Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

27 August 2015

INFORMASI BAHASA - PERBEZAAN ANTARA “WARA-WARA” DAN “UAR-UAR”

INFORMASI BAHASA
27 OGOS 2015
PERBEZAAN ANTARA “WARA-WARA” DAN “UAR-UAR”

1. Pengetua sekolah saya mewara-warakan kedatangan guru cemerlang itu kepada murid sekolah dalam perhimpunan pagi tadi.

2. Pengetua sekolah saya menguar-uarkan kedatangan guru cemerlang itu kepada murid sekolah dalam perhimpunan pagi tadi.

3. Penjaja buah-buahan di pasar malam itu menguar-uarkan kesegaran buah anggur yang diimport dari luar negara kepada pengunjung yang berlalu-lalang.

4. Penjaja buah-buahan di pasar malam itu mewara-warakan kesegaran buah anggur yang diimport dari luar negara kepada pengunjung yang berlalu-lalang.

Keempat-empat ayat di atas menunjukkan watak dalam ayat membuat pengumuman. Namun begitu, penggunaan antara “wara-wara” dengan “uar-uar” ada perbezaannya jika kita kaji dari segi penyampaian pengumuman tersebut. Oleh hal yang demikian, perhatikan maksud kedua-dua patah perkataan ini yang terdapat dalam Kamus Dewan.

Apabila kita merujuk kepada Kamus Dewan, “wara-wara” membawa maksud pemberitahuan, pengumuman, dan pengisytiharan. Sebaliknya, “uar-uar” pula mendukung makna pengumuman yang dibuat dengan meneriakkannya kuat-kuat.

Dalam konteks ini, “wara-wara” lebih sesuai digunakan dalam suasana formal, sopan, dan hebahan umum. Kontradiksinya, “uar-uar” lebih sesuai digunakan dalam suasana di pasar, di jalanan, di tempat yang riuh, dan di tempat yang berlakunya pengumuman tidak formal.

Dengan maksud yang jelas dan penggunaan kata tersebut yang telah saya terangkan di atas, jelaslah kepada kita bahawa ayat 1 dan ayat 3 lebih tepat dari segi penggunaan antara “wara-wara” dengan “uar-uar”. Sementara itu, ejaan “war-war” tidak betul dan “wuar-wuar” juga tidak tepat.

Akhirulkalam, sedarlah bahawa indahnya bahasa kebangsaan kita, bahasa Melayu. Gunakanlah bahasa kebangsaan dengan betul demi memartabatkan bahasa Melayu demi merealisasikan impian kita untuk memasyhurkan dan mengantarabangsakan bahasa kebangsaan kita.

1 comment:

Anonymous said...

Terima kasih Cikgu Tan. selama ini saya guna war-warkan. tak sangka salah cara