Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

19 October 2016

KARANGAN CEMERLANG SPM - PERANAN ANAK-ANAK UNTUK MERINGANKAN BEBAN KEWANGAN KELUARGA

Pelbagai masalah mula menekan keluarga  seperti peningkatan kos hidup dan masalah kewangan. Sehubungan dengan itu, anak-anak boleh membantu ibu bapa untuk mengurangkan bebanan kewangan yang semakin meruncing.

Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga.

KARANGAN:

Semua pihak telah maklum bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam dan krisis bahan makanan cukup menakutkan pelbagai pihak. Hingga hari ini, ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500.00. Beban kewangan adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarsa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh mereka.

                Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh untuk meringankan beban kewangan keluarga.  Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama tenaga elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah paras RM20.00,  justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuma. Langkah bijak ini sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

                Sejajar dengan itu, langkah lain yang wajar dilakukan oleh anak-anak adalah  mengamalkan sikap bersederhana dalam kehidupan seharian.  Anak-anak yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah beratnya tanggungan ibu bapa, bak kata peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja.  Mereka  tidak harus  menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah.  Misalnya, mereka tidak harus meminta-minta sesuatu  di luar kemampuan ibu bapa seperti ingin memiliki pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan di tempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sama enggang masakan dapat terbang bersama.

                Walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sesebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah mereka harus mengetepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi usahawan yang berjaya dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh sebab  itu, langkah yang terpenting ialah setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.

                  Prakarsa seterusnya untuk meringankan beban keluarga dalam menghadapi kegawatan ekonomi ialah anak-anak harus membudayakan amalan menabung. Hal ini demikian kerana mereka dapat membantu keluarga untuk menampung perbelanjaan luar jangkaan apabila mengalami kesempitan wang.  Menurut Datuk Dr Hassan Ali, wang yang disimpan di bank boleh menjadi penyelamat pada masa gawat. Dalam konteks ini , wang pemberian ibu bapa yang tidak dibelanjakan harus disimpan kerana sehari selembar benang lama-lama menjadi kain.  Tamsilannya, tabungan tersebut dapat digunakan oleh ibu bapa untuk membiayai kos sara hidup yang kian meningkat yang sedang melanda negara kita kini.  Malahan, anak-anak dapat menggunakan tabungan untuk menampung perbelanjaan persekolahan mereka.  Natijahnya, jika anak-anak mengamalkan budaya yang  mulia ini, maka mereka mampu meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga.


                Sebagai penutup wacana,  anak-anak memainkan peranan yang amat penting dalam membantu meringankan beban kewangan ibu bapa. Ketika berdepan dengan pelbagai cabaran akibat krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan untuk menzahirkan impian pembentukan keluarga bahagia. Semoga dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya ibarat sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.

1 comment:

Che Mat said...

Usai (Indonesia) = berakhir (Malaysia)