Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

28 November 2021

KATA SENDI NAMA "TERHADAP" DAN "TENTANG"

 Saya ingin memenuhi permintaan seorang guru yang menantikan perkongsian saya tentang kata sendi nama “terhadap”. Untuk menjelaskan perkara ini secara terperinci, saya juga membandingkannya dengan kata sendi nama "tentang".

KATA SENDI NAMA "TERHADAP"
Kata sendi nama terhadap biasanya digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan, atau benda. Sebagai contohnya, rujuk ayat-ayat contoh di bawah.
1. Seorang ketua harus sentiasa bersikap adil terhadap anak buahnya.
2. Tanamilah rasa belas kasihan terhadap binatang.
3. Jangan bersikap biadab terhadap orang tua.
4. Kasih sayang Mariam terhadap ibu bapanya elok dicontohi.
5. Dalam air, tawas akan bertindak balas dengan air menghasilkan aluminium hidroksida yang mempunyai kuasa jerapan yang besar terhadap kotoran dan bahan pewarna.
6. Air bersifat lengai terhadap logam adi.
7. Kajian terhadap beberapa ekor lembu tenusu menunjukkan dapatan yang agak menarik.
Terdapat kecenderungan penggunaan kata sendi nama "terhadap" sebagai unsur yang membawa maksud rujukan umum atau mujarad atau abstrak (sesuatu yang tidak dapat dilihat dan dirasai). Dalam hal ini, penggunaan yang demikian harus digantikan dengan kata sendi nama tentang.
Lihat contoh seterusnya.
8. Ketua pejabat itu sentiasa curiga terhadap kejujuran anak buahnya.
(seharusnya: Ketua pejabat itu sentiasa curiga tentang kejujuran anak buahnya.)
9. Penghulu itu mengambil berat terhadap kebajikan orang kampung.
(seharusnya: Penghulu itu mengambil berat tentang kebajikan orang kampung.)
10. Kerajaan sentiasa memberikan perhatian terhadap kesejahteraan rakyat.
(seharusnya: Kerajaan sentiasa memberikan perhatian tentang kesejahteraan rakyat.)
KATA SENDI NAMA "TENTANG"
Kata sendi nama tentang digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad (tidak dapat dilihat atau dirasai). Kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi hal yang diperlakukan atau dibicarakan. Sebagai contohnya, lihat ayat-ayat di bawah.
11. Mereka berbincang tentang masalah negara.
12. Kami berbual tentang kejadian rompakan itu.
13. Tentang perkara itu, kami perlu merujuk ketua kami dahulu.
14 Aduan tuan tentang kelewatan bayaran itu sedang dibincangkan dalam mesyuarat.
15. Ceritanya tentang soal pengabdian kepada Tuhan.
Kata sendi nama tentang sering juga digantikan penggunaannya dengan bentuk mengenai. Perlu diingat bahawa perkataan mengenai sebenarnya tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud kena pada. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:
16. Tembakan pemburu itu mengenai/kena pada sasarannya.
17. Bola yang ditendangnya mengenai/kena pada palang gol.
18. Anak panah itu mengenai/kena pada dada penjahat itu.
19. Kata-kata caciannya itu mengenai dirinya sendiri.
20. Penyakit ini lebih kerap mengenai/kena pada kanak-kanak daripada orang dewasa.
Walau bagaimanapun, penggunaan mengenai yang disamakan dengan tentang serupalah dengan penggunaan bentuk kata kerja lain seperti melalui, mengikuti dan menerusi, iaitu berfungsi sebagai kata sendi nama walaupun kata-kata ini sebenarnya tergolong dalam kata kerja. Contoh penggunaan kata kerja ini sebagai kata sendi nama adalah seperti yang berikut:
21. Antara laporan yang disediakan itu termasuklah ringkasan mengenai/tentang keperluan tenaga manusia dan keperluan kemudahan.
22. Berita kematiannya dihebahkan melalui radio.
Oleh sebab itu, kata sendi nama "terhadap" diikuti oleh unsur konkrit hidup atau tak hidup tetapi kata sendi nama "tentang" diikuti unsur abstrak.

No comments: