Selamat Melayari Blog Saya!

My photo
Seorang insan yang biasa.... namun bercita-cita luar biasa! PENCERAMAH BAHASA PENULIS BUKU RUJUKAN PENULIS KOLUM MAJALAH PENDIDIK PENCERAMAH BENGKEL PENULISAN

10 August 2018

Perbezaan antara Imbuhan "beR-...-an" dengan "beR-...-kan"

INFORMASI BAHASA
10.8.2018
Perbezaan antara Imbuhan "beR-...-an" dengan "beR-...-kan"

NOTA:
Frasa kerja tak transitif beR-...-an lazimnya diikuti oleh kata sendi nama, bukannya kata nama.
Frasa kerja tak transitif beR - . ..-kan haruslah diikuti oleh kata nama, bukannya kata sendi nama.

KESALAHAN:
1. Panglima yang gagah berani bertikaman ketua lanun untuk mendapatkan harta karun. ❌
1. Gerai Pak Salim berhampiran rumah Tuan Haji Gullaam Rasul. ❌
2. Sherry pergi ke pejabat pendaftaran negara berkaitan urusan kelahiran anaknya. ❌
3. Tembakan meriam berentetan Laut Merah menandakan pasukan Liu Bei telah kalah. ❌
4. Buku ayah bertaburan ruang tamu setelah rumah dimasuki oleh pencuri. ❌
5.  Pasangan suami isteri itu melancong ke Korea berpandukan pada peta sahaja. ❌
6.  Parang buatan kaum Iban berhulukan dengan tanduk rusa.❌
7.  Pemuda itu tidak bersalah berdasarkan pada hujah yang dibentangkan oleh pendakwa raya.❌
8.  Sebuah karya Inggeris yang berorientasikan pada tradisi Parsi telah dihasilkan oleh Farouk.❌
9.  Rumah panjang itu berdindingkan akan kayu cengal yang berusia puluhan tahun.❌

PEMBETULAN
1. Panglima yang gagah berani bertikaman dengan ketua lanun untuk mendapatkan harta karun. ✅
1. Gerai Pak Salim berhampiran dengan rumah Tuan Haji Gullaam Rasul. ✅
2. Sherry pergi ke pejabat pendaftaran negara berkaitan dengan urusan kelahiran anaknya. ✅
3. Tembakan meriam berentetan di Laut Merah menandakan pasukan Liu Bei telah kalah. ✅
4. Buku ayah bertaburan di ruang tamu setelah rumah dimasuki oleh pencuri. ✅
5.  Pasangan suami isteri itu melancong ke Korea berpandukan peta sahaja. ✅
6.  Parang buatan kaum Iban berhulukan tanduk rusa.✅
7.  Pemuda itu tidak bersalah berdasarkan hujah yang dibentangkan oleh pendakwa raya. ✅
8.  Sebuah karya Inggeris yang berorientasikan tradisi Parsi telah dihasilkan oleh Farouk.✅
9.  Rumah panjang itu berdindingkan kayu cengal yang berusia puluhan tahun.✅

Latihan Tubi
Tandakan (✔️) jika ayat tersebut betul dan tandakan (❌) jika ayat tersebut salah.

1. Rakyat Kedah sangat setuju untuk berajakan kepada putera bongsu itu.
2. Dia mengambil golok yang bersarungkan dengan upih itu di atas para-para.
3. Kami berkhemah di tepi sungai bertemankan akan nyamuk dan agas-agas.
4. Bandar raya bersejarah itu bermandikan darah setelah peperangan berlaku.
5. Mereka yang sedang solat berjemaah di Surau Andalas itu berimamkan kepada Haji Musa.
6. Kebanyakan karya beliau bertemakan akan percintaan dan unsur romantik.
7. Shafiqah menghadapi masalah ketika hendak berkahwin kerana berbintikan bapa angkatnya.
8. Mega memulakan perniagaan dalam bidang kasut dengan bermodalkan wang sebanyak RM10 ribu.
9. Penolong Kanan Akademik SMK Padang Polo bersalaman dengan pegawai kanan wakil rakyat.
10. Jaafar meneliti cek yang ditulisnya berpandu pada invois yang diterimanya.

1 comment:

Anonymous said...

terima kasih cikgu