat daripada bibirnya. Dengan langkah yang malas, dia menuju ke ruang tamu lalu menghempaskan punggungnya ke sofa coklat itu. Otak fikirannya hanyut di alam lamunan yang tersendiri.

NAH! Aku akan pastikan impianku jadi kenyataan. Aku mesti! Itu tanggungjawabku! Aku akan pastikan Ezy berjaya untuk mengharungi setiap badai kehidupan yang menantinya. Ini suatu permulaan baginya, permulaan yang harus menjadi uswah dan hala tuju dirinya untuk menjadi modal insan yang cemerlang. Aku tidak mahu dia jadi macam abang Zairil yang telah memusnahkan masa depannya.Itu bukan salah dia sendiri, rasa kasihan mula terbit di hati Marsya. Ah, yang dah lalu tak usah aku fikirkan. Sekarang cita-citaku ialah mahu melihat Ezy berjaya. Ya, Ezy, kakak tidak mahu kau tersilap langkah dan aku yakin kau tak akan. Kita akan berlumba-lumba mengejar cita-cita yang tersemat. Azam kalau dicampurkan dengan usaha, pasti akan mengemburkan kejayaan, bukankah gitu!

Begitulah hebatnya Marsya Aiza bermonolog sendirian untuk merealisasikan sesuatu yang telah kukuh terpahat di kotak akalnya sejak dia sedar akan tanggunjawabnya.

Angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa lalu menampar mukaku dengan lembut.. Marsya tersedar daripada ketegangan fikirannya yang baru sahaja reda. Dia memejam celik matanya berulang-ulang kali bagi menghilangkan rasa mengantuk. Bayangan wajah abah dan ibunya menguasai fikirannya satu per satu. Dia kecewa melihat insan yang alfa dan evasif seperti orang tuanya. Sejumlah kisah pahit terbayang di ingatan. Kenangan itu mula membesar dan menjajahi benaknya. Nawaitu materialistik yang menyelubungi ibu bapa Marsya yang menyebabkan mereka mengabaikan kewajipan mereka sebagai ibu bapa. Mereka juga yang menjadi punca abangnya, Zairil tidak maju dan berjaya dalam hidupnya tetapi hanya menjadi sampah masyarakat.

Abah dan ibu hanya mementingkan wang, wang dan wang sahaja! Apakan wang itu yang dapat membeli semua benda di dunia ini? Aku tak faham sikap abah dan ibu, dan aku tak mahu jua. Nasib baikku yang mungkin menyebabkan aku dikelilingi persekitaran yang baik dan positif. Kalau bukan kerana guru-guruku dan kawan-kawanku, aku tentu jadi macam abang Zairil.Marsya Aiza berbisik pada dirinya lagi.

Otak fikirannya menerawang mencari kapastian. Tiba-tiba dia teringat akan Ezy yang sedang tekun belajar untuk Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang akan didudukinya tidak lama lagi. Marsya bergegas ke dapur untuk membancuh kopi untuk adiknya itu. Dengan memegang cawan kopi di tangannya, dia berjalan dengan perlahan ke arah meja di ruang tamunya lalu diletakkannya kopi yang panas itu. Sebelum sempat dia berkata, Ezy melaung dari atas.


“Kak Sya……..
Ezy nak tengok TV boleh tak?”
“Kejap je ada ‘House’sekarang.”

Itulah satu-satu rancangan kegemaran Ezral yang tidak gagal ditontoninya. Marsya hanya tersenyum sendirian memikirkan Ezy yang gila dengan rancangan itu.

“Ya Ezy, kakak baru saja nak panggil kau turun minum kopi dah kau nak turun.” …Cepat ke bawah ya, boleh kau rest kejap, jawab Marsya.

Ezy pun dengan segera menyimpan buku-bukunya lalu melangkah turun dengan pantas supaya dapat menikmati kopi sambil menonton rancangan yang diminatinya.

“Tengok tu Ezy, sudah lewat ni masih tak kelihatan bayang-bayang abang kau tu.”
“Alah kan sudah normal abang pulang lambat…..”
“Tapi tak kan setiap hari pun sama je, dah malas aku nasihat dia….balik-balik sama perangainya.”
“Kasihan kak……… bagai mencurahkan air ke daun keladi.”
“Alah….cukuplah dengan peribahasa kau tu. Buat aku frust je.”

Ezy tersenyum sinis.Khusyuk dia mengenakan kakaknya itu.

“Hari ini, abang Ril lupa bawa kunci rumah bersama, tulah aku tunggu dia.Tapi tengok tu, dah tau tak ada kunci dengannya, tak terfikir nak balik awal, ishh!…”
“Pleaselah kak, dah pasti abang Ril belum sedar pun yang dia tak bawa kunci dengannya.”
“Aduhai! Mungkin juga. Habislah, entah berapa lama aku nak tunggu dia. Dah call dia pun tak terjawab….”sambung Marsya lagi.

“Eh….. kak Sya, abah dan ibu belum balik lagi ke?”
“Haa…. mana boleh balik lagi, you know ada party besar-besaran di rumah korporat itu. Dapat jumpa all the rich people….nanti mana dapat berlagak kalau mereka tak pegi,” jawab Marsya dengan selamba.

Kata-kata kakaknya itu mengundang ketawa di bibir Ezral.
Selepas Ezral menonton rancangan yang amat digemarinya sambil menghirup kopi yang dibancuh oleh kakanya, dia terus ke biliknya untuk kembali membelek buku-buku yang bersepah di meja bacaanya.

Jendela di ruang tamu dikuak agar angin dingin segar malam dapat masuk. Marsya yang bersendirian terasa berada di rumah sepi seperti tiada manusia yang menghuninya. Seperti malam-malam yang lalu hanya bunyi cengkerik yang begitu setia menemani malam. Titis-titis hujan yang menimpa laman direnungnya tunak. Segugus nafas tenat dileraikan dari dada. Tanpa suara. Marsya berjalan dengan langkah longlai, lalu mencekau surat khabar yang terbaring di meja. Begitu teliti dia membaca semua artikel…. kata demi kata dengan penuh perhatian.
Tiba-tiba daun pintu dibuka dan dihempas dengan begitu kuat. Marsya tekejut bagaikan terdengar bedilan mortar. Marsya terasakan bahang kemarahan mulai meresap ke dalam hatinya apabila melihat perangai abangnya itu.

“Abang Ril! Abang tau tak sekarang pukul berapa sudah? Dah tak bawa kunci rumah bersama, tak terfikir untuk pulang awal ke? Tak terfikir adik you ni akan menunggu!”

Ril, sekadar mengangguk-angguk beberapa kali tanpa sepatah bicara. Marsya merenungnya dengan kebencian yang meluap-luap. Dirinya mula diselimuti perasaan pesimis dan mengalah.

“Dia ni tak akan berubah! kata Marsya dengan nada yang marah bercampur kecewa.”

Pedih di hati dikunci dengan teguh lalu dia bergerak menuju ke biliknya. Sebelum pnitu biliknya dibuka, Marsya meneriak memberi amaran kepada adiknya yang sedang rajin mengulang kaji pelajaran.

“Ezy! Jangan terjaga lama sangat, esok kan ada sekolah. kena bangun awal ni.”
“Ya kak, kejap lagi I’ll go to bed already,jawabnya tenang.”

Tanpa berkata, Marsya terus ke dalam biliknya lalu merebahkan dirinya atas katil. Dia terus melelapkan matanya.

Malam memanjang dinahari telah berlalu. Deringan nyaring jam bulat di bilik Marsya mengejutkannya lalu memanifestasikan pagi sudah menjelma. Marsya bingkas bangun dan meneruskan rutin hariannya. Selepas mengerjakan sembahyang subuh, dia segera membangunkan Ezal untuk bersedia ke sekolah. Kemudian terus ke dapur, sibuk menyediakan sarapan pagi. Ezral menggalas beg sekolahnya lalu menuruni tangga dengan langkah yang pantas.


“Kak sya, kenapa asyik… roti bakar aja jadi sarapan?”
“Kenapa Ezy kau harapkan chicken chop pagi-pagi lagi ke?”Marsya mengusik adiknya itu.

Ezy hanya melontarkan pandangan tajam kepada kakanya.Marsya tesenyum puas mengenakan adiknya.


Selepas Ezral ke sekolah, Marsya kembali meneruskan kerja hariannya seperti biasa sambil mendengar radio yang sedang mengumandangkan lagu-lagu sentimental. Mentari pagi yang pada mulanya seolah-olah mengintai di sebalik lautan sudah mula memancarkan cahaya emas. Kicauan burung turut mmeriahkan suasana.


Sejurus kemudian, Marsya keluar ke beranda rumah dan memerhati sinaran sang suria yang bergemerlapan ke arah tingkap rumah jirannya. Pada masa itu, terdengar bunyi enjin kereta dimulakan yang menerjah perhatian Marsya. Matanya lantas terfokus pada wajah abah dan ibunya yang sedang menaiki kereta Perdana putih yang kemudiannya meninggalkan halaman rumah. Marsya menjuihkan bibirnya sambil melirikkan matanya. Dia sudah biasa melihat ibu bapanya keluar mencari nafkah pada pagi dan hanya pulang ke rumah lewat malam. Kemudian matanya mendongak ke atas memerhati langit . Dia memikirkan tentang Ezral yang akan menempuh cabaran hebat dalam dua minggu lagi yakni peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang amat mustahak bagi Ezy.


Ingatan yang dating tiba-tiba itu segera pula tertangkap dan terbayang wajah Ezy di mindanya. Wajah Ezy yang bersih, yakin dan menonjolkan cirri-ciri kematangan tentunya mentah dalam menangani hidup penuh pancaroba, kata hati Marsya. Ada kebimbangan yang berakar di perdu hati Marsya tetapi falah itu sudah mula dikecapinya.
Ezy nescaya akan mencapai azamnya kerana telah dan sedang berhempas pulas dengan prakarsa dan semangat yang berkobar-kobar. Ezy tentu akan membuktikan kebolehannya sekali gus merealisasikan impian aku juga,bisik Marsya dalam hatinya.Pejuangan tak akan berakhir, selagi ada ombak di lautan kata Marsya dengan penuh iltizam mahu menguatkan keyakinanya.

………………….

Pejam celik, dua minggu sudah berlalu. Dalam kata lain, peperiksaan yang akan diduduki Ezral sudah pun tiba. Hati Marsya digigit resah yang bukan kepalang. Kesejukan mencengkam urat-urat saraf tangan Marsya walaupun sinar cahaya masih belum hilang dan langit masih lagi cerah tambahan pula panas mentari tengah hari itu membahang. Melalui reaksi muka Ezy, dia kelihatan begitu yakin dan bersemangat tetapi perasaan cuak terselindung di sebalik sanubarinya.


“Ketabahan dan kesabaran akan membuahkan nikmat yang tidak dapat dinilai, Ezy. Usahakau selama ini akan membuahkan hasil, Insya-Allah mahkota kemenangan itu akan kita kecapi bersama. Jangan kau risau, usaha tangga kejayaan! Semoga kau berjaya Ezy!
Kakak akan doakan kejayaan kau.”

Marsya menukilkan kata-kata semangat yang berjaya meresap ke seluruh urat saraf Ezral. Dia kelihatan lebih bersemangat.

“Ezral akan menghadapi detik-detik bernilai dengan bersungguh-sungguh,kak Sya. Saya yakin Tuhan akan kabulkan aspirasi saya dan kakak…… saya pergi dulu ya kak…..luah Ezral tatkala memandang Marsya.”


Marsya hanya melihat adiknya yang melangkah dengan tenang dan kukuh meniggalkan halaman rumah untuk menghadapi peperiksaan yang amat bermakna buatnya. Teriak Marsya dengan nada yang lantang.

Ezy, all the best!
Thank you! ujar Ezy, sambil menaiki bas sekolah yang menunggunya.

Peperiksaan selama tiga hari itu berlalu dengan sekelip mata. Ezy berpuas dengan setiap kertas yang diambilnya. Dia agak yakin dengan cara dia menjawab kesemua kertas tersebut. Marsya hanya mengukir senyuman puas apabila melihat wajah adiknya yang gembira dan tenang.

………………..

Masa berlalu dengan begitu pantas. Hati seakan berdoa meminta jarum jam berhenti sebentar. Angin petang datang menyisar-nyisar hingga menyeratkan daun-daun kering gugur ke serata halaman. Petang mula remang merangkak senja, cahaya merah langit pudar dan mula bertaut dengan kegelapan. Lubuk hati Marsya berdebar-debar. Esok ialah hari yang teramat istimewa dan juga membimbangkan. Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah akan diumumkan esok. Sebak meesap ke dalam diri Masya. Dia kelihatan lebih gementar menghadapi hakikat berbanding Ezral. Marsya menggaru-garu dagu yang sebenarnya tidak gatal. Dia cuba membuang kecanggungannya dan melemparkan pandangannya ke arah Ezral yang sedang menonton television dengan perasaan cool tanpa rasa risau yang terpancar di wajahnya. Bibir Marsya menyulam secebis senyuman. Dia terus melahap wajah adiknya yang ceria itu.

Malam dicengkam kedinginan. Marsya dan adiknya masing-masing dalam bilik mereka. Ezral sempat memejamkan matanya, lalu tidur dengan nyenyak. Marsya pula tidak dapat melelapkan matanya yang penat. Keraguan demi keraguan mula menyelinap dalam fikirannya, tidak sabar rasanya menanti saat yang signifikan itu. Bagaimana jua dengan berfikiran positif dia menutup kelopak matanya.


Sesekali kicauan sang burung dan hembusan sang bayu memainkan irama,
masing-masing membuktikan keagungan ciptaan Tuhan. Pagi itu Marsya sudah bangun awal-awal lagi dan juga membereskan kerja hariannya dengan cepat sekali. Dia juga sudah bersedia begitu awal untuk mengikut Ezy ke sekolah, mangambil keputusannya. Rasa resah kembali menggamit Marsya. Entah mengapa debaran di hatinya kian kencang. Semua ini menyerabutkan lagi otaknya. Dia hanya merenung persekitarannya dengan renungan yang tidak membawa apa-apa makna. Sejenak kemudian, Ezral yang sudah berpakaian sekolah turun ke bawah untuk mengambil sarapannya. Ezy hanya dapat mengukir senyuman apabila melihat kakaknya yang membatukan diri merenung jam yang tergantung di dinding. Suara Ezy memecah keheningan.


“Kak Sya, Ezy kena pergi sekolah sebelum pukul 10.00, so…. you ready?”
“Err….yup! Let’s go kata Marsya sambil mengambil begnya.”


Sampai sahaja di sekolah, suasana yang riuh rendah dengan murid-murid yang juga menanti keputusan masing-masing menyebabkan bulu roma Marsya meremang. Mata Marsya dan adiknya saling bertatapan, penuh pengertian yang tersembunyi. Semua murid bertebaran bagaikan ‘lipas kudung’ untuk beratur sebaik sahaja guru tingkatan masing-masing menuju ke dewan dengan keputusan peperiksaan. Apabila tiba giliran Ezral, terpancar semacam rasa cemas dan yakin yang bercampur aduk di hatinya. Marsya dari jauh hanya mendoakan kejayaan bagi Ezy. Matanya bersinar mahu menanti keputusan daripada Ezy. Ezral menggeleng-geleng hairan, dan Marsya berasa payah untuk mengertikannya. Amat sukar bagi Marsya untuk menerima saat-saat seperti ini. Pada masa itu juga, suasana begitu bingit dengan jeritan dan tangisan murid-murid yang sudah menerima keputusan mereka. Hati Marsya berdetik hiba dan dari kelopak matanya tergenang air mata kegembiraan tatkala melihat slip keputusan peperiksaan Ezy yang tercatat 7A. Marsya mengukir senyuman syabas kepada Ezy. Air mata masih bercucuran di pipi Marsya yang terlalu gembira dan bangga.


“Hasrat kita telah Tuhan kabulkan. Usahakau selama ini telah membuahkan hasil,Ezy! Tahniah Ezy!”

“Terima kasih, kak. Tanpa kakak, tak mungkin Ezy boleh mendapat keputusan ini. Semangat dan dorongan kakak yang membolehkan Ezy berjaya.Terima kasih,… kak.”

“Itu tanggungjawab kakak, Ezy….tak payah nak ucap terima kasih. Kak, sanagat puas dan girang dengan usaha kau yang akan mencerahkan masa depan kau. Kau akan dapat masuk aliran sains, dan kau mesti berusaha lebih gigih seperti kata peibahasa ‘patah tongkat berjermang’ untuk menjadi insan yang lebih cemerlang.”

Hasrat Marsya yang mahu adiknya berjaya telah menjadi kenyataan. Dia berasa gembira kerana kehidupan Ezral tidak seperti abangnya Zairil. Bukan sahaja Ezy, tetapi dia juga berjaya membentuk dan menunjukkan jalan yang baik kepada adiknya. Marsya yakin sinar kebahagian akan sentiasa menemani Ezral.

26 January 2010

Sudut Pandangan Dalam Penceritaan

Sehingga kini, masih banyak guru sekolah yang tidak tahu atau belum mengenal pasti cara memahamkan pelajar tentang sudut pandangan dalam cerpen dan novel. Oleh sebab itu, saya berpendapat bahawa nota peribadi saya di bawah ini mungkin akan membantu pelajar dan guru untuk memahami apakah erti sebenar sudut pandangan dan cara untuk memahamkan pelajar.

SUDUT PANDANGAN

Pengenalan
Sudut pandangan ialah cara seseorang pengarang mempersembahkan cerita kepada pembaca. Sudut pandangan dalam sesebuah cerita dapat menjelaskan bagaimana cara seseorang pengarang itu mengisahkan ceritanya. Dalam sesebuah cerita, ada kalanya pengarang sendiri memainkan peranan sebagai watak, dan ada kalanya pula pengarang hanya bertindak sebagai pencerita sahaja, tanpa melibatkan dirinya dalam cerita tersebut. Melalui sudut pandangan yang digunakan, pembaca akan mengetahui sejauh mana pengarang itu menguasai peristiwa-peristiwa atau watak-watak yang dipaparkannya dalam cerita. Secara ringkasnya, sudut pandangan dapatlah dikatakan sebagai pusat pengisahan sesebuah cerita.

1. Sudut pandangan orang pertama
Sudut pandangan orang pertama memperlihatkan keterlibatan pengarang secara langsung dalam sesebuah cerita. Cerita yang mempunyai sudut pandangan jenis ini melibatkan pengarang berperanan sebagai salah seorang watak dalam cerita. Biasanya, pencerita akan menggunakan ganti nama diri pertama seperti aku atau saya dalam ceritanya. Di sini, pengarang berfungsi sebagai watak utama ataupun watak sampingan. Dalam sudut pandangan jenis ini kita dapati, cerita berpusatkan pengarang atau diri pencerita sendiri. Oleh sebab kata ganti aku atau saya digunakan, seseorang pembaca akan berasa diri mereka turut terlibat dalam cerita. Dengan itu, sesebuah cerita yang dibaca, akan mendatangkan kesan yang mendalami kepada pembaca.
Rajah di atas menunjukkan sudut pandangan orang pertama. Bulatan besar menunjukkan keseluruhan cerita. P = A berada dalam bulatan besar. P ialah pengarang yang menggantikan dirinya dengan watak A. A berada dalam bulatan merupakan watak utama dan menjadi fokus dalam cerita. Manakala B, C dan D merupakan watak sampingan dan diceritakan oleh pengarang melalui watak A.

2. Sudut pandangan orang ketiga
Sudut pandangan orang ketiga ini, memperlihatkan pengarang berperanan sebagai pencerita. Pengarang menyampaikan segala peristiwa serta tindak-tanduk watak dalam cerita tanpa melibatkan dirinya. Biasanya, pengarang akan menggunakan kata ganti diri dia atau mereka kepada watak-watak yang terlibat dalam cerita, di samping menggunakan nama watak seperti Tuan Robert, perempuan tua, Encik X, Ali, dan lain-lain. Sudut pandangan orang ketiga ialah sudut pandangan yang paling awal dan paling kerap digunakan dalam cereka.
Sudut pandangan orang ketiga ini boleh dibahagikan kepada tiga iaitu:
(i) Sudut pandangan orang ketiga serba tahu
Sudut pandangan orang ketiga serba tahu bermaksud pengarang sebagai pencerita, mengetahui serba-serbi peristiwa serta watak-watak dalam cerita. Pengarang dapat menceritakan secara terperinci segala-galanya tentang watak termasuk fikiran, perasaan serta tingkah laku watak tanpa batasan.

(i) Sudut pandangan orang ketiga terbatas
Sudut pandangan jenis ini juga memperlihatkan pengarang sebagai pencerita. Tetapi pencerita tidak menceritakan semua peristiwa atau watak seperti yang dilakukan oleh pencerita dalam sudut pandangan orang ketiga serba tahu. Pengarang hanya memilih watak-watak tertentu sahaja dan penceritaan bertumpu kepada watak tersebut. Watak yang dipilih diceritakan dengan jelas dan terperinci. Manakala, penceritaan terhadap watak-watak lain adalah terhad atau terbatas.
Rajah menunjukkan sudut pandangan orang ketiga terbatas. P ialah pengarang yang berada di luar cerita. Pengarang bercerita mendalami tentang watak A. Manakala, penceritaan pengarang terhadap watak B dan C adalah terbatas.

(i) Sudut pandangan orang ketiga objektif
Sudut pandangan orang ketiga objektif memperlihatkan pengarang sebagai pencerita, hanya dapat menceritakan apa-apa yang dilihat atau didengarnya sahaja tentang sesuatu watak atau peristiwa dalam cerita.
Sudut pandangan jenis ini didapati pengarang bertindak sebagai pelapor atau pencatat terhadap keseluruhan pergerakan cerita. Oleh sebab pengarang tidak memerihalkan setiap watak atau peristiwa secara terperinci; maka pembaca akan dapat membuat tafsiran sendiri tentang watak atau peristiwa yang dipaparkan dalam cerita. Penceritaan terhadap watak-watak lain adalah terhad atau terbatas.

Rajah di atas menunjukkan sudut pandangan orang ketiga objektif. Kita dapati P masih berada di luar cerita. Pengarang hanya menceritakan tentang ketiga-tiga watak iaitu A, B dan C secara objektif, yakni, terhad kepada apa-apa yang terlihat dan didengarnya sahaja. Sudut pandangan jenis ini lazimnya digunakan dalam skrip drama.

19 January 2010

Latihan Perahu Naga Menjadi Medan Nyawa Pemuda Harapan Bangsa!



"Enam Mayat Mangsa Perahu Naga Terbalik Ditemui"

"Kesemua Enam Mangsa Perahu Naga Terbalik Ditemui "

Tajuk berita di atas cukup memilukan! Nyawa anak bangsa terus lemas dibawa ombak yang kuat menghempas pantai. Demikianlah pilunya sanubari ibu yang menatap wajah pucat anak kesayangan mereka apabila pihak berkuasa membawa ibu bapa mangsa untuk melakukan proses pengecaman mayat mangsa Goh Yi Zhiang, Chin Aik Siang, Jason Ch'ng, Yong Xiang, Cheah Zi jun, dan Brandon Yeoh. Lima orang pelajar bersama guru mereka menemui ajal apabila perahu naga yang didayung oleh mereka dipukul ombak tinggi. Realitinya, mereka adalah antara 18 pelajar dari SMK Chung Ling Air Itam yang menjalani latihan mendayung perahu naga sebagai persiapan menyertai Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa pertengahan tahun ini.
Perahu naga yang dinaiki oleh mereka terbalik akibat dipukul ombak pagi semalam. Kejadian itu berlaku di kawasan kira-kira 100 meter dari pantai Lebuh Macallum, dan kawasan itu sememangnya menjadi tempat pasukan pendayung sekolah berkenaan menjalani latihan mingguan. Pasukan pendayung perahu naga lelaki sekolah itu terdiri daripada 18 orang iaitu seorang guru, dua jurulatih dan 15 pelajar. Mereka memulakan latihan pada pukul 8 pagi dan perahu naga mereka dikatakan terbalik akibat dipukul ombak sebelum terlanggar sebuah tongkang pada pukul 8.45 pagi pada hari kejadian. Sebanyak 12 pelajar lagi terselamat setelah sempat berenang dan dibantu oleh beberapa bot di kawasan berhampiran.

Ada pihak yang berpendapat bahawa murid-murid yang menyertai latihan tersebut tidak mematuhi arahan memakai jaket keselamatan. Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa perancangan teliti tidak dilakukan sebelum latihan dimulakan termasuk tidak mengambil tahu ramalan cuasa dan skala ombak yang bergelora di perairan. Walau bagaimanapun, semuanya sudah terlewat dan 12 orang mangsa yang terselamat sepatutnya bersyukur atas kejadian tersebut dan mengambil iktibar untuk berhati-hati. Sebagai guru, saya berasa sedih dan ingin menitipkan belasungkawa kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.
Kepada Tuan Pengetua Chua Yao Chou, terimalah pengorbanan keenam-enam butir mutiara sekolah ini sebagai kunci semangat untuk meneruskan perjuangan untuk mengemudi sekolah yang sentiasa aktif dalam pertandingan di dalam dan di luar negara. Saya yakin, pihak sekolah sudah membuat persiapan yang terbaik dan tidak ada siapa-siapa yang ingin akan kejadian ini berlaku. Sebagai guru, saya sendiri menitiskan air mata apabila membaca akhbar tempatan yang memaparkan berita tersebut.
Di sini, saya ingin menyampaikan sebuah sajak yang bertajuk "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh".

BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH

Sebelum dinihari
berkobar-kobar sanubari
bersedia di pantai
berlatih menjadi juara kemudi
berprinsip satu teguh bersama

Perahu persahabatan didayung
sekuat-kuat tenaga dipertaruh
BERSATU!KITA TEGUH

Yi Zhiang dan Jason Ch'ng
Berserta Yong Xiang dam Zi Jun
berhempas pulas mendayung perahu
bagai dirasuk kekuatan naga
perahu didayung sehabis tenaga
BERCERAI KITA ROBOH

Cikgu Chin dan Brandon
Sama-sama berjerit
memberi sokongan moral dan dorongan
menaikkan bendera Chung Ling di bahtera naga
BERSATU MEREKA MENUJU

Panggilan Ilahi tidak didengari
amaran ombak tidak dipeduli
Berani, gagah terus berdiri
berdayung terus ke hilir
BERCERAI NYAWA MEREKA SANGGUP!

Sekali ombak memukul perahu
Naga pun tumbang bergulung-gulung
anak kapal jatuh
satu per satu
hanya jeritan TOLONG!!! TOLONG!!!!
menjadi igauan
BERCERAINYA NYAWA MUTIARA SEKOLAH

Enam mutiara gugur
bersiram air mata
ayahanda dan bonda
berdoa diiringi air mata
BERSATU KITA MENGHADAPINYA

Ayuh warga Chung Ling
bangunlah
jangan pandan ke belakang lagi
perjuangan kita
belum sampai setengah perjalanan lagi
BERCERAI ERTINYA BERPUTUS ASA

Ayuh Yi Zhang
marilah Cikgu Chin
Jom Jason dan Brandon
Wahai Yong Xiang dan Zi Jun
Berilah kekuatan semangat kepada warga Chung Ling!
BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH!


Semoga ombak yang dihadapi mereka
bukan gelombang yang menggagalkan Chung Ling.
BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH!





Sama-sama kita mendoakan ketenangan roh mangsa perahu naga terbalik. Semoga ahli persatuan perahu naga akan terus cekal dan tabah menghadapi kehilangan mereka dan terus bangkit memberi semangat kepada warga Chung Ling.
SALAM BELASUNGKAWA DAN TAKZIAH!
CIKGU TAN

15 January 2010

LATIH TUBI BAHASA

Latihan 1

Petikan di bawah ini mempunyai beberapa kata yang salah penggunaan imbuhannya. Catatkan kata-kata tersebut dan berikan imbuhan yang tepat. Anda hanya perlu mencatat kesalahan dan pembetulannya sahaja.

Peranan rakan sebaya dalam pembentukan keperibadian seseorang remaja tidak boleh memandang rendah. Kajian-kajian yang telah dijalankan terbukti bahawa ada kalanya pengaruh rakan sebaya terhadap remaja mengatasi pengaruh ibu bapa. Pengaruh ini memperoleh kekuatan penambah apabila ibu bapa gagal memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak mereka. Dalam keadaan seperti ini, seseorang remaja akan mula menggantung pada rakan-rakan sebaya untuk mengisi kekosongan jiwa mereka. Malah, mereka akan mula mengikut segala telunjuk rakan-rakan sebaya tersebut dalam usaha memenangkan hati rakan-rakan.

[ 6 markah ]
Jawaban
(i) pembentukan -> membentuk
(ii) memandang -> dipandang
(iii) terbukti -> membuktikan
(iv) penambah -> bertambah
(v) menggantung -> bergantung
(vi) memenangkan -> memenangi
Latihan 2
Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian, senaraikan kata-kata majmuk yang terdapat dalam petikan.

Pengerusi majlis memberitahu para hadirin bahawa perbincangan mereka pada hari itu akan menjurus kepada masalah setinggan di sekitar pekan tersebut. Beliau meminta mereka memikirkan bagaimana masalah tersebut boleh diselesaikan. Beliau menyatakan rasa dukacita beliau kerana masalah tersebut masih berterusan walhal pelbagai tindakan telahpun diambil. Oleh itu, beliau menyeru kepada semua yang hadir agar memberikan kerjasama untuk membanteras masalah itu.
[ 6 markah ]
Jawaban
(i) pengerusi majlis
(ii) dukacita
(iii) kerjasama

Latihan 3
Isi tempat kosong di bawah ini dengan kata majmuk yang sesuai dan salin petikan tersebut semula.

Undang-undang mewajibkan setiap (1) Malaysia mempunyai kad pengenalan yang sah. Sudah menjadi (2) ibu bapa untuk memastikan anak-anak yang menjangkau usia dua belas tahun mendapat kad pengenalan. Kad pengenalan merupakan satu dokumen yang amat penting. Mereka yang kehilangan dokumen ini perlu membuat laporan di (3) terdekat dan memohon dokumen yang baru. Memandangkan dokumen ini amat penting untuk segala urusan memperoleh dokumen-dokumen lain seperti pasport perjalanan (4) , maka ada sindiket yang mencuri dokumen ini. Sindiket ini dikatakan beroperasi di (5) Kuala Lumpur. Yang menyedihkan ialah ada laporan yang mengatakan terdapat beberapa orang (6) kerajaan yang turut terlibat dalam sindiket ini.

Jawaban
(i) warganegara
(ii) tanggungjawab
(iii) balai polis
(iv) antarabangsa
(v) ibu negara
(vi) kakitangan
[ 6 markah ]
Latihan 4
Petikan di bawah ini mempunyai beberapa kata majmuk tanpa imbuhan. Catatkan kata-kata tersebut dan berikan imbuhan yang tepat.

Sikap sesetengah kakitangan kerajaan yang salah guna kedudukan mereka amat membimbangkan masyarakat dan pihak kerajaan. Mereka sering campur aduk tugasan rasmi dengan pelbagai pegangan dan ideologi politik mereka. Kerajaan mengharapkan mereka dapat satu padu rakyat negara ini tetapi sebaliknya ada antara mereka yang pecah belah perpaduan rakyat. Ada juga dalam kalangan mereka yang putar belit tujuan sesetengah dasar kerajaan demi kepentingan ideologi mereka. Selepas itu mereka jugalah yang bersuara lantang mengatakan kerajaan anak tiri kakitangan kerajaan dan mengutamakan pihak swasta.
[ 6 markah ]
Jawaban
(i) salah guna -> menyalahgunakan
(ii) campur aduk -> mencampuradukkan
(iii) satu padu -> menyatupadukan
(iv) pecah belah -> memecahbelahkan
(v) putar belit -> memutarbelitkan
(vi) anak tiri -> menganaktirikan
Latihan 5
Petikan di bawah ini mempunyai beberapa kata yang seharusnya digandakan. Catatkan kata-kata tersebut dan berikan gandaan yang sesuai.

Mak Limah berlari anak menuju ke rumah Tok Penghulu. Ketika itu Tok Penghulu sedang duduk di anjung sambil menghisap paip. Beliau terkejut melihat Mak Limah yang bergegas memasuki pekarangan rumahnya. Wanita itu nyaris terlanggar pasu bunga yang terletak di tepi pintu rumahnya. Nafasnya termengah. Apabila dia mula bercakap suaranya putus. Menurut Mak Limah, suaminya yang sering sakit itu sudah tidak sedarkan dirinya.
[ 6 markah ]
Jawaban
(i) berlari -> berlari-lari
(ii) duduk -> duduk-duduk
(iii) nyaris -> nyaris-nyaris
(iv) termengah -> termengah-mengah
(v) putus -> terputus-putus
(vi) sakit -> sakit-sakit

Latihan 6
Isi tempat kosong di bawah ini dengan kata ganda yang sesuai. Anda boleh memberikan imbuhan sekiranya perlu.


Anak-anak yang sedang (mandi) ……… di sungai itu lari (lintang)……… apabila mendengar bunyi ngauman itu. Mereka bukannya tidak tahu siapa yang menghuni belantara di kawasan (bukit)……… itu. Malah Samad yang (gemuk)……… itupun mampu mengheret tubuhnya pantas meninggalkan tempat itu. Cuma Ramli sahaja yang masih (cari)……… cermin matanya. Keadaan yang begitu ceria bertukar menjadi (huru)……… dalam sekelip mata.
[ 6 markah ]

Jawaban
(i) mandi -> bermandi-manda
(ii) lintang -> pintang-pukang
(iii) bukit -> nukit-bukau

(iv) gemuk -> gemuk-gedempol
(v) cari -> tercari-cari
(vi) huru -> huru-hara

Latihan 7

Petikan di bawah ini mempunyai beberapa kata ganda tanpa imbuhan. Catatkan kata-kata tersebut dan berikan imbuhan yang tepat.

Selama ini mereka hidup kasih-kasih antara satu sama lain. Sifat bantu-bantu dalam kalangan mereka sering dicemburui penduduk desa lain. Mereka juga tidak pernah menipu atau mencuri. Mereka sedar bahawa pandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga. Hidup mereka berkisar di sekitar bendang dan dusun mereka. Boleh-bolehnya mereka cuba berdikari dalam meneruskan kehidupan tanpa menyusahkan sesiapa. Mereka juga tidak ada-ada cerita tentang orang lain. Pendek kata, mereka berpegang pada pepata, “berbuat baik pada-pada, buat jahat jangan sekali-kali.”
[ 6 markah ]
Jawaban
(i) kasih-kasih -> kasih -mengasihi
(ii) bantu-bantu -> bantu-membantu
(iii) pandai-pandai -> sepandai-pandai
(iv) boleh-bolehnya -> seboleh-bolehnya
(v) ada-ada -> mengada-adakan
(vi) pada-pada -> berpada-pada

Latihan 8
Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat beberapa kesalahan bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkan dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Bandar yang mempunyai banyak bangunan sejarah itu sering dikunjungi pelancong.

(ii) Pelajar yang tidak minat membaca pasti akan tertinggal dalam banyak lapangan.

(iii) Hal yang diberitahu oleh bapa itu bukanlah sebuah perkara yang mengejutkan saya.

[ 6 markah ]
Jawaban
(i) Bandar yang banyak mempunyai bangunan bersejarah itu sering dikunjungi pelancong.
(ii) Pelajar yang tidak berminat membaca pasti akan ketinggalan dalam banyak lapangan.
(iii) Hal yang diberitahukan oleh bapa itu bukanlah satu perkara yang mengejutkan saya.

8 January 2010

7 January 2010

Sajak "KIAN KITA LUPA" Antologi Kasut Kelopak Jantung


KIAN KITA LUPA.

Kian kita lupa
pada usul jerih bangsa
bila mewah harta di birai mata

Kian kita lupa
pada derita moyang dahulu kala
bila asyik riak dan berbangga

Kian kita lupa
pada azab dan seksa di sana
bila Tuhan melimpahkan kurnia
Tetapi,
kita hanya tak lupa
bila terlewat masa
untuk menyesali segala
terlanjur laku dan bicara
bahagia bertukar derita
gembira menjadi duka.

ZULFAZLAN JUMRAH
PBMP, UPM SERDANG
Hentian Puduraya,Kuala Lumpur.

Maksud
Rangkap 1:
Manusia semakin melupakan asal usulnya dan kesusahan bangsanya sendiri apabila hidup dalam kemewahan.

Rangkap 2:
Manusia semakin lupa akan menderitaan dan kesusahan generasi terdahulu apabila perasaan sombong dan bangga memenuhi dada pada zaman moden ini.

Rangkap 3:
Manusia sentiasa lupa akan keseksaan hukuman yang bakal diterima di negara apabila lalai menyalahgunakan pemberian Tuhan dalam alam fana ini.

Rangkap 4:
Manusia hanya akan beringat-ingat apabila sudah menyesal atau sudah terlanjur kata mahupun keterlaluan dari segi sikap. Pada waktu itu, kegembiraan sudah menjadi kesedihan dan kebahagiaan sudah menjadi penderitaan.

Tema
Sikap lupa diri dalam kalangan manusia pada waktu senang sehingga makan diri pada waktu terlewat nanti.

Persoalan
1. Kekayaan yang mengabui mata manusia
2. Kebanggaan diri sehingga melupakan jasa generasi terdahulu
3. Nikmat hidup dilalui sehingga melupakan keseksaan hukuman di neraka
4. Penyesalan yang terlewat
5. Kekesalan hidup akibat perbuatan diri
6. Kesalahan tutur kata da sikap yang menyusahkan diri

Gaya Bahasa
1. Inversi ( pembalikan kata)
Bukti: Kian kita lupa sepatutnya ditulis “Kita kian lupa
2. Sinkof (penggunaan singkatan kata)
Bukti: kita hanya tak lupa
3. Pengulangan kata
Bukti: Kian kita lupa (diulang pada rangkap 1 hingga rangkap 3)

4. Paradoks (penggunaan unsur positif dan negatif dalam satu baris puisi)
Bukti:
bahagia bertukar derita
gembira menjadi duka.

* bahagia dan gembira ialah unsur positif
*derita dan duka ialah unsur negatif

5. Simbol (unsur perlambangan)
Bukti: pada azab dan seksa di sana
*di sana bermaksud di neraka atau alam selepas kematian

6. Penggunaan bahasa Arab
Bukti: Azab, kurnia

7. Asonansi ( pengulangan huruf vokal)
Bukti:
bila Tuhan melimpahkan kurnia
*dalam baris sajak di atas, vokal “a” diulang sebanyak 5 kali

8. Aliterasi
Bukti: pada derita moyang dahulu kala
*dalam baris sajak di atas, konsonan “d” diulang sebanyak 3 kali

Nilai Murni
1. Mengenang jasa
Bukti: Manusia semakin lupa bangsa sendiri apabila dirinya kaya harta benda

2. Menghargai budi
Bukti: Manusia diminta menghargai budi generasi terdahulu daripada hanya berperasaan bangga diri

3. Patuh akan ajaran agama
Bukti: Manusia diingatkan supaya menjada kelakuan diri daripada terlanjur dan menyesal.

4. Hemah tinggi
Bukti: Pengarang meminta manusia menjada maruah diri supaya tidak menjadi lupa daratan.

5. Kesederhanaan
Bukti: Pengarang menasihati manusia supaya hidup dalam kesederhanaan walaupun kaya kerana merendah diri adalah lebih baik daripada bangga diri.

6. Keinsafan
Bukti: Penyajak meminta manusia insaf akan kesalahan sebelum terlewat supaya tidak mengalami kesediha dan penderitaan.

Pengajaran

1. Kita mestilah mengingati kaum keluarga dan bangsa serta asal usul.
2. Kita haruslah mengenang jasa generasi terdahulu kerana tanpa mereka siapalah kita.
3. Kita wajarlah mengingati setiap ajaran agama supaya tidak merasai bahang api neraka.
4. Kita patutlah menjaga tingkah laku kita supaya maruah diri terpelihara.
5. Kita mestilah insaf akan kesalahan sebelum terlambat.
6. Janganlah kita bangga akan kemewahan diri sehingga bersikap lupa diri.
7. Janganlah kita menyalahgunakan nikmat yang diberikan-Nya.
8. Janganlah kita lupa bahawa masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.

CIKGU TAN, ditulis pada 3 Oktober 2009
Hak cipta Cikgu Tan Terpelihara, e-mel saya untuk mendapatkan kebenaran menggunakan bahan di atas.

4 January 2010

Hari Pertama Aku di Sekolah pada 4 Januari 2010


Hari Pertama Aku di Sekolah Tahun 2010


Loceng jam kecilku yang berwarna biru tiba-tiba menjerit sehingga memecahkan keheningan dinihari. Selepas melepaskan dengusan panjang, aku melihat ke luar tingkap dan mendapati hari masih gelap. Seolah-olah aku baru memejamkan mata beberapa minit yang lalu. Aku terpaksa memunggah badanku yang "sihat" ini bangun menuju ke bilik air sebelum bondaku mengetuk pintu menjerit-jerit pada siang hari. Suaranya yang laksana halilintar membelah bumi sudah cukup untuk membangunkan jiran tetanggaku.

Selepas membersihkan diri, aku memakai pakaian seragam sekolah baharu yang dibeli oleh ibu. Tahun ini, ada sedikit perubahan. Aku sudah bergelar pelajar sekolah menengah. Uniform biru tua yang masih kusimpan kiranya bakal menjadi kenangan dan memori di dalam sanubariku. Tiada lagi sambutan hari kanak-kanak, tiada lagi peluang untuk menikmati nasi lemak mak cik yang menjaja di kantin. Aku harus bersiap sedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi kakak dan abang seniorku di sekolah.

Selepas bersarapan pagi tanpa berselera, aku terus memakai kasut lalu menaiki kereta bondaku. Aku tahu, beliau banyak berkorban demi kami. Wanita yang bergelar ibu tunggal ini tabah menyekolahkan kami empat beradik. Kagumku pada bondaku yang kuanggap srikandi zaman globalisasi. Ibuku memilih sekolah persendirian walaupun terpaksa membayar yuran yang tinggi kerana alma mater itu terletak berdekatan dengan kantornya. Sebagai puteri bongsu, aku menerima segala-galanya yang diatur oleh permaisuri di rumahku itu.

Setibanya di sekolah, aku disuruh berbaris di luar kelas lalu kami dibawa ke dewan sekolah untuk menghadiri perhimpunan pertama. Aku tidak berasa kaget kerana ditemani beberapa orang kawan lama yang kamceng denganku sejak aku di bangku sekolah rendah lagi. Dalam ucap tama, pengetua kami, Puan Lim Tuan Fung tegas mengingatkan kami tentang pentingnya mematuhi peraturan sekolah. Beliau berharap kami akan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Selepas perhimpunan, pelajaran pun bermula. Aku agak terkesima apabila mendapati kami merupakan kumpulan pertama yang akan mempelajari komponen sastera (KOMSAS) baharu untuk subjek Bahasa Malaysia. Guru kelasku, Encik Sean Lee Shi Ming memang kelakar orangnya kerana setiap ayat yang keluar dari mulutnya pasti berunsur seloroh. Kukira, begitulah hari pertama sebelum azab kerja rumah diberikan kepadaku.

4 jam kemudian......

Jam menunjukkan waktu tengah hari, pelajar menuju ke kantin sekolah bagai pelarian perang yang kebuluran termasuk diriku. Selepas menikmati nasi lemak, aku terus kembali ke kelas untuk meneruskan pelajaran yang seterusnya. Aku harus menanti jam 3:50 petang untuk pulang ke rumah. Pada jam 2 petang, aku dan rakan sekelas telah mengadakan majlis suai kenal. Majlis ini bertujuan untuk menjalin tali silaturahim antara pelajar yang baru mengenali antara satu sama yang lain.

Di luar tingkap, kulihat cuaca mendung dan awan kelabu mula menziarahi langit biru. Walau bagaimanapun, aktiviti di dalam kelas ini tetap diteruskan. Kami dikehendaki memilih ahli jawatankuasa dan menentukan pelajar yang membersihkan kelas dan membina jadual membersihkan kelas. Perut kelas yang berisi 30 orang pelajar ini bagai dewan philhamonik orkestra yang memuatkan beratus-ratus penonton. Kebisingan ini menyebabkan Encik Sean terpaksa masuk ke dalam kelas lalu menyimpulkan keputusan pemilihan ahli jawatankuasa.

Syukur, loceng tamat sekolah akhirnya berbunyi! Aku dan teman-taman baharu berjalan beriringan menuju ke pintu utama sekolah untuk menunggu ibu bapa masing-masing. Aku pula terpaksa menunggu lebih lama kerana ibuku hanya akan tiba jam 4:30 petang. Aku mengambil kesempatan ini untuk membaca Antologi Kasut Kelopak Jantung. Isinya cukup mengasyikkan kerana komponen sastera seperti prosa tradisional dan drama terlalu asing bagi diriku.

Kereta Proton Perdana berwarna perak milik ibuku tiba di depanku sedangkan aku asyik menghabiskan cerpen "Kasut Kelopak Jantung". Bagus jalan ceritanya.... isinya agak menyentuh perasaanku sebagai anak bongsu yang dijaga oleh ibu tunggal. Aku berjanji pada diriku akan menghabiskan pembacaanku itu sebaik-baik sahaja kuletakkan punggungku di dalam kereta ibuku. Demikianlah hari pertamaku di sekolah tahun 2010 ini.


Cikgu Tan

2 January 2010

Latihan mengenal pasti kesalahan dalam ayat

Dalam setiap ayat di bawah ada satu kesalahan, kenal pasti kesalahan tersebut dengan menggariskannya lalu menulis cadangan jawaban yang sesuai untuk menggantikannya.

  1. Ada-ada saja yang tak kena kepada hati Puan Lina.
  2. Guru sekolah kami rajin mengajar tetapi semua pelajar-pelajar di dalam kelas kami tidak.
  3. Kursus yang dijalankan secara insentif itu mendapat sokongan daripada semua pihak.
  4. Guru itu sudah memecat jawatannya minggu lepas.
  5. Sebagai akibat penurunan mata wang Yen Jepun, pendudukan ekonomi di beberapa negara lain turut terjejas.
  6. Encik Looi tidak dapat menghadiri ke majlis itu kerana isterinya sakit.
  7. Encik Azli dirawat di hospital kerana diserang kesakitan jantung.
  8. Para pelajar itu gembira kerana berpeluang menemui dengan Perdana Menteri.
  9. Walaupun Maznah kurang upaya, saya terpikat dengan budi bahasanya yang baik.
  10. Sesetengah ibu bapa terlalu termanjakan anak-anak mereka.
  11. Semua pihak harus serious menangani kegiatan jenayah di sekolah.
  12. Puan Chia gayat apabila diberitahu bahawa anaknya kemalangan.
  13. Pemandu itu ditahan polis kerana memandu secara merbahaya.
  14. Petani itu mendirikan gerai di tepi jalan untuk menjual hasil pertaniannya.
  15. Hamizah mengundang banyak kawan-kawannya ke majlis kesyukuran itu.
  16. Kelab Kembara menganjuri perkhemahan di Air Terjun Lata.
  17. Ibu dan ayah sayalah yang dorong saya hingga mencapai kejayaan ini.
  18. Para hadirin bertepok tangan setelah beliau selesai berucap.
  19. Puan Doshan tidak pernah menyebelahi sesiapa pun dalam pertelingkahan kedua-dua orang anaknya itu.
  20. Kamariah menangis tersedak-sedak apabila menerima berita kematian itu.

Jawaban untuk soalan-soalan di atas akan saya kemukakan esok

CIKGU TAN

31 December 2009

TAKWIM BAHARU, EMOSI BAHARU, VISI BAHARU DAN MISI BAHARU




Cuti sekolah sesi 2009 sudah hampir melabuhkan tirainya dalam beberapa hari lagi. Saya berharap para pelajar akan menyuntik semangat baharu demi menghadapi alam persekolahan yang bermula pada 4 Januari 2010. Semoga tahun 2010 bakal menjanjikan perjuangan yang lebih bermakna dan persaingan pendidikan yang lebih sihat antara pelajar dan mahasiswa.



Selamat Tahun Baharu 2010!



CIKGU TAN

17 December 2009

KEPUTUSAN PMR 2009 - 24 Disember 2009

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 akan diumumkan pada 24 Disember ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan hari ini. Katanya, calon-calon boleh mendapatkan keputusan dari sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada hari berkenaan, manakala calon persendirian akan mendapat keputusan masing-masing menerusi pos. Seramai 475,182 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut. - Bernama

18 November 2009

KUNCI KEHIDUPAN ADA DALAM TANGAN KITA
SEMOGA BERJAYA DALAM SPM 2009 !


KERTAS 1 SPM 1103/1
Sepanjang 2 tahun mengajar murid-murid saya dalam kelas SPM 2009, tajuk-tajuk karangan di bawah telah kita kuasai. Saya berharap soalan SPM sebenar akan menyentuh perkara di bawah ini.

1. Pendidikan
- Kebaikan pendidikan maya
- Kekangan yang dihadapi untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau
2. Pengangkutan awam
- Langkah-langkah memperbaik sistem pengangkutan awam
- Kepentingan sistem pengangkutan awam kepada rakyat

3. Skim Cepat Kaya /Aktiviti menabung
- Pengaruh Skim Cepat Kaya kepada rakyat
- Cara-cara mengatasi kes penipuan melalui internet dan media massa
- Kepentingan menabung dalam kalangan pelajar demi menghadapi kegawatan ekonomi
4. Bidang pelancongan
- Langkah-langkah yang wajar diambil untuk memperkasa sektor pelancongan
- Kebaikan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara
5. Bangunan bersejarah
- Kepentingan memulihara bangunan bersejarah
- Fungsi bangunan bersejarah dalam usaha melahirkan rakyat yang berjiwa patriotik

6. Perpaduan nasional
- Peranan sekolah memperkukuh peraduan kaum
- Kepentingan mengekalkan perpaduan kaum di negara kita

7. Rasuah / antirasuah
- Punca gejala rasuah
- Langkah-langkah mengurangkan gejala rasuah

8. Permainan Tradisional / warisan budaya
- Kepentingan memulihara permainan tradisional
- Langkah pemuliharaan permainan tradisional sehingga menjadikannya permainan bertaraf dunia.
9. Pemanasan Global / cuaca tidak menentu
- Langkah-langkah mengatasi pemasanasan global
- Punca pemanasan global dan kesannya

10. Produk Malaysia
- Kebaikan membeli barangan buatan Malaysia
- Cara-cara meningkatkan keyakinan rakyat terhadap barangan buatan Malaysia
11. Telefon Bimbit / teknologi kemanusiaan
- Kebaikan dan keburukan penggunaan telefon bimbit
- peranan telefon bimbit dalam kehidupan pelajar
12. Kafe Siber / perniagaan berasaskan ICT
- Kafe siber menjadi sarang gejala sosial dalam kalangan pelajar, bincangkan
- Peranan kafe siber dalam usaha memperkembangkan potensi ICT

13. Bahasa
- Kepentingan memulihara bahasa kebangsaan
- Kebaikan dan keburukan menggunakan dwibahasa dalam mata pelajaran Sains dan Matematik
14. Masalah sosial
- gengsterisme / buli
-vandalisme / penularan budaya Barat

15. Kegawatan Ekonomi
- Peranan rakyat menghadapi kegawatan ekonomi
- Langkah berjimat cermat dan kepentingannya

16. Kenaikan harga
- Peranan rakyat mengatasi kenaikan harga
- Langkah-langkah mengatasi masalah kenaikan harga

17. Amalan Membaca
-kebaikan menjadikan buku sebagai teman
- punca bahan bacaan picican menjadi pilihan pembaca remaja

18. Pengalaman/program yang pernah disertai
- Lawatan sambil belajar
- pengalaman mendaki gunung

19. Kemalangan Jalan Raya
- Punca kemalangan yang disebabkan oleh pemandu
- Langkah mengurangkan kemalangan di kawasan sekolah

20. Kokurikulum-kebaikan
- Sebab-sebab kegiatan beruniform tidak diminati
- Peranan kegiatan kokurikulum membentuk peribadi murid yang mulia

21. Semangat patriotik
- Pentingnya penghayatan bulan kemerdekaan
- Langkah-langkah menjadikan remaja berjiwa patriotisme

22. Bahan Sastera (KOMSAS)
- Peranan puisi tradisional dalam mendidik remaja
- Kebaikan membaca antologi komponen sastera

23. Ulasan novel/cerpen / filem
- Ulasan novel / filem yang pernah dibaca / ditonton
- Menulis cerpen bertemakan _____

24. Peranan Guru dan ibu bapa
- Peranan guru dalam membentuk remaja sebagai pemimpin
- Peranan ibu bapa mengurangkan gejala merokok dalam kalangan remaja.

Soalan-soalan yang dinyatakan di atas hanyalah soalan berdasarkan pendapat penulis blog. Saya berharap para pelajar menguasai teknik penulisan supaya dapat menulis apa-apa sahaja soalan yang dikemukakan.


SEMOGA BERJAYA!
CIKGU TAN

12 November 2009

RAMALAN KOMSAS SPM 2009

SOALAN 2(b)
1. LAMBAIAN MALAR HIJAU
2. AKU, KRIS DAN KRISTAL
3. SERUNAI MALAM
4. VIRUS ZEL UNTUK ABAH


SOALAN 2(c)
1. KEPAHLAWANAN TUN BERAIM BAPA
2. SABOR
3. PERTARUNGAN TUAH DENGAN JEBAT
4. CERITA BAYAN TIDAK MENURUT KATA IBU BAPANYA

SOALAN 2(d)
1. JALAN-JALAN RAYA KOTAKU
2. DERITA PERTAMA
3. ANAK LAUT
4. SYAIR KELEBIHAN ILMU
5. DUHAI PENTAFSIR
6. DI RUANG GEMANYA

NOVEL
1. KASIH SAYANG DALAM DUA NOVEL (PERBANDINGAN)
2. MESEJ DARIPADA PENGARANG KEPADA PEMBACA
3. KETABAHAN WATAK UTAMA
4. PERBANDINGAN ( WATAK SAMPINGAN DALAM SEBUAH NOVEL)
5. TEKNIK PLOT ( PERBANDINGAN)
6. BAHAGIAN PUNCAK CERITA DALAM KEDUA-DUA BUAH NOVEL

7 November 2009

KARANGAN SPM 3 - MENULIS CERPEN BERTEMA KEINSAFAN

Kerana Tersilap Langkah, Maruah Tergadai


Walaupun cuma bisikan, tetapi bisikan antara saudara maraku seolah-olah memecah gegendang telingaku. Kekesalanku ini sudah tiada maknanya kerana nasi sudah menjadi bubur. Perkara ini berlaku kira-kira 2 tahun yang lalu ketika aku masih di zaman persekolahan yang penuh dengan memori indah. Oleh sebab keluargaku mempunyai kedudukan dan nama, isu disiplin ini sangat dititikberatkan. Sejak kecil lagi ,aku dijaga di bawah pengawasan yang ketat kerana mengikut bapa, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Kedua-dua ibu bapa aku mencorakkan kehidupanku dengan penuh tatasusila. Kendatipun begitu, mereka masih mencurahkan kasih sayang yang melimpah ruah ke atas saya, dalam kata lain, saya diasuh seperti menatang minyak yang penuh. Segala dalam kehidupanku boleh dikatakan berjalan dengan lancar dan kami sekeluarga juga hidup dengan bahagia. Malang tidak berbau, kebahagian ini tidak berkekalan dan aku menjadi akar umbi keluargaku mendapat aib dan menjadi porak peranda.Atas limpah rahmat Tuhan, ibu bapaku dinaikkan pangkat dan mereka menjadi sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga tiada masa untuk meluangkan sesaat pun denganku. Kebetulan pula pada ketika aku aku menuntut di sekolah menengah, aku menghadapi tekanan yang tinggi membara kerana persaingan yang hebat antara rakan seperjuanganku yang umpama cendekiawan. Stres yang saya telan seolah-olah menusuk hatiku seribu kali. Pernah sekali aku cuba meluahkan perasaan ini kepada ibu bapaku, tetapi jawapan mereka pendek sahaja, yakni, “Kami sibuk.” Pada saat ini, aku benar-benar merasai perubahan kedua-dua ibu bapaku. Dalam mata mereka cuma ada duitke? Tidakkah aku penting bagi mereka? Segalah perintah mereka telah saya turuti selama ini. Adakah saya cuma boneka hidup mereka. Persolan-persoalan ini asyik bermain di fikiranku. Sejak hari itu, aku bukan lagi Henry yang ceria dan aktif, sebaliknya menjadi seorang yang pendiam dan mengasingkan diri daripada masyarakat sehingga guru dan pelajar di sekolah memapar seribu tanda tanya tentang perubahanku yang drastik. Ada peribahasa yang berbunyi,”diam-diam ubi berisi, diam-diam besi berkarat”, tetapi dalam situasiku lain pula, memang aku mrnjadi seorang yang pendiam tetepi keputusan saya bukan sahaja tidak meningkat, malah merosot. Guru kelas saya, Pn. Zakiah pernah mempamerkan keprihatinannya terhadapku dengan bertanya tentang masalah yang saya hadapi. Abet cikgu yang mulia ini menyentuh hati saya kerana beliau merupakan satu- satunya insan di alma mater ini yang masih sanggup mengambil berat dan mendekati saya setelah keputusan akademik saya jatuh secara mendadak. Aku ingin sekali meluahkan segala perasaanku kepada beliau tetapi entah mengapa bibirku seolah-olah dipaku bersama. Rentetan senario, Pn Zakiah pun mencadangkan saya berjumpa dengan guru kaunseling di sekolah. Walaupun hatiku tahu benar guru kaunseling tidak dapat menyelamatkan aku daripada neraka ini, tetapi aku masi mampu mengukir senyuman di mukaku. Semenjak itu, entah bila aku mula menyertai pelajar yang bermasalah disiplin. Lama-kelamaan, aku pun mengikut jejak langkah mereka, bak kata mutiara, ”bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Pada awalannya, aku cuma terlibat dalam kesalahan yang kecil seperti menyimpan kuku panjang, tidak pinkan rambut dan lewat ke sekolah dan itu pun jarang-jarang berlaku. Penalti tetap diberi tetapi tidak dalam kuantiti yang banyak. Walakin begitu, setelah suatu jangka masa yang sederhana panjang, melanggar peraturan sekolah sudah menjadi tabiat. Penyakit ini semakin menjadi-jadi sehingga aku sanggup menjebakkan diriku ini ke dalam lembah hina walaupun sedar impak negatif yang bakal menimpaku. Seolah-olah ada aura negatif yang menghumban aku ke dalam lautan dosa dan aku seperti tidak berdaya melawan aura tersebut. Aku telah menubuhkan geng sendiri dan walaupun aku bukan seorang yang lemah lembut tidak pernah sekaliku membayangkan diriku sendiri menjadi ketua kongsi gelap. Pada peringkat awal, aku bersama ahli geng aku hanya memeras ugut pelajar yang lemah tetapi api keberanian saya semakin membara sehinggaku tegah membelasah pelajar. Di manakah belas kasihan saya pada ketika itu? Adakah hati perut saya sudah dimakan anjing kerana dalam mata saya hanya dapat melihat kebencian. Tidak kusangka bahawa aku keruntuhan nilai moral sehingga menjadi sebuah raksasa yang tiada berperikemanusiaan. Walaupun ada niat untuk insaf dan melakukan anjakan paradigma kerana ada peribahasa yang berbunyi,”sesal di pangkal jalan, balik ke hujung jalan” tetapi seperti ada aura negatif yang menarikku kembali ke alam syaitan.

Henry! Henry! Seolah-olah ada suara yang memanggilku dan suara tersebut bertambah kuat. Kelopak mataku membuka perlahan-lahan. Rupa-rupanya aku tertidur di dalam kelas lagi. “Henry! Ini sudah kali ke-24 kamu tidur semasa waktu saya. Adakah ajaran saya membosankan kamu?” tanya Cikgu Upik Asma, guru moralku. Jawapan aku pendek sahaja, yakni “ya”. Air mukanya yang lembut tiba-tiba berubah menjadi bengis dan dahsyat. “ Kamu jangan kurang ajar,ya!” marah Cikgu Upik. Entah mengapa aku berasa air mukanya lucu, lalu ketawa terbahak-bahak. Rakan-rakan kaget melihat reaksiku, dan menyuruh aku supaya berhenti tetapi ini membuatku ketawa lebih kuat. Cikgu Upik hanya merenung ke dalam mataku tanpa berkata apa-apa. Tidak lama kemudian, aku pun berhenti ketawa dan menatap wajah cikgu yang serius. Untuk lima minit tersebut, masa seolah-olah berhenti dan keadaan menjadi senyap. Segalanya seperti berhenti pada saat itu. Tiba-tiba, Kring! Kring! Bunyi loceng memecahkan kesunyian di dalam kelas. “Ok kelas, semua boleh bersurai.” ujar Cikgu Upik. Beliau perlahan-lahan mengalihkan pandangannya daripada aku tetapi melihat ekspresi mukanya yang benar-benar kecewa terhadapku dan perasaan itu seolah-olah menusuk ke jiwaku kerana dia merupakan salah seorang guru kesayanganku tetapi aku seperti tidak dapat mengawal mindaku dan seperti mulutku mempunyai minda sendiri.”Haiz, sudah terlanjur kata, sesal juga tiada gunanya, maklumlah’ sudah terhantuk, baru terngadah’,’keluh hatiku yang kecil ini. “Hebatlah, engkau! Berani melawan cikgu macam tu,”ujar seorang rakan aku ketika aku bertembung dengannya semasa sesi rehat. Aku hanya tersenyum.

Selepas waktu persekolahan, seperti biasa aku akan bertemu dengan geng-geng aku.
Pada kebiasaaannya, kami akan lepak di kompleks beli belah atau mengunjungi siber kafe, tetapi hari tersebut, salah seorang rakan saya mencadangkan kami membuat sesuatu yang seronok seperti merokok. Tanpa berfikir panjang, aku pun bersetuju dengan cadangannya. Menurutnya, kita akan kelihatan cool tatkala merokok. Nescaya, pada petang itu, kami pun pergi membeli sekotak rokok berjenama Salem. Kata tauke, jenama ini ada kelas. Mungkin kerana penampilan kami yang matang, tauke tersebut tidak sedar bahawa kami di bawah umur. Kami kemudian berkumpul semula di tempat yang biasa kami lepak. “Betulkan cakap gua, bro! Bestkan merokok! Nampak cool lagi!” ujar seorang rakanku memecahkan kesunyian. Aku mengangguk dalam kesetujuan. Namun begitu, hatiku berbicara jika abet saya yang negatif ini tersebar, di mana abah nak letakkan mukanya, maklumlah, abah ini egoistic. Persoalan-persoalan yang timbul tidakku peduli lagi, yang penting kita enjoy. Lagipun, sampai sekarang, abah harus sudah masak dengan perangai burukku dan ini bukan kali pertamaku terbabit dalam perkara negatif. Pada saat itu, tidak timbul sedikit pun rasa bersalah. Pada hari keesokkannya, bunyi ayam berkok kok membangunkan saya. Rupa-rupanya sudah siang Aku kurang ingat apa yang berlaku semalam. Apa yang masih segar dalam ingatanku ialah kami berborak dengan gembira dan oh ya, kami macam ada minum arak juga tetapi apa yang pasti ialah aku terlantar di pondok yang kami selalu berjumpa pada keesokkan hari, maknanya aku tidak balik semalaman. Ibu pasti kuathir, hai, terpaksalahku mendengar leterannya lagi! Rakan-rakan aku yang lain juga kelihatan terlantar berdekatan dengan saya. Nampaknya, mereka juga tidak pulang ke rumah semalaman. “Tidakkah ibu bapa mereka risau?”bisik hati kecilku. Lantaklah, dia orang punya pasal. Aku bingkas bangun daripada lantai yang sejuk umpama ais. Tanpa mempedulikan rakan-rakanku, aku terus berangkat ke sekolah.

Aku ditahan setibanya di sekolah. Kononnya aku lewat ke sekolah. “Haiz, datang lewat lagi, keluh pengawas yang bertugas. Rasanya dia bercakap tentang aku. Kendatipun begitu, perkara ini sudah tidak asing lagi kerana satu sekolah sudah mengetahui perangai liarku. Ibu bapaku juga sering dipanggil untuk berjumpa dengan pengetua. Aku ibarat malu-malu kucing kerana walaupun prestasi disiplinku teruk sehingga tidak boleh diselamatkan lagi dan mencemar nama baik keluargaku, tetapi aku masih tidak berubah. Maruah aku seolah-olah pergi jauh meninggalkanku kerana walaupun tindakan negatifku sering menjadi buah mulut ramai, aku masih tetap melakukannya. Kemudian, aku pun balik ke ‘kelas’. Jika aku yang dulu pasti balik ke kelas seperti budak yang baik tetapi aku sedar menjadi orang yang holistik memang bosan, aku ingin cuba sesuatu yang lebih agresif demi memuaskan nafsu saya. Sepert biasa, aku akan meraya-rayau di perkarangan sekolah dan mengacau pelajar-pelajar yang lemah. Hari yang sama juga aku bertembung dengan lawan yang hebat. Orang terbabit merupakan pelajar sekolahku yang lebih tua daripadaku setahun. Peluh mulai membasahi pipiku bukan keranaku gentar tetapi kerana cahaya matahari yang terik memancar tepat ke arahku. Aku berjalan dengan segak ke arah lawanku . Mata kami bertemu. Tiba-tiba dia bahunya melanggarku. Aku menjeling ke arah dia dan menggenggam buku limaku dengan kuat. Jelingan aku seperti memberitahu dia supaya awas kerana ‘permainan’ ini baru bermula. Selepas sesi persekolahan, aku dan geng-geng aku sudah bersedia ‘menjemput’ kedatangan musuh saya. Ekspresi muka kami memaparkan kemarahan kami dan budak sial itu akan kami ajar teruk-teruk. Kira-kira lima belas minit kemudian, si bedebah itu muncul seorang diri. ‘Ini peluang emasku!’bisik hati kecilku. Aku sudah bersiap sedia dengan sebatang kayu aku. Aku terus berlari ke arahnya dahulu sebelum rakan-rakanku yang lain mula beraksi lalu memukulnya dengan kayu tersebut, rakan-rakanku tergamam melihat aksi aku. Guru-guru segera datang untuk mengawal keadaan. Setelah keadaan sudah dileraikan, ibu bapa aku dipanggil untuk berjumpa dengan guru besar. Walaupun berjumpa dengan pengetua sudah menjadi satu norma, tetapi naluri memberitahuku perjumpaan kali ini sangat serius. Semasa perjumpaan tersebut, keadaan menjadi sangat tegang. Ibu bapaku bertengkar untuk kali pertama dan pertengkaran terjadi di pejabat sekolah. Mereka saling menunding jari disebabkan oleh afal aku. Maruah dan reputasi sekolah dan ibu bapaku serta maruah diriku sendiri dihancur dalam tanganku sendiri. Orang kata, berita yang buruk cepat tersebar tetapi perkara perkara baik lambat tersebar. Kata-kata tersebut memang tepat sekali kerana tidak sampai sehari pun, berita ini tersebar luas di persekitaran kawasan saya. Nasib memihakku kerana kecederaan pelajar tersebut cumalah cedera ringan, nescaya, aku tidak didakwa.

Sejak hari itu, orang ramai mengubah tanggapan mereka terhadap aku. Mereka sangka aku cuma nakal dan ingin bermain-main tetapi bukanlah seperti sampai sanggup memukul orang kerana tindakan ini tidak ada bezanya dengan ahli kongsi gelap di luar. Aku sendiri juga terkejut yang aku berani sehingga tergamak memukul orang, aku semakin gagal mengawal emosiku sehingga mencetuskan kemelut ini. Aku cuma berdaya membiarkan arus negatif menghanyutkan diriku. Kini, aku digelar syaitan. Ramai yang telah memulaukanku kerana gentar sekiranya mereka akan menjadi mangsa seterusnya. Aku ingat aku masih memiliki kawan-kawan gengku, tetapi tidak sangka mereka cuma kawan semasa suka, bukan kawan semasa duka. Ternyata, aku tersilap pilih kawan. Kemurungan ini mendorong aku bercampur dengan kumpulan yang lebih ganas, tamsilannya ahli kongsi gelap yang sebenar dan bukan yang sahaja setakat bermain-main seperti yang di sekolahku. Golongan ini terdiri daripada mereka yang berumur sekitar dua puluhan sehingga tiga puluhan. Mereka melakukan kegiatan haram demi mencari rezeki kerana mengikut hemat mereka, pekerjaan halal tidak menguntungkan. Betul juga kata mereka, ibu bapaku bersusah payah dan mengambil jangka masa yang panjang, baru dapat pencapaian pada hari ini. Ironinya, kegiatan haram tidak perlu prestasi akademik yang baik mahupun usaha yang gigih untuk mengaut keuntungan yang banyak dan hanya mengambil masa yang singkat untuk menjadi kaya seperti skim cepat kaya. Pada dua belas Jun, aku diberi tugasan pertama, yakni menhantar ‘stok’ ke jeti dan aku diberitahu supaya segera beredar sejurus sahaja menerima wang. Perasaanku bercampur baur, ada peraan takut, gentar, cemas tetapi dalam hatiku yang kecil ini juga terselit perasaaan teruja kerana ini merupakan misi pertamaku. Aku lakukan seperti yang disuruh. Kemudian, kegiatan tersebut menjadi kegiatan seharianku. Bos aku juga sangat berpuas hati dengan prestasiku. Aku sepatutnya gembira tetapi entah mengapa aku tidak sedikit pun gembira. Walaupun aku dapat mengaut keuntungan yang banyak, teapi aku terpaksa hidup dalam kegelapan. Nampaknya, aku tidak dapat melihat sinaran cahaya matahari lagi. Kini, sudah tidak boleh berpatah balik lagi kerana tidak mungkin ahli kongsi gelap itu akan melepaskanku. Ini sudah menjadi takdirku kerana menyelingeh nasihat orang yang lebih makan garam. Sekarang baruku sedar, sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Aku kini terpaksa menjalani kehidupan yang tidak halal tetapi nasib menyebelahiku, kerana aku masih belum ditangkap. Bertapa naifnya fikiranku ini kerana peribahasa melayu tidak pernah berbohong. Sesungguhnya sepandai-pandai tupai melompat , akhirnya jatuh ke tanah juga.

Pada suatu petang, aku termenung sambil mengimbas kembali saat riang bersama keluargaku tetapi kini hanyalah tinggal memori. Angin yang lembut memberus pipiku. Tiba-tiba, aku rasa ada yang menepuk bahuku. “Bang, bos suruh angkat stok ke jeti!” pinta salah seorang anak buahku mengejutku daripada lamunan. Aku terus berangkat daripada tempat dudukku lalu bergegas ke destinasiku. Sebaik sahaja aku sampai di lokasi tersebut, naluri memberitahuku bahawa keadaan seperti ada yang tidak kena dan seperti ada yang sedang memerhati setiap pergerakanku. Mungkin kerana aku yang terlalu sensitif sahaja. Tanpa menhirau perasaan ini, aku terus mememerhati sekelilingku untuk mencari orang yang patut aku temui. Sudah setengah jam aku menunggu tetapi orang tersebut tidak muncul-muncul lagi. Perasaan gelisah semakin menguasaiku. Tiba-tiba, ada yang menepuk bahuku. Aku tersentak lalu menoleh ke belakang. Rupa-rupanya orang yang menepuk bahuku ialah seorang anak buahku yang agak taat kepadaku. ‘ Cepat kabur dari sini!’ gesanya. Pada mulanya, aku tidak faham maksudnya tetapi lama-kelamaan apabila aku melihat beberapa orang polis sedang menuju ke arahku, barulah aku sedar bahawa semua ini adalah sebuah perangkap. Pihak polis sudah mensyaki kegiatan kami dan mereka sedang menyiasat kami. Barulah aku sedar bahawa aku dijadikan kambing korban agar pihak polis menyangka aku merupakan dalang. Rupa-rupanya mereka sudah merancang awal-awal lagi dan tugasan ini ada udang di sebalik batu. Aku hanya mampu tercegat di situ dan nenahan sebak dalam dadaku. Aku tidak sangka orang yang aku anggap seperti ahli keluargaku sendiri tergamak mengkhianatiku. Dalam beberapa saat ini, aku sedar bahawa hanya ahli keluarga sendiri akan memberi layanan yang paling ikhlas dan tulus. Tidak lama kemudian, beberapa anggota polis datang mengepong kami. Kami berdua telah ditahan. Aku dan anak buahku dipenjara selama satu tahun setengah. Oleh sebab usia kami yang masih muda dan kesanggupan kami untuk bekerjasama dengan polis bagi membanteras operasi haram ini, hukuman kami diringankan. Kami pun mendedahkan sarang persemembunyian mereka, tetapi malang tidak berbau, mereka semua sudah lenyap daripada kawasan tersebut. Nampaknya, perancangan mereka memang teliti dan mereka memang berniat untuk menganiayaiku. Namun begitu, keadilan dan kebenaran tetap wujud. Dengan imformasi lain yang kami dedahkan,tidak lama kemudian, anggota polis berjaya menangkap korporat-korporat yang lain. Sepanjang aku berada di penjara, aku telah banyak berfikir dan aku bernekad untuk mengubah mentalitiku. Walaupun begitu, selepas aku bebas daripada penjara, aku tetap dipandang hina dan dianggap sebagai sampah masyarakat kerana membawa rekod buruk sebagai bekas banduan tetapi ini semua sudah dalam jangkaanku. Namun begitu aku tidak akan berputus asa sebaliknya berusaha meyakinkan orang lain bahawa aku benar-benar sudah berubah dan cuba mengubah tangapan mereka terhadap aku kerana aku sudah bertaubat.
KARYA Yvonne Lim, murid Cikgu Tan

KARANGAN SPM

Industri desa sememangnya tidak boleh dipinggirkan kerana mempunyai potensi yang begitu besar dan penghasilannya juga dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi penduduk dan negara ini.
Ulaskan pernyataan tersebut dan jelaskan cara-cara memajukan industri desa.


Pada alaf baharu ini, sektor perindustrian diberikan tumpuan yang sepenuhmya untuk menjana ekonomi negara. Namun, kebanyakan pihak tidak sedar bahawa industri desa yang juga mampu meningkatkan ekonomi negara semakin dipinggirkan. Sebenarnya, industri ini berpotensi tinggi untuk dimajukan dan dijangka akan memberi banyak sumbangan dalam ekonomi negara. Industri desa merupakan wadah bagi menghasilkan kerja tangan yang dibuat oleh penduduk desa yang masih menggunakan teknik tradisional yang diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka.
Memang tidak dapat disangkal bahawa industri desa merupakan salah satu industri yang berperanan penting di Malaysia. Kebanyakan penduduk di luar bandar tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan ada dalam kalangan mereka terpaksa bekerja dari siang malam semata-mata untuk menyara keluarga mereka. Mereka hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan ada kalanya mereka hanya mengisi perut dengan ubi kayu. Kehidupan mereka di kawasan pedalaman diibaratkan “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Jika industri desa ini dimajukan, maka peluang pekerjaan akan bertambah dan seterusnya taraf kehidupan penduduk desa dapat ditingkatkan. Selain itu, indusri desa yang kaya dengan budaya Malaysia yang “tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan” juga dapat membantu dalam usaha menarik pelancong asing berkunjung ke negara kita.
Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya. Industri desa di negara kita sememangnya dapat dimajukan jika pihak kerajaan dan pihak yang terlibat mengambil inisiatif untuk mengusahakannya. Pihak kerajaan harus sentiasa memberi sokongan dan bantuan kewangan bagi merealisasikan industri desa sebagai penggerak perkembangan dan pertumbuhan ekonomi yang mantap. Industri ini harus diberikan nafas baharu melalui suntikan teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti supaya industri ini mampu menembusi pasaran dunia sekali gus meningkatkan pendapatan negara kita. Masyarakat kita juga harus mengiktiraf industri desa sebagai satu industri yang mampu memberi sumbangan dalam pembangunan negara. Industri ini dijangka akan mendatangkan pulangan yang lumayan dalam masa lima tahun jika kerajaan sanggup peruntukan yang lebih besar kepada industri ini.
Di samping itu, konsep jualan hasil industri desa melalui orang tengah harus digantikan dengan konsep jualan langsung kerana kebanyakan sikap orang tengah diibaratkan enau dalam belukar melapaskan pucuk masing-masing. Mereka mengaut keuntungan yang banyak dengan menjual hasil industri desa dengan harga yang tinggi kepada pengusaha-pengusaha di bandar. Oleh itu, industri desa haruslah bekerjasama dengan badan kerajaan bagai aur dengan tebing bagi menghidupkan industri desa ini. Sebaik-baiknya, industri ini harus diuruskan oleh anak-anak kampung yang berpendidikan supaya mereka berpeluang berbakti kepada tempat kelahiran mereka tanpa perlunya berpindah ke bandar untuk mencari nafkah hidup. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan berperanan penting dalam usaha menggalakan generasi muda masa ini untuk menceburi industri desa supaya industri ini dapat berkembang ke seluruh pelosok dunia dan Malaysia mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.
Dalam usaha memajukan industri desa, para pengusaha perlulah menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran dari negara-negara jiran, seperti Indonesia dan Thailand yang banyak menghasilkan produk tempatan yang berkualiti. Negara kita haruslah bertukar-tukar pendapat dengan negara yang maju dalam industri desa dan mendapat khidmat nasihat daripada golongan profesional dalam bidang ini untuk meningkatkan produktiviti industri luar bandar di negara kita. Selain itu,kita harus pandai mengambil yang jernih dan buang yang keruh dengan menjadikan kejayaan negara-negara lain dalam industri desa sebagai rujukan untuk menjayakan industri ini di negara kita sendiri. Industri desa hendaklah ditransformasi kepada pelbagai perusahaan daripada berbentuk tradisional kepada jenis penghasilan produk yang lebih kreatif dan inovatif untuk menarik hati dan mengagumkan para pembeli. JIka usaha memajukan industri desa dilakukan secara sistematik mengikuti prosedur-prosedur yang disediakan, maka suatu hari nanti industri desa akan mendahului segala industri yang bertaraf antarabangsa.
Bukan itu sahaja, pihak kerajaan haruslah bekerjasama dengan sektor swasta untuk memaksimumkan hasil pengeluaran industri desa. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya pada pihak kerajaan untuk menghidupkan industri desa kerana tepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Kedua-dua pihak ini haruslah berganding bahu untuk memperkenalkan produk tradisional secara komersial kepada dunia luar. Mesin yang lebih canggih harus dibekalkan kepada pengusaha industri desa supaya produk industri desa seperti kraf tangan yang dihasilkan lebih berkualiti. Bekalan produk yang bermutu tinggi sememangnya akan mendapat sambutan yang baik daripada para pembeli di negara kita mahupun pembeli dari negara asing. Penggunaan mesin juga dapat mempercepat proses pengeluaran produk dan meningkatkan kuantiti barangan industri desa yang dihasilkan. Dengan ini, hasil-hasil industri desa dapat dibekalkan kepada pembeli ataupun para pengusaha secara berterusan.
Konklusinya, industri desa sememangnya dapat memberi nafas baru kepada masyarakat luar bandar dan seterusnya meningkatkan pendapatan per kapita negara. Oleh itu, pihak yang terbabit harus sentiasa memastikan bahawa penduduk di kawasan luar bandar diberikan bantuan dan kemudahan yang secukupnya untuk meningkatkan hasil industri desa. Para pengusaha industri ini juga harus melakukan anjakan paradigma selaras dengan keadaan semasa supaya industri desa di negara kita dapat dimajukan ke tahap yang maksimum dan mampu mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Malaysia Boleh!