Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

16 March 2018

KECEMERLANGAN DAN PENGUASAAN SUBJEK BM SPM

KECEMERLANGAN DAN PENGUASAAN SUBJEK BM SPM
Kecemerlangan dalam kertas peperiksaan BM dalam SPM ialah tatabahasa. Jika calon peperiksaan memiliki asas dan ilmu bahasa yang baik, idea dapat disemai dalam ayat gramatis dan huraian dalam dibuktikan dengan contoh yang relevan. Masih banyak calon yang gagal mendapatkan A dalam SPM, terutamanya kertas Bahasa Melayu. Jangan hanya mengira jumlah A yang diperoleh calon peperiksaan, kira dan hitung juga punca pelajar gagal dan tidak mendapat kredit dalam subjek Bahasa Melayu SPM. Sesungguhnya, mengekalkan prestasi lebih sukar daripada menjatuhkan nilai prestasi tahunan walaupun kita sedar bahawa kualiti soalan dan murid berbeza setiap tahun.
Beberapa Petua untuk skor A dalam BM SPM adalah seperti yang berikut:
1. Murid haruslah digalakkan membaca majalah keluaran DBP seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, dan Dewan Bahasa. Jika sekolah atau panitia ada peruntukan, langganlah melalui Pengedar Dbp. Daripada pembacaan, ilmu dan pengetahuan kita akan bercambah dan matang. Kebanyakan calon tidak dapat menulis karangan dengan huraian yang matang. Hal ini disebabkan oleh kekurangan istilah sesuai dan gaya bahasa yang menarik dalam penulisan. Sebaliknya, mereka hanya mementingkan kata-kata bombastik sehingga mengabaikan huraian dan contoh yang matang dalam penulisan untuk menyokong idea yang dilontarkan dalam penulisan. Pengunaan penanda wacana yang betul dan sesuai juga kelemahan calon SPM.
2. Murid-murid haruslah dipastikan membawa Kamus Dewan, merujuk Kamus Dewan dan guru-guru pula haruslah berpegang dan bergurukan Tatabahasa Dewan. Jika malu berguru dengan buku rujukan dan kamus, malulah skor A akan tertera pada slip keputusan peperiksaan SPM nanti. Walaupun BM SPM 2017 tidak menolak markah ejaan calon dalam penulisan, namun markah calon tetap terjejas oleh budi bicara guru pemeriksa yang cakna bahasa dan peka eja. Kesilapan ejaan bercantum atau jarak sewaktu menulis kata majmuk dan perkataan berimbuhan apitan acap kali diabaikan oleh calon peperiksaan. Pengaruh bahasa Inggeris juga memberikan tempiasnya kepada calon peperiksaan kerana ada juga yang gagal mengeja "e-mel" kerana malas menyemak kamus. Janganlah kita lupa bahawa Kamus Dewan harus dijadikan rujukan utama dari segi ejaan.
3. Pihak sekolah haruslah memperbanyak aktiviti bertemakan bahasa Melayu daripada mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Minggu Bahasa Melayu tidak mencukupi, Bulan Bahasa Melayu lebih sesuai dijalankan dan pelbagai pertandingan bertemakan bahasa Melayu dapat memberikan sokongan dan dorongan kepada calon peperiksana untuk menguasai subjek Bahasa Melayu. Kebanyakan sekolah yang tidak mampu mencapai keputusan A+ dalam subjek BM kerana murid-muridnya galak dan bangga berbahasa dalam bahasa Inggeris. Guru-guru BM sendiri menggunakan bahasa yang rojak, rancu, dan tidak gramatis sewaktu menghantar mesej atau pesanan kepada murid. Maafkan saya, kebenaran ini jelas kelihatan kerana sebilangan guru subjek BM turut menggunakan singkatan kata seperti "x" untuk "tidak" dalam pesanan ringkas mereka.
