INFORMASI BAHASA
ASPEK MAKNA PENGGANDAAN KATA NAMA
Kata nama yang digandakan memiliki sekurang-kurangnya lima aspek.
Penguasaan kelima-lima aspek ini membolehkan kita memahami makna yang dibawa
oleh kata ganda yang berakarumbikan kata nama. Perhatikan aspek-aspeknya
seperti yang berikut:
1.
Gandaan sebagai penanda jamak, iaitu menandakan jumlah yang banyak.
Contohnya:
meja – meja-meja
ketua – ketua-ketua
jabatan – jabatan-jabatan
gunung – gunung-ganang
saudara – saudara-mara
2.
Gandaan sebagai penanda beberapa nama haiwan. Contohnya:
biri-biri
rama-rama
kupu-kupu
kunang-kunang
kura-kura atau kekura
labi-labi atau lelabi
3. Gandaan sebagai penanda makna kesamaan atau keserupaan.
gula – gula-gula
anak – anak-anak
orang – orang-orang
langit – langit-langit atau lelangit
siku – siku-siku atau sesiku
kuda – kuda-kuda atau kekuda
4.
Gandaan sebagai penanda kepelbagaian jenis. Contohnya:
sayur – sayur-mayur
kuih – kuih-muih
lauk – lauk-pauk
kayu – kayu-kayan
rempah – rempah-ratus
5.
Gandaan sebagai penanda tidak tentu. Contohnya:
apa – apa-apa
siapa – siapa-siapa atau sesiapa
mana – mana-mana
bila – bila-bila
suatu – sesuatu
Kesilapan umum yang dilakukan oleh pengguna bahasa ialah mereka mencipta
kata ganda sendiri dan merancukan bahasa kebangsaan kita. Kesilapan ini sering
kali kita baca dalam buku cerita, buku rujukan subjek-subjek lain waima majalah.
Hal ini amat mengecewakan pengkaji bahasa waima pencinta bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana tidak semua
perkataan boleh digandakan bagi menyatakan maksud banyak atau lebih daripada
satu. Bagi perkataan-perkataan (kata nama) yang sudah menunjukkan jumlah yang
banyak atau tidak dapat dikira jumlahnya, maka perkataan itu tidak wajar
menerima bentuk gandaan. Lihatlah contoh kesalahan kata nama yang digandakan
seperti yang berikut:
1.
Pihak urus setia menyediakan air-air
minuman untuk tetamu yang hadir. (salah)
Pihak urus setia menyediakan air
minuman untuk tetamu yang hadir. (betul)
2.
Penculik itu mengira wang-wang tebusan
yang diperoleh daripada bapa mangsa. (salah)
Penculik itu mengira wang tebusan yang
diperoleh daripada bapa mangsa. (betul)
3.
Ibu memasukkan serbuk-serbuk kari ke
dalam kuali. (salah)
Ibu memasukkan serbuk kari ke dalam
kuali. (betul)
4.
Kanak-kanak di pedalaman itu melalui
lumpur-lumpur katam ke sekolah. (salah)
Kanak-kanak di pedalaman itu melalui
lumpur katam untuk ke sekolah. (betul)
*lumpur katam = lumpur yang terdapat di
pantai
5.
Ahli bomba memadamkan api-api
kebakaran. (salah)
Ahli bomba memadamkan api kebakaran.
(betul)
6.
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU)
menembak gas-gas pemedih mata ke arah perusuh. (salah)
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU)
menembak gas pemedih mata ke arah perusuh. (betul)
7.
Dalam hujan-hujan, adik masih
berbasikal ke sekolah. (salah)
Dalam hujan, adik masih berbasikal ke
sekolah. (betul)
*hujan-hujan – nama sejenis pokok
8.
Pesawah itu memotong padi-padi pada
musim menuai. (salah)
Pesawah itu memotong padi pada musim
menuai. (betul)
9.
Ibu memasukkan beras-beras ke dalam periuk nasi elektronik. (salah)
Ibu memasukkan beras-beras ke dalam periuk nasi elektronik. (salah)
Ibu memasukkan beras ke dalam periuk nasi
elektronik. (betul)
10.
Ayah sedang memerhatikan cahaya
matahari menembusi awan-awan biru. (salah)
Ayah sedang memerhatikan cahaya
matahari menembusi awan biru. (betul)
No comments:
Post a Comment