Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

10 June 2020

KARANGAN BAHAN RANGSANGAN SPM - KEISTIMEWAAN MALAYSIA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN

KEISTIMEWAAN MALAYSIA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN

          Malaysia merupakan antara destinasi pelancongan yang terkenal di seantero dunia dan menjadi pilihan utama pelancong asing. Pelancong- pelancong memilih Malaysia kerana tempat ini ialah destinasi percutian utama sekeluarga. Walaupun Malaysia jauh dari Eropah, tetapi perkara ini tidak menjadi penghalang kepada pelancong yang hendak makan angin di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Pelancong-pelancong tabah menempuh penerbangan jauh yang mengambil masa berbelas-belas jam. Persoalan yang berlegar-legar dalam gawang minda kita ialah apakah keistimewaan yang ada di Malaysia sehingga menjadi destinasi pelancongan yang terkenal di dunia?

          Sebagai bunga mukadimah, Malaysia sangat istimewa sekali kerana negara kita memiliki pantai yang bersih dan cantik. Hal ini dikatakan demikian kerana cuaca di Malaysia panas dan lembap. Bukan itu sahaja, Malaysia terletak di garisan khatulistiwa dengan iklim tropika. Sebagai contohnya, Pantai Cenang di Langkawi mempunyai pemandangan yang indah nian dan pasir putih yang berkilauan terdapat di Pulau Redang. Perkara ini menyebabkan pelancong teruja dan berpuas hati kerana tempat pelancongan di Malaysia bukanlah seperti indah khabar daripada serupa sebagaimana yang berlaku di negara pelancongan lain apabila ada pelancongnya berasa kecewa kerana kecantikan di negara tersebut bukanlah seindah khabar yang disampaikan dalam perkongsian dalam media sosial. Impaknya, lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang diberikan kepada penduduk kita. Dengan usaha ini, kadar pengangguran di negara kita dapat dikurangkan secara tidak langsung dari masa ke masa. Tegasnya, pantai yang bersih dan cantik merupakan keistimewaan di negara Malaysia.

          Jika ditinjau daripada perspektif lain, Malaysia dikurniakan pelbagai jenis makanan tempatan yang sangat unik. Hal ini dikatakan demikian kerana sajian istimewa itu muncul daripada pelbagai air tangan bangsa dan kebudayaan di negara kita. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Pelancong-pelancong yang melancong ke negara kita akan mengenali berbagai-bagai jenis makanan di Malaysia. Sebagai contohnya, sate, lemang, mi goreng mamak, makanan laut, kuetiau goreng, nasi lemak dan sebagainya merupakan antara hidangan yang enak sekali. Natijahnya, makanan tempatan telah menjadi produk pelancongan yang utama dan menghiasi video pelancongan Malaysia. Sesungguhnya, pelbagai jenis makanan tempatan di negara kita telah menjadikan Malaysia sangat istimewa di dunia sejagat.

          Sebagai cetusan idea yang seterusnya, kemudahan pengangkutan awam termoden ialah keistimewaan Malaysia. Kemudahan ini telah memudahkan pelancong-pelancong untuk bergerak ke mana-mana sahaja tanpa melengah- lengahkan masa yang terharga persis kata mutiara masa itu emas kerana masa yang dimiliki oleh mereka untuk melancong tidak lama. Sebagai contohnya, terdapat sistem tren komuter, sistem tren elektronik, kapal terbang, teksi, bas dan sebagainya. Dengan adanya kemudahan yang sedia ada di negara kita, pelancong dapat menjimatkan perbelanjaan mereka sekiranya mereka ukur baju di badan sendiri sewaktu memilih sistem pengangkutan awam agar bersesuaian dengan kemampuan dan perancangan ekonomi mereka. Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia makin istimewa di dalam hati pelancong kerana kemudahan ini memudahkan pelancong-pelancong di negara kita. 

          Akhirulkalam, industri pelancongan perlu dimajukan dengan semua keistimewaan yang dinyatakan di atas. Walau bagaimanapun, kebersihan mesti dijaga oleh semua rakyat Malaysia kerana tindakan ini merupakan antara elemen penting dalam memikat hati pelancong untuk melancong di negara kita. Rakyat Malaysia juga perlu memelihara kebudayaan dan menjaga kesopanan agar nama Malaysia dapat diharumkan. Saya yakin bahawa Malaysia pasti mampu menjadi pusat pelancongan utama di peta dunia dan dapat setanding dengan negara maju lain persis kata aforisme, industri pelancongan mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara yang sudah kesohor dalam industri ini. Oleh hal yang demikian, semua rakyat patut mengetahui semua keistimewaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan agar industri pelancongan di negara kita semakin maju pada masa yang akan datang.


No comments: