SAMPEL KARANGAN
1
Kebanyakan
remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia mengimpikan kerjaya yang dapat menjamin
masa hadapan mereka.
Huraikan
faktor-faktor pemilihan kerjaya bagi seseorang remaja.
Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan
minda kita telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi pesat yang menjana
pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia. Dalam sistem pendidikan di Malaysia,
kita menghabiskan masa selama enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di
sekolah menengah. Selama sebelas tahun ini, pelajar sentiasa disoal oleh
guru-guru, “apakah kerjaya yang anda inginkan?” Semasa dalam
tingkatan empat, pelajar perlu memilih gabungan mata pelajaran yang sesuai
berdasarkan minat mereka untuk mengejar kerjaya impian. Menurut Kamus Dewan
Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang
dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Kerjaya merupakan panduan dalam
kehidupan kita. Pada masa ini, pelajar sepatutnya telah menetapkan matlamat
tentang kursus dan kerjaya yang diingini mereka supaya mereka ada hala tuju
dalam hidup tidaklah seperti layang- layang yang
terputus tali dan tidak menyesal dengan keputusan
yang diambil dikemudian hari. Antara kerjaya yang menjadi pilihan ialah doktor,
juruterbang, jurutera, ahli kimia dan sebagainya. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang mempengaruhi dalam
pemilihan sesuatu bidang kerjaya dalam kalangan pelajar SPM?
Fokus perbincangan pertama saya berkaitan
faktor minat dan cita-cita pelajar semasa di bangku sekolah terutama dalam
kalangan pelajar SPM. Minat dan cita-cita merupakan dua perkara saling berkait
dan merupakan faktor paling dominan mempengaruhi pemilihan kerjaya seseorang
pelajar terutama pelajar yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM). Oleh sebab itu, ketika mereka berada di tingkatan empat,
pelajar perlu menentukan aliran yang mereka pilih, sama ada aliran sains atau
sastera. Bertitik tolak daripada itu, pelajar akan belajar dengan tekun untuk
meraih kejayaan cemerlang ke semua pakej mata pelajaran yang ditawarkan dalam
jurusan yang diambil. Hal ini kerana kecemerlangan mereka tersebut membolehkan
mereka meneruskan pengajian di menara gading untuk menggapai cita-cita mereka.
Di Menara gading jugalah tepat mereka menimba ilmu berdasarkan kerjaya yang
mereka cita-citakan, sama ada untuk menjadi golongan pekerja profesional
seperti doktor, peguam, pendidik, pentadbir dan sebagainya. Jikalau pelajar
berusaha sudah pasti mereka akan menggapai kerjaya yang mereka impikan
kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tegasnya, faktor minat dan cita-cita merupakan dua aspek penentu
utama kejayaan pelajar untuk merealisasikan kerjaya mereka cita-citakan.
Selain faktor minat dan cita-cita, pelajar
juga perlu memilih mata pelajaran yang ada kaitan dengan kerjaya yang mereka
pilih. Umumnya kita mengetahui bahawa semasa di alam persekolahan lagi pelajar
harus memilih subjek yang berkaitan dengan kerjaya yang akan diceburi oleh
mereka. Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka lebih mahir dalam
menguruskan kerjaya yang akan diceburi kerana sudah mengetahui dan membuat
persediaan yang rapi umpama sediakan payung
sebelum hujan. Dengan perkataan yang lain, pelajar
seharusnya mengambil subjek yang berkaitan dengan cita-cita masing-masing
semasa mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pada zaman yang serba
canggih ini, bukan sahaja kemahiran yang dilihat oleh majikan tetapi keputusan
yang cemerlang dalam subjek yang dipilih itu bersesuaian dengan kerjaya turut
diberi keutamaan kerana hanya jauhari sahaja yang
mengenali manikam. Contohnya, jika pelajar memilih
kerjaya sebagai seorang jurutera, subjek yang mereka mesti pilih ialah Lukisan
kejuruteraan. Jikalau pelajar berjaya menguasai mata pelajaran berkenaan sudah
pasti mereka ada kelebihan untuk menggapai kerjaya yang diidam-idamkan.
Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh, pemilihan mata pelajaran juga
penting untuk menentukan kejayaan pelajar merealisasikan kerjaya yang mereka
minati.
Bahkan juga, pelajar
yang mengidamkan kerjaya yang diminati perlu mempunyai tokoh atau idola sebagai
motivasi untuk berjaya. Kebiasaaanya, idola yang dipilih perlulah seorang yang
unik, seorang yang tabah, dan berjaya dalam bidang kerjayanya. Sebagai contoh
Hijjaz Kasturi, seorang arkitek luar biasa negara, mendapat pendidikan di Adelaide University dan seterusnya ke Melbourne University,
Australia. Sekembalinya ke Malaysia tahun 1967, beliau telah memiliki
kemahiran tersendiri dan menerajui bidang arkitek negara. Beliau telah
memenangi pertandingan rekebentuk menara Maybank, bangunan Tabung Haji dan
menara Telekom. Setiap rekabentuk bangunannya menerapkan ciri-ciri keIslaman
hingga ke hari ini sehingga namanya tersohor di Persada dunia. Sekiranya
pelajar mempunyai idola sendiri, sudah pasti kerjaya pilihan mereka sebagai
seorang arkitek akan dapat direalisasikan kerana setiap sejarah kejayaan serta
teladan seperti ketekunan, kegigihan dan kekreatifan idola mereka memotivasikan
mereka untuk berjaya bukan sahaja di Malaysia malah keseluruh dunia. Tegasnya,
seseorang pelajar yang ingin berjaya menggapai kerjaya idamannya memerlukan
idola agar dapat mempengaruhi minda dan semangat mereka untuk berjaya.
Selain itu, sokongan dan doa ibu bapa amat
perlu untuk memastikan kerjaya idaman remaja dapat direalisasinan. Ironisnya,
jika minat seseorang itu tidak mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapa,
sudah tentulah punah harapan mereka. Hal ini bermakna, seseorang yang
hanya mempunyai minat tetapi tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa
mereka tentang pemilihan kerjayanya, sudah pasti mereka akan kecundang di
peringkat awal lagi. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sewajarnya menyokong
minat anak-anak walaupun pemilihan kerjaya mereka bertentangan dengan harapan
kedua-dua ibu bapa. Bagi menyokong pemilihan kerjaya anak-anak mereka,
ibu bapa boleh memperlengkapkan segala keperluan anak-anak dalam memenuhi
kriteria yang diperlukan. Sebagai buktinya, ibu bapa bolehlah memberikan
dorongan, semangat dan motivasi kepada anak-anak sama ada dalam bentuk material
mahupun spiritual. Sekiranya, ibu bapa tidak turut serta membantu usaha anak
mereka untuk menggapai kerjaya idaman mereka sudah pasti usaha berkenaan tidak
akan kesampaian. Izharlah bahawa ibu bapa juga berperanan menyokong minat
anak-anak mereka dalam merealisasikan kerjaya masa depan anak-anak
mereka.
Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai akhirulkalam,
minat menjadi prioriti utama dalam pemilihan sesuatu kerjaya. Dalam konteks
ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pemilihan kerjaya anak-anak
mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak mereka memerlukan sokongan dan
dorongan daripada mereka sama ada dari aspek mental, spiritual mahupun
fizikal. Contoh ketara dari aspek sokongan mental dan spiritual ialah ibu bapa
perlu memberikan motivasi kepada anak-anak, manakala sokongan dari aspek
fizikal pula ialah mereka perlu menyediakan kelengkapan belajar anak-anak seperti
buku rujukan dan menghantar mereka ke pusat tuisyen. Sekiranya hal ini dapat
dilaksanakan maka tidak ada lagi orang yang akan sesat di perjalanan untuk
memilih kerjaya kerana mereka menetapkan sasaran dari awal lagi. Walaupun
demikian, jika seseorang mempunyai minat dan hala tuju yang jelas, tetapi
mereka bersikap genggam-genggam
bara, terasa panas dilepaskan dan tidak
ada semangat kegigihan, ketabahan, keiltizaman dan kecekalan, sudah pasti
segala hasrat termasuk kerjaya yang menjadi idaman akan hancur lebur
umpama kubur tanpa nisan. Tuntasnya, perkara-perkara yang dinyatakan di atas hendaklah
dilaksanakan secara efektif dan janganlah bersikap keras-keras
kerak nasi yang mudah putus asa supaya pemilihan
bidang kerjaya impian akan menjadi lebih jelas lagi.
SAMPEL KARANGAN
2
BERJIMAT CERMAT AMALAN MULIA
ulaskan pernyataan tersebut
Setelah
menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas
daripada cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan
tumbuh selepas hujan. Sehubungan dengan hal itu, peribahasa
ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun
kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecap,
negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit.
Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat,
tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan
dengan inflasi? Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi
Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan harga barangan yang
disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah ini tidak boleh
dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplementasikan untuk
merungkaikan masalah ini bak kata peribahasa,tak ada gunung yang tak
dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni. Persoalannya, mengapakan
Berjimat Cermat Amalan Mulia?
Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan
penyelesaian yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya
mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan
konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan
batuk di tangga. Memetik kata-kata azimat Lao tze, kehidupan
membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke arah kebinasaan. Lantaran itu,
kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya
nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Tindakan yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja
mengikut kemampuan sendiri ibarat mengukur baju di badan sendiri dan
usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja
dengan mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa
Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa
binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus mengadakan
pertandingan yang dapat menarik penyertaan khalayak seperti sayembara puisi,
menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan
kempen tersebut. Jikalau usaha seperti ini tidak dilakukan sudah pasti
masyarakat akan menghadapi masalah kewangan terutama untuk mengharungi keadaan
inflasi serta peningkatan kos sara hidup sekarang. Jelaslah bahawa
penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai
yang ampuh untuk merungkaikan masalah kenaikan harga barangan.
“Jika
satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang
kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun
begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian
itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang
telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara
Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan
bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai
kesinambungan idea, tindakan badan bukan kerajaan atau NGO melindungi
hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di
pasaran merupakan langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang
masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan kerajaan ini seperti
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau
Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna.
Pihak-pihak ini berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala
permasalahan yang dihadapi termasuklah masalah kenaikan harga barangan
keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang
melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan
yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan
tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab.
Organisasi-organisasi ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwahibarat
seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada
falsafah Confusius, apalah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi
kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita
tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga
barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan
kerajaan atau NGO.
Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak
boleh diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong.
Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu
berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub
dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak
berkuasa seharusnya sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas
terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa
memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga
haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara
mengejut ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan
para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap
seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan
juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka
untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang
secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan
peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang
lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan
sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh
itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pemantauan dan mengambil
tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat mengekang
masalah kenaikan harga barangan di pasaran.
Lampu
Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih
dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan
semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh
kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas
kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan
prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang. Sebagaimana yang
kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Malaysia
masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah
sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan
bersikap ibarat menangguk di air keruh, menindas golongan
pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa haruslah
menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan
hak-hak pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media
massa, pengguna akan mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka
daripada dimanipulasikan oleh para peniaga yang durjana. Misalnya, apabila
berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak
berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan.
Melalui penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para
pengguna termasuk suri rumah tangga akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara
total dan bertindak berani kerana benar dalam
memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan
di negara ini.
Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi
bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng
tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya.
Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit
menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada
menyatakan, yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang
melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti haruslah
mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk
membendung masalah tersebut. Oleh itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan
Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin Mohamad bukan lagi
menjadi angan-angan Mat Jenin
PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK MEMANFAATKAN INTERNET
Marcapada,
Internet merupakan satu ciptaan manusia yang wajar dikagumi dan pada masa yang
sama merupakan satu kepentingan dalam kehidupan setiap individu. Hal ini kerana
hanya Internet yang memberikan kepuasan bersosial, berniaga dan belajar secara
meluas tanpa had kepada pengguna. Bayangkan dengan hanya satu klik, kita mampu
mengakses seluruh alam maya tanpa perlu bermandi peluh. Namun begitu, isu
penyalahgunaan Internet bukanlah suatu isu baharu. Terdapat manusia sanggup
melakukan penyalahgunaan Internet untuk memuaskan nafsu diri demi kepentingan
diri dengan melakukan pencerobohan maklumat dan menyebarkan berita palsu. Maka
tidak hairanlah jenayah siber kian hari kian serius bagai duri dalam daging.
Oleh itu, setiap individu perlu tahu akan kelebihan, keburukan dan cara
mengakses Internet, termasuklah ibu bapa. Sebahagian besar ibu bapa masa kini
handal menggunakan Internet manakala sebahagian kecilnya tidak. Namun begitu,
sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, ibu bapa wajar untuk mempelajari secara
khusus berkenaan dengan Internet. Sekiranya ibu bapa sudah ‘mengenali’
Internet, maka dengan mudah ibu bapa mengawal kecenderungan anak-anak melayari
Internet dan secara tidak langsung, ibu bapa mampu mendidik anak-anak dalam
memanfaatkan penggunaan Internet. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam
mendidik anak-anak memanfaatkan Internet pada hari ini?
Memetik
kata-kata pakar motivasi terkenal Malaysia Dr. H.M Tuah Iskandar, “Seribu
mancis tidak dapat menerangi engkau dalam kegelapan namun, cahaya keimanan
pasti dapat menyuluh engkau ke jalan kebahagiaan”. Oleh hal yang
demikian, langkah awal wajar diambil oleh ibu bapa untuk merealisasikan hasrat
murni itu iaitu dengan cara menerapkan dan memberikan didikan agama
yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng
yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk
melalui tingkap globalisasi. Anak-anak yang diasuh dan dibesarkan dengan
didikan agama yang mantap dapat membezakan dosa dan pahala ketika melayari
laman sesawang. Sebagai contoh, anak-anak tidak akan melayari laman sesawang
yang mengandungi unsur pornografi yang mampu mencemarkan minda dan sekali gus mampu
mendorong meruntuhkan akhlak anak-anak yang masih separa matang. Bukan itu
sahaja, mereka juga tidak akan menggunakan Internet untuk menjejaskan keamanan
dan keharmonian dalam masyarakat dengan menyebarkan fitnah malahan mereka akan
menggunakan Internet untuk menyampaikan ilmu yang berguna kepada masyarakat.
Apabila anak-anak telah diterapkan dengan nilai-nilai murni, sudah pasti akan
lahirlah insan yang berguna iaitu insan yang tahu nilai diri dan estetika. Jadi
apabila benteng pertahanan diri mereka sudah cukup teguh, mereka dapat
menggunakan Internet dengan baik dan bijak.
Peranan lain yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak
memanfaatkan Internet pada masa ini termasuklah mendedahkan anak-anak
dengan segala maklumat berkaitan dengan Internet. Hal ini disebabkan
anak-anak perlu diberitahu mengenai baik buruk penggunaan Internet sebelum
mereka didedahkan dengan cara menggunakan kemudahan Internet secara bijak.
Sekiranya anak-anak sudah diajar dari awal, sudah tentu anak-anak akan lebih
berhati-hati dan lebih bijak dalam menggunakan kemudahan Internet pada
masa-masa akan datang bak kata pepatah, sediakan payung sebelum
hujan. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, oleh
itu sememangnya ibu bapa bertanggungjawab dalam memberikan pengenalan kepada
anak-anak mengenai penggunaan Internet dari kecil, yang ternyata amat penting
dalam kehidupan masyarakat moden masa ini. Jelaslah di sini bahawa pendedahan
segala maklumat berkaitan Internet terhadap anak-anak merupakan tindakan yang
wajar dilakukan oleh ibu bapa.
Selain
itu, ibu bapa juga berperanan untuk memantau anak-anak semasa
menggunakan kemudahan Internet. Alam maya ini tiada batasnya, oleh itu
Internet ini mempunyai keburukannya. Pemantauan ibu bapa sebenarnya mampu
mengelakkan anak-anak daripada mengakses laman-laman sesawang yang berunsurkan
pornografi, mahupun melakukan jenayah siber seperti mencetak rompak bahan
media, mencetuskan provokasi atau menggodam laman sesawang. Tindakan kecil yang
dilakukan ibu bapa ini juga tanpa disedari mampu menyelamatkan industri hiburan
tanah air yang kerap kali ‘dirompak’ oleh orang-orang yang tidak
bertanggungjawab, termasuklah mengurangkan jumlah penggodam dan pencetus
provokasi di Internet yang semakin hari semakin berleluasa. Anak-anak juga
terselamat daripada terus terperangkap di dalam kancah jenayah siber, yang juga
merupakan salah satu kesalahan yang akan dikenakan tindakan keras seperti yang
termaktub di dalam akta jenayah negara. Oleh itu jelaslah bahawa tindakan ibu
bapa dalam memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet dapat
mendidik mereka dalam memanfaatkan kegunaan Internet.
Jika
dikaji dari aspek yang lain, ibu bapa juga seharusnya menyekat
penggunaan Internet oleh anak-anak. Ibu bapa kini mampu mengawal Internet
dengan menyekat laman-laman sesawang yang berunsurkan negatif sebagai langkah
mengelakkan pengguna Internet mengakses laman-laman tersebut dan sistem yang
sama digunakan pada peranti komputer yang disediakan di semua alma mater milik
kerajaan. Sistem sebegini bukan sahaja mampu mengawal aktiviti penggunaan
Internet anak-anak, malah mampu mengasuh mereka untuk hanya mengakses
laman-laman yang berguna sahaja. Bayangkan, sekiranya ibu bapa melaksanakan
sistem sebegini di rumah, sudah tentu anak-anak akan menggunakan perkhidmatan
Internet dengan lebih bijak, seterusnya dapat menghindari mereka daripada
mengetahui mahupun mencuba untuk mengakses laman-laman berunsurkan negatif
seperti yang kebiasaannya berlaku dalam kalangan remaja dan orang dewasa masa
ini. Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya,
persis kata peribahasa tersebut yang secara tersiratnya menegaskan bahawa ibu
bapalah yang perlu mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain
putih yang tidak berdosa. Cukup ditegaskan di sini bahawa ibu bapa
sebaik-baiknya mengawal penggunaan Internet oleh anak-anak sebagai cara
mengajar mereka menggunakan Internet secara lebih bijak.
Akhir
sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak
menggunakan Internet secara pintar dengan memperkenalkan kepada mereka
dengan medium-medium pembelajaran menerusi Internet. Seperti yang
ditegaskan, Internet sememangnya memberikan banyak manfaat, termasuklah dari
segi pendidikan. Hari ini, kemajuan Internet juga selaras dengan kemajuan
teknologi seperti tablet dan telefon pintar. Mengikut statistik juga, kedua-dua
peranti ini merupakan peranti pilihan pengguna untuk melayari Internet. Oleh
hal yang demikian, adalah lebih baik para ibu bapa memperkenalkan laman
sesawang atau aplikasi pintar yang berunsurkan pembelajaran kepada anak-anak.
Tanpa disedari, sudah banyak aplikasi dan laman sesawang yang menyediakan
aktiviti pembelajaran menggunakan kemudahan Internet, namun malangnya kurang mendapat
sambutan dalam kalangan pengguna Internet masa kini. Sebaik-baiknya anak-anak
didedahkan dengan medium sebegini, sekurang-kurangnya mereka akan mula
memanfaatkan penggunaan Internet serta bijak menggunakannya. Ibu bapa juga
tidak perlu risau sekiranya anak-anak menghabiskan masa dengan melayari
Internet mahupun menghadap peranti pintar sepanjang masa, sekiranya
peranti-perani di rumah diisi dengan aplikasi dan laman pembelajaran yang
berguna kepada anak-anak. Oleh hal yang demikian, jelaslah sudah di sini bahawa
tindakan ibu bapa memperkenalkan medium-medium pembelajaran melalui Internet
kepada anak-anak adalah amat wajar dalam mendidik mereka memanfaatkan
penggunaan Internet.
Secara
tuntasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik dan mengasuh
anak-anak memanfaatkan penggunaan Internet. Perkhidmatan Internet sememangnya
memberikan manfaat kepada pengguna walaupun secara minoritinya membawa kepada
keburukan. Namun yang demikian, semua ini bergantung kepada ibu bapa itu
sendiri, sama ada bijak atau tidak mendidik anak-anak dalam memanfaatkan
penggunaan Internet dalam kehidupan seharian. Walaupun demikian, kita tidak
seharusnya mengharapkan peranan ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan
tidak akan berbunyi. Oleh itu, tindakan kerajaan mengambil pelbagai langkah
dalam memastikan perkhidmatan ini mampu digunakan oleh semua anggota masyarakat
sama ada di bandar mahupun di luar bandar membuktikan bahawa Internet sangat
penting kepada semua. Kerajaan juga banyak berusaha untuk memastikan masyarakat
menggunakan perkhidmatan tersebut dengan sebaik-baiknya, namun usaha kerajaan
akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya ibu bapa dan pihak yang lain tidak
turut turun padang membantu kerajaan melahirkan generasi yang celik IT dan bijak
menggunakannya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat,
sememangnya jikalau semua pihak mula bertindak dari awal, masalah
penyalahgunaan Internet dan jenayah siber yang semakin menjadi-jadi ini akan
mudah diungkai, dan secara tidak langsung matlamat negara untuk duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju dunia pada tahun 2020 tidak
akan kesampaian.
8 comments:
Terima kasih Cikgu Tan. Memang bagus tambah peribahasa ke karangan kita. Bermanfaat sgt. :)
Antara daripada ini,ade yng pasti keluar SPM me?
Sangat menarik
Menarik. Dah motivate i dlm buat karangsn. Thx ye cg Tan
iznkn i copy utk rujukkan. thnks a lot ))
Amat bermanfaat untuk pelajar saya. Tq Cgu Tan.
Sangat menarik dan bermanfaat utk pelajar saya yang akan menduduki SPM .Mohon keizinan untuk diberikan kepada pelajar saya. Tq Cgu Tan
Cg Tan mmg terbaik moga dipermudahkan segala urusan cg
Post a Comment