Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

16 September 2009

Karangan Pelajar Tahap PMR

Sejak akhir-akhir ini, banyak pelajar terlibat dalam kegiatan samseng di sekolah seperti kes buli, merosakkan harta benda sekolah, mengancam guru, dan sebagainya.
Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan kegiatan ini semakin berkembang.
[ 40 markah ]

“Pelajar Tingkatan 5 menyebat guru tingkatannya.”
“Kes buli kerap berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.”
“Kegiatan samseng mesti dibanteras hingga akar umbi!”
“Menurut statistik, banyak pelajar telah menyertai kongsi gelap.”

Dewasa ini, banyak tajuk berita seperti di atas sering disiarkan melalui media massa sama ada dalam media elektronik mahupun media cetak. Isu-isu hangat mengenai kegiatan ini sering menjadi buah mulut segenap lapisan masyarakat. Persidangan akhbar juga kerap diadakan untuk membincangkan masalah yang semakin kritikal ini. Senario ini telah memuncakkan kebimbangan segenap lapisan masyarakat. Namun, setiap masalah yang timbul mesti mempunyai sebabnya yang tertentu. Apakah punca-punca utama yang menyebabkan kegiatan samseng atau gengsterisme yang menggusarkan minda masyarakat ini semakin berkembang?

Masalah gengsterisme tidak harus dipandang enteng,
Mesti dibanteras ke akar umbi,
Tenaga semua pihak mesti digembleng,
Iltizam jangan berbelah bagi.

Pada hemat saya, pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan berlakunya kegiatan samseng. Kata pepatah Cina, “di dalam rumah, kita bergantung pada ibu bapa, di luar, kita bergantung pada rakan.” Peranan rakan sebaya dalam kehidupan kita memang tidak dapat kita sangkal. Pemilihan rakan amat signifikan bagi seseorang remaja. Hal ini akan menentukan haluan remaja tersebut pada masa hadapan. Pemikiran mereka yang bergaul dengan rakan sebaya yang jahat memang akan terpengaruh dan dipesongkan. Jikalau mereka tidak berani melakukan sesuatu yang meruntuhkan akhlak moral, mereka akan dianggap bacul atau penakut. Untuk membuktikan ketulusan mereka terhadap “kawan sejati” mereka, mereka akan melakukan apa-apa yang diajak. Mereka juga ingin mencanangkan kehebatan dan keberanian mereka di depan rakan-rakan mereka. Jadi, pengaruh rakan sebaya memang tidak boleh dipandang enteng.

Setahu kita, ibu bapa merupakan guru pertama bagi anak-anak. Kata orang, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya.” Bidalan ini membawa maksud tersirat, iaitu tingkah laku ibu bapa akan disusuli lalu dipelajari oleh anak-anak mereka. Perangai ibu bapa yang kerap melakukan kegiatan samseng dan tidak menjaga kelakuan itu pasti akan diikuti oleh anak-anak mereka. Implikasinya, ibu bapa mestilah menunjukkan suri teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Rentetan daripada itu, ibu bapa yang sibuk mencari rezeki lalu mengejar nawaitu materialistik sentiasa mengabaikan anak-anak mereka. Mereka hanya tahu merealisasikan keinginan anak-anak sebagai “pampasan” terhadap anak-anak mereka. Anak-anak yang tidak disirami kasih sayang ibu bapa dikatakan umpama layang-layang terputus tali. Akibatnya, mereka akan mencari keseronokan baharu di luar rumah dengan melakukan kegiatan samseng. Lain daripada itu, ibu bapa yang cenderung membebel dan memarahi anak tanpa sebab akan memberi kesan negatif kepada emosi seseorang remaja. Keluarga yang porak-peranda sentiasa menghantui minda seseorang remaja. Lantaran itu, mereka akan berasa tertekan lalu memberontak serta melepaskan geram di luar rumah melalui perbuatan gengsterisme. Konklusinya, keluarga berpengaruh besar dalam perkara ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa, guru-guru sekolah juga merupakan salah satu faktor yang merangsang seseorang pelajar terlibat dalam kegiatan samseng. Sesetengah guru sekolah yang tidak tahu mengawal emosi mereka sering meradang dan memarahi pelajar yang tidak melaksanakan kewajipan mereka seperti menghantar buku latihan pada masa yang ditentukan. Penyindiran guru yang agak keterlaluan terhadap seseorang pelajar akan memuncakkan perasaan marah pelajar tersebut. Ada kalanya, pelajar yang lemah dalam bidang akedemik mungkin tidak dapat menyiapkan kerja rumah mereka tepat pada masa. Guru yang tidak menerima hakikat ini dan menganggap perkara ini cuma satu alasan tersebut akan terus merotan pelajar tersebut. Pelajar yang disebat akan menyimpan dendam. Apabila berpeluang, mereka tentu akan membalas dendam. Tamsilnya, mereka akan membocorkan tayar kenderaan guru, menyebat guru, mengancam guru dan sebagainya. Jelaslah bahawa guru juga turut merupakan satu faktor yang tidak boleh diketepikan.

Walhasil, pelajar-pelajar mesti dikekang daripada melibatkan diri dalam kegiatan samseng. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan orang yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan negara. “Pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa.” Segenap lapisan masyarakat mesti menggembleng tenaga demi membanteras kegiatan samseng ke akar umbi. Masalah ini nescaya dapat ditangani dengan adanya penggemblengan tenaga daripada semua pihak kerana “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Marilah kita bersama-sama membulatkan tekad untuk mencapai aspirasi negara sifar jenayah dan membentuk Malaysia sebagai sebuah negara tercinta yang aman dan bahagia buat selama-lamanya!

3 comments:

Anonymous said...

karangan yang bagus!

Anonymous said...

sebenarnya karangan ni tiada ape ape yg bagus

Anonymous said...

salam sejahtera..izinkan saya untuk 'copy' karangan ini untuk membantu saya menyiapkan tugasan sekolah saya..sekian terima kasih..