Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

28 May 2019

TEKNIK "TKS" DALAM PENULISAN BERIMPAK (SPM) SEBAGAI ACUAN PENULISAN PENDAHULUAN KARANGAN YANG MANTAP (SIRI 1)

TEKNIK "TKS" DALAM PENULISAN BERIMPAK (SPM) SEBAGAI ACUAN PENULISAN MANTAP
Banyak rakan dan pengikut yang ingin tahu teknik yang saya gunakan untuk mengajarkan pendahuluan yang baik kepada anak-anak murid serta peserta seminar penulisan saya. Perkongisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau mempamerkan kebolehan tetapi bertujuan untuk membantu murid sederhana untuk menulis karangan yang mantap. Oleh hal yang demikian, saya berharap agar perkongsian ini dapat membantu guru dan murid yang menghadapi masalah untuk menulis pendahuluan karangan.
Saya menggunakan pendekatan TKS, yakni Tema, Kelompok, dan Soalan. Hal ini dikatakan demikian kerana saya tidak mahu murid yang sederhana ini lupa akan soalan dan arahan apabila mereka mula menulis karangan. Hakikatnya, kebanyakan calon peperiksaan lupa menyemak soalan dan tidak mahu memeriksa kata kunci yang ada pada arahan untuk digunakan sebaik-baiknya dalam penulisan mereka. Ada juga yang mengabaikan arahan soalan kerana taasub dengan formula penulisan pendahuluan yang dihafal semata-mata. Janganlah kita menghafal pendahuluan atau menggunakan karangan pasang siap yang dihafal kerana "impression" pasti merosot. Walau bagaimanapun, jika anda bukan calon yang mahu mendapat gred cemerlang dalam penulisan, anda boleh menghafal pendahuluan pasang siap atau yang siap dipasang oleh guru-guru untuk membantu anda dalam penulisan.
T dalam formula saya bermakna "Tema".
K dalam formula saya bermakna "Kelompok"
S dalam formula saya bermakna "Soalan".
Tema
Setiap soalan karangan ada temanya. Tema ialah tajuk utama atau tunjang penulisan yang menjadi tulang belakang penulisan. Dengan pengenalpastian tema karangan yang betul, calon dapat menulis karangan tanpa memesongkannya ke bidang yang berlainan. Bidang yang dibincangkan dalam arahan karangan haruslah tepat agar temanya menepati kehendak soalan. Saya yakin bahawa "tema" ada dalam arahan soalan walaupun kadangkala diabaikan oleh calon peperiksaan.
Kelompok
Setiap karangan ada kelompok yang dibincangkan. Kata kunci untuk kelompok biasanya seperti "remaja". "ibu bapa", "pihak sekolah", "pihak kerajaan" dan sebagainya. Oleh sebab itu, sasaran kelompok yang dibincangkan dan ditulis dalam karangan mestilah tepat agar pemeriksa tidak tercari-cari dalam penulisan anda. Oleh hal yang demikian, "kelompok" yang ditulis oleh calon mestilah menepati kehendak soalan dan tidak menggunakan kelompok yang berbeza daripada yang diinginkan oleh penggubal soalan. Hal ini dikatakan demikian kerana skema penulisan tidak banyak berubah tetapi kelompok yang diuji dalam penulisan sentiasa berubah. Saya yakin bahawa "kelompok" itu dapat dicari dalam arahan.
Soalan
"Soalan" ialah hidangan utama dalam penulisan. Setiap soalan pasti ada arahan khusus yang menguji calon. Antara kata kunci yang penting adalah seperti langkah/cara/usaha, kesan/impak/implikasi, punca/sebab/faktor, kepentingan/manfaat/kebaikan dan banyak lagi. Kata kunci ini mestilah dikenal pasti oleh calon peperiksaan. Janganlah kita memberikan isi penting dalam pendahuluan, sebaliknya memberikan gambaran kepada pemeriksa semata-mata.
Contoh soalan 1:
Zaman remaja merupakan tempoh yang sangat berharga dan perlu diisi dengan sebaik mungkin. Zaman remaja hanya datang sekali dalam seumur hidup.
Huraikan kegiatan-kegiatan bermanfaat yang perlu anda lakukan untuk mengisi zaman remaja tersebut.
Kerangka Pendahuluan:
Tema - Zaman remaja
Kelompok - remaja
Soalan - kegiatan-kegiatan bermanfaat yang perlu saya lakukan untuk mengisi zaman remaja
Contoh soalan 2:
Minat membaca dalam kalangan murid belum mencapai tahap yang memuaskan.
Huraikan peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca.
Kerangka Pendahuluan:
Tema: Amalan membaca/Minat Membaca
Kelompok : murid-murid/anak-anak
Soalan: peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca
Selepas anda mengenal pasti "tema", "kelompok", dan "soalan", binalah 3-5 ayat berkaitan dengan "tema" dan "kelompok" bergantung pada kemampuan diri murid kemudian binalah 1 ayat tanya untuk "soalan". Dengan adanya ayat tanya, kita dapat memvariasikan jenis-jenis ayat dalam penulisan. Hal ini dapat membuktikan kefleksibilitian dan kemampuan kita menulis pelbagai jenis ayat dalam penulisan. Janganlah lupa bahawa ayat tanya mestilah diikuti ayat penyata (jawaban) dalam ayat pertama perenggan isi penting. Dengan berbuat demikian, kita dapat menjawab soalan penulisan dengan tepatnya.
Sewaktu menulis karangan, pastikan anda menulis karangan dengan memasukkan unsur kohesi seperti penanda wacana yang betul, pengulangan sebahagian kata daripada ayat sebelumnya atau menggunakan kata ganti nama diri, tempat, dan tunjuk yang betul. Pertautan antara ayat mestilah mesra, erat, dan harmoni dan disertai ungkapan menarik seperti peribahasa dan sebagainya.Murid yang menghadiri bengkel dan menghayatinya dapat menulis pendahuluan ini dalam masa 10-12 minit.
Saya akan menunjukkan gambar-gambar tulisan peserta bengkel penulisan saya. Perhatikan huruf "T", "K", dan "S" dalam karangan tersebut. Abaikan kesilapan bahasa dan ejaan dalam gambar tersebut kerana saya melatih mereka menulis karangan dahulu sebelum membetulkan kesilapan dalam penulisan kerana DSKP setiap tingkatan juga menyatakan kepentingan mengajarkan pelbagai jenis pendahuluan dan teknik penulisan kerangka karangan sebelum menulis dan mengedit karangan. Oleh sebab itu, penulisan ialah proses yang paling rumit kerana melibatkan pelbagai kemahiran. Saya berharap agar perkongsian ini dapat membantu anda menulis karangan yang baik.




Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Kongsikanlah kepada sesiapa sahaja yang sudi menerima ilmu ini. Ilmu yang ada pada diri kita juga haruslah ada pada diri anak murid kita, rakan kita, dan sesiapa sahaja agar ilmu itu terus tersebar luas dan memanfaatkan semua. Teknik ini bukanlah yang terbaik tetapi memudahkan calon yang mahu memanfaatkan kata-kata kunci dalam soalan.

2 comments:

monyet said...

ayo daftarkan diri anda di AJOQQ :D
menangkan jackpot dengan sebanyak-banyaknya :D

kucing said...

jangan layan scammers ini . lupakan ajaaaaa