CABARAN REMAJA ABAD KE-21
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),
remaja merupakan individu yang berkembang dari saat pertama kali menunjukkan
tanda-tanda seksual sekundernya sehinggalah saat ia mencapai kematangan
seksual. Remaja mengalami perkembangan biologi, psikologi, dan dan sosiologi
yang saling berkait antara satu sama lain.WHO menetapkan batasan bahawa
golongan remaja terdiri daripada mereka yang berusia antara 12 hingga 24 tahun
dan belum berkahwin. Perkataan ‘remaja’ berasal daripada perkataan Latin yang
bermaksud menuju kearah kematangan.
Golongan ini sentiasa mencuba dan sedang menuju ke tahap untuk menjadi dewasa.Remaja
akan mengalami pelbagai perubahan drastik termasuklah perubahan jasmani,
sosial, emosi dan bahasa. Akibat daripada
itu, golongan remaja seringkali dilabelkan sebagai individu yang memiliki emosi
yang tidak stabil dan sentiasa bermasalah. Pelbagai persoalan yang mengganggu
benak kita apabila berbicara tentang remja. Persoalannya ialah apakah cabaran
yang sebenarnya dihadapi oleh golongan remaja pada abad yang ke-21?
Bagaimanakah remaja berdepan dengan cabaran yang dialami? Segala persoalan yang
mewarnai mauduk perbincangan di atas wajar dikupas hingga ke akar umbi.
Globalisasi merupakan proses membentuk sebuah
dunia tanpa sempadan dan kedudukan geografi.
Remaja yang hidup dalam abad ke-21 ini terdedah dengan cabaran teknologi
maklumat yang cukup terbuka dan bebas. Para remaja boleh mengakses laman
pornografi dengan begitu mudah tanpa sebarang halangan dan rintangan. Terdapat
banyak laman sesawang yang boleh merosakkan akidah dan jati diri Islam
seseorang remaja. Penggunaan media komunikasi yang berkaitan dengan Internet
seperti Youtube, Whatsapp, Wechat, Instagram dan lain-lain telah menjadi satu
perantaraan yang sangat efektif dan efisien untuk melakukan pertukaran
informasi jarak jauh dan dekat. Penggunaan Internet yang tidak terkawal oleh
ibu bapa telah mengundang banyak musibah. Kebebasan tanpa had dan batasan akan
merosakkan minda dan otak remaja. Banyak berita yang dilaporkan oleh akhbar
arus perdana tentang kisah remaja lelaki yang merogol adik perempuan dan
kawan-kawan perempuan setelah terangsang akibat menonton video lucah di
Internet. Oleh hal yang demikian, remaja perlu mempunyai keimanan yang ampuh
sebagai benteng untuk menghadapi cabaran ini. Akidah Tauhid yang teguh akan
dapat memimpin akal fikiran dan tingkah laku remaja ke arah kebaikan.
Sesungguhnya iman dan amal tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya umpama
buah dan pohonnya.
Remaja seringkali dikaitkan dengan budaya
lepak. Kegiatan melepak merupakan suatu masalah sosial yang dipandang serius
oleh masyarakat Malaysia. Budaya ini dianggap sebagai suatu penyakit yang telah
mengundang pelbagai masalah lain dalam kalangan remaja kita. Persoalannya sekarang,
mengapakah budaya lepak diamalkan oleh segelintir remaja pada hari ini? Banyak
kajian yang telah dilakukan oleh para penyelidik sama ada tempatan mahupun luar
negeri berhubung dengan kecenderungan sikap suka melepak. Menurut kajian yang
dijalankan oleh tokoh cendekiawan tempatan, tingkah laku lepak dalam kalangan
remaja menunjukkan secara purata remaja menghabiskan masa sebanyak 16.3 jam
seminggu membuang masa berkumpul dan berbual kosong dengan rakan sebaya di
tempat-tempat awam. Kadar ini lebih menonjol di kawasan luar bandar iaitu di
kawasan pembangunan tanah FELDA yang telah menghabiskan masa mereka sebanyak
28.4 jam seminggu untuk melepak. Kebanyakan remaja menyatakan mereka melepak
sekadar berjumpa kawan, bersiar-siar, berehat, mencari ketenangan, melepaskan
rasa bosan atau mendapatkan hiburan. Sesungguhnya remaja perlu diingatkan
bahawa masa yang diibaratkan emas itu tidak akan berundur walaupun sedetik. Ibu
bapa memainkan peranan yang amat penting bagi memastikan setiap detik masa yang
dilalui oleh anak-anak mereka diisi dengan perkara yang bermanfaat.
Golongan remaja pada abad ke-21 juga berdepan
dengan cabaran pergaulan bebas. Masalah pergaulan bebas telah lama dibincangkan
dan menjadi salah satu isu sosial yang kian menanah di bumi Jalur Gemilang yang
tercinta ini. Pelbagai pihak di setiap lapisan masyarakat memandang isu ini
sebagai satu masalah yang perlu ditangani secara holistik kerana remaja
merupakan generasi yang akan mewarisi negara pada masa akan datang.Perasaan
ingin berpasangan semakin memuncak ketika berada di alam remaja. Sekiranya
perasaan ini tidak dikawal atau dibendung sudah tentu hal ini akan membawa
kepada permasalahan sosial dalam kalangan masyarakat. Isu terkini benarkah
remaja abad ke-21 ini banyak terlibat dalam aktiviti seks bebas? Mereka
bercinta dan melakukan hubungan seks serentak demi cinta sejati. Hasilnya,
lahirlah anak luar nikah, pembuangan bayi dan sebagainya. Bercinta tidak pernah
dianggap sebagai satu kesalahan malahan orang yang tidak percaya akan cinta
kepada insan lain dan pencipta-Nya merupakan golongan manusia yang rugi. Islam
sendiri menggalakkan umatnya saling mengenali antara satu sama lain tanpa
mengira jantina, bangsa dan agama.Oleh itu, remaja perlu bijak semasa berkawan
atau bercinta dengan cara yang telah
digariskan oleh agama dalam menongkah arus kehidupan yang kian mencabar. Remaja
perlu berani berkata “tidak” kepada rakan atau pasangannya apabila tindakan dan perbuatan rakan mereka itu boleh
menjerumuskan mereka ke lembah yang hina.
Jika ditinjau dari aspek yang lain pula,
remaja abad ke-21 juga berhadapan dengan cabaran ledakan kebendaan atau
materialistik. Memang tidak dinafikan bahawa kebendaan merupakan keperluan bagi
manusia. Namun, berlebih-lebihan dalam mengumpul harta benda sehingga menjadi
materialistik boleh membawa akibat yang tidak sihat dalam masyarakat. Misalnya,
kehidupan sosial dalam masyarakat akan terpisah kepad dua golongan apabila
salah satu golongan menganggap pemilikan material sebagai nilai yang tinggi dan
mengatasi segala-galanya dalam kehidupan. Persoalannya, mengapakan remaja kini
begitu mementingkan materialisme berbanding hal-hal lain? Salah satu sebab yang
menjadi punca kepada permasalahan ini adalah kerana remaja telah dimomokkan
dengan cara berbelanja, corak kehidupan, memilih kerja dan membina impian
mereka. Segala perjalanan hidup mereka dipenuhi dengan nilai-nilai kebendaan
semata-mata sehingga mereka berpegang kepada falsafah guna segala sumber alam
yang ada dan jangan fikirkan apa yang perlu ditinggalkan untuk generasi yang
akan datang. Oleh hal yang demikian, remaja perlu mengawal hawa nafsu mereka
daripada bersikap materialistik yang mengaburi mata seseorang untuk bersifat
lebih mengasihi dan menyayangi sesama makhluk.
Remaja abad ke-21 tidak dapat lari daripada
berhadapan cabaran untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Alam pekerjaan
merupakan destinasi yang terakhir kepada kebanyakan pelajar yang telah
menamatkan pengajian sama ada di peringkat sijil, diploma mahupun peringkat
ijazah. Mereka mula mencongak-congak untuk mencari peluang pekerjaan yang bakal
diceburi. Walau bagaimanapun, dalam persaingan untuk memasuki pasaran
pekerjaan, kelulusan akademik sahaja belum tentu menjanjikan seseorang itu
menjawat jawatan yang diimpikan. Sebaliknya, individu yang memiliki pelbagai
kemahiran di samping akademik yang baik sudah pasti dapat memenuhi kriteria
yang diperlukan oleh majikan. Satu perkara yang tidak boleh dikesampingkan
ialah remaja juga perlu bersaing dengan buruh asing yang kian membanjiri bumi
bertuah ini. Buruh asing yang mencari rezeki di negara kita tidak boleh
dipandang remeh. Walaupun hanya sebagai buruh kasar atau operator kilang,
mereka mempunyai pelbagai kelulusan yang standing dengan lepasan graduan
tempatan. Berbekalkan sikap rajin dan ingin membela nasib keluarga yang
ditinggalkan jauh di tanah air, mereka sanggup melakukan apa-apa pekerjaan yang
ada walaupun gaji yang ditawarkan itu tidak setimpal dengan pekerjaan yang
dilakukan. Jelaslah bahawa remaja wajar memperlengkap diri mereka dengan pelbagai
kemahiran yang diperlukan sebelum melamar sebarang pekerjaan di samping membuka
minda mereka supaya tidak memilih pekerjaan untuk menyara kehidupan mereka.
Perbincangan tentang mauduk cabaran remaja
telah meniti puncaknya. Sebagai kesimpulan, remaja merupakan aset negara yang
amat penting dan bakal memimpin negara pada masa hadapan. Oleh itu, perubahan
tingkah laku dan pemikiran ke arah yang positif amat penting dalam memberi hala
tuju yang betul dan baik dalam kehidupan mereka. Selaras dengan perkembangan
dunia moden hari ini, banyak cabaran
telah memberi implikasi dalam hidup mereka termasuklah aspek sosiologi dan
psikologi. Keadaan ini memberi impak secara menyeluruh dalam hidup remaja.
Kerjasama semua pihak terutama ibu bapa
amat diperlukan dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh remaja abad
ke-21. Kegagalan untuk menghadapi polemik ini secara rasional dan efektif akan
menjadikan masyarakat kita pada masa hadapan sebagai masyarakat yang lemah dan
tidak mampu bersaing dalam arus persada globalisasi kini.
11 comments:
Salam sejahtera cikgu. Ini karangan yang saya hasilkan setelah mengikuti bengkel Penulisan 5P di bawah bimbingan Tn Hj Rosland
BONUS DEPOSIT HARIAN 20%
QQACE96 .COM
WA +62 823 6229 3153
Sgt berguna terima kasih
karangan padu beb
sangat membantu
Karangan yang bacot
Syed Ian Carlos
Boek ahhh cikgu☺️
Terima kasih cg ☺
Terima kasih cikgu
Power dhoo
Post a Comment