Amalan kitar semula memberikan keuntungan kepada pelbagai pihak sekiranya
dilakukan secara kolektif.
Bincangkan manfaat-manfaat yang diperoleh sekiranya kitar semula menjadi amalan
dalam kehidupan seharian.
“Kitar Semula,
Fikir Dulu Sebelum Buang” begitulah bunyi laungan slogan yang sering terpapar
dan terpampang di mana-mana sahaja yang menuntut kerjasama dan sokongan
pelbagai pihak dalam menyuburkan amalan kitar semula di negara yang tercinta
ini. Dalam menyingkap tabir alaf baharu dan dalam menongkah arus globalisasi
yang pantas bertolak bagai belut diketil ekor ini, hampir saban hari mauduk
tentang kepentingan mempraktikkan amalan kitar semula kepada semua strata
masyarakat sering dibincangkan melalui media massa arus perdana di negara kita.
Kes pencemaran alam sekitar semakin melonjak dan tidak pernah surut dari
setahun ke setahun. Lebih ruwet lagi kes-kes ini acap kali mendatangkan
kesusahan kepada semua pihak. Senario ini amat menyedihkan kita memandangkan
kita sedang memacu arus kemodenan dengan menghamparkan landasan keimanan Apa
yang merisaukan kita ialah generasi muda kini sering mengabaikan aspek
kebersihan dan tidak membudayakan amalan kitar semula kerana tidak mengetahui akan
kemaslahatan amalan ini dalam kehidupan seharian. Oleh, itu formula penyelesaian segera untuk menyuburkan
amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat Malaysia perlu difikirkan dan
pendekatan yang efektif perlu diimplementasikan sebelum nasi menjadi bubur.
Persoalannya ialah apakah faedah-faedah apabila menjadikan kitar semula sebagai
etos dalam kalangan masyarakat di negara kita? Segala persoalan yang mewarnai
mauduk diskusi di atas wajib dikupas hingga ke akar umbinya.
Menelusuri
perbincangan ini, salah satu faedah yang signifikan ialah ibu bapa dapat menjimatkan
wang perbelanjaan isi rumah dengan mengamalkan amalan kitar semula barangan
terpakai di rumah. Persoalan yang muncul dalam benak kita bagaimanakah kesan
sekiranya ibu bapa dapat menarik minat anak-anak untuk menjadikan amalan ini sebahagian
daripada rutin harian mereka? Pemikir tersohor dan tokoh ilmuwan yang disegani
di negara kita Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menyatakan bahawa rumah
merupakan institusi pertama anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor
pertama bagi mereka. Ibu bapa seyogialah menunjukkan kepada anak-anak manfaat-manfaat
yang diperoleh sekiranya mereka mengamalkan amalan kitar semula di rumah.
Negara menaruh harapan yang menggunung kepada ibu bapa untuk menjadi suri
teladan bagi melakar dan mewarnai potret kehidupan cemerlang anak-anak agar
generasi akan datang sedar akan kepentingan amalan kitar semula ini. Jika ibu
bapa menjadikan diri mereka sebagai rol model dalam mempraktikkan budaya kitar
semula ini di rumah maka anak-anak akan menaruh minat kepada amalan ini sejak
kecil kerana peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa bapa borek anak rintik.
Oleh itu, ayuhlah ibu bapa marilah berkorban demi menyuburkan amalan kitar
semula dalam kalangan anak-anak daripada dilupakan sebelum padi di tangan menjadi
lalang dan ayam ditambat disambar helang. Setegas-tegasnya dinyatakan bahawa faedah
yang paling yang vital apabila menjadikan kitar semula sebagai amalan hidup
ialah ibu bapa dapat menjimatkan wang perbelanjaan isi rumah mereka.
Selain memberi
faedah kepada ibu bapa, masyarakat juga mendapat faedah yang besar sekiranya
kitar semula menjadi budaya dalam masyarakat kita. Setiap anggota masyarakat
harus menjunjung tinggi sikap bekerjasama dan bertoleransi yang menjadi senjata
utama untuk menjayakan kempen kitar semula ini. Profesor Adam Smith seorang
pakar sosiologi dan tokoh akademik dari Universiti Harvard mentakrifkan
masyarakat sebagai komuniti manusia yang tinggal bersama-sama dan mendapat
kepentingan bersama. Persoalan yang bermain-main dalam minda kita ialah
bagaimana seluruh masyarakat Malaysia memperoleh manfaat apabila mereka
berganding bahu bantu-membantu dan bahu-membahu mewujudkan sikap cinta akan
alam sekitar dengan menyokong budaya kitar semula ibarat kata pepatah Melayu
yang terbilang ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni? Masyarakat
Malaysia dapat dikategorikan kepada dua kelompok utama yakni pertama masyarakat
yang melakukan kitar semula demi menjaga alam sekitar daripada tercemar
manakala masyarakat kedua ialah masyarakat yang pentingkan diri sendiri dan
sering mengabaikan penjagaan alam sekitar. Jika masyarakat yang mempunyai sikap
mementingkan diri sendiri dapat dikurangkan dan dihapuskan bagi menyahut slogan
yang berbunyi “Kitar Semula Tanggungjawab Bersama” pasti persekitaran di bumi
tercinta ini bersih dan terjaga. Masyarakat harus merafakkan kesyukuran dan
memanjatkan doa kepada Tuhan sekalian alam kerana dapat mendiami sebuah negara
yang aman dan sejahtera serta terhindar daripada sebarang pencemaran alam yang
teruk kerana kita sering bersatu hati untuk mengamalkan kitar semula persis
peribahasa Melayu yang berbunyi bagai aur dengan tebing. Tegasnya, masyarakat
merupakan lokomotif utama yang mendapat manfaat apabila amalan kitar semula
dalam kehidupan seharian kerana terdapat pepatah Melayu menyatakan bahawa
‘hidup bersama menjadi tradisi bak sirih, serumpun bak serai harus dijadikan
pegangan hidup bermasyarakat di negara ini.
Banyak kebaikan yang boleh diperoleh
dengan mengitar semula, bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada manusia,
malahan kepada haiwan dan alam sekitar. Kamus Oxford
yakni kamus paling lengkap lagi terperinci mendefinisikan alam sekitar sebagai
benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi
atau sebahagian daripadanya. Alam sekitar juga boleh dipanggil flora dan fauna.
Persoalan yang bermain di minda kita ialah bagaimanakah kesan kepada alam sekitar
di negara kita jika kita dapat berganding bahu, bantu-membantu dan bahu-membahu
untuk mempraktikkan amalan kitar di negara jalur gemilang ini? Pemeliharaan dan
pemuliharaan alam sekitar di negara kita bukan saja memberikan keselesaan
kepada masyarakat malah dapat menggamit pelancong asing untuk datang ke bumi
bertuah ini seterusnya melonjakkan nama negara sebagai destinasi yang kaya dengan
keindahan flora dan fauna. Kehadiran pelancong daripada pelbagai negara ini
bakal memulihkan ekonomi negara kerana kemajuan industri pelancongan negara
yang setaraf dengan negara lain yang kaya dengan keindahan flora dan fauna
seperti Indonesia, India, New Zealand dan sebagainya. Industri pelancongan
negara janganlah sesekali mengutamakan pembangunan bandar pelancongan seperti
taman tema permainan dengan mengabaikan keindahan alam sekitar semula jadi yang
terdapat di negara ini persis peribahasa Melayu kera di hutan disusukan, anak di
rumah mati kelaparan. Baru berkilat sudah berkilau, bulan sangkap tiga puluh kepentingan
kitar semula di negara kita bukan sahaja kepada manusia, malah alam sekitar
semula jadi turut mendapat tempiasnya seperti kata peribahasa Melayu ke mana
tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Seterusnya, masalah kesan rumah hijau
dapat dikurangkan melalui kitar semula. Menurut kajian yang dijalankan oleh
Universiti Sains Malaysia, penghasilan barang baharu daripada bahan mentah menggunakan
lebih banyak tenaga berbanding menghasilkan barang baharu daripada barang
terbuang. Persoalan yang
bermain-main dalam minda kita ialah bagaimana penghasilan barang baharu ini akan
mengundang pencemaran alam sekitar dan pemanasan global? Umum mengetahui bahawa
gas-gas yang dikeluarkan dari kilang seperti karbon monoksida , sulfur
oksida dan metana merupakan punca kesan rumah hijau sekali gus menjurus kepada
pemanasan global. Lebih ruwet lagi apabila kajian yang dilakukan
oleh Universiti Harvard mendapati suhu bumi telah meningkat dua darjah dan
kadarnya berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu. Jika kita membandingkan negara di seantero dunia,
negara yang pesat membangun sering mengabaikan aspek penjagaan alam sekitar dan
mementingkan pembangunan ekonomi semata-mata seterusnya membawa kepada
pencemaran alam sekitar dan pemanasan suhu dunia. Impaknya, masyarakat dunia
turut menerima tempiasnya dan berhadapan dengan risiko suhu panas yang melampau
kerana pepatah Melayu ada menyatakan bahawa akibat nila setitik rosak susu
sebelanga. Tegas-setegasnya, masyarakat dunia akan mendapat manfaat apabila
amalan kitar semula dalam kehidupan seharian mereka kerana dapat mengurangkan
kesan rumah hijau.
Sebagai akhir
kalam, kitar semula juga dapat mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu.
Kebanyakan bahan mentah diperoleh daripada sumber hutan. Misalnya, kertas
diperbuat daripada pokok dan tayar-tayar kenderaan diperbuat daripada getah.
Persoalan yang bermain-main di minda kita ialah bagaimanakah jika sumber-sumber
ini habis digunakan tanpa disimpan untuk generasi akan datang? Data-data
statistik yang sahih lagi jitu yang diajukan oleh akhbar Metro yakni akhbar
arus perdana yang mempunyai pembaca paling ramai di Malaysia melaporkan bahawa
hamper 69.7% hutan di negara kita telah digondolkan untuk tujuan pembangunan
bandar dan sebagai penggunaan bahan mentah. Jika masyarakat sedar bahawa
kawasan hutan merupakan tempat tadahan hujan dan tempat tinggal bagi flora dan
fauna yang amat berharga kepada generasi akan datang pasti mereka akan berusaha
melestarikan penggunaan alam sekitar dengan membudayakan amalan kitar semula
yang dapat mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu. Jelaslah, sudah terang
lagi bersuluh amalan kitar semula akan menjadikan hutan terus kekal sebagai
habitat bagi flora dan fauna yang terdapat di negara ini.
Perbincangan
tentang mauduk kepentingan kitar semula telah meniti ke puncaknya maka sebagai
kesimpulan kerajaan perlulah sedar bahawa di sebalik pembangunan fizikal,
kebendaan dan infrastruktur kelas pertama tetapi masalah pencemaran alam
sekitar diabaikan sejak akhir-akhir ini. Pemimpin negara haruslah menjadi
khalifah di muka bumi Tuhan yang bertanggungjawab untuk memakmurkan ala mini
agar kita terus menyokong usaha kitar semula ini. Masyarakat perlu menyedari
bahawa amalan kitar semula telah mendatangkan banyak kemaslahatan dalam
kehidupan seharian mereka sama ada dari segi ekonomi, persekitaran dan
kesihatan. Masyarakat haruslah bersinergi dengan pelbagai pihak dalam usaha
menjayakan kempen kitar semula yang telah dijalankan oleh kerajaan agar
generasi yang akan datang akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.
3 comments:
Thank you very much sir,for your guidance and exercises for spm 2017.it’s help me a lot and hope for others too…
GG bossku
Bagus karangan tu ....sanagat membantu
Post a Comment