Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

2 November 2017

TEMA SASARAN SPM - manfaat-manfaat yang diperoleh sekiranya kitar semula menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

Amalan kitar semula memberikan keuntungan kepada pelbagai pihak sekiranya dilakukan secara kolektif.
Bincangkan manfaat-manfaat yang diperoleh sekiranya kitar semula menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

“Kitar Semula, Fikir Dulu Sebelum Buang” begitulah bunyi laungan slogan yang sering terpapar dan terpampang di mana-mana sahaja yang menuntut kerjasama dan sokongan pelbagai pihak dalam menyuburkan amalan kitar semula di negara yang tercinta ini. Dalam menyingkap tabir alaf baharu dan dalam menongkah arus globalisasi yang pantas bertolak bagai belut diketil ekor ini, hampir saban hari mauduk tentang kepentingan mempraktikkan amalan kitar semula kepada semua strata masyarakat sering dibincangkan melalui media massa arus perdana di negara kita. Kes pencemaran alam sekitar semakin melonjak dan tidak pernah surut dari setahun ke setahun. Lebih ruwet lagi kes-kes ini acap kali mendatangkan kesusahan kepada semua pihak. Senario ini amat menyedihkan kita memandangkan kita sedang memacu arus kemodenan dengan menghamparkan landasan keimanan Apa yang merisaukan kita ialah generasi muda kini sering mengabaikan aspek kebersihan dan tidak membudayakan amalan kitar semula kerana tidak mengetahui akan kemaslahatan amalan ini dalam kehidupan seharian.  Oleh, itu formula penyelesaian segera untuk menyuburkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat Malaysia perlu difikirkan dan pendekatan yang efektif perlu diimplementasikan sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya ialah apakah faedah-faedah apabila menjadikan kitar semula sebagai etos dalam kalangan masyarakat di negara kita? Segala persoalan yang mewarnai mauduk diskusi di atas wajib dikupas hingga ke akar umbinya.

Menelusuri perbincangan ini, salah satu faedah yang signifikan ialah ibu bapa dapat menjimatkan wang perbelanjaan isi rumah dengan mengamalkan amalan kitar semula barangan terpakai di rumah. Persoalan yang muncul dalam benak kita bagaimanakah kesan sekiranya ibu bapa dapat menarik minat anak-anak untuk menjadikan amalan ini sebahagian daripada rutin harian mereka? Pemikir tersohor dan tokoh ilmuwan yang disegani di negara kita Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menyatakan bahawa rumah merupakan institusi pertama anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka. Ibu bapa seyogialah menunjukkan kepada anak-anak manfaat-manfaat yang diperoleh sekiranya mereka mengamalkan amalan kitar semula di rumah. Negara menaruh harapan yang menggunung kepada ibu bapa untuk menjadi suri teladan bagi melakar dan mewarnai potret kehidupan cemerlang anak-anak agar generasi akan datang sedar akan kepentingan amalan kitar semula ini. Jika ibu bapa menjadikan diri mereka sebagai rol model dalam mempraktikkan budaya kitar semula ini di rumah maka anak-anak akan menaruh minat kepada amalan ini sejak kecil kerana peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa bapa borek anak rintik. Oleh itu, ayuhlah ibu bapa marilah berkorban demi menyuburkan amalan kitar semula dalam kalangan anak-anak daripada dilupakan sebelum padi di tangan menjadi lalang dan ayam ditambat disambar helang. Setegas-tegasnya dinyatakan bahawa faedah yang paling yang vital apabila menjadikan kitar semula sebagai amalan hidup ialah ibu bapa dapat menjimatkan wang perbelanjaan isi rumah mereka.

Selain memberi faedah kepada ibu bapa, masyarakat juga mendapat faedah yang besar sekiranya kitar semula menjadi budaya dalam masyarakat kita. Setiap anggota masyarakat harus menjunjung tinggi sikap bekerjasama dan bertoleransi yang menjadi senjata utama untuk menjayakan kempen kitar semula ini. Profesor Adam Smith seorang pakar sosiologi dan tokoh akademik dari Universiti Harvard mentakrifkan masyarakat sebagai komuniti manusia yang tinggal bersama-sama dan mendapat kepentingan bersama. Persoalan yang bermain-main dalam minda kita ialah bagaimana seluruh masyarakat Malaysia memperoleh manfaat apabila mereka berganding bahu bantu-membantu dan bahu-membahu mewujudkan sikap cinta akan alam sekitar dengan menyokong budaya kitar semula ibarat kata pepatah Melayu yang terbilang ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni? Masyarakat Malaysia dapat dikategorikan kepada dua kelompok utama yakni pertama masyarakat yang melakukan kitar semula demi menjaga alam sekitar daripada tercemar manakala masyarakat kedua ialah masyarakat yang pentingkan diri sendiri dan sering mengabaikan penjagaan alam sekitar. Jika masyarakat yang mempunyai sikap mementingkan diri sendiri dapat dikurangkan dan dihapuskan bagi menyahut slogan yang berbunyi “Kitar Semula Tanggungjawab Bersama” pasti persekitaran di bumi tercinta ini bersih dan terjaga.  Masyarakat harus merafakkan kesyukuran dan memanjatkan doa kepada Tuhan sekalian alam kerana dapat mendiami sebuah negara yang aman dan sejahtera serta terhindar daripada sebarang pencemaran alam yang teruk kerana kita sering bersatu hati untuk mengamalkan kitar semula persis peribahasa Melayu yang berbunyi bagai aur dengan tebing. Tegasnya, masyarakat merupakan lokomotif utama yang mendapat manfaat apabila amalan kitar semula dalam kehidupan seharian kerana terdapat pepatah Melayu menyatakan bahawa ‘hidup bersama menjadi tradisi bak sirih, serumpun bak serai harus dijadikan pegangan hidup bermasyarakat di negara ini.  

Banyak kebaikan yang boleh diperoleh dengan mengitar semula, bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada manusia, malahan kepada haiwan dan alam sekitar. Kamus Oxford yakni kamus paling lengkap lagi terperinci mendefinisikan alam sekitar sebagai benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi atau sebahagian daripadanya. Alam sekitar juga boleh dipanggil flora dan fauna. Persoalan yang bermain di minda kita ialah bagaimanakah kesan kepada alam sekitar di negara kita jika kita dapat berganding bahu, bantu-membantu dan bahu-membahu untuk mempraktikkan amalan kitar di negara jalur gemilang ini? Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di negara kita bukan saja memberikan keselesaan kepada masyarakat malah dapat menggamit pelancong asing untuk datang ke bumi bertuah ini seterusnya melonjakkan nama negara sebagai destinasi yang kaya dengan keindahan flora dan fauna. Kehadiran pelancong daripada pelbagai negara ini bakal memulihkan ekonomi negara kerana kemajuan industri pelancongan negara yang setaraf dengan negara lain yang kaya dengan keindahan flora dan fauna seperti Indonesia, India, New Zealand dan sebagainya. Industri pelancongan negara janganlah sesekali mengutamakan pembangunan bandar pelancongan seperti taman tema permainan dengan mengabaikan keindahan alam sekitar semula jadi yang terdapat di negara ini persis peribahasa Melayu kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Baru berkilat sudah berkilau, bulan sangkap tiga puluh kepentingan kitar semula di negara kita bukan sahaja kepada manusia, malah alam sekitar semula jadi turut mendapat tempiasnya seperti kata peribahasa Melayu ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Seterusnya, masalah kesan rumah hijau dapat dikurangkan melalui kitar semula. Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia, penghasilan barang baharu daripada bahan mentah menggunakan lebih banyak tenaga berbanding menghasilkan barang baharu daripada barang terbuang. Persoalan yang bermain-main dalam minda kita ialah bagaimana penghasilan barang baharu ini akan mengundang pencemaran alam sekitar dan pemanasan global? Umum mengetahui bahawa gas-gas yang dikeluarkan dari kilang seperti karbon monoksida , sulfur oksida dan metana merupakan punca kesan rumah hijau sekali gus menjurus kepada pemanasan global.  Lebih ruwet lagi apabila kajian yang dilakukan oleh Universiti Harvard mendapati suhu bumi telah meningkat dua darjah dan kadarnya berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu.  Jika kita membandingkan negara di seantero dunia, negara yang pesat membangun sering mengabaikan aspek penjagaan alam sekitar dan mementingkan pembangunan ekonomi semata-mata seterusnya membawa kepada pencemaran alam sekitar dan pemanasan suhu dunia. Impaknya, masyarakat dunia turut menerima tempiasnya dan berhadapan dengan risiko suhu panas yang melampau kerana pepatah Melayu ada menyatakan bahawa akibat nila setitik rosak susu sebelanga. Tegas-setegasnya, masyarakat dunia akan mendapat manfaat apabila amalan kitar semula dalam kehidupan seharian mereka kerana dapat mengurangkan kesan rumah hijau.

Sebagai akhir kalam, kitar semula juga dapat mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu. Kebanyakan bahan mentah diperoleh daripada sumber hutan. Misalnya, kertas diperbuat daripada pokok dan tayar-tayar kenderaan diperbuat daripada getah. Persoalan yang bermain-main di minda kita ialah bagaimanakah jika sumber-sumber ini habis digunakan tanpa disimpan untuk generasi akan datang? Data-data statistik yang sahih lagi jitu yang diajukan oleh akhbar Metro yakni akhbar arus perdana yang mempunyai pembaca paling ramai di Malaysia melaporkan bahawa hamper 69.7% hutan di negara kita telah digondolkan untuk tujuan pembangunan bandar dan sebagai penggunaan bahan mentah. Jika masyarakat sedar bahawa kawasan hutan merupakan tempat tadahan hujan dan tempat tinggal bagi flora dan fauna yang amat berharga kepada generasi akan datang pasti mereka akan berusaha melestarikan penggunaan alam sekitar dengan membudayakan amalan kitar semula yang dapat mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu. Jelaslah, sudah terang lagi bersuluh amalan kitar semula akan menjadikan hutan terus kekal sebagai habitat bagi flora dan fauna yang terdapat di negara ini. 



Perbincangan tentang mauduk kepentingan kitar semula telah meniti ke puncaknya maka sebagai kesimpulan kerajaan perlulah sedar bahawa di sebalik pembangunan fizikal, kebendaan dan infrastruktur kelas pertama tetapi masalah pencemaran alam sekitar diabaikan sejak akhir-akhir ini. Pemimpin negara haruslah menjadi khalifah di muka bumi Tuhan yang bertanggungjawab untuk memakmurkan ala mini agar kita terus menyokong usaha kitar semula ini. Masyarakat perlu menyedari bahawa amalan kitar semula telah mendatangkan banyak kemaslahatan dalam kehidupan seharian mereka sama ada dari segi ekonomi, persekitaran dan kesihatan. Masyarakat haruslah bersinergi dengan pelbagai pihak dalam usaha menjayakan kempen kitar semula yang telah dijalankan oleh kerajaan agar generasi yang akan datang akan terus cemerlang, gemilang dan terbilang.

3 comments:

Unknown said...

Thank you very much sir,for your guidance and exercises for spm 2017.it’s help me a lot and hope for others too…

Anonymous said...

GG bossku

Unknown said...

Bagus karangan tu ....sanagat membantu