JENIS-JENIS AYAT
Ayat bahasa Melayu dapat dibahagikan
kepada empat jenis:
(a) Ayat penyata
(b) Ayat tanya
(c) Ayat perintah
(d) Ayat seruan
Ayat Penyata
Ayat penyata bertujuan atau maksud
membuat sesuatu kenyataan, menyatakan atau memberikan sesuatu keterangan
tentang sesuatu berita atau hal. Ayat penyata juga disebut ayat berita atau
ayat keterangan.
Contoh:
1.
Kota Kinabalu
ialah ibu negeri Sabah yang letaknya di tepi laut. (FN+FN)
2.
Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat. (FN+FS)
3.
Bangunan
perpustakaan yang baru siap dibina di bandar itu amat besar. (FN+FA)
4.
Kain songket ialah
busana yang lazimnya dipakai oleh pasangan pengantin. (FN+FN)
5.
Bandar raya Kuala
Lumpur yang sedang pesat membangun sangat bersih dan indah.(FN+FA)
6.
Bungkusan hadiah
ini untuk pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke universiti.(FN+FS)
7.
Semua rakyat
diingatkan supaya mengibarkan Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan negara ini.
(FN+FK)
8.
Pihak kerajaan
sedang memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris di negara
ini. (FN+FK)
Ayat Tanya
Ayat tanya bertujuan menanyakan sesuatu
berita atau hal.
Terdapat dua jenis ayat tanya
(a) Ayat tanya tanpa kata tanya
(b) Ayat tanya dengan unsur tanya
(a)
Ayat tanya tanpa kata tanya
Ayat tanya tanpa kata tanya diucapkan
dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan pada akhir ayat. Biasanya, ayat
jenis ini menggunakan tanda tanya (?) pada akhir ayat.
1. Ikan hiasan di dalam akuarium itu
cantik-cantik? (FN+FA)
2. Bangunan itu asrama untuk pelajar dari
luar bandar? (FN+FN)
3. Darurat di negara kita diisytiharkan
pada tahun 1948? (FN+FK)
4. Mereka sekeluarga akan ke Pulau
Langkawi untuk bercuti? (FN+FS)
5. Kota Paris bandar raya yang terkenal
dengan bangunan Menara Eiffel? (FN+FN)
6. Guru sukan sekolah mengetuai rombongan
pelajar mendaki gunung itu? (FN+FK)
7. Padang sukan sekolah itu sangat luas
berbanding dengan padang sekolah lain? (FN+FA)
8. Ahli arkeologi yang sedang menjalankan penyelidikan
di Lembah Bujang dari Muzium Negara? (FN+FS)
PERINGATAN
Ayat tanya tanpa kata tanya menggunakan partikel tanya –kah yang hadir dalam
predikat ayat. Apabila ini berlaku, predikat ayat dikedepankan.
Salah
|
Betul
|
1. Ikan hiasan di dalam akuarium
cantik-cantik
|
Cantik-cantikkah ikan hiasan
di dalam akuarium?
|
2. Bangunan itu asrama untuk pelajar
dari luar bandarkah?
|
Asrama untuk pelajar dari luar bandarkah
bangunan itu?
|
3. Negara kita mengisytiharkan
darurat pada tahun 1948kah?
|
Pada tahun 1948kah darurat di
negara kita diisytiharkan?
|
4. Mereka sekeluarga akan ke Pulau
Langkawi untuk bercutikah?
|
Akan ke Pulau Langkawi untuk bercutikah
mereka sekeluarga?
|
5. Kota Paris bandar raya yang
terkenal dengan bangunan Menara Eiffelkah?
|
Bandar raya yang terkenal dengan
Menara Eiffelkah kota Paris?
|
6. Guru sukan sekolah mengetuai
rombongan pelajar mendaki gunung itukah?
|
Mengetuai rombongan pelajar mendaki
gunung itukah guru sukan sekolah?
|
7. Padang sukan sekolah itu sangat
luas berbanding dengan padang sekolah lainkah?
|
Sangat luaskah padang sukan
sekolah itu berbanding dengan padang sekolah lain?
|
8. Ahli arkeologi yang sedang
menjalankan penyelidikan di Lembah Bujang dari Muzium Negarakah?
|
Dari Muzium Negarakah ahli
arkeologi yang sedang menjalankan penyelidikan di Lembah Bujang?
|
Ayat tanya
dengan unsur tanya
Ayat tanya yang mengandungi unsur tanya
seperti apa, siapa, mengapa, bagaimana, di mana dan sejak bila.
Ayat tanya yang mengandungi unsur tanya terdiri daripada tiga kategori, iaitu:
(a) Ayat tanya dengan kata tanya
(b) Ayat tanya dengan kata ganti nama diri tanya
(c) Ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya
(a) Ayat tanya dengan kata tanya
Ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat
yang mengandungi kata tanya seperti bila, berapa, bagaimana, mengapa dan
kenapa. Dalam susunan biasa, kata tanya menduduki konstituen predikat.
Contoh:
1. Baju kemeja kamu yang biru itu basah kenapa?
(FN+FA)
2. Kenaikan harga minyak petrol baru-baru
ini bila? (FN+FK)
3. Kamu menyediakan sate untuk tetamu bapa
bagaimana? (FN+FK)
4. Latihan forum pelajar di kantin sekolah
pagi tadi mengapa? (FN+FS)
5. Jumlah kayu hoki yang rosak di bilik
sukan sekolah berapa? (FN+FN)
6. Pokok bunga di sekitar bangunan sekolah
kami kering dan layu mengapa? (FN+FA)
7. Harga kereta mainan dengan alat kawalan
jauh yang baru dibeli itu berapa? (FN+FN)
8. Peserta program pertukaran pelajar dari
negara China akan ke Kuala Lumpur bila? (FN+FS)
Ayat di atas boleh
menerima partikel –kah yang hadir dalam predikat. Apabila ini berlaku,
predikat ayat mengalami proses pendepanan.
Contoh dalam ayat:
1. Kenapakah baju kemeja kamu yang
biru itu basah? (FN+FA)
2. Bilakah kenaikan harga minyak
berkuat kuasa baru-baru ini? (FN+FK)
3. Bagaimanakah kamu menyediakan
sate untuk tetamu bapa? (FN+FK)
4. Mengapakah latihan forum pelajar
di kantin sekolah pagi tadi? (FN+FS)
5. Berapakah jumlah kayu hoki yang
rosak di bilik sukan sekolah? (FN+FN)
6. Mengapakah pokok bunga di
sekitar bangunan sekolah kami kering dan layu? (FN+FA)
7. Berapakah harga kereta mainan
dengan alat kawalan jauh yang baru dibeli itu? (FN+FN)
8. Bilakah program pertukaran
pelajar dari negara China akan ke Kuala Lumpur? (FN+FS)
(b) Ayat tanya dengan kata ganti nama diri
tanya
Ayat tanya dengan
kata ganti diri tanya ialah ayat yang mengandungi kata ganti diri tanya seperti
apa,siapa dan mana. Dalam susunan biasa, kata ganti diri tanya
menduduki bahagian predikat.
Contoh:
1. Buku rujukan yang kamu pinjam dahulu
itu mana? (FN+FN)
2. Tajuk debat antara pelajar sekolah
asrama penuh pada tahun ini apa? (FN+FN)
3. Pegawai Kementerian Pendidikan yang
mengetuai rombongan itu siapa? (FN+FN)
Ayat di atas
menerima partikel –kah yang hadir dalam predikat. Apabila ini berlaku,
predikat ayat mengalami proses pendepanan.
Contoh:
1. Manakah buku rujukan yang kamu
pinjam dahulu itu? (FN+FN)
2. Apakah tajuk debat antara
pelajar sekolah asrama penuh pada tahun ini? (FN+FN)
3. Siapakah pegawai Kementerian
Pendidikan yang mengetuai rombongan itu? (FN+FN)
(c) Ayat tanya dengan frasa sendi nama
tanya
Ayat tanya dengan frasa sendi nama
tanya ialah ayat yang mengandungi frasa sendi nama tanya seperti di mana,
daripada siapa, dari mana, ke mana, sejak bila, sampai bila dan dengan
siapa. Dalam susunan biasa, kata ganti diri tanya menduduki bahagian
predikat.
Contoh:
1. Ibu jari kaki kanan kamu bengkak sejak
bila? (FN+FA)
2. Rombongan pelancong yang menaiki bas
itu dari mana? (FN+FS)
3. Doktor muda hospital ini pakar penyakit
kulit sejak bila? (FN+FN)
4. Michael yang terburu-buru berjalan itu
hendak ke mana? (FN+FS)
5. Surat berdaftar yang kamu terima
semalam daripada siapa? (FN+FS)
6. Pelajar itu menghadiri kelas tuisyen di
bandar dengan siapa? (FN+FK)
7. Pameran hasil kraf tangan tradisional
dilanjutkan sampai bila? (FN+FK)
8. Pelajar yang akan memasuki pertandingan
pidato peringkat kebangsaan itu di mana? (FN+FS)
Ayat di atas boleh mengalami proses
pendepanan predikat dengan meletakkan bahagian predikat ayat di hadapan ayat
serta menggunakan partikel –kah.
Contoh:
1. Sejak bilakah ibu jari kaki
kanan kamu bengkak? (FN+FA)
2. Sejak bilakah doktor muda
hospital ini pakar penyakit kulit? (FN+FN)
3. Dari manakah rombongan pelancong
yang menaiki bas itu? (FN+FS)
4. Hendak ke manakah Michael yang
terburu-buru berjalan itu? (FN+FS)
5. Daripada siapakah surat
berdaftar yang kamu terima semalam? (FN+FS)
6. Dengan siapakah pelajar itu
menghadiri kelas tuisyen di bandar? (FN+FK)
7. Sampai bilakah pameran hasil
kraf tangan tradisional dilanjutkan? (FN+FK)
8. Di manakah pelajar yang akan
memasuki pertandingan pidato peringkat kebangsaan itu? (FN+FS)
1.
Ayat tanya jawapan terbuka dan jawapan tertutup
(i) Ayat tanya jawapan terbuka
(ii) ayat tanya yang jawapannya tidak terhad kepada jawapan ya atau tidak
atau bukan, tetapi lebih luas bergantung pada maksud yang terkandung
dalam ayat tanya tersebut
Contoh:
1.
Apakah binatang
yang sangat cerdik mengikut cerita dongeng tradisional? (FN+FN)
Binatang yang sangat cerdik mengikut
cerita dongeng tradisional ialah kancil.
2.
Siapakah pelukis
gambar pemandangan di tepi pantai yang cantik ini? (FN+FN)
Pelukis gambar pemandangan di tepi
pantai yang cantik ini ialah Encik Osman dari Pekan, Pahang.
3.
Dari manakah
mereka datang untuk menjual mutiara di sini? (FN+FS)
Mereka datang dari Sabah untuk menjual
mutiara di sini.
4.
Kenapakah pasukan
bola sepak negara kita ke Singapura pada minggu lalu? (FN+FS)
Pasukan bola sepak negara kita ke
Singapura pada minggu lalu untuk perlawanan dengan negara tersebut.
Ayat Perintah
Ayat perintah ialah ayat yang digunakan
dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan sama ada suruhan, larangan,
ajakan atau menyampaikan permintaan. Ayat perintah ditujukan kepada orang kedua
dengan menggunakan kata ganti nama orang kedua seperti awak, kamu dan engkau.
Ayat perintah terbahagi kepada empat jenis:
(a) Ayat suruhan
(b) Ayat larangan
(c) Ayat silaan
(d) Ayat permintaan
(a) Ayat suruhan
Ayat suruhan
bertujuan memberikan perintah atau arahan. Subjek ialah kata ganti nama diri
orang kedua [awak, engkau dan kamu ]
Contoh:
1. Engkau pergi dari kawasan perumahan ini
segera. (FN+FK)
2. Keluar dari bilik ini sekrang jika mahu
selamat. (FN+FK)
3. Awak tunggu dia di sini hingga dia
datang. (FN+FK)
4. Buat karangan itu dengan cermat hingga
selesai. (FN+FK)
5. Baca surat yang baru kamu dapat itu
dengan telitinya. (FN+FK)
6. Isi borang permohonan yang kamu dapat
itu betul-betul. (FN+FK)
7. “Kamu siapkan kerja itu sekarang juga,”
kata guru kepada muridnya. (FN+FK)
8. “Tuan pergi terus ke bangunan itu dan
belok ke kiri.” kata anggota polis kepada pelancong tersebut. (FN+FK)
PERINGATAN
Kata ganti nama diri orang kedua yang
berfungsi sebagai subjek digugurkan. Sekiranya hendak diberi penegasan kepada
orang yang disuruh, subjek kata ganti nama diri orang kedua boleh juga
digunakan. Partikel
–lah boleh digunakan untuk melembutkan arahan dan kehadirannya mesti di
hadapan ayat:
Salah
|
Betul
|
1. Keluar dari bilik ini sekaranglah.
|
Keluarlah dari bilik ini
sekarang.
|
2. Engkau pergi dari sini segeralah.
|
Engkau pergilah dari sini
segera.
|
3. “Kamu siapkan kerja itu sekarang
jugalah,” kata guru kepada muridnya.
|
“Kamu siapkanlah kerja itu
sekarang juga,” kata guru kepada muridnya.
|
4. Awak tunggu dia di sini hingga dia
datanglah.
|
Awak tunggulah dia di sini
hingga dia datang.
|
(b) Ayat larangan
Ayat larangan
bertujuan menghentikan sesuatu perbuatan atau melarang seseorang melakukan
sesuatu. Ayat larangan menggunakan kata larangan seperti jangan dan
usah.
Contoh:
1. Jangan buang sampah merata-rata di
tempat ini.
2. Usah dikenang perkara yang lalu, nanti
rosak jiwa.
3. Engkau jangan mengambil barang orang
tanpa kebenaran.
4. “Jangan berjaja di kawasan ini,” kata
pengawal di sekolah itu.
5. “Kamu jangan merokok lagi,” kata guru
disiplin kepada murid itu.
6. “Usah kau dengar kata kawan kamu itu,”
nasihat Pak Haris kepada anaknya.
7. “Jangan beritahu sesiapa tentang
perkara itu,” pesan Azman kepada adiknya.
8. “Jangan dimakan makanan yang basi,
nanti sakit perut,” kata ibu Hajar kepada anak bongsunya.
Contoh:
1. Janganlah buang sampah di tempat
ini.
2. Usahlah dikenang perkara yang
lalu, nanti rosak jiwa.
3. Engkau janganlah mengambil
barang orang tanpa kebenaran.
4. “Janganlah berjaja di kawasan
ini,” kata pengawal di sekolah itu.
5. “Kamu janganlah merokok lagi,”
kata guru disiplin kepada murid itu.
6. “Usahlah kau dengar kata kawan
kamu itu,” nasihat Pak Haris kepada anaknya.
7. “Janganlah beritahu sesiapa
tentang perkara itu,” pesan Azman kepada adiknya.
8. Janganlah dimakan makanan yang
basi, nanti sakit perut,” kata ibu Hajar kepada anak bongsunya.
PERINGATAN
Seperti ayat suruhan, subjek ayat
larangan juga boleh digugurkan.
Contoh:
1. Awak janganlah merokok lagi.
Janganlah merokok lagi.
2. Engkau janganlah ponteng sekolah
lagi.
Janganlah ponteng sekolah lagi.
3. Usahlah kau dengar kat kawan kamu
itu.
Usahlah dengar kata kawan kamu itu.
Terdapat juga ayat larangan yang
bersifat umum yang tidak menggunakan partikel pelembut –lah.
Salah
|
Betul
|
1. Dilaranglah keluar melalui
pintu ini.
|
Dilarang keluar melalui pintu ini.
|
2. Ditegahlah meludah di sini.
|
Ditegah meludah di sini.
|
3. Dilaranglah membuang sampah
di sini.
|
Dilarang membuang sampah di sini.
|
PERINGATAN
Ayat larangan dapat dilembutkan dengan
menggunakan perkataan harap pada bahagian hadapannya.
Contoh:
1. Harap jangan berkecil hati.
2. Harap jangan kotorkan tempat ini.
3. Harap jangan bunyikan radio kuat-kuat.
4. Harap jangan berkumpul di kawasan ini.
5. Harap jangan salah faham tentang perkara itu.
PERINGATAN
Dalam ayat
larangan yang menggunakan kata kerja tak transitif, awalan me- dan ber- tidak boleh digugurkan.
Salah
|
Betul
|
Jangan ludah
|
Jangan meludah
|
Jangan lompat
|
Jangan melompat
|
Jangan rokok
|
Jangan merokok
|
Jangan membuat bising
|
Jangan berbuat bising
|
(c) Ayat silaan
Ayat silaan bertujuan menjemput atau
mempersilakan seseorang atau menyilakan seseorang untuk melakukan sesuatu. Ayat
silaan menggunakan kata silaan seperti sila dan jemput.
Contoh:
1. Sila datang lagi ke kedai kami pada
bila-bila masa. (FN+FK)
2. Jemput naik ke pentas untuk menerima
hadiah. (FN+FK)
3. Jemput makan juadah yang sedia
terhidang di atas meja itu. (FN+FK)
4. “Sila masuk ke dewan perhimpunan
sekarang juga,” kata juruacara majlis (FN+FK)
NOTA: Partikel –lah
boleh digunakan bagi maksud melembutkan jemputan.
Contoh:
1. Silalah datang lagi ke kedai
kami pada bila-bila masa.
2. Jemputlah naik ke pentas untuk
menerima hadiah.
3. Jemputlah makan juadah yang
sedia terhidang di tas meja itu.
(d) Ayat permintaan
Ayat permintaan bertujuan memohon atau
meminta sesuatu. Ayat permintaan menggunakan kata permintaan seperti minta dan
tolong.
Contoh:
1. Minta jelaskan sewa rumah untuk bulan lepas.
2. Tolong berikan perhatian semasa guru kamu
mengajar.
3. “Tolong serahkan laporan ini kepada ketua
jabatan, Ali,” kata pegawai itu.
4. Minta tuan puan berada di lapangan terbang
semasa ketibaan Duli Yang Maha Mulia Sultan.
PERINGATAN
Kata silaan tidak boleh hadir
bersama-sama dengan kata larangan kerana ayat silaan dan ayat permintaan
membawa makna yang positif tetapi ayat larangan membawa makna yang negatif.
Salah
|
Betul
|
Minta usah dikenang perkara
yang lalu.
|
Usah dikenang
perkara yang lalu.
|
Sila jangan buang sampah di
tempat ini.
|
Jangan buang sampah di
tempat ini.
|
Tolong jangan dimakan makanan
yang basi.
|
Jangan dimakan makanan
yang basi.
|
Tolong jangan berjaja di
sini.
|
Jangan berjaja di
sini.
|
Bagi ayat larangan aktif, awalan “me-”
boleh dikekalkan atau digugurkan.
Contoh:
Jangan buang sampah di
merata-rata tempat.
Jangan membuang sampah di
merata-rata tempat.
“membuang” ialah kata kerja transitif.
Ayat Seruan
Ayat seruan bertujuan melahirkan
perasaan seperti terkejut, hairan, geram, seronok, sakit dan sebagainya. Tanda
seru (!) digunakan di akhir ayat. Ayat seruan menggunakan kata seru seperti wah,
oh, amboi, wahai, cis, aduh, eh dan syabas di permulaan ayat.
Contoh dalam ayat:
1. Wah, besar sungguh Masjid Jamek baharu ini! (FN+FA)
2. Cis, habis tanaman ubi kayuku dimusnahkannya! (FN+FK)
3. Amboi, ke panggung wayung pula budak-budak
ini! (FN+FS)
4. Aduh, sakitnya perut aku kerana makan buah
tadi! (FN+FS)
5. Eh, di sini rupanya kamu! (FN+FK)
6. Oh, abang kamu yang berjaya mendaki Gunung Everest itu!
(FN+FN)
7. Wahai anakku, tuntutlah ilmu sebanyak mungkin
sementara kamu masih muda! (FN+FK)
8. Syabas, andalah orang yang terpilih untuk
melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia! (FN+FN)
PERINGATAN
Dalam ayat seruan,
tanda seru hadir di hujung ayat. Lazimnya, tanda koma (,) diletakkan selepas
kata seru. Contoh:
Salah
|
Betul
|
Wah! Besar
sungguh masjid ini.
|
Wah, besar
sungguh masjid ini!
|
Cis! Habis
tanaman aku dimusnahkannya.
|
Cis, habis
tanaman aku dimusnahkannya!
|
Amboi! Melampau
kamu diberi betis hendak paha.
|
Amboi, melampau
kamu diberi betis hendak paha!
|
Eh! Begitu fasih
pelajar asing itu berbahasa Melayu.
|
Eh, begitu fasih
pelajar asing itu berbahasa Melayu!
|
2 comments:
Hi Cikgu Tan
Assalamualaikum cikgu Tan, sekolah kami menggunakan buku kerja cikgu- Modul Mesra KSSM tingkatan 5, saya minta izin menggunakan bahan latihan dalam blog cikgu ni untuk latihan tambahan anak- anak murid saya. Mohon halal ya.
Post a Comment