4. Kertas soalan sebenar BM SPM sebelum ini haruslah digunakan sebagai latihan. Kaji dan analisis soalan tatabahasa, terutamanya soalan kesalahan istilah dan bahasa serta soalan peribahasa kerana kesalahan seperti "kuantiti" kepada "kualiti" diulang 3 kali termasuk tahun lepas. Soalan peribahasa juga diulang uji tetapi perkara ini tidak dipandang berat oleh murid. Bagi mereka, soalan yang sudah keluar tidak akan keluar lagi. Alangkah ruginya. Rujuklah laman web BM SPM milik Cikgu Mohd Zaki, yakni http://www.bmspm.net/ mahupun laman blog saya www.cikgutancl.blogspot.com untuk mendapatkan soalan sebenar dan soalan-soalan percubaan tahun lepas. Contohnya, lebih 20 set kertas percubaan BM SPM se-Malaysia telah saya kongsikan dalam blog saya. Rugi jika kalian tidak memanfaatkannya.
5. Calon peperiksaan atau guru-guru subjek Bahasa Melayu haruslah menggunakan pelbagai pendekatan untuk mencari ilmu dan latihan untuk anak-anak murid mereka. Oleh sebab beban tugas hakiki diberatkan oleh tugas perkeranian lagi, guru-guru bolehlah mendapatkan buku rujukan daripada guru-guru subjek Bahasa Melayu yang tersohor seperti buku rujukan Impak SPM terbitan Nusamas, tulisan Tuan Haji Khairuddin Ayip, Tuan Zainurin (Nurin Hasbullah) dan pasukannya, buku kerja terbitan Sasbadi, tulisan Pena Senja dan rakan-rakannya serta buku Ilmu Bakti tulisan Darwis Jasmin dan rakan-rakannya. Setiap pasukan penulis ada kepentingan dan kebaikannya. Kehadiran buku-buku ini bertujuan untuk membantu calon peperiksaan. Jangan lupa dapatkan buku kerja untuk membuat ulang kaji.
6. Ibu bapa haruslah memberikan sokongan padu kepada anak-anak mereka. Jikalau anak-anak memerlukan semangat motivasi, ibu bapa pula gagal atau kurang berjaya memberikan motivasi tersebut kepada anak mereka, berikanlah peluang kepada pakar motivasi untuk menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka. Banyak Pakar motivasi seperti Tuan Shiva Ramana dan Dinesh Kumar serta Dato Eswaran berjerayawara di seluruh negara. Dengan barisan penyampai seminar seperti Munsyi Dewan Azhar SallehNor Azizi, dan Samat Gcbm, serta ramai lagi, saya yakin bahawa ilmu baharu dan teknik pembelajaran subjek Bahasa Melayu dapat dipelajari dengan impak maksimum. Kepercayaan harus diberikan oleh guru-guru dan ibu bapa kepada mereka. Dengan berbuat demikian, anak-anak akan mendapat input tambahan daripada seminar tersebut. Hal ini dikatakan demikian lokasi seminar yang berbeza, penyampai ilmu yang berbeza dan gaya penceramah yang berbeza menyebabkan anak-anak terpanggil untuk memotivasikan diri demi mencapai kegemilangan.
7. Anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada pertengahan November ini juga perlulah membuat persediaan rapi. Komsas dan Novel mestilah dibaca dan dikaji serta analisis kekerapan soalan juga mestilah dikaji. Pada masa yang sama, latihan penulisan berkesan memainkan peranan penting untuk skor dalam BM SPM. Buku Penulisan Berkesan Sakura daripada sahabat saya, Puan Nor Mizah dan Munsyi Dewan Mohd Salleh di Utara sana amat sesuai untuk dijadikan panduan. Saya sendiri menghadiri bengkel penulisan mereka untuk memperbaik dan meningkatkan ilmu penulisan dalam diri. Jangan lupalah kata orang tua-tua bahawa segan bertanya sesat jalan. Janganlah segan silu apabila menimba ilmu. Dengan berbuat begitu, kita akan berjaya memecah tradisi pemikiran dan mengorak langkah untuk berjaya dalam SPM.
8. Kebanyakan sekolah mengadakan seminar bahasa atau seminar teknik menjawab soalan sekali setahun, itupun hanya tertumpu pada murid Tingkatan 5 sahaja. Saya beranggapan bahawa pendedahan awal haruslah diberikan kepada anak-anak murid supaya mereka mendapat ilham, idea, dan ilmu lebih awal. Seminar bahasa atau seminar teknik menjawab soalan PT3 umpamanya, haruslah bermula sejak Tingkatan 1. Untuk peringkat SPM, murid Tingkatan 4 juga haruslah mendapat pendedahan awal. Mereka juga perlulah bersiap sedia lebih awal untuk menghadapi peperiksaan. Maklumlah, sistem SPM masih lagi berorientasikan peperiksaan awam. Oleh sebab itu, pendedahan awal memberikan kesan yang berganda kepada calon SPM.
9. Murid-murid bolehlah membentuk satu kumpulan perbincangan ilmu bahasa Melayu dengan guru-guru subjek Bahasa Melayu. Grup Whatsapp atau Telegram ini bukan sahaja mendekatkan murid dengan guru, tetapi juga menambah pengetahuan dan mempergiat perbincangan antara guru dengan murid. Guru-guru bolehlah menentukan waktu yang sesuai, contohnya pukul 9.30-10.00 malam untuk sesi perbincangan ilmu bahasa setiap hari bekerja. Dengan berbuat begitu, anak-anak murid tidak akan menyalahgunakan wahana perbincangan ini untuk tujuan sembang santai sahaja. Pada pendapat saya, kita harus memandang dan menggunakan teknologi komunikasi dari sudut positif. Dengan berbuat begitu, kita tidak akan menyalahgunakannya. Percayalah bahawa impaknya amat besar. Murid tidak akan malu bertanya soalan dan guru juga dapat mengenal pasti kelemahan murid.
10. Karangan sering kali dilabelkan sebagai "killer" atau pembunuh skor A+ murid. Guru-guru harus giat mencari karangan yang cemerlang tahapnya untuk dikongsikan bersama dengan anak murid. Bengkep penulisan yang dijalankan oleh ayahanda, Tuan Haji Ishak Md Shah juga penting untuk melonjakkan keputusan anak-anak murid di sekolah. Karangan-karangan murid yang cemerlang perlu diimbas "scan" dan dicetak sebagai sampel kepada murid. Kesilapan-kesilapan dalam karangan perlulah dirakamkan untuk disiarkan kepada murid tanpa menyiarkan nama pemiliknya. Tujuannya, kita belajar kesalahan bahasa dalam karangan dan memperbaik kualiti karangan serta membaiki kesilapan umum seperti imbuhan, kesalahan bahasa, dan ejaan di dalam sesi perbincangan dan pembentangan di dalam kelas. Guru-guru boleh menggunakan rajah i-Think, pendekatan PA 21 dalam soal ini agar Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPC) tidak menjadi bosan. Maklumlah, karangan biasanya dianggap topik bosan oleh kebanyakan pelajar, terutamanya yang sederhana dan lemah. Janganlah kita mudah berputusa asa terhadap sikap dan kerenah mereka kerana merekalah harapan kita dan mereka memerlukan bimbingan kita, di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Segala idea di atas hanyalah pendapat hamba. Hamba meminta maaf sekiranya guru-guru tergores hati atau tercalar jiwa oleh kata-kata saya. Walau bagaimanapun, kejayaan sesebuah sekolah dalam subjek Bahasa Melayu memainkan peranan penting kerana anak-anak akan berpeluang meneruskan pengajian mereka di peringkat yang lebih tinggi. Dengan peluang daripada kredit dalam BM SPM, mereka akan berpeluang untuk mengubah landskap kualiti kehidupan dan mengorak langkah jauh ke hadapan untuk merealisasikan impian dan aspirasi negara menjadi negara maju.
Kongsikan kepada kawan-kawan, guru-guru, ibu bapa, dan murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan SPM sekiranya anda bersetuju dengan pandangan saya.
Salam hormat.

2 comments:

Guru Indonesia said...

DRP

Unknown said...

Di mana boleh dapatkan buku bahasa melayu Buku penulisan Sakura?