11 August 2019

Teknik mengenal pasti pola ayat FN + FN

Marilah kita mengenal pasti imbuhan yang menentukan frasa nama (FN) dalam predikat yang diuji dalam soalan pola ayat (KSSM) dalam pola ayat FN+FN yang mudah mengelirukan pengguna bahasa. Ada banyak cara untuk mengenal pasti pola FN+FN, mari kita saksikan 4 daripadanya.
1. Semua imbuhan akhiran -an membentuk frasa nama. Jika terbaca perkataan berakhiran -an pada awal predikat, sah jawapannya FN+FN
CONTOH:
Pertandingan itu anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning.
POLA AYAT: FN + FN
2. Predikat yang bermula dengan kata pemeri "ialah" wajib diikuti frasa nama. Maka, pola frasa nama (FN) semestinya menjadi penanda pola predikat.
CONTOH:
Pemenang pertandingan itu ialah murid dari daerah Petaling Perdana.
POLA AYAT: FN + FN
3. Predikat yang terbentuk daripada kata bilangan dan penjodoh bilangan juga membentuk frasa nama (FN). Hal ini dikatakan demikian kerana hanya kata nama yang boleh menerima kata bilangan dan kata penjodoh bilangan.
CONTOH:
Bilangan murid yang menyertai pertandingan itu lima ratus dua puluh orang.
POLA AYAT: FN + FN
Hadiah kakak saya yang paling mahal sebentuk cincin berlian.
POLA AYAT: FN + FN
4. Predikat yang terbentuk daripada kata tanya juga berbentuk FN. Hal ini dikatakan demikian kerana kata tanya terletak di bawah payung golongan kata nama. Biasanya ayat tanya bersusunan biasa berakhir dengan kata tanya tanpa partikel -kah.
CONTOH
Nama lelaki itu siapa?
POLA AYAT: FN + FN
Umur wanita itu berapa?
POLA AYAT: FN + FN
Benda itu apa?
POLA AYAT: FN + FN
Demikianlah beberapa cara untuk mengenal pasti pola ayat berbentuk FN+FN. Mungkin pada perkongsian akan datang, teknik mengenal pasti pola ayat lain boleh saya kongsikan jika ada yang sudi membacanya. Perkongsian di atas adalah untuk menjawab soalan daripada seorang rakan guru yang buntu dalam usaha mengajarkan pola ayat kepada anak-anak muridnya yang lemah dalam bahagian ini.
Peringatan saya ialah kita harus menguasai subjek dan predikat sebelum menguasai pola ayat. Jika kelemahan asas, iaitu subjek dan predikat tidak dikuasai, maka kita akan terus buntu dalam pengenalpastian pola ayat.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

No comments: