Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

25 March 2018

PROGRAM BUAL BICARA ILMU TITISAN ILMU TABURAN BUDI SIRI 6


PROGRAM BUAL BICARA ILMU
TITISAN ILMU TABURAN BUDI SIRI 6


Pada 19 Mac 2017, Program Bual Bicara Ilmu yang bertemakan Titisan Ilmu Taburan Budi (TITB) siri ke-6 telah berlangsung dengan lancarnya di Dewan Auditorium Panggung Seri Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka dengan 110 orang peserta dari seluruh negara. Pihak urus setia ingin mengalungkan penghargaan kepada semua penceramah dan penaja yang menyokong program ini. Program ini telah dijalankan mengikut jadual, yakni pada pukul 8 pagi hingga 5.00 petang.

Seawal 7.15 pagi, peserta dari seluruh negara yang berkampung di Melaka, Negeriku Sayang telah berkumpul di bangunan pentadbiran JKKN Melaka. Sejurus mendaftarkan diri, para peserta mendapat bingkisan utama mereka, yakni beg tajaan pihak Majalah Pendidik. Pihak Penganjur amat berterima kasih kepada Encik Ghani, ketua editor majalah Pendidik yang berusaha membawa wartawan daripada majalah pendidik untuk membuat liputan sepanjang program ilmiah ini. Dalam beg yang ditaja itu, peserta mendapat bahan seperti buku, majalah, nota, dan pen yang ditaja oleh Hotel Kobemas, Melaka serta pensel tajaan Hotel Mudzaffar, Melaka.

Tepat pada pukul 8.00 pagi, Sasterawan Negara Dato' Dr. Zurinah Hassan memasuki dewan dengan busana tradisional yang indah setelah dijemput oleh pengacara yang bertugas. Beliau terus menyampaikan ucapan perasmian lalu menyampaikan tajuk ceramah beliau, yakni Pembestarian Puisi Melayu dalam Seni Didik Hibur Alaf Baharu. Selain memperkenalkan pantun, beliau juga menyampaikan ilmu nazam dan mendendangkan lagu nazam dengan baiknya secara langsung. Peserta terpaku mendengar nyanyian beliau. Beliau dalam seminarnya berharap agar guru-guru menyampaikan ilmu bahasa dengan seni bahasa yang indah agar Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPC) menjadi lebih hidup. Ilmu yang disampaikan oleh beliau pasti terpahat kukuh di dalam sukma para peserta.

Selepas itu, kejutan pertama, iaitu kehadiran Puan Zaiton daripada Jabatan Perancangan Kesusasteraan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sudi hadir dan berkongsi ilmu penyampaian syair dengan pelbagai irama kepada para peserta telah mengujakan para peserta. Di samping itu, majlis mendapat kejutan kedua apabila Cikgu Sufrie Lauser telah membawa seorang murid daripada SK Kg Tun Razak, Adik Azri Bin Samad sebagai tetamu kejutan majlis ini untuk mendendangkan syair. persembahan Adik Azri mendapat perhatian daripada Sasterawan Negara dan audiens di dalam auditorium. Ternyatalah anak muda ini layak mendapat pujian daripada audiens dan penceramah jemputan.

Pada pukul 10 pagi, para peserta dan penceramah ke tempat makan khas TITB untuk menikmati minum pagi. Majlis diteruskan dengan penampilan penceramah kedua, iaitu Cikgu Md Ramli Sabran yang tersohor dengan ilmu penyampaian dan slaid yang cantik dan menarik perhatian peserta. Beliau telah menyampaikan ceramah yang bertajuk Teknik Intensif Kemenjadian A+ dalam Bahasa Melayu UPSR. Beliau yang sempat menyampaikan teknik penulisan untuk calon hampir lulus (HALUS) dan calon gagal lulus (GALUS) berjaya memukau para peserta sehingga mereka tidak berganjak dari tempat duduk. Cikgu Ramli berharap agar guru-guru akan terus berjuang dan menggunakan pelbagai pendekatan untuk menyampaikan ilmu kepada murid-murid di sekolah. Kehadiran Cikgu Ramli sebagai penulis utama subjek Bahasa Melayu Syarikat Penerbitan Bagus dan Ilmu Bakti menyebabkan peserta mendapat tuah berganda apabila tajaan daripada sebuah buku menjadi tiga buah buku, yakni dua buah buku daripada penerbit Ilmu Bakti dan sebuah buku daripada Penerbit Bagus.

Peserta tersenyum lebar kerana mendapat satu demi satu tajaan yang dimohon oleh penganjur. Majlis ilmu ini juga dihadiri oleh penulis buku Percikan A UPSR yang semakin hangat dalam pasaran, Tuan Asri Ayob. Pihak penerbit buku yang hebat itu juga bersetuju menaja Buku Percikan A+ kepada setiap peserta. Peserta di dalam auditorium dikejutkan oleh pengumuman tajaan berikutnya, iaitu buku simpulan bahasa daripada Pascal Glocal Corp Sdn. Bhd. Majlis ilmu ini diteruskan oleh penceramah ketiga, iaitu Cikgu Tan CL yang telah menyampaikan tajuk Teknik Penghayatan dan Asprisiasi Nilai dalam Puisi dalam Komsas. Pelbagai teknik transformasi makna puisi sekolah rendah dan sekolah menengah telah disampaikan. Penceramah ini berharap agar guru-guru sekolah tidak sekali-kali mengabaikan penggunaan puisi yang disediakan dalam buku teks. Pelbagai idea PdPc dapat dijanakan melalui penggunaan puisi tersebut kepada penulisan dan penggubalan soalan peperiksaan.

Pada pukul 12.45 tengah hari, yakni 15 minit sebelum peserta menikmati makan tengah hari, dewan auditorium digamatkan oleh kehadiran penyanyi popular, yang juga Juara Gegar Vaganza Musim Ketiga, Saudari Azharina Azhar. Penyanyi yang bersuara merdu ini ditemani teman baiknya, yang juga pemilik Sri Sari Spa yang terletak di Shah Alam. Penyanyi Azharina Azhar menaja 50 batang lipstik berkilat (lips gloss) daripada syarikatnya, Nyna Beauty Cosmetic dan Puan Nur Binti Amri daripada Sri Sari Spa yang menaja sabun organik dan baucar spa. Jumlah tajaan mereka bedua ialah RM5000. 50 orang peserta bertuah turut dijemput ke pentas untuk menerima hadiah tajaan. Selain bergambar dengan peserta, penyanyi Azharina juga menyanyikan lagu hari jadi kepada peserta dari Tanjung Malim, Cikgu Azman. Walaupun lapar, para peserta seolah-olah tidak mahu berganjak dari tempat duduk mereka. Pengalaman inilah yang menggamit kepuasan kepada Tuan Penganjur, Puan Ashikin.

Pada pukul 1.00 tengah hari hingga 2.00 petang, peserta menjamu selera di kawasan berkhemah di belakang Panggung Seri JKKN. Katering tempatan yang ditempah tidak menghampakan kami dengan makanan yang sedap dan menyelerakan sehingga Dato’ Dr. Zurinah Hassan dan penyanyi popuar, Azharina Azhar pun berpuas hati dengan makanan yang disajikan. Ayam masak merah, nasi tomato, dalca dan buah-buahan kami nikmati dengan puasnya. Sementara itu, peserta yang selesai menunaikan sembahyang zuhur pula berkumpul di kawasan pekarangan pentadbiran untuk membeli buku-buku yang dibawa oleh penaja dan penceramah. Kaunter jualan buku diserikan oleh lebih daripada 5 penjual buku, iaitu Encik Joe Labu yang menjual CD dan buku-buku ibu kesayangannya, Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Encik Gerald daripada penerbit PGC yang menerbitkan buku Percikan A, tulisan Tuan Asro Ayob berjaya menjual 139 buah buku. Cikgu Ramli Sabran dan isteri serta anaknya pula menjual buku-buku tulisan Cikgu Ramli sendiri serta beberapa tajuk buku daripada penerbit Ilmu Bakti. Staf NYNA Kosmetik dan Sari Spa juga membuka reruai mini untuk jualan lipstik berkilau dan produk spa mereka. Pada masa yang sama, Cikgu Azhar Salleh juga menjual buku Memanah Kejora dan Guru Jutawan pada penghujung seminar.

Tepat pada pukul 2.00 petang, disiplin peserta tampak kelihatan apabila mereka sudah memasuki dewan dan bersiap sedia untuk mendengar seminar daripada Cikgu Azhar Salleh yang bertajuk Teknik Pengajaran Tatabahasa dalam PdPc Bahasa Melayu. Guru-guru khusyuk mendengar celoteh beliau yang berintikan ilmu sebagai sajian minda. Peserta juga bertanyakan soalan kepada penceramah yang prolifik ini. Munsyi Dewan Azhar Salleh juga tidak teragak-agak dengan jawapannya kerana pengalamannya luas dalam bidang bahasa, terutamanya kajian sosiolinguistik yang dilakukan oleh beliau bersama anak-anak muridnya di UPM memberikan keyakinan dan kematangan kepada beliau untuk menjawab segala persoalan yang muncul tentang tatabahasa. Hampir dua jam beliau menyampaikan seminar dengan nota tatabahasa dan soalan tatabahasa yang diberikan kepada peserta. Para peserta tampak lebih yakin menyampaikan ilmu kepada anak-anak murid di sekolah nanti kerana banyak persoalan dapat diungkai dan dijawab oleh penceramah tatabahasa yang tersohor di negara kita ini.

Sebelum majlis bersurai, Tuan Penganjur TITB 6, Cikgu Ashikin mengambil kesempatan untuk menyampaikan 10 naskhah buku yang ditaja oleh penulis cerpen terkenal negara, iaitu Cikgu Mohd Helmi Ahmad yang sudi menaja 5 naskhah Kumpulan Puisi Madu di Tangan dan Kumpulan Cerpen Bila Ayah Berkaca Mata. Sementara itu, penulis novel kakak-kanak yang semakin hangat di pasaran dengan undangan oleh stesen radio, iaitu Saudari Chua Pei Yong yang juga sudi menaja 10 naskhah novel Addison, Aku Tetap Juara! Selepas itu, penaja-penaja lain seperti Taman Buaya, Taman Rama-rama, Rumah Terbalik Melaka, The Shore Oceanarium Melaka, dan The Pirates Adventure & Melaka Alive turut bermurah hati menyumbangkan baucar dan tiket masuk kepada peserta yang bertuah. Pihak penganjur juga berasa bangga untuk mengumumkan bahawa Wardah Communication Sdn Berhad, Majalah Pendidik, Gallery Bookstore, Yayasan Salleh Saidin yang menaja majalah Utusan Pelajar, serta penerbit-penerbit buku yang sudi menaja buku dan majalah kepada peserta. Dengan bangganya, pengacara majlis mengumumkan jumlah tajaan kali ini ialah lebih RM29,000. Peserta memberikan tepukan paling gemuruh kepada penganjur TITB 6 yang nampaknya berpuas hati dengan persiapan dan kelancaran Program Bual Bicara Ilmu TITB 6 kali ini. Majlis ilmu ini berakhir dengan sesi fotografi bersama penceramah. Pelbagai kenangan indah dan menarik dibawa pulang oleh peserta kali ini. Pihak Penganjur TITB 6 berharap agar peserta bergembira sambil menimba ilmu secara santai daripada penceramah undangan kali ini.

Terbang lalu burung kedidi,
Hinggap nanti di tebing tunjangan;
Titisan ilmu taburan budi,
Tuainya pasti menggamit kenangan.

Pasti bertemu emas berkilauan,
     Menuai padi dalam jelapang;
Titisan ilmu lautan harapan,
     Taburan budi pasti dikenang.





































No comments: