5 December 2008

BATIK - CARA MEMPOPULARKANNYA



Sejarah
Batik merupakan satu bidang kraf tangan yang unggul di Malaysia. Sejak abad ke-15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Batik mula diperkenalkan di negara kita khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa 'tik' yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Ambatik pula bermaksud melukis, menulis, mewarnakan atau menitik. Di alam Melayu, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenalkan sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu.

Motif
Motif adalah corak-corak hiasan yang digunakan dalam proses melukis atau menerap batik. Bentuk-bentuk motif batik dihasilkan dalam dua bentuk utama iaitu Motif Organik dan Motif Geometri. Motif Organik berunsurkan alam semula jadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan, dan haiwan.

Rupa bentuk Kain Batik Sarung



Penjenisan Kain Batik
Batik terbahagi kepada tiga jenis.
Batik Blok
Kain putih akan diterapkan dengan corak batik yang menggunakan blok corak. Blok corak diperbuat daripada kayu atau logam. Proses ini dilakukan berulang-ulang dengan mengikut susunan yang tertentu sehinggalah selesai. Di mana blok itu telah dicelup terlebih dahulu ke dalam pewarna sebelum ditekapkan di atas kain tersebut.




Batik Conteng

Alat canting digunakan bagi melakar corak batik dengan lilin panas di atas kain putih. Setelah kerja-kerja melakar selesai, proses mewarnakan mengikut kesesuaian corak dilakukan dengan menggunakan berus cat, yakni bahagian-bahagian yang terkena lilin itu tidak akan meninggalkan kesan warna apabila proses mematikan warna di lakukan. Lilin akan cair dan tanggal menjadikan bahagian-bahagian ini berwarna putih sebagai benteng.
Batik Skrin



Batik skrin ini tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan batik blok dan conteng. Hanya kaedah melakar corak dan cara menerapkan warna sahaja yang berbeza. Corak batik dibentuk di atas skrin yang diperbuat daripada kain poliester yang mempunyai pengidang. Skrin dilekapkan di atas kain putih, proses pewarnaan dengan melalukan warna di atas corak tadi dengan menggunakan sekuji. Cara begini akan diulang beberapa kali dengan corak yang berlainan untuk mendapatkan corak batik yang lengkap. Ini disebabkan satu skrin untuk satu warna sahaja.



Penggunaan
Penduduk di negara kita menggunakan batik secara meluas. Batik digunakan untuk membuat baju, kain sarung atau batik lepas. Sebagai contoh, pakaian seragam pramugari kapal terbang MAS dibuat daripada batik. Batik juga digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Selain dibuat pakaian, batik juga digunakan sebagai hiasan seperti alas meja, cadar, sarung kusyen, tudung kepala, alas televisyen dan lain-lain lagi. Batik boleh dibeli dengan harga yang murah dan berpatutan. Batik begitu digemari pelancong-pelancong asing kerana coraknya yang menarik dan unik. Batik sering dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.


Mempromosikan batik Malaysia
Pemakaian batik oleh pegawai awam khususnya batik buatan Malaysia dijangka akan dapat meningkatkan permintaan terhadap batik dan membantu peningkatan dan pengembangan perusahaan batik tempatan. Keputusan ini adalah selaras dengan kedudukan batik yang merupakan warisan negara yang perlu dikekalkan sebagai identiti Malaysia. Di samping itu, pendekatan dapat mempromosikan batik Malaysia ke luar negara.

Usaha isteri Perdana Menteri Malaysia Datin Seri Endon Mahmood membawa batik ke persada dunia patut dipuji. Beliau juga merupakan pendorong utama industri kraf tangan negara khususnya seni batik dan hasilnya daripada usaha berterusannya itu, batik Malaysia kini mula diperkenalkan sebagai salah satu fesyen antarabangsa. Sementara itu, beliau menggesa semua pakar dan pihak yang terlibat dalam industri batik membantu menyemarakkan semula industri tersebut. terdapat lebih 30,000 orang yang terbabit dalam industri di negeri Kelantan saja. Dengan membantu meningkatkan semula industri batik, secara tidak langsung sebenarnya kita membantu golongan ini sekali gus memartabatkan kedudukan batik dalam dunia fesyen.

1 comment:

Miss Nadzirah said...

askm...erm boley x tuan..tuliz sajak tentang batik..kerana saya inginkn nye dlam karangan saya...arap anda sudi...