SOALAN
: Penggunaan media sosial amat popular
di Malaysia. Media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApps dan My Space
mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Kecanggihan teknologi dunia tanpa
sempadan sukar membendung angkara negatif di sebaliknya.
Terangkan
cara-cara mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat.
Dalam meniti arus pemodenan yang mencabar akal dan
minda,kita sering kali dikaitkan dengan penggunaan media sosial yang kian
meluas di segenap empat penjuru dunia yang juga menular dalam kalangan
masyarakat di Malaysia. Blog,rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter,
Instagram, WeChat, Skype, Viber dan WhatsApps adalah antara contoh medium
penting yang terdapat dalam aplikasi media sosial. Media sosial ini menjadi wahana
bagi setiap lapisan masyarakat dunia untuk kekal berhubung dengan kenalan,
sahabat handai dan keluarga yang berjauhan. Menurut Wikipedia, iaitu
ensiklopedia bebas yang tersohor mentakrifkan media sosial adalah sejenis
wahana yang digunakan terus secara talian dengan membolehkan para pengguna
dengan mudah untuk menyertai, berkongsi dan mencipta isi meliputi blog,
rangkaian sosial, wiki, forum dan dunia virtual. Menurut sumber yang dipetik
daripada persatuan Digital Malaysia ( MDA ), pada bulan Oktober 2010 sahaja
mencatatkan bahawa Facebook merupakan media sosial paling popular dalam
kalangan lapan juta rakyat Malaysia yang menggunakannya. Anggota komuniti yang
paling popular adalah antara 15 hingga 30 tahun. Belakangan ini, isu
membabitkan media sosial hebat diperkatakan apabila media sosial itu dilihat
sebagai ancaman keselamatan terhadap masyarakat dan negara. Hal ini disebabkan
kewujudan golongan tidak bertanggungjawab yang menjadikan media sosial sebagai wadah untuk memfitnah, menipu,
menyamar menjadi individu tertentu bagi tujuan menjatuhkan reputasi seseorang
dan menarik perhatian dengan membangkitkan isu sensitif seperti agama, budaya
dan kaum. Pelbagai persoalan terus menghantui minda kita apabila berbicara
tentang penyalahgunaan media sosial. Persoalannya ialah apakah cara-cara untuk
mengawal penyalahgunaan media sosial dalam masyarakat? Siapakah yang sebenarnya
wajar memikul dan menggalas tugas-tugas untuk mengawal penyalahgunaan media
sosial? Seharusnya media sosial dipantau oleh pelbagai pihak daripada jari-jari
yang tidak bertanggungjawab ini.
Suatu hakikat yang tidak dapat diketepikan untuk
mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat ialah peranan yang
dimainkan oleh setiap individu.
Dalam ilmu sosial, individu bererti bagian terkecil dari kelompok masyarakat
yang tidak dapat dipisahkan lagi menjadi bagian yang lebih kecil. Persoalan
yang menerawang dalam benak kita ialah bagaimanakah individu itu boleh mengawal
penggunaan media sosial? Pada zaman yang serba canggih ini, keimanan dan jati
diri perlu ada dalam diri setiap individu untuk mengawal penggunaan media
sosial. Jari jemari amat mudah untuk menari-nari pada papan kekunci menaip
apa-apa sahaja yang ada di fikiran, apatah lagi mudah sangat untuk mengetuk
peranti pintar yang dimiliki. Tanpa kita sedar ada kalanya bait-bait tulisan
itu mengundang provokasi atau banyak dusta daripada benarnya umpama baik kaya
ialah kaya hati, sebaik-baik bekal ialah takwa, seburuk-buruk buta ialah buta hati
dan sebesar-besar dosa ialah berdusta. Setiap individu perlulah menggunakan
media sosial dengan bijak sebagai penambah timbangan pahala agar tidak
menimbulkan perkara yang sensitif yang membawa kepada permusuhan. Seseorang
individu itu juga perlulah berdisiplin dalam melayari media sosial agar tidak
terleka dengan keasyikan dunia alam maya yang disajikan. Tugas hakiki seharian
perlu dilunaskan terlebih dahulu seperti mengulang kaji pelajaran bagi seorang
yang bergelar murid dan melakukan tugas rutin seharian bagi orang dewasa persis
masa itu emas iaitu media sosial tidak seharusnya menjadi peneman sepanjang 24
jam sehingga melupakan hubungan sosial secara bersemuka bersama keluarga dan teman-teman. Berdasarkan
statistik terkini di laman Statistik menyatakan bahawa penggunaan harian media
sosial oleh pengguna Internet secara global telah mencecah 106.2 minit sehari
berbanding 103.2 minit sehari pada 2014. Pada 2016 pula, pengguna media sosial
sedunia dijangkakan mencecah dua bilion. Persatuan Digital Malaysia menyatakan
bahawa pada bulan Oktober 2010 sahaja mencatatkan bahawa laman web sosial
Facebook merupakan laman web paling popular dalam kalangan lapan juta rakyat
Malaysia. Seseorang individu itu boleh mengurangkan masa mengakses media sosial
dengan menyibukkan diri melakukan sesuatu pekerjaan seperti melakukan aktiviti
beriadah yang boleh menyihatkan badan dan mencerdaskan minda seperti bersukan,
berkelah sambil merapatkan saf kekeluargaan dan bergotong-royong sambil
membasmi nyamuk Aedes dan mengeratkan silaturahim sesama jiran tetangga dan
mewujudkan perpaduan berbilang kaum ibarat bersatu kita teguh,bercerai kita
roboh. Setiap individu memikul amanah terhadap diri sendiri bersesuaian dengan
kata-kata daripada Hamka iaitu seorang
ulama, sasterawan, sejarawan dan ahli politik Indonesia yang mengungkapkan
kata-kata puitis untuk renungan kita bersama berbunyi kecantikan abadi terletak
pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan
pakaiannya. Tegasnya, tepuk dada tanya selera masing-masing sama ada seseorang
individu itu mahu menjadi seorang yang berguna dengan mengaut ilmu sebanyak
mungkin menggunakan media sosial atau sebaliknya menyalahgunakannya untuk
perkara-perkara yang tidak baik.
Kupasan dan huraian tentang media sosial tidak harus ada titik noktahnya.
Maka sebagai meneruskan kesinambungan kupasan, moleklah andai kata ditinjau
pula dari aspek peranan ibu bapa.
Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan insan yang paling rapat
dengan anak-anak. Persoalan yang bermain dalam minda kita ialah bagaimanakah
ibu bapa dapat memainkan peranan untuk membendung penyalahgunaan media sosial
dalam kalangan anak-anak? Pemikir tersohor dan tokoh ilmuwan yang disegani di
negara kita, Profesor diraja Ungku Aziz pernah menyatakan bahawa rumah
merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan
profesor pertama bagi mereka. Nah, sudah terang lagi bersuluh fungsi primer ibu
bapa iaitu sebagai profesor pertama bagi anak-anak! Ibu bapa perlulah memantau
setiap perkara yang dilakukan oleh anak-anak ketika mereka mengakses media
sosial. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu menggelakkan anak-anak daripada
mengakses laman sesawang yang berunsurkan pornografi, mahupun melakukan jenayah
siber seperti mencetak rompak bahan media, mencetuskan provokasi atau menggodam
laman sesawang. Ibu bapa juga boleh menjadi mata dan telinga umpama sambil
menyelam minum air iaitu dengan menjadi rakan dalam laman sesawang Facebook,
WhatsApps, Instragram dan sebagainya bagi mengetahui perjalanan pelayaran
kembara anak-anak dalam media sosial. Ibu bapa yang menjadi rakan dalam alam
maya anak-anak akan dapat mengetahui 1001 rahsia anak-anak dari segi emosi,
perlakuan, kesukaan, perasaan, cita-cita dan mengenali rakan-rakan anak mereka.
Ibu bapa boleh menjadi rakan paling akrab dan mesra kepada anak-anak mereka
apabila memahami naluri anak-anak. Sudah pasti anak-anak yang tahu kasih sayang
dan cakna orang tua mereka tidak tergamak untuk menconteng arang ke muka ibu
bapa mereka dengan melakukan penyalahgunaan dalam media sosial. Pada masa yang
sama, ibu bapa juga perlulah mengehadkan masa penggunaan media sosial dalam
kalangan anak-anak. Sebagai contoh yang bersesuaian dengan situasi di atas,
anak-anak hanya dibenarkan untuk mengakses media sosial dengan pemantauan
daripada ibu bapa selama satu jam sehari. Mungkin anak-anak ingin mendapatkan
info daripada guru, rakan-rakan atau mengakses Internet untuk bahan rujukan
pembelajaran. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau penggunaan media
sosial dalam kalangan anak-anak yang baru berumur setahun jagung, berdarah
setampuk pinang agar tidak terjebak dalam kancah negatif. Anak diibaratkan
sehelai kain putih, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkannya
sama ada seindah warna pelangi atau semalap mendung awan di langit. Ibu bapa harus
mengambil alternatif yang lain persis meletakkan komputer di ruangan yang
terbuka sama ada di ruang tamu atau di sudut-sudut yang boleh dilihat oleh ibu bapa. Ibu
bapa tidak boleh terlepas pandang
daripada memerhatikan anugerah terindah ini lagi-lagi di zaman dunia tanpa
sempadan dan segala maklumat baik buruk hanya di hujung jari sahaja.
Setegas-tegasnya dinyatakan bahawa ibu bapa seyogialah memainkan peranan yang
dominan untuk melahirkan anak-anak yang berkaliber, cukup syumul dan utopia
hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka dan bukan anak-anak yang bobrok dan
kaya dengan pidana termasuk jenayah di media sosial.
Paparan demi paparan berita tentang penggunaan media
sosial yang sering menjadi hiasan media arus perdana, nyata perlu dijadikan
agenda penting oleh pihak sekolah.
Sekolah diumpamakan sebagai gedung ilmu bagi insan-insan yang dahagakan ilmu
pengetahuan. Mengambil sumber benar lagi tepat daripada Kamus Dewan (edisi
keempat) mendefinisikan sekolah sebagai tempat untuk belajar dan mengajar,
tempat menerima dan memberi pelajaran. Persoalan yang bermain-main di minda
kita ialah bagaimanakah sekolah boleh menjadi institusi yang mengawal
penggunaan media sosial? Bertepatan dengan maksudnya, murid menerima pelajaran
secara formal meliputi jasmani, emosi, rohani dan inteleknya seperti termaktub
dalam Falsafah Pendidikan Negara. Guru-guru di sekolah memainkan peranan
penting dengan menasihati murid agar menjadi insan yang bermoral dah bersahsiah
terpuji dengan menjauhi perkara-perkara mungkar bersangkut paut dengan
penyalahgunaan media sosial. Guru mata pelajaran Pendidikan Islam boleh
membuktikan hukum penyalahgunaan media sosial dengan dalil Al-Quran manakala
guru mata pelajaran Pendidikan Moral boleh menyenaraikan beberapa nilai seperti
nilai amanah, harga diri, rasional dan bertanggungjawab. Timbalan Menteri
Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata jumlah capaian Internet
di negara ini mencecah 70.2 peratus dengan purata seseorang melayari laman
sesawang ialah empat jam 30 minit sehari. Tidak mustahil 70.2 peratus itu
termasuk penggunaan Internet oleh mereka yang masih memakai uniform sekolah.
Larangan membawa telefon bimbit ke sekolah memang bertepatan dengan peribahasa
lama yang menyatakan ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Budaya buli, gengsterisme
dan perlakuan tidak senonoh yang menjadi tular dalam kalangan murid sekolah
begitu menyesakkan nafas pihak sekolah. Imej sekolah tercalar,apatah lagi air
muka ibu bapa mereka yang melakukan perkara mungkar dan tersebar dalam media
sosial yang boleh disaksikan seantero dunia. Pihak sekolah mengikut hukuman
dalam Panduan Tatacara Disiplin Sekolah selaras dengan Peraturan-peraturan
Pelajaran (Disiplin Sekolah 1959) boleh mengambil tindakan dengan Pembuangan
Sekolah, Penggantungan Sekolah, Hukuman Dera (Corporal Punishment), Penahanan
(detention) dan Amaran. Unit Kaunseling dan Unit Disiplin di sekolah juga boleh
berganding bahu mengadakan kem motivasi, pameran dan kempen kesedaran untuk
murid tentang penggunaan media sosial. Pendedahan dari segi rohani dan jasmani
boleh membentuk murid yang celik IT dan mengelakkan murid menjadi ketagihan
media sosial. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa pihak sekolah memainkan
peranan penting mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan murid-murid di
sekolah agar tidak menjadi kudis bernanah yang merosakkan masyarakat, bak
peribahasa Melayu yang amat berharga iaitu sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna. Sebelum nasi menjadi bubur, ada baiknya segala masalah
media sosial dikekang sejak di bangku sekolah lagi sebelum membarah dalam
masyarakat.
Populariti media sosial ini tidak dapat disangkal
lagi oleh mana-mana pihak. Masyarakat
sendiri perlu bertindak pantas untuk mengawal penggunaan media sosial dalam
kalangan mereka. Setiap anggota masyarakat harus menjunjung tinggi sikap
bekerjasama dan bertoleransi yang menjadi senjata utama untuk mengawal
penggunaan media sosial. Menurut Kamus Dewan (edisi keempat) yang benar lagi
sahih mendefinisikan masyarakat sebagai kumpulan manusia yang hidup bersama di
sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Persoalan yang berlegar-legar
dalam minda kita ialah bagaimanakah seluruh masyarakat Malaysia dapat
berganding bahu dan saling mendepani penggunaan media sosial bak peribahasa
Melayu yang tak jemu diucap selalu iaitu yang berat sama dipikul, yang ringan
sama dijinjing? Adakah masyarakat kita ambil peduli tentang permasalahan ini
atau hanya menutup mata dan memekakkan telinga masing-masing? Statistik yang
diambil daripada akhbar arus perdana iaitu Utusan Malaysia melaporkan bahawa
menurut laman web Internet Lives Stars seramai tiga bilion atau 40 peratus
daripada penduduk dunia menggunakan Internet. Di Malaysia terdapat hampir 20
juta atau 67 peratus rakyat menggunakan Internet dan lebih daripada 15 juta
orang mengakses Facebook. Ayuh, bangkitlah semua! Masyarakat perlu menjadi mata
dan telinga kepada pihak berkuasa dengan melaporkan kepada pihak polis jika
terdapat penyalahgunaan media sosial. Masyarakat di kawasan komuniti
masing-masing boleh mengadakan kempen kesedaran tentang media sosial kepada
remaja atau golongan belia. Kempen kesedaran ini boleh diadakan di dewan serba
guna yang gah tersergam dibina di setiap kawasan perumahan, di balai raya atau
di rumah-rumah ibadat seperti masjid. Forum atau tazkirah santai berkenaan cara
penggunaan media sosial yang betul pasti menarik perhatian golongan belia yang
sinonim dengan minat mereka. Melalui forum, bual bicara atau tazkirah santai
tersebut boleh diselitkan dengan pengenalan aplikasi-aplikasi canggih yang secara tidak langsung masyarakat itu sendiri
dapat membuka minda golongan muda ini untuk menerokainya dan menjauhi jenayah
siber. Masyarakat juga boleh menggunakan media sosial seperti Facebook,
WhatsApps atau Instagram untuk mengajak setiap ahli komuniti melakukan sesuatu
yang memberi impak positif seperti berniaga dalam talian dan bertukar-tukar
idea atau info tentang resipi masakan bagi kaum ibu atau info pelajaran bagi
mereka yang bergelar pelajar . Setiap individu di muka bumi ini merupakan
khalifah yang tugasnya menyeru semua
orang berbuat kebaikan dan bukannya memukul canang menabur fitnah dan
menyebarkan berita palsu melalui media massa. Masyarakat juga hendaklah
berfikir sejenak dan tidak cepat melatah menerima sesuatu berita itu tanpa
menganalisis dengan bijaksana. .Oleh yang demikian, jelaslah bahawa masyarakat
berperanan penting dalam mengawal penggunaan media sosial bersesuaian dengan
peribahasa buat air kerana muafakat, bulat manusia kerana muafakat. Maka
masyarakat hendaklah saling menggembleng tenaga untuk mengawal penggunaan media
sosial.
Sebagai akhir kalam, pihak kerajaan merupakan tonggak utama dalam mengawal penggunaan media
sosial. Statistik yang diambil daripada Koleksi Rencana Umum Untuk Rujukan
Karangan SPM & STPM yang ditulis oleh Hj. Samat bin Buang menyatakan bahawa
Malaysia mencatatkan sebagai 13 negara paling aktif dalam jenayah siber di
seluruh dunia. Sebenarnya dalam konteks jenayah siber, banyak sudah berlaku kes
penipuan dalam talian sejak lima hingga tujuh tahun kebelakangan ini apabila
wujud kes-kes seperti “Love Scam, Parcel Scam dan Online Scam yang menyaksikan
penjenayah boleh mengakses akaun peribadi seseorang mangsa. Modus operandi yang
digunakan oleh penjenayah siber ini ialah menyamar sebagai wakil Bank Negara
kononnya akaun mereka dibekukan dan meminta mangsa memindahkan wang ke dalam
akaun lain yang lebih selamat. Pertanyaan yang muncul dalam benak kita ialah
bagaimanakah kerajaan dapat mengawal penyalahgunaan media sosial dalam kalangan
masyarakat? Pihak polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal berhadapan cabaran lebih
hebat pada masa akan datang berikutan pelbagai taktik baharu perlakuan jenayah
siber. Antara undang-undang yang sudah
sedia wujud di Malaysia bagi mengawal selia segala yang berlaku dalam dunia
siber ialah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), dan Akta Jenayah
Komputer 1997 (Akta 563). PDRM boleh berkolaborasi dengan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang diterajui oleh Datuk Sri Salleh
Said Keruak untuk mengambil tindakan tegas kepada seseorang yang
menyalahgunakan rangkaian media sosial untuk menyebar berita palsu, lucah,
mengancam keselamatan dengan niat menyinggung perasaan, menganiaya, menggugat
atau mengganggu orang lain. Mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen
233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika didapati bersalah boleh
didenda RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya
sekali. Janganlah kita hanya bertindak setelah keadaan sudah menjadi parah.
Portal-portal berita yang merasakan mereka kebal dan bebas untuk melakukan
fitnah dan tohmahan serta memutarbelitkan sesuatu berita perlu diajar memahami
undang-undang. Sekarang masa untuk bertindak bagi mengelakkan yang benar
dianggap batil, yang batil dianggap benar, fitnah diiktiraf sebagai bukti dan
tohmahan dijamah setiap hari. Rakyat semestinya tanpa ragu-ragu menjunjung
tinggi prinsip undang-undang negara di mana-mana sahaja mereka berada, bak kata
peribahasa Melayu zaman berzaman iaitu di mana bumi dipijak,di situ langit
dijunjung. Tidak manis kiranya tindakan undang-undang diambil sebelum diberikan
penerangan dan kempen kesedaran tentang kesan buruk penyalahgunaan media sosial
kepada masyarakat. Oleh itu mengambil pendekatan pendidikan perlu sejak awal
usia lagi, program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan suatu program yang
bertepatan untuk menyemai jati diri, nilai murni yang tinggi dan taat kepada
agama, bangsa dan negara selari dengan laungan slogan ‘Pemuda Harapan Bangsa,
Pemudi Tiang Negara. Besarnya harapan menggunung terpikul di pundak muda-mudi
generasi pelapis memimpin negara tercinta. Oleh itu sudah semestinya mereka
iaitu generasi muda yang bakal menerajui negara sifar daripada penyalahgunaan media
sosial. Jelaslah bahawa pihak kerajaan merupakan peneraju gemilang terhadap
sesebuah negara berperanan menjaga keharmonian dan keamanan negara melalui
kempen kesedaran dan undang-undang yang tegas bagi mengawal penyalahgunaan
media sosial.
Sebagai melabuh tirai perbincangan tentang mauduk
mengawal penggunaan media sosial telah dikupas dengan mendalam. Hal ini tidak
akan menemui kejayaan jika tiada sokongan padu daripada pelbagai pihak. Oleh
itu, setiap lapisan masyarakat perlu bahu membahu dan bergandingan tangan untuk
merealisasikan mengawal penggunaan media sosial demi keharmonian dan kemajuan
negara serta membentuk masyarakat yang celik IT, berinovasi dan bermaklumat
seiring dengan lagu Keranamu Malaysia.
Alam siber
teknologi terkini,
Kejayaan semakin
hampiri,
Biar di kota
ataupun desa,
Kita semua pasti
merasa bangga.
Persatuan Digital Malaysia menyatakan bahawa pada
bulan Oktober 2010 sahaja mencatatkan bahawa laman web sosial Facebook
merupakan laman web paling popular dalam kalangan lapan juta rakyat Malaysia.
9 comments:
karangan mantap . penggunaan kosa kata yang tinggi dapat menarik minat pembaca untuk membaca sehinggalah kesimpulan . tahniah
sangat berguna untuk candidate spm
woww,unexpected...pnjg gila 😂 tp mcm nilah bakal calon A+ bahasa melayu...
wah, terima kasih..sangat membantu👌🏻👌🏻👍
Terima kasih boss saya sangat lemah dalam BM dan harap kamu boleh keluar karangan yang baik macam ini lagi :)))))
terima kasih banyak dapt fakta dan kosa kata yang menarik🔥🔥terbaik la❤👍
Naise
Naisek
Super sir.. 👍
Post a Comment