Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

11 June 2020

KARANGAN BAHAN RANGSANGAN SPM - PRODUK PELANCONGAN ISTIMEWA DI MALAYSIA


Berdasarkan sumber berita daripada Pejabat Perdana Menteri Malaysia pada 5 *Jun* 2020, ucapan yang bertajuk Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin. Beliau mengatakan bahawa empat langkah untuk *mengaktifkan kegiatan industri pelancongan semula*. Sektor pelancongan dianggap sebagai satu industri yang menguntungkan negara dan bidang ini telah merupakan pendapatan utama kepada rakyat dan negara Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kita bersyukur kerana kita ada banyak produk pelancongan untuk menarik minat pelancong yang dari seluruh dunia. Walau bagaimanapun, sesetengah rakyat Malaysia tidak bersyukur dengan produk pelancongan negara kita, mereka sentiasa melancong ke luar negara. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka tidak sedar bahawa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Negara kita mempunyai banyak produk pelancongan istimewa. Persoalannya, apakah produk pelancongan di Malaysia yang perlu diketahui oleh semua?

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa tempat-tempat menarik di Malaysia mampu menjadi produk pelancongan Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana banyak tempat menarik negara kita telah menjadi mercu tanda yang utama *yang* melabelkan Malaysia di peta dunia. *Sebagai contohnya,* tempat menarik di Malaysia yang paling popular dan digemari oleh para pelancong termasuklah Menara Berkembar Petronas KLCC dan tapak-tapak bersejarah di Melaka. Kita mesti melihat sendiri keistimewaannya kerana tak kenal maka tak cinta. Oleh sebab itu, keistimewaan Malaysia seperti kemegahan bangunan pencakar langit dan keunikan bangunan bersejarah dapat diperhatikan oleh para pelancong. Keistimewaan-keistimewaan tempat menarik tersebut menjadi faktor pendorong kepada kedatangan pelancong ke negara kita. Seperti yang telah dinyatakan, produk pelancongan utama di negara ini ialah tempat-tempat menarik.
Pada masa yang sama, kebudayaan pelbagai kaum merupakan produk pelancongan Malaysia. Sektor pelancongan juga mempromosikan budaya amalan Malaysia yang unik kepada pelancong luar negara. Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik yang unik dan menarik sekali antaranya Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Bajau dan Iban. Walau bagaimanapun, kita menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain, namun masyarakat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersatu padu dan bertolong-tolongan bagai aur dengan tebing. Setiap kaum mempunyai adat dan budaya yang berbeza-beza mampu menarik minat pelancong untuk turut menyertai aktiviti tradisional mereka. Sebagai contohnya, permainan tradisional , persembahan muzik tradisional, dan seni budaya. Persembahan kesenian tradisional seperti wayang kulit, dikir barat dan kuda kepang manakala permainan seperti sepak raga, congkak dan wau yang diamati oleh pelancong mendorong mereka untuk datang semula. Kesannya, para pelancong akan menghayati kebudayaan yang unik apabila melancong ke negara Malaysia. Tegasnya, produk pelancongan berasaskan kebudayaan mestilah kita utamakan.

Sementara itu, Malaysia terkenal sebagai syurga beli-belah juga sebagai produk pelancongan. *Hal ini terjadi demikian kerana* Malaysia mempunyai banyak pusat beli-belah dibuka termasuk yang tidak mengenakan cukai. Sebagai contohnya, Malaysia mempunyai pusat beli-belah yang popular seperti Genting Premium Outlet, Pusat Beli-belah Pavilion dan Midvalley Megamall selalu dikunjungi oleh pelancong domestik dan pelancong asing. Berdasarkan sumber daripada laman web Tourism Malaysia pada 15 Mac 2014, statistik menunjukkan Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai Bandar raya Beli-belah Ke-4 Terbaik dunia selepas New York, Tokyo dan London untuk dua tahun berturut-turut (2012-2013). Akibatnya, pelancong dapat berbelanja di Malaysia dan meningkatkan kadar mata wang . Dengan keadaan sedemikian, rakyat kita juga memperoleh peluang pekerjaan kerana ada gula ada semut. Tuntasnya, pusat beli-belah ialah produk pelancongan yang penting kepada Malaysia.
Secara keseluruhan, industri pelancongan menjadi satu projek atau program pembangunan yang menguntungkan negara daripada pelbagai sudut. Industri pelancongan mampu melestarikan warisan dan memajukan ekonomi negara kita. Industri ini masih perlu diterokai kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh itu, kita haruslah bersikap mesra dengan pelancong dan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk menjaga imej baik Malaysia. Keseluruhan rakyat jelata harus menyelaraskan minda sebagai sebuah negara perkhidmatan setimpal dengan status sebagai sebuah negara maju. Saya berdoa semoga pelancong akan berpuas hati dan memberikan tanggapan baik kepada Malaysia. Produk pelancongan di Malaysia pasti menjadi buah mulut seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka. Kita mesti menjaga dan memelihara produk pelancongan yang ada di Malaysia.

1 comment:

NeQrose said...

Tahniah Cikgu :